Wednesday, December 18, 2024

FAIRUS Buat Giveaway

Bersempena menghampiri penutupan tahun 2024 akan datang, aku fikir bagus juga kalau buat giveaway bagi meraikan rakan-rakan bloggers. Asyik sertai giveaway bloggers lain je, aku pun nak buat juga. Bukan apa, just nak santai-santai sambil berukhwah sesama bloggers.


Tiada syarat yang menyukarkan. Biasa-biasa saja. Tersangatlah mudah untuk menyertai giveaway ini di mana anda cuma perlu :

1. Membuat posting bertajuk FAIRUS Buat Giveaway dengan memuatnaik gambar poster di atas dan membuat pautan ke entri ini;

2. Tuliskan juga kenapa anda suka mengunjungi blog ini (biar jujur agar aku dapat mengerti kekuatan blog ini. Andai tak suka pun boleh tulis juga agar aku dapat memperbaiki kelemahan);

3. Tinggalkan pautan entri anda mengenai giveaway ini di ruangan komen; dan

4. Follow blog ini. 

Senang bukan? Bukan sukar pun....

Apa hadiahnya?

3 orang akan dipilih melalui Wheel of Names bakal menerima hadiah istimewa. 

Giveaway ini bermula pada 18 hingga 31 Disember 2024. Besarlah harapan aku agar rakan-rakan blogger memberi sokongan dengan menyertainya giveaway ini. 

Sekian, terima kasih.

******************
Senarai penyertaan :














Giveaway by Ejulz 2024

Hari ni nak share sikit tentang satu giveaway menarik yang aku join, iaitu Giveaway by Ejulz 2024. Bila nampak rakan blogger kita, Ejulz, anjurkan giveaway ni, terus rasa nak join. Lagipun, syaratnya mudah sangat, tak pening kepala nak ikut. Hehe.


Kalau korang pun suka join giveaway, bolehlah singgah ke blog Ejulz dan cuba nasib. Mana tahu rezeki berpihak pada kita, kan? Kalau tak join, memang confirm tak dapat. Giveaway ni bukan saja peluang nak menang hadiah, tapi juga salah satu cara nak eratkan ukhuwah sesama blogger. Best kan?

Bagi yang berminat, jangan lupa cepat-cepat join sebelum tarikh tutup pada 31 Disember 2024 ni. Klik je gambar poster untuk info lanjut.

Good luck jugak untuk semua peserta.

Tuesday, December 17, 2024

Manchester Is Red. Berkepak Kau Jalan Eh?


Aduh.. Perkara dah basi baru nak post. Tapi dah buat gambar AI, dah post di Facebook, rugi pulak tak post di Blog. 

Gambar ni aku reka dengan AI. Gambar penyokong Manchester United berlagak yang sombong lagi angkuh apabila menang Manchester Derby melawan Manchester City Dengan jaringan 1 - 2. Haha.. Jalan berkepak. 

Padahal, awal pagi tu aku dah tertidur setelah Manchester City dapat jaringan pada separuh masa pertama. Aku cuma dapat tahu kemenangan Manchester United pada keesokan harinya. Ingatkan kalah, menang rupanya. 

Malas nak taip panjang-panjang. MANCHESTER IS RED. 

Ps. Berkepak pun masih di tangga ke-13. Hahaha. Tak terbang naik pun... 

Saturday, December 14, 2024

Giveaway 13th Anniversary

Aku baru saja join Giveaway 13th Anniversary yang dianjurkan oleh blogger  Linda. Giveaway ni sempena ulang tahun pernikahan beliau yang ke-13 dengan suami tercinta pada 17 Disember akan datang. Wah, 13 tahun. Semoga ikatan mereka kekal bahagia hingga ke syurga, aamiin.

Jomlah ikut serta sekali. Caranya mudah saja. Tulis satu post blog, tinggalkan link blog kita di ruangan komen entri Linda dan follow blognya. Jadi, siapa yang belum join, bolehlah cepat-cepat singgah ke blog Linda.

Jom kita sama-sama doakan kebahagiaan Linda dan suami. Terima kasih Linda sebab anjurkan giveaway yang best ni. Semoga Allah limpahkan kasih sayang dan rahmat-Nya dalam hidup awak sekeluarga.

Selamat mencuba semua.

Nasi Kukus Ayam Berempah Murah, Sedap dan Peniaga Yang Peramah

Baru-baru ni, selepas ambil anak balik sekolah, aku singgah sebentar di Lorong Pandan, Melaka. Perut dah mula berdondang sayang minta diisi, jadi aku terus menuju ke satu gerai nasi kukus ayam berempah yang terdapat di tepi jalan. Rasanya sudah 2,3 kali juga aku singgah di sini. 

Waktu aku sampai, bau rempah dari kuali yang menggoreng ayam di gerai tu memang menusuk hidung, buat aku makin lapar. Aku bungkus nasi kukus dengan ayam berempah, sambal dan sedikit kuah kari. Harga? Memang berbaloi Murah sangat untuk portion yang boleh buat kenyang sampai malam. RM6 saja. 

Kasi banjir, baru best makan

Balik pejabat, aku terus masuk bilik rehat dan buka bungkusan nasi. Fuh, wap panas naik bersama aroma rempah dan nasi kukus yang lembut. Bila suapan pertama masuk mulut, aku terus terdiam, sedap. Ayam dia juicy dan rangup di luar, dengan rasa rempah yang cukup padu. Sambal pula ada kick pedas yang ngam.

Peniaga gerai tu pun baik dan peramah. Sempat lagi dia tanya aku nak lebih sambal, kuah atau nasi tambah, siap senyum-senyum melayan pelanggan yang menunggu.
 
Kalau korang berada di Melaka, memang aku sarankan cuba nasi kukus di Lorong Pandan ni. Makan sambil lepak di bilik rehat pun rasa macam kenduri kecil-kecilan. 

Wednesday, December 11, 2024

Mesej Motivasi Buat Pelajar Untuk Semangat Menduduki Peperiksaan

Hari ini aku nak kongsikan sesuatu yang aku rasa boleh beri manfaat kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Aku tahu, bila nak dekat exam ni, mesti ada rasa gementar, stress atau mungkin ada yang dah burn out. Jangan risau, itu semua normal. Tapi, yang penting, kita kena teruskan usaha dan jangan pernah putus asa.
 
Jadi, aku cuba buat sesuatu yang istimewa. Aku hasilkan 10 gambar motivasi menggunakan AI, semuanya ada mesej-mesej positif untuk beri semangat kepada adik-adik pelajar dan sesiapa sahaja yang perlukan dorongan. Setiap gambar ini disertakan kata-kata yang boleh menaikkan semangat, sesuai untuk korang baca bila tengah rasa down atau penat belajar.

Akhir kata, aku nak ucapkan good luck kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Ingat, kejayaan bukan sahaja diukur dengan keputusan, tapi dengan usaha yang korang curahkan. Jangan lupa rehat, makan makanan berkhasiat dan paling penting, jangan lupa solat dan berdoa. 

Semoga semua usaha korang diberkati dan membuahkan hasil yang membanggakan. Teruskan melangkah, wira-wirawati masa depan.










Thursday, December 5, 2024

Hari Ini di Muzium : Membantu Pelajar Membuat Penyelidikan

Hari ini, suasana di Muzium Sejarah Melaka sedikit berbeza. Bukan sahaja kerana pengunjung harian yang datang untuk melihat pameran, tetapi juga kehadiran beberapa pelajar universiti yang datang untuk melakukan penyelidikan. Sebagai seorang yang ditugaskan untuk membantu pelajar-pelajar ini, aku mengambil tanggungjawab ini.

Pelajar pertama yang tiba adalah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dia sedang menjalankan kajian untuk tesisnya mengenai koleksi seramik di muzium ini. Seramik ini bukan sekadar barang perhiasan ia membawa kisah tentang perjalanan perdagangan, pengaruh budaya dan teknologi masyarakat dahulu. Aku menerangkan kepada dia beberapa koleksi istimewa kami, termasuk seramik yang berasal dari zaman penjajahan seperti Belanda dan Inggeris dan juga yang dibawa masuk dari luar negara seperti China. Tidak lupa juga dengan seramik-seramik tempatan.

Pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak lama kemudian, dua orang lagi pelajar tiba. Mereka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan fokus penyelidikan mereka adalah tentang Curatorship and Galleries Studies. Aku kongsikan pengalaman bagaimana muzium ini menguruskan koleksi dan merancang pameran serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan artifak sentiasa dalam keadaan baik. Perbincangan kami turut menyentuh tentang bagaimana kakitangan muzium bekerja untuk menjadikan muzium lebih menarik kepada pelawat.

Pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor

Sepanjang hari membantu mereka, aku terfikir betapa pentingnya peranan muzium sebagai sumber ilmu. Pelajar-pelajar ini bukan sahaja datang untuk mengumpul data, tetapi mereka juga membawa semangat untuk menyelidik dan memahami subjek yang dipelajari dengan lebih mendalam. Aku kagum dengan kesungguhan mereka yang datang dari jauh dan berharap maklumat serta pengalaman yang dikongsikan tadi dapat membantu mereka menyiapkan tugasan dengan baik.

Jika anda seorang pelajar yang juga berminat untuk meneroka koleksi di Muzium Sejarah Melaka, datanglah. Kami sentiasa terbuka untuk membantu anda menjadikan penyelidikan anda lebih bermakna. Semoga usaha semua pelajar ini membawa manfaat kepada pemahaman sejarah, kebudayaan dan warisan kita.

Tuesday, December 3, 2024

Fish and Chip atau Asam Pedas



Malaysia merupakan salah sebuah negara yang aktif dan konsisten dalam mempromosikan negara dalam sektor pelancongan. Ini bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke negara ini. Terdapat pelbagai usaha dijalankan antaranya di peringkat negeri sebagai contoh pada tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Perak, 2019 adalah Tahun Melawat Melaka manakala di peringkat pusat pula pada tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Walau bagaimanapun, akibat daripada pandemik Covid-19 yang mula menular di dalam negara bermula Mac 2020, Tahun Melawat Malaysia terpaksa dibatalkan.

Pada tahun 2018, sektor pelancongan Malaysia telah menyumbang RM84.1 billion kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa seramai 25.8 juta orang. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019 Malaysia hanya menerima 20.1 juta orang pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM66.14 billion.

Namun, zaman terus berubah. Industri-industri tertentu yang berkait rapat dengan kehendak perubahan masa dan zaman perlu berubah dalam memastikan kelangsungan dalam industri berkekalan dan terus relevan termasuk industri pelancongan.

Meskipun perbelanjaan pelancong tertumpu kepada segmen membeli belah, penginapan dan makan minum, namun perlu diketahui apakah faktor utama yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi Malaysia. Faktor tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah kebudayaan dan warisan. Pada tahun 2019 pendapatan sektor kebudayaan mencatatkan sebanyak RM423 juta.

Tidak boleh dinafikan bahawa faktor budaya dan warisan merupakan salah satu faktor yang mendorong pelancong antarabangsa mengunjungi negara ini. Justeru, apabila membangunkan satu-satu produk pelancongan, elemen kebudayaan dan warisan wajib dititikberatkan dan diambil perhatian yang serius.

Sebagai seorang pelancong yang ingin melawat ke negara luar, apakah faktor yang menarik minat kita hendak ke sana? Pastinya kita tidak mahu melihat apa yang terdapat di sana, sama sahaja di Malaysia. Sudah pasti kita mahu melihat bangunan-bangunan bersejarah, tapak-tapak warisan, makanan dan pakaian tradisi serta kebudayaan mereka.

Begitu juga di Malaysia, elemen kebudayaan dan warisan perlu ditonjolkan. Tidak perlu malu untuk memperlihatkan kebudayaan dan warisan yang kita miliki. Lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tergamak untuk menutupi dan melenyapkan warisan yang dimiliki atas nama pembangunan dan keuntungan semata-mata.

Adalah suatu kelaziman sebagai pelancong inginkan sesuatu yang baharu selain apa yang terdapat di negara mereka. Selalunya kita beranggapan mereka gemar untuk menikmati beefsteak atau fish and chip walhal mereka sangat teruja ingin mencuba dan merasai asam pedas, nasi lemak, sambal belacan, roti canai dan lain-lain menu tradisi Malaysia.

Kita juga sering menganggap mereka suka berhibur di kelab malam sambil minum minuman beralkohol, sebaliknya mereka berkeinginan untuk menyaksikan kebudayaan dan persembahan tradisional sambil dihidangkan dengan minuman citarasa tempatan seperti air kelapa muda, air nira, sirap selasih, cendol dan sebagainya.

Di Jepun misalnya, terdapat sebuah perkampungan budaya dinamakan Iyashi No Sato yang masih mengekalkan struktur bangunan-bangunan lama yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian untuk pelancong bergambar. Biarpun harga sewaannya menjangkau 1,000.00 Yen (RM38.00) bagi setiap pakaian yang dikenakan namun ramai pelancong yang mencuba kerana keinginan yang tinggi untuk mengenali pakaian tradisi masyarakat di sana.

Di Malaysia, kita juga seharusnya menonjolkan pakaian tradisi kita seperti baju Melayu, kurung, kebaya, busana tradisional dan sebagainya untuk dicuba dan dipakai oleh pelancong asing bagi memperkenalkan tradisi kita. Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan tradisi dan kebudayaan Malaysia di serata dunia.

Tapak-tapak sejarah dan warisan juga perlu dijaga rapi. Adalah tidak lagi relevan untuk membangunkan sesebuah kompleks yang besar dan moden seperti pusat membeli belah atau perumahan di suatu lokasi yang telah diketahui status warisannya. Kita seharusnya akur, jika hendak dibandingkan dengan pusat membeli belah di negara Eropah, sudah pasti kita masih belum mampu menyaingi mereka kerana mereka telah melangkah jauh ke hadapan. Jangan biarkan tapak-tapak warisan ini terus tersepit dan lenyap di tengah-tengah pembangunan.

Andainya perlu juga membina kompleks seperti ini, hendaklah ia dibina di luar kawasan warisan agar tapak-tapak bersejarah ini terjaga seterusnya dapat disaksikan dan dirasai oleh generasi kini dan generasi akan datang, juga para pelancong dari dalam dan luar negara. Usahlah pelabur memperoleh keuntungan daripada warisan yang kita ada, namun kita menangis di kemudian hari akibat kehilangan tapak warisan yang sangat berharga yang telah diwarisi dari zaman berzaman. Pada ketika itu, menangis air mata darah pun tidak berguna lagi.

Justeru, apabila membangunkan sesuatu produk pelancongan, usah diabaikan aspek-aspek kebudayaan dan warisan. Produk pelancongan perlu dibina dengan acuan kita sendiri dan digarapkan bersama unsur-unsur tempatan yang sememangnya mempunyai nilai serta harga yang tinggi. Kita harus yakin dan percaya bahawa pelancong asing akan berasa lebih gembira apabila disajikan dengan sesuatu yang asli dari negara ini.

* Artikel yang aku tulis ini telah dimuatkan ke dalam buletin jabatan aku iaitu TINTA edisi 2/2022 yang lalu.

Monday, December 2, 2024

Rezeki di Kongsi Bersama di Warung

Pagi tadi lepas hantar Muhammad Firas Faiq ke latihan bola sepak, aku singgah warung tepi jalan sebelah stesen Petronas di Lorong Pandan. Warung ni tak besar, tapi ramai orang sebab makanannya banyak pilihan. Aku duduk seorang sambil menunggu roti telur dan roti kosong dengan teh tarik yang aku pesan.

Warung tepi jalan sebelah stesen Petronas Lorong Pandan, Melaka

Tengah syok menelaah scroll Facebook tiba-tiba ada seorang pakcik tua datang. Dia memberi salam, menghulur tangan untuk disalam dan angkat tangan sikit tanda nak duduk. Aku angguk, “Duduklah, pakcik.” Dia pun tarik kerusi dan duduk satu meja dengan aku.

Kami berbual ringan. Pakcik ni nampak sederhana, mungkin dalam usia awal 60-an. Sedikit nampak kurang terurus. 

Bila makanan aku sampai, aku pandang dia, “Pakcik tak makan ke?” Dia senyum sikit, “Takpelah, saya minum je. Advance saya tak dapat lagi.” Aku terdiam sekejap. Dalam hati, aku rasa serba salah biarkan dia macam tu.

“Pakcik, takpe, nak makan apa, order je. Saya belanja,” aku cakap. Mula-mula dia segan, tapi bila aku yakinkan, dia akhirnya pesan roti telur. 

Bila roti telur dia sampai, kami makan sama-sama. Dia bercerita tentang hidup dia, yang katanya dulu macam-macam kerja. Anak-anak dia pun ada keluarga sendiri, tapi hidup masing-masing tak senang. Aku dengar je, hanya mengangguk. 

Lepas habis makan, aku terus bayar semua. Sebelum pergi, pakcik tu sempat salam aku. Dia ucap terima kasih.

Kadang-kadang Allah SWT hadirkan orang macam ni dalam hidup kita untuk ingatkan bahawa rezeki yang kita ada bukan semua milik kita. Aku balik dari warung tu dengan hati yang lapang, lebih sedar tentang pentingnya kongsi apa yang kita mampu.

Rezeki ni, walaupun sikit, kalau dikongsi, boleh jadi nikmat yang besar. Pagi tadi aku belajar satu benda, kebaikan kecil yang kita buat, mungkin jadi sesuatu yang besar untuk orang lain.

Sunday, December 1, 2024

Makan Jemput-jemput Bawah Pokok Kayu Manis

Nasib baik isteri layankan ambil gambar

Petang yang nyaman di kampung memang tak ada tandingan. Petang semalam aku balik kampung di Pengkalan Perigi, Melaka, tempat aku membesar dengan seribu satu kenangan. Hehe, macam jauh sangat kampung, tak sampai 10 kilometer pun dari rumah aku. Di hadapan rumah emak, ada sebatang pokok kayu manis yang berdiri megah, tempat teduhan yang sempurna untuk menikmati suasana petang.

Sambil duduk atas kerusi, aku menggigit jemput-jemput yang emak goreng tadi. Orang lain panggil cucur bawang atau cekodok bawang, tapi aku suka sebut jemput-jemput. Dalam jemput-jemput ni, ada bawang dan ikan bilis yang sebati rasanya. Bila makan panas-panas, pergh, terus rasa nikmat dunia. Ditambah pula dengan secawan kopi O panas, cukup melengkapkan suasana.

Angin sepoi-sepoi meniup lembut, daun pokok kayu manis melambai-lambai macam nak turut serta menikmati petang ni. Bau tanah kampung yang basah lepas hujan pagi tadi memang buat hati rasa tenang. Sesekali terdengar bunyi burung berkicau dan riuh anak-anak bermain di halaman rumah. Rasa macam dunia ni berhenti sekejap, membiarkan aku menikmati saat ini sepenuhnya.

Jemput-jemput ni sebenarnya resipi yang luar biasa. Kalau aku buat sendiri pasti tak sama dengan yang mak aku masak. Bila makan di kampung, bawah pokok dengan angin kampung dan bau nostalgia, rasa dia jadi bertambah luar biasa. Memang betullah orang kata, makanan sedap tu bukan sebab bahan saja, tapi suasana dan kenangan yang datang sekali dengan setiap gigitan.

Kalau ada masa, aku cadangkan korang cuba makan Jemput-jemput bawah pokok macam ni. Simple, tapi mendamaikan jiwa. Bak kata orang, kecil-kecil hidup di kampung, besar-besar nak balik kampung juga. Memang rindu tak pernah habis.