Tuesday, October 8, 2024

Stadthuys : Muzium Sejarah & Etnografi

Pada zaman pemerintahan Belanda di Melaka, bangunan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Gouvernement, Governeurs Huy, Wohnung des Gouverneurs atau Gouverneurs Woonink. Pada zaman pemerintahan British pula, bangunan ini terus digunakan oleh pihak British dan dikenali sebagai Government House, Stadthouse atau Stadthaus. Di zaman Melaka moden, bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Kerajaan dan Bangunan Merah dan sehingga kini disebut sebagai Stadthuys.



Bangunan Stadthuys dibina sekitar tahun 1650-an, setelah Belanda mengambil alih Melaka dari Portugis pada tahun 1641. Ia berfungsi sebagai kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda. Bangunan ini mempunyai keluasan 49,200 kaki persegi dengan ketinggian empat tingkat mengikut teres Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Pada asalnya, bangunan ini berwarna putih, namun dicat merah sekitar tahun 1920-an.

Semasa pemerintahan Belanda, selain berfungsi sebagai kediaman Gabenor, bangunan ini juga menempatkan pejabat setiausaha, pejabat perdagangan, bilik sembahyang, ruang makan, rumah tetamu, kuarters pekerja, rumah ketua pedagang, penjara, gudang, halaman dan kedai roti.

Apabila British mengambil alih Melaka pada tahun 1824, bangunan ini dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan British di Melaka. Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Negeri Melaka terus menggunakannya sebagai pejabat Ketua Menteri dan pejabat kerajaan sehingga tahun 1979.

Idea untuk menjadikan bangunan ini sebagai muzium bermula pada 17 Disember 1982, apabila batu asas Muzium Negeri Melaka didirikan menandakan permulaan transformasi Stadthuys sebagai Muzium Sejarah Negeri Melaka. Upacara perletakan batu asas ini disempurnakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebahagian ruang di dalam Stadthuys mula berfungsi sebagai Muzium Sejarah Melaka sehingga tahun 1986.

Bangunan ini telah mengalami banyak perubahan sejak zaman British dan era moden Melaka dengan tambahan beberapa ruang, tetapi kerja-kerja konservasi pada tahun 1986 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berusaha mengembalikan bangunan ini kepada bentuk asalnya. Objektif utama kerja konservasi ini adalah untuk menjadikan seluruh bangunan Stadthuys sebagai muzium.

Pada 16 April 1992, Muzium Sejarah dan Etnografi yang terletak di dalam bangunan Stadthuys telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ia kekal berfungsi hingga ke hari ini. Muzium ini menampilkan pameran dan bahan sejarah bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris sehinggalah kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Sumber rujukan :

Dennis De Witt. History of the Dutch in Malaysia : In Commemoration of Malaysia’s 50 Years as an independent nation and over four centuries of friendship and diplomatic ties between Malaysia and the Netherlands. Malaysia : Nutmeg Publishing, 2011.

Laurens Vis. The Stadthuys of Malacca : Restoration Proposal. Kuala Lumpur, Malaysia : Muzium Negara, 1982.

65 Tahun Muzium Melaka : Sejarah, Cabaran dan Pencapaian 1954 – 2018. Melaka : Perbadanan Muzium Melaka. 2018.

Plan van alle de bolwerken ofte punten, oock alle andere principale platesen en Packhuysen binnen de stadt en fortresse Malacca enz. 1656.

Plan van Malaccas Grondteyckeningh, waarop twee projecten ter verkleining der vestingwerken. 1663.

Heydt, Johann Wolfgang. Plan oder Grund Riss der Stadt u. Vest. Malacca. 1735.

Artikel ini dibuat bagi penambahbaikan artikel yang INI.

3 comments:

  1. SA suka baca bab sejarah tapi x suka subject sejarah...SA ssuka pi sini...amik gambar lawa2..hahaha

    ReplyDelete
  2. Lama tak tengok bangunan merah dari luar

    ReplyDelete
  3. Waaah namanya ganti berkali2 ya ... Agak menyesal tak sempat masuk ke museum ini saat ke Melaka tahun lalu. Memang harus datang lagi.

    Saya kira warna bangunannya memang merah, ternyata baru sejak 1920an ya. Kalo baca bagian dalamnya, nampak menarik. Saya sukaa sangat mempelajari suatu sejarah seperti ini. Apalagi ttg kesultanan besar Melaka yang sempat diduduki 3 penjajah. Memang lah harus ke museum ini nanti. 👍👍

    ReplyDelete

Komen saja... Jangan segan-segan.