Monday, January 29, 2024

Menukil Pantun Untuk Muzium

Gambar sekadar hiasan

Alkisahnya pagi tadi terima pesanan whatsapp dari bos. Beliau meminta aku untuk mencipta pantun untuk muzium. Pantun-pantun yang diminta dibuat ini adalah untuk dipaparkan di pintu masuk muzium-muzium. Pantun-pantun yang perlu dibuat adalah bertemakan muzium tersebut dan mengalu-alukan kehadiran pelawat.

Jadi, disebabkan tiada kerja-kerja yang terlalu segera yang perlu dilaksanakan, aku meluangkan sedikit masa untuk menukil beberapa pantun seperti yang terdapat di bawah ini :

Pantun untuk Muzium Samudera (replika Kapal Flor De La Mar)

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik si anak mami;
selamat datang tuan puan,
menjadi tetamu muzium kami.

Burung camar di pohon mangga,
datang helang menjadi teman;
Flor De La Mar bukan dibangga,
sekadar menginsafi dijadi pedoman.

Pantun untuk Muzium Istana Kesultanan Melaka

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua;
jemput masuk saudari saudara,
salam hormat untuk semua.

Nun di sana dusun buah-buahan,
pohon nangka dinaiki dedalu;
Muzium Istana simbol kemegahan,
Empayar Melaka di masa lalu.

Pantun untuk Muzium Sejarah Melaka

Anak muda turun ke bendang,
menuai padi bersama petani;
hadir kalian dijemput diundang,
penyeri muzium kami ini.

Mari ziarah teratak bonda,
tinggalkan duka biar berlalu;
bangunan Stadthuys tinggalan Belanda,
rekonstruksi Melaka masa dahulu.

10 comments:

  1. Hebat tuan fairus berpantun. Menarik pantunnya pun.

    ReplyDelete
  2. bagus sekali...terasa dialu-alukan lawatan ke muzium....pernah nmpk pantun aluan2 di Kompleks Kraf KL..kat pameran tekstil..
    Kain songket baju kebaya, pakai pula kerongsang suasa
    Banyak harta digelar kaya, Kaya lagi budaya bahasa

    ReplyDelete
  3. wah menarik pantun2 ni.. kedua2 muzium ni mama pernah sampai nanti nak cari lah pantun ni kat sana

    ReplyDelete
  4. Baguuuuus Abang 👍👍👍👍😁. Sukaaa bacanya. Trasa sekali tamu yg nak datang ke museum di alu2kan. Saya pun jadi teringin nak datang ke museum sana

    ReplyDelete
  5. Wah…ni kalau saya ke muzium dan nampak paparan pantun, harus teringat en.Fairus yang hasilkan 😀

    ReplyDelete
  6. Wahh. Kreatif dan kritis di situ. Tahniah!

    ReplyDelete
  7. mesti ambik Bahasa Melayu STPM dan dapat gred A kan? Tahniah! Amat kreatif n puitis...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya. Saya dulu STPM. Tapi takde lah A BM tu.. 😀

      Delete
  8. Eh, serasa dialu-alukan pula supaya kami datang ke Melaka.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.