Wednesday, July 17, 2024
Tuesday, July 16, 2024
Bendera/ Panji Kesultanan Melayu Melaka dan Riau Ketika Menentang Belanda?
Kajian ini oleh penyelidik dari Belanda, Hans van de Bunte MA
Pada 18 Jun 1784, satu serangan Belanda telah dilaksanakan di bawah pimpinan J.P. Van Braam. Beberapa ratus tentera dan angkatan laut dari armada Belanda mendarat di Teluk Ketapang, berhampiran kota Melaka untuk pertempuran terakhir melawan kebangkitan yang dipimpin oleh Kesultanan Melaka dan Riau yang telah menguasai pelabuhan Melaka.
Selepas pertempuran yang dimenangi oleh pihak Belanda, bendera-bendera dan panji-panji diambil dari benteng pertahanan dan dibawa ke atas kapal. Ketika ini, 15 daripada bendera tersebut dikenal pasti sebagai sebahagian daripada koleksi yang diambil pada hari tersebut berhampiran Melaka iaitu hampir 240 tahun yang lalu. Koleksi bendera ini disimpan di National Military Museum di Belanda.
Dalam jurnal J.P. Van Braam yang disimpan di Arkib Nasional Belanda, yang ditulis tangan oleh beliau sendiri dalam bahasa Belanda lama pada tahun 1784, teks tersebut turut menggambarkan tentang 21 bendera yang diambil selepas pertempuran di Teluk Ketapang, berhampiran Melaka.
Di bawah ini merupakan antara teks tulisan tangan yang ditulis sendiri oleh Komander J.P. Braam dalam diarinya pada 18 Jun 1784:
"Semasa musuh mengundurkan diri dengan tergesa-gesa, mereka meninggalkan semua bendera dan panji di kubu pertahanan. Tentera kami membawa kepada saya 21 bendera, termasuk juga panji peribadi Sultan."
****
Namun, kajian ini masih boleh dipertikaikan. Ini adalah kerana, pada tahun 1784, Kesultanan Melayu Melaka tidak lagi wujud. Peperangan di Teluk Ketapang, Melaka ini lebih kepada peperangan antara tentera Bugis dari Riau diketuai oleh Raja Haji Fisabilillah dengan pihak Belanda yang akhirnya kemenangan di pihak Belanda dan Raja Haji telah meninggal dunia dan dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang.
Nampaknya, penyelidik dari Belanda pun tidak boleh diharapkan. Walaupun bahan dalam simpanan mereka, tetapi maklumat yang diberikan tidak selari dengan pentarikhan yang dikatakan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang telah hilang sejak abad ke-16 apabila Portugis menyerang Melaka. Portugis pula memerintah Melaka selama 130 tahun dari tahun 1511 hingga ke tahun 1641, masakan zaman pemerintahan Belanda di Melaka masih wujud Kesultanan Melayu Melaka.
Monday, July 15, 2024
Ada Peluang Menyambung Pelajaran, Belajarlah
Selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku memulakan perjalanan hidup yang penuh dengan pengalaman berharga. Aku bekerja di beberapa buah kilang untuk mencari rezeki dan membantu keluarga. Antara kilang yang pernah aku bekerja ialah Huolun di Tangga Batu, sebuah kilang tekstil di mana aku menjadi seorang operator pengeluaran. Pengalaman di sini mengajar aku tentang kesabaran dan ketelitian dalam bekerja.
Selain itu, aku juga bekerja di kilang Likom di Batu Berendam yang menghasilkan komponen komputer. Walaupun aku hanya bekerja di sini dalam jangka masa yang singkat, kenangan tetap terpahat dalam ingatan. Masa itu, aku berambut perang dan mak sangat marah kerana mewarnakan rambut. Kenangan dimarahi tak mungkin aku lupakan, masih terngiang-ngiang hingga kini.
Kemudian, aku bekerja di sebuah kilang kayu di Bukit Rambai. Pada mulanya, aku memohon pekerjaan bersama seorang rakan, namun rakan tersebut tidak lama bertahan dan aku tinggal keseorangan. Di kilang tersebut, aku bekerja bersama seorang pakcik di bahagian yang tidak melibatkan kawasan mesin, terletak di sebuah kawasan lapang di sebelah kilang. Tugasan aku ialah mencabut paku dan kulit kayu yang baru diturunkan dari lori balak, satu pekerjaan yang memerlukan kekuatan fizikal.
Kayu balak yang perlu aku kerjakan bukanlah kecil, saiznya 3 atau 4 pemeluk. Semua pekerjaan dilakukan secara manual. Aku perlu memerhatikan paku-paku atau besi-besi penanda yang terlekat di kayu balak dan mencabutnya menggunakan crowbar. Kemudian, aku perlu menggolekkan kayu balak untuk memeriksa rapi setiap inci agar tiada paku atau besi yang terlekat supaya tidak merosakkan mata mesin pemotong semasa proses pemotongan dibuat oleh bahagian lain.
Mengopek kulit kayu pula ada cabarannya tersendiri. Tidak semua kayu balak mempunyai kulit kayu, tetapi bagi yang ada, aku perlu mengopeknya. Ada kayu yang mudah dikopek, ada yang sukar. Malah, terdapat sejenis kayu yang kulitnya menyebabkan kegatalan pada badan. Untuk mengelakkan kegatalan, aku terpaksa melumurkan muka dan tangan dengan tepung hingga putih melepak.
Betapa sukarnya masa dahulu, kerja berat yang tidak sepadan dengan umur aku yang masih muda ketika itu. Balik kerja, aku sering keletihan. Namun, apa boleh buat, aku perlu berdikari untuk kelangsungan hidup kerana aku bukannya berasal dari keluarga yang berada. Pakcik yang bekerja bersama aku sering menasihati agar aku menyambung pelajaran jika ada peluang. Pada ketika itu, aku hanya mahu bekerja dan tidak terfikir untuk belajar lagi.
Apabila keputusan SPM keluar, aku mendapat keputusan yang agak memberangsangkan. Aku sedikit tersentak kerana menyangka aku akan gagal. Rupanya masih ada harapan untuk aku menyambung pelajaran. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan 6 untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berhenti bekerja di kilang kayu.
Menulis pengalaman hidup ini membuat aku tersenyum mengingat kenangan lalu. Mungkin di lain masa, aku akan menulis lagi tentang pengalaman hidup yang lain.
Pautan (Live Streaming) Perlawanan Akhir Euro 2024 - Sepanyol lawan England
Perlawanan akhir Euro 2024 antara Sepanyol dan England akan berlangsung pada 15 Julai 2024, jam 3.00 pagi waktu Malaysia.
Perlawanan ini disiarkan secara langsung di saluran SPOTV melalui Astro dan boleh ditonton secara live streaming di aplikasi Astro Go atau Sooka.
Pautan siaran langsung :
Link 1 : klik
Link 2 : klik
Sepanyol memburu gelaran keempat mereka dalam sejarah Euro manakala England mengimpikan gelaran Eropah pertama mereka.
Juara Euro 2024 berpeluang membawa pulang RM145 juta, dengan juara menerima RM40 juta dan naib juara RM25 juta.
Bonus untuk pemain Sepanyol adalah RM1.85 juta setiap seorang jika mereka menang manakala pemain England akan menerima RM2.2 juta setiap seorang.
Pengendali England, Gareth Southgate, akan mendapat bonus RM24 juta jika membawa England menjadi juara, berbanding RM2.4 juta yang bakal diterima Luis de la Fuente jika Sepanyol menang.
Saksikan perlawanan menarik ini untuk mengetahui pasukan mana yang akan bergelar juara.
Ramalan aku :
Sepanyol 2
England 1
Korang teka berapa pulak?
Friday, July 12, 2024
Nak Jual Durian atau Tayang Badan?
Ada ke wanita-wanita nak singgah ke kedai durian sebegini? |
Tular baru-baru ini peniaga durian yang berniaga tanpa memakai baju. Situasi ini berlaku di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini. Bukan di luar negara. Aku percaya ia bukan sahaja tidak sopan, tetapi tidak sesuai dalam konteks perniagaan. Sebagai seorang peniaga, penampilan yang kemas dan sopan adalah penting untuk mencerminkan profesionalisme dan menghormati pelanggan.
Tindakan peniaga yang berniaga tanpa memakai baju seolah-olah ingin menayangkan badan yang sasa adalah sesuatu yang kurang bijak. Ia bukan sahaja mengganggu pandangan mata tetapi juga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan, terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Perniagaan sepatutnya dijalankan dalam suasana yang penuh kehormatan dan selesa untuk semua pihak, bukannya menjadi pentas untuk pameran peribadi yang tidak relevan.
Moga pihak berkuasa atau mana-mana pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan peniaga-peniaga durian atau mana-mana peniaga sekalipun, mematuhi etika berpakaian yang sesuai ketika menjalankan perniagaan. Penampilan yang sopan dan kemas bukan sahaja akan meningkatkan imej perniagaan, tetapi juga menjaga keharmonian serta keselesaan masyarakat sekeliling.
Subscribe to:
Posts (Atom)