Thursday, June 27, 2024

Pakaian Atlit Sukan Olimpik Malaysia Buruk?

Dalam beberapa hari ini, media sosial heboh memperkatakan tentang pakaian atlit Sukan Olimpik Malaysia yang dikatakan tidak cantik. Rata-rata netizen tidak puas hati dengan reka bentuk pakaian yang baru dilancarkan.

Pendapat aku, ada benarnya. Sekali pandang memang nampak kurang menarik, terutama kaedah peluncuran yang tidak semenggah. Pakaian itu hanya dipakaikan pada mannequin yang tidak rapi tanpa peragawan, peragawati atau atlit sendiri.

Kredit : Harian Metro 

Peluncuran pakaian rasmi atlit Olimpik Malaysia ini seperti tidak terancang dengan baik. Nampak tiada kesungguhan, seperti asalkan ada.

Kemudian, muncul netizen termasuk aku sendiri yang menggunakan gambar AI untuk menunjukkan rekaan yang kononnya lebih baik. Beberapa rekaan AI memang menarik, tetapi ada juga yang tidak.

Pada pendapat aku, setelah meneliti beberapa gambar pakaian atlit Olimpik Malaysia yang dilancarkan, ia tidaklah buruk sangat. Menarik juga. Cuma masalahnya adalah kaedah peluncuran dan pencahayaan yang kurang baik. Ditambah lagi di zaman sekarang, dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil isu hendak dikaitkan dengan politik.





Berjalan Pagi di Persisir Sungai Melaka

Sebelum mula bertugas, memulakan perjalanan berjalan di tepi Sungai Melaka, menelusuri jarak 2.2 kilometer dalam masa 33 minit. Sepanjang perjalanan, mata  dimanjakan dengan pemandangan sungai yang tenang serta bangunan-bangunan lama yang kaya dengan sejarah dan warisan.

Warna-warni bangunan menambah keindahan suasana pagi yang damai dan menenangkan hati. Sentuhan alam dan keunikan seni bina tempatan sungguh memikat, menjadikan aktiviti berjalan pagi ini begitu berharga dan pastinya menyihatkan badan. 

Pemandangan persisir Sungai Melaka ini diambil pada 27 Jun 2024 (Khamis) sekitar jam 7.30 pagi hingga 8.00 pagi.






Sunday, June 16, 2024

Selamat Hari Raya Aidiladha 1445 Hijrah



Selamat Hari Raya Aidiladha 1445 Hijrah kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Hari yang mulia ini memberi penghormatan kepada pengorbanan Nabi Ibrahim yang menunjukkan ketabahan dan kepatuhan kepada Allah SWT. 

Semoga semangat pengorbanan ini menginspirasi kita untuk mengejar kebaikan, keadilan dan kasih sayang dalam hidup kita.

Sambutlah Hari Raya Aidiladha dengan penuh kegembiraan dan bersama-sama mengeratkan silaturrahim di antara keluarga, sahabat dan masyarakat kita.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha, semoga Allah merahmati kita semua dan memberi kebahagiaan di hari yang istimewa ini.

Maaf zahir dan batin dari saya Fairus bin Haji Mamat dan keluarga.

Monday, June 10, 2024

Satira Politikus



Yang dijanji turun telah pun naik,
Yang berguling di jalan raya, telah pun naik,
jadi menteri!
Yang berkhemah di dataran pun telah naik,
juga jadi menteri!
Yang berbaju kuning bak bunga matahari telah pun menjadi bunga tahi ayam,
macam taik!
busuk!

10 Jun 2024
Ayer Keroh, Melaka 

Wednesday, June 5, 2024

WW : Free Palestine





Koleksi Buku Antologi Puisi



Dalam diam tak diam, sudah empat buah buku antologi puisi telah diterbitkan, hasil kolaborasi dengan penulis-penulis dari Melaka dan luar Melaka. Terbitan terkini bertajuk Meracik Mentari, memperlihatkan dedikasi dan minat aku yang mendalam terhadap seni penulisan.

Mungkin ada yang menganggap, "Ala... setakat buku puisi sahaja..." 

Namun, apabila kita membaca puisi-puisi lama, kita dapat menangkap gambaran keadaan pada masa lalu. Kita mengenali budaya, sejarah dan warisan. Memahami perasaan individu pada zamannya, serta memahami kritikan dan pandangan yang pelbagai mengenai kehidupan masa silam.

Jika kita tidak menulis sekarang pada masa akan datang, generasi anak cucu mungkin akan berkata bahawa orang Melayu tidak menulis, tiada dokumentasi. Situasi ini mengingatkan kita betapa sukarnya mencari dokumen-dokumen dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Kepada siapa kita hendak menyalahkan apabila tiada rujukan? Mengharapkan Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis dan lain-lain yang terhad tidak mencukupi.

Oleh itu, kita perlu menulis dan menerbitkan karya kita. Sekurang-kurangnya, usaha ini akan menambah koleksi untuk diri sendiri dan mewariskan dokumentasi kepada generasi akan datang. Jika ia hanya untuk kepuasan sendiri sekalipun, kita tidak mengganggu kehidupan orang lain.

Insyaallah, buku antologi puisi yang ke-5 bakal menyusul. 

WW : All Eyes on Palestine


Monday, June 3, 2024

Nak Jadi Guru? Ikut Pesanan Abdullah Munsyi



Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi @ Munshi Abdullah di dalam Hikayat Abdullah ada mencatatkan lima perkara yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi guru. Lima perkara tersebut ialah :

1. Hendaklah ada pengetahuan.

2. Hendaklah jangan ia membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.

3. Hendaklah ada ia sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.

4. hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai ia.

5. Hendaklah ia rajin serta usaha.