Gambar sekadar hiasan |
"Qunut pendek ke qunut panjang?".
"Qunut pendek macam mana? Qunut panjang macam mana?"
"Qunut pendek bacaannya, qunut!, qunut panjang pula, bacaannya qunuuuuuuttttt...."
Inilah antara ungkapan tentang doa qunut yang menjadi bahan gurauan sejak dahulu hingga kini. Berulang-ulang tidak ditelan zaman. Baik yang muda, mahupun berusia masih menjadikan ia sebagai senda gurauan.
Perihal doa qunut amat terkesan pada diri aku. Ia tersimpan rapi dalam lipatan sejarah hidupku. Walaupun perit dan memalukan namun aku bersyukur dan amat berterima kasih.
Aku amat berterima kasih kepada seorang ustazah yang membuka jalan untuk aku menghafal doa qunut. Andai tidak silap, nama ustazah tersebut adalah Zakiah. Ya betul, ustazah Zakiah namanya.
Beliaulah mengajar aku mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun aku terlupa, pada darjah berapa beliau mengajarku. Yang pastinya, ia berlaku ketika aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka.
Masih aku teringat, ustazah Zakiah mengajar kami sekelas untuk menghafal doa qunut. Ustazah memberikan masa beberapa hari untuk setiap murid menghafal doa tersebut.
Ustazah Zakiah merupakan seorang cikgu yang garang. Aku antara murid yang takut kepadanya, apatah lagi, subjek Pendidikan Islam antara kelemahan aku. Bukan aku seorang sahaja yang takut kepadanya, murid-murid lain pun mempunyai perasaan yang serupa.
Setelah tiba pada hari ustazah Zakiah menguji hafalan doa qunut oleh semua murid, terasa menggigil satu badan aku kerana masih tidak menghafal doa tersebut. Satu persatu murid diminta melafazkan doa qunut. Ramai yang dapat menghafal, dan yang pastinya aku antara murid yang tidak dapat menghafal doa qunut.
Maka, terjadinya satu kaedah denda yang dikenakan kepada aku dan murid-murid lain senasib. Apa dendanya? Dendanya ialah kami perlu merangkak mengelilingi sebuah blok sekolah sambil diekori oleh ustazah. Sambil merangkak, perlu membaca doa qunut.
Walaupun bloknya tidak besar, tetapi melibatkan beberapa buah bilik darjah dan bilik cikgu. Saat itu, betapa malunya diri ini hanya tuhan saja yang tahu. Perasaan marah kepada diri sendiri pun ada kerana gagal untuk menghafal doa qunut.
Malu. Malu kerana murid-murid lain melihat dari tingkap nako sambil tersenyum dan tersengih dengan ekspresi muka yang sinis. Cikgu-cikgu yang turut melihat, juga menggelengkan kepala.
Hari bersilih ganti, minggu bertukar minggu, akhirnya aku berjaya menghafal doa qunut. Alhamdulillah... Tidak lagi dikenakan denda yang tidak terjangkau dek akal iaitu merangkak sambil membaca doa qunut. Serik. Cukuplah sekali didenda merangkak.
Walaupun ia merupakan satu denda yang amat memalukan, namun aku amat berterima kasih kepada Ustazah Zakiah. Dengan didikan Ustazah Zakiah lah aku mampu menghafal doa qunut. Barangkali, jika tidak didenda sebegitu rupa, kemungkinan lagi lambat aku untuk menghafal doa qunut.
Terima kasih ustazah. Jasa baktimu akanku kenang selama-selamanya. Semoga ilmu yang bermanfaat yang telah dicurahkan menjadi bekalan yang baik di akhirat nanti.
Semoga Ustazah Zakiah diberkati selalu!
ReplyDeleteMasa sekolah dulu memang takut kalau kena denda dengan ustazah/ustaz sbb tu dapat hafal banyak surah dan doa.
ReplyDeletezaman sekarang kalau ada ustazah buat stail macam tu mesti kena kecam. huhu
ReplyDeleteBerkesan cara ustazah tu. Mesti anak-anak murid serik tak hafal doa qunut 😊
ReplyDeleteCikgu yang tegas nilah yang biasanya mampu mendidik kita.
ReplyDeletePengalaman pahit kena denda tapi manis dan lucu juga untuk dikenang kan? 😄
Alhamdulillah, pentingkan guru garang... kalau tak, sampai bila2 x pandai baca qunut.
ReplyDeleteTeringat zaman sekolah dulu...ustazah zaman dulu garang jadi bila kena hafal ayat kita hafal cepat2.
ReplyDeleteZaman sekolah dulu apa je denda yang tak pernah kena kan. Yang pastinya denda tu memberi pengajaran yang baik buat kita.
ReplyDeleteZaman sekarang ni ustazah/cikgu x leh jentik pun anak- anak...mulalah viral..x mencabar langsung banding zaman kita sekolah 80an -90an...zaman menggalakkan anak- anak x kira lelaki ke perempuan jadi lembik...
ReplyDeleteIni qunut subuh atau qunut nazilah ya? Orang2 sini saya lihat tak pakai qunut, kecuali di Aceh banyak yg pakai. Saya sendiri tak pakai, Krn dari awal juga diajarin tak pakai qunut. Semua guru agama dari elementary, sampai high school tak ada yg mengajarkan qunut. Bisa jadi Krn Indonesia banyak yg beraliran Muhammadiyah . Dan Muhammadiyah sendiri tidak membaca qunut.
ReplyDeleteCuma pernah tanya ke ustad, masalah qunut ini, dan dia sendiri jawab itu Sunnah. Patokan saya ke ustad yg mengajari di awal saja 😁. Dia tak pakai qunut, saya pun tak pakai. Masalah aliran ini terlalu banyak lah. Yg penting tak menyimpang saja.