Bukit Peringgi... Sebuah bukit yang terletak di Kampung Pengkalan Perigi, mukim Tanjong Kling. Tidak ramai yang mempedulikan perihal bukit ini dan tiada apa-apa catatan berkenaan bukit tersebut buat masa ini.
Inilah bukit tempat aku bermain semasa waktu kecil. Mengharungi lereng dan mendaki bukit ini menjadi mainan semasa kecil. Namun kini ia tidak boleh dimasuki. Menjadi kawasan larangan kerana adanya penanaman pokok balak di atas bukit tersebut oleh sebuah syarikat.
Masih lagi teringat dan terngiang-ngiang bahawa di atas bukit ini terdapat benteng atau tembok yang diperbuat daripada batu laterit. Bongkah- bongkah batu laterit ini sama seperti bongkah batu yang digunakan oleh Portugis untuk membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka).
Sedang aku minum di warung bagi mencungkil maklumat daripada orang-orang lama, memang terdapat tembok batu laterit di situ, malah ada yang menyatakan dahulu terdapat beberapa buah meriam di sepanjang tembok tersebut. Namun, seingat aku, masa aku kecil, meriam tersebut sudah tiada.
Pada waktu dahulu, bukit ini adalah tempat kuarter pekerja-pekerja elit dan jurutera Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kemudian, stesen janakuasa TNB ini diambil alih oleh syarikat Powertex, kediaman di atas bukit ini tidak digunakan lagi, sebaliknya syarikat tersebut telah mula menanam pokok-pokok balak.
Apabila berada di atas bukit ini, jelas menampakkan Selat Melaka yang terbentang luas. Dari pengamatan, bukit ini sememangnya sesuai untuk dijadikan pusat pemerintahan dan pertahanan. Kedudukan pantai dengan bukit ini hanya kira-kira 500 meter.
Mengapa bukit ini dinamakan Bukit Peringgi, masih belum lagi terjawab. Seperti sedia maklum, Peringgi merupakan perkataan lain bagi Portugis oleh penduduk tempatan. Orang-orang kampung biasanya menuturnya sebagai Bukit Peringki.
Tiada sebarang papan tanda yang menunjukkan arah bukit ini dan tiada apa-apa penunjuk yang menulis perkataan Bukit Peringgi sehinggalah hanya satu sahaja ditemui perkataan Peringgi di rumah bekalan elektrik TNB (seperti di gambar).
Tanjong Kling bukanlah satu nama yang asing. Nama ini ada tercatat di dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Tidak hairanlah bahawa makam Hang Tuah juga terdapat di Tanjong Kling. Jarak di antara makam Hang Tuah dan Bukit Peringgit kira-kira 2 kilometer sahaja.
Sebagai anak jati Pengkalan Perigi yang mana rumah mak aku terletak di bawah Bukit Peringgi, berasa amat terpanggil untuk membuat kajian lanjut mengenai bukit ini. Harapnya suatu hari nanti dapat aku masuk ke dalam kawasan bukit ini untuk meneliti lebih lanjut susunan tembok batu laterit yang terdapat di atas bukit ini.
Mungkin banyak cerita sejarah yang boleh dikaji di tempat ini
ReplyDeletemisteri??
ReplyDeletekena kaji ni, sejarahnya
kadang2 sejarah dlm buku tidak 100% betul
Semoga abang bisa lebih banyak eksplor kawasan ini, dan membuat tulisannya di blog. Selalu menarik membaca sejarah suatu tempat apalagi jika ditulis oleh orang asli daerah sana 👍
ReplyDelete