Tuesday, November 26, 2024

Comedian by Maurizio Cattelan

Baru-baru ni, dunia seni kecoh dengan satu karya yang betul-betul lain macam. Karya seni bertajuk Comedian hasil tangan artis Itali, Maurizio Cattelan, berjaya mencipta sejarah bila terjual dengan harga AS$6.24 juta kat lelongan Sotheby’s Auction di New York. Pembeli karya ni adalah Justin Sun, seorang usahawan terkenal dan pengasas dalam dunia cryptocurrency.

Tapi, apa sebenarnya yang buatkan karya ni jadi kontroversi dan menarik perhatian ramai? Percaya atau tak, Comedian ni sebenarnya hanyalah sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding guna pita pelekat. Ya, pisang biasa je! Tapi nilainya berjuta-juta dolar. Hebat, kan?

Sejak ia mula dipamerkan di Art Basel Miami Beach tahun 2019, Comedian terus jadi bahan perbualan. Ada yang rasa karya ni satu jenaka besar dalam dunia seni moden. Nilai karya bukan lagi pada bahan fizikal tapi pada idea yang tercipta. Ada juga yang kata, ini tanda seni dah terlalu dikomersialkan.

Tapi, kalau kita tengok dari sudut lain, karya ni sebenarnya mencabar kita untuk berfikir tentang seni kontemporari. Pisang dalam karya ni tak kekal, lama-lama ia akan busuk dan rosak. Mungkin mesej Cattelan adalah tentang ketidakkekalan, ketidaktentuan dan keunikan hidup manusia. Sama macam seni, hidup ni pun sementara.

Justin Sun, pemenang bidaan Comedian, bukanlah nama asing dalam dunia teknologi. Sebagai pengasas cryptocurrency TRON, Sun memang selalu jadi perhatian. Dengan pembelian karya ni, dia bukan saja dapat pisang di dinding tapi juga mencetuskan perbincangan global tentang seni, nilai dan teknologi.

Justin Sun kata pembelian tu adalah tanda sokongan dia pada seni kontemporari dan kebebasan ekspresi. Dia cakap, “Karya seni ni lebih daripada sekadar pisang di dinding, ia adalah simbol kreativiti manusia.”

Bagi aku Comedian ni lebih daripada sekadar jenaka mahal. Ia buat kita fikir, apa sebenarnya yang buat sesuatu tu layak digelar seni? Adakah sebab ideanya? Populariti? Atau sebab kontroversi yang dicetuskan?

Maurizio Cattelan mungkin tengah gelak sekarang, bukan saja sebab karyanya berjaya tapi sebab dia berjaya ajak kita semua untuk berdebat dan berfikir. Akhirnya, bukankah itu tujuan sebenar seni?

Apa pendapat korang tentang karya macam ni? Patut tak ia dihargai atau cuma sekadar jenaka mahal? Aku nak tahu pandangan korang.

Ada siapa nak beli? RM1 juta je... 


3 comments:

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.