Saturday, September 30, 2023

Menikmati Secawan Hazelnut Latte di Stadthuys Cafe



Di satu pagi yang cerah lagi mendamaikan di negeri Melaka yang bersejarah, aku memutuskan untuk mengunjungi  Stadthuys Cafe yang terletak di Muzium Sejarah dan Etnografi setelah menghadiri mesyuarat. Muzium ini tempat terletak pejabat aku di dalamnya. Bangunan muzium ini dikenali sebagai Stadthuys (Dewan Bandaran) dan lebih dikenali sebagai Rumah Merah. 

Aku memesan secawan hazelnut latte panas, yang harumnya begitu menggoda. Ketika aku duduk di dalam kafe, dengan jelas aku melihat bangunan bersejarah Stadthuys yang indah dan pohon-pohon yang hijau di sekitar courtyard

Ketika menghirup  hazelnut latte, rasanya begitu nikmat, dengan sentuhan kacang hazelnut yang lazat dan berkrim yang lembut. Suasana kafe yang tenang dan pemandangan yang indah membuatkan saat sebegini begitu sempurna.

Aku menikmati hazelnut latte tersebut sambil menyingkap hal sejarah Melaka yang kaya dan bagaimana tempat ini telah menyaksikan begitu banyak peristiwa bersejarah. Ini merupakan pagi yang damai dan penuh kenikmatan di Stadthuys Cafe.

Gambar Hitam Putih | Black and White Pictures (Monokrom | Monochrome)











Gambar hitam putih juga disebut sebagai gambar monokrom atau gambar dua warna. Ia adalah sejenis gambar atau foto yang hanya menggunakan dua warna iaitu hitam dan putih tanpa terdapat warna-warna lain. 

Gambar ini sering digunakan untuk menciptakan kesan retro atau estetika klasik dan dapat menghasilkan kontras yang kuat antara elemen-elemen dalam gambar. Teknik fotografi hitam putih atau monokrom masih digunakan sebagai bentuk seni yang unik

Bagaimana Mengekalkan Kedai Makan Terus Bertahan

Zaman sekarang tidak susah untuk mencari alasan kegagalan. Cuma tuding jari kepada pihak-pihak tertentu sebagai punca kegagalan. Salah orang itu, salah orang ini, salah kerajaan dan salah sesiapa saja tanpa mahu muhasabah diri sendiri. 

Tidakkah kita tahu bahawa satu jari yang ditunjuk, terdapat empat jari lagi yang menuding ke arah diri sendiri. Justeru, muhasabah diri sendiri adalah penting. Cari kelemahan, mana salah, mana silapnya, mengapa orang lain berniaga makanan boleh bertahan dari generasi ke generasi berpuluh tahun lamanya tapi kita baru satu, dua tahun berniaga sudah gagal. 

Sejak 1969 kedai Mee Bodo Tengkera masih kekal relevan hingga kini. Apa rahsianya? 


Untuk menjadikan kedai makan berjaya dan bertahan lama, terdapat beberapa pesanan penting yang perlu dipertimbangkan. Pesanan atau tips ini mungkin boleh diambil perhatian bagi mereka yang ingin menceburi bidang kedai makan atau restoran. 

1. Makanan Berkualiti

Pastikan makanan yang disajikan adalah berkualiti tinggi dan mempunyai rasa yang enak. Jika pelanggan suka dengan makanan anda, mereka akan kembali.

2. Perkhidmatan Pelanggan

Memberikan perkhidmatan pelanggan yang cekap dan mesra sangat penting. Pastikan kakitangan anda bersikap sopan, pantas dan sentiasa prihatin terhadap keperluan pelanggan.

3. Pengiklanan dan Pemasaran

Promosikan kedai makan anda melalui pelbagai saluran pengiklanan, termasuk media sosial, laman web atau lain-lain pengiklanan tempatan. Berikan tumpuan kepada strategi pemasaran yang sesuai dengan sasaran pelanggan anda.

4. Kebersihan dan Kesihatan

Pastikan premis kedai sentiasa bersih dan patuh kepada standard kesihatan dan keselamatan makanan. Keselamatan pelanggan adalah keutamaan.

5. Inovasi Menu

Selain menu tetap, pertimbangkan untuk menyajikan hidangan atau promosi khas yang berubah-ubah untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada.

6. Analisis Perniagaan

Pantau prestasi kedai secara berkala dan gunakan data untuk membuat keputusan pintar dalam pengurusan perniagaan anda.

7. Staf yang Berkualiti

Pastikan bahawa staf anda mempunyai kemahiran dan pengalaman yang mencukupi dalam industri makanan.

8. Harga yang Berpatutan

Tetapkan harga yang munasabah yang mencerminkan kualiti hidangan anda dan berpatutan dengan pasaran tempatan.

9. Penglibatan dalam Komuniti

Terlibat dengan komuniti tempatan dengan menyokong acara-acara tempatan dan menjadi sebahagian daripada komuniti.

10. Pelanggan Tetap

Cipta program loyalti untuk menggalakkan pelanggan tetap dengan memberikan ganjaran atau diskaun kepada mereka yang sering datang.

Ingatlah bahawa perniagaan makanan adalah industri yang kompetitif, jadi anda perlu sentiasa berusaha keras dan fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Thursday, September 28, 2023

Salam Maulidur Rasul 1445 Hijrah


Selawat dan salam buat nabi junjungan nabi Muhammad SAW. Semoga kita semua tergolong di kalangan orang yang akan menerima syafaat
.

Hari ini merupakan hari istimewa di mana kita merayakan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. yang membawa petunjuk kepada umat manusia. Semoga keberkatan, kebahagiaan dan keamanan sentiasa bersama kita.

Maulidur Rasul ialah masa untuk merenungkan ajaran-ajaran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita sama-sama berusaha mengikuti jejaknya dalam segala aspek kehidupan untuk menjadikan dunia yang lebih baik dan harmoni.

Pada hari yang bersejarah ini, mari kita meningkatkan kecintaan dan penghargaan kita terhadap Nabi Muhammad SAW. dengan lebih mendalam memahami ajarannya. Semoga kita semua menjadi teladan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1445 Hijrah, semoga kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

Sunday, September 17, 2023

Baliklah Fairus... Dah Malam

Aku penjaga masa.. Waktu bekerja, aku sangat menjaga masa. Tak suka datang lewat kecuali ada hal-hal yang tak dapat dielakkan. Dalam diari seharian aku pun tiada istilah minum pagi jam 10 dan melepak lama di kedai. Kalau nak sarapan pagi, di rumah sahaja atau di kedai sebelum waktu bekerja bermula. Ada kalanya terlajak juga, tapi tidak terlalu lama.

Apabila balik kerja pun sama. Jam 5.00 petang, keluar pejabat dan imbas perakam waktu. Tak suka balik lambat, kerana bagi aku bertugas perlu pada waktu bekerja, selebihnya adalah bersama keluarga. Kita bekerja pun untuk menampung keluarga. Tapi ada kalanya sengaja balik lambat kerana terpaksa menunggu juga untuk ambil anak yang balik sekolah agama jam 6.15 petang.

Ada kalanya hujung minggu pun bekerja juga sekiranya ada program yang perlu diuruskan atau untuk dihadiri. Tak pun diperlukan untuk memantau "anak-anak buah" yang bekerja. 

Beberapa hari ini banyak kerja di pejabat, namun tetap balik jam 5.00. Bagi aku, esok masih ada untuk meneruskan tugasan kerana tidak dikehendaki disiapkan segera.

Namun, Jumaat lalu aku mendapat tugasan yang baru diterima dan perlu diselesaikan segera. Justeru, terpaksa merelakan diri untuk tunggu dan menyiapkan kerja sehingga selesai. Buat kerja seorang sahaja. Syukur tak berapa lama sangat untuk menyiapkan tugasan, selepas Maghrib tugasan pun selesai.

Kebetulan pejabat aku terletak di dalam muzium. Muzium telah ditutup, apabila aku memadamkan lampu pejabat, jadi gelap suasananya. Hanya lampu di luar bangunan yang samar-samar menjadi panduan untuk melangkah, lantas lampu di telefon bimbit dinyalakan. 

Terdapat lampu peti pameran tidak dipadam. Barangkali kakitangan terlupa memadam suis. 


Lama tak balik malam. Rasa seram juga apabila berlalu dari satu ruang ke ruang di dalam muzium. Dengan patung-patung ya lagi. Eh! Jangan buat pasal lah.. 😅


Selamat Hari Malaysia!



Hari Malaysia adalah satu lagi hari bersejarah yang memperingati penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Ini adalah hari di mana Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung untuk membentuk sebuah negara yang kuat dan bersatu. Namun kemudian Singapura keluar dari Malaysia. 

Selama enam dekad ini, Malaysia telah mencapai banyak pencapaian besar dalam pelbagai bidang. Dari segi ekonomi, Malaysia telah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap dan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian budaya, makanan yang lazat dan warisan sejarah yang kaya. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik dan agama menjadikan negara ini unik dalam aspek perpaduan dan keharmonian.

Selamat Hari Malaysia ke-60 tahun. Semoga Malaysia terus maju dan berjaya dalam tahun-tahun yang akan datang.

(ps. Terlewat sehari pula ucapan Selamat Hari Malaysia) 

Mi Sup Tengkera Melaka!

Mi Sup Tengkera merupakan antara kedai makan yang popular di Melaka sejak sekian lama. Terkenang kembali zaman persekolahan dulu, masa 'main motor', kerap juga ke kedai ini bersama rakan-rakan.



Kedai Mi Sup Tengkera ini mempunyai persamaan dengan kedai Mee Bodo. Jarak kedua-dua kedai ini kira-kira 200 meter sahaja. Dan kedua-dua kedai ini adalah perniagaan keluarga mereka. Mee Bodo di sebelah pagi, Mi Sup Tengkera pula di sebelah petang. Buka setiap hari kecuali hari Khamis. 

Di kedai Mi Sup Tengkera terdapat hanya hidangan mi sup, kuetiau sup dan mihun sup. Lain-lain makanan tiada. Hidangannya pun ringkas, ada mi, kuetiau atau mihun, sedikit sayur sawi, hirisan cili dan racikan isi ayam. Namun ada yang istimewa di situ iaitu popia, goreng dan basah. Namun selalu sahaja cepat habis. Datang lambat masa balik kerja, memang habislah jawabnya. 

Kedainya sentiasa ramai orang, namun layanannya cepat. Tak perlu tunggu lama. Apabila sudah memesan makanan, tak sampai satu minit sudah sampai. Makan pun sekejap sahaja. Ada orang boleh makan sehingga dua mangkuk, tapi aku cukuplah satu mangkuk sahaja. 

Jika nak dibandingkan antara Mi Sup Tengkera dan Bodo, secara jujurnya aku lebih suka Mee Bodo. Apabila lalu sahaja di Jalan Tengkera, secara automatik fikiran sudah terbayang nak makan Mee Bodo.

Jadi, kepada sesiapa yang datang ke Melaka jangan lupa untuk merasai makanan di kedua-dua kedai ini. Sekali cuba pasti nak lagi. 😀👍🏼

Tuesday, September 12, 2023

Roti Canai Roti Terbaik Dunia!!!


Syabas dan tahniah buat Roti Canai Malaysia kerana telah diiktiraf sebagai roti terbaik dunia oleh TasteAtlas bagi kedudukan terkini September 2023 dengan mata sebanyak 4.9. Kedudukan ini sedikit sebanyak mungkin dapat menaikkan nama Malaysia serata dunia melalui kulinari yang sememangnya menjadi subjek tular zaman kini.

Berikut merupakan kedudukan 10 terbaik roti dunia menurut laman sesawang TasteAtlas :

1. Roti canai, Malaysia
2. Pan de bono, Colombia
3. Butter garlic naan, India
4. Nan-e barbari, Iran
5. Pão de queijo, Brazil
6. Baguette, France
7. Naan (collectively), India
8. Piadina Romagnola, Italy
9. Marraqueta, Chile
10. Pan de yuca, Colombia

Memang tidak dinafikan bahawa roti canai amat popular di Malaysia. Bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, malah orang asing juga gemar menikmati hidangan ini. Aku sebagai salah seorang yang berkebolehan menebar roti canai juga amat berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh roti canai.

Banyak kenangan aku bersama roti canai sejak zaman sekolah menengah lagi aku telah mahir menebar roti canai. Aku membantu abang ipar aku di kedainya. Kedainya dulu pun ramai juga pelanggannya kerana terletak di lokasi perindustrian. Jadi ramai pekerja pelabuhan dan kilang menjamu selera di kedainya.

Dahulu, seingat aku roti canai kosong dijual dengan harga RM0.40 sahaja. Murah! 

Roti canai dinikmati tak kira bangsa dan agama. Semua masyarakat menyukai roti canai. Makanan yang menyatukan. Menyatukan rakyat Malaysia.

Zaman dahulu, roti canai tidak banyak pilihan, hanya roti kosong dan roti telur. Jika memesan roti telur, secara automatik akan terdapat cili dan bawang di dalamnya. Jika tidak mahu cili dan bawang, perlu maklumkan dahulu kepada peniaga. Sekarang jika memesan roti telur, hanya ada telur sahaja, jika hendak tambah cili dan bawang perlu maklumkan dan ia dicas lain harga. Seterusnya wujud pula roti sardin. 

Zaman sekarang sudah banyak variasi roti canai. Sudah pelbagai antaranya roti bawang, roti pisang, roti tisu, roti sarang burung dan pelbagai lagi sehingga terdapat menu yang pelik-pelik. Jelas kini roti canai bergerak seiring perkembangan zaman.

Cukuplah sahaja coretan aku berkaitan roti canai. Majukan roti canai untuk Malaysia!!!
 

Saturday, September 9, 2023

Terima Kasih Semua



Bagi yang pernah terbaca post aku bulan lalu pasti perasan tentang kebakaran yang berlaku pada rumah aku yang terjadi pada 6 Ogos 2023. Satu musibah dan ujian daripada Allah SWT yang tidak mungkin dapat aku lupakan sepanjang hidup.

Selepas kejadian itu berlaku, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang perseorangan. Bantuan dari segi kewangan boleh dikatakan banyak juga yang aku perolehi . Aku sangat terharu dengan hati budi dan keikhlasan orang-orang yang membantu. Antara sumbangan dalam bentuk kewangan yang diterima ialah dari :

1. Adik beradik
2. Saudara mara 
3. Jiran tetangga 
4. Persatuan Penduduk Taman Pasir Emas 
5. Penduduk Kampung & Khariah Batang Tiga 
6. Masjid Al-Aminin, Klebang 
7. Sekolah, guru, ibu dan bapa murid (sekolah kebangsaan dan sekolah agama) 
8. Rakan-rakan sekerja dan rakan sekerja isteri 
9. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 
10. Kerajaan Negeri Melaka melalui JAPERUN 
11. Ahli Parlimen Tangga Batu
12. Rakan-rakan AKRAB MELAKA 
13. Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM 
14. Lain-lain lagi termasuk orang perseorangan. 

Mungkin ada lagi yang aku terlepas pandang. Sengaja aku catatkan penyumbang-penyumbang ini agar suatu hari nanti akan aku balas kembali kebaikan yang telah mereka dilakukan terhadap diri aku dan keluarga. 

Bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, jiran tetangga dah ahli keluarga turut bergotong-royong mengangkat barang-barang yang masih boleh digunakan untuk ditempatkan di rumah sebelah yang aku sewa untuk meletakkan barang-barang. 

Kebetulan di kiri dan kanan aku rumah masih belum dihuni oleh pemiliknya. Jadi, aku sewa untuk meletakkan barang-barang. Untuk menginap pula, aku menyewa sebuah lagi rumah di dalam taman perumahan aku. Sebenarnya rumah itu dibuat homestay, tapi pemiliknya berbesar hati menyewakannya kepada aku dengan harga sewaan bulanan dengan harga 'mampu bayar'.

Terima kasih semua! Sangat besar pengorbanan kalian dalam memberi sumbangan kepada aku dan keluarga. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa dan kebaikan yang telah kalian curahkan. Insya-Allah, setelah selesai semuanya, aku berhasrat untuk membuat kenduri doa selamat.

TERIMA KASIH SEMUA... 

Friday, September 8, 2023

Mee Bodo : Perlu Beratur Ambil Telur Goreng

Mee Bodo atau Mee Hassan (klik untuk melihat gambar Mee Bodo) menjadi salah salah sarapan kegemaran aku. Dulu agak jarang aku bersarapan di sini. Tapi kini agak kerap juga aku ke sini. Mee dia rasa ok lah. Kena dengan tekak aku.

Yang belum biasa ke sini, jangan risau kalau pelanggan ramai sebab layanannya cepat. Walaupun perlu beratur untuk mengambil telur goreng namun tidak mengambil masa yang lama. Beratur sebentar sahaja.



Biasanya, pelanggan yang datang pun tidak duduk lama. Selepas makan terus bayar dan pergi. Jadi yang menunggu pun tidak perlu menunggu lama. 

Pernah baru-baru ni aku menulis pasal Mee Bodo ini, boleh klik di sini untuk baca selanjutnya : KLIK 

Thursday, September 7, 2023

Masuk TV Majalah 3

4 September 2023 lalu, sekali lagi muka yang tak berapa nak handsome ni terpapar di kaca televisyen. Bukan berlakon drama, tetapi menjadi salah seorang individu yang ditemuramah untuk rancangan Majalah 3.

Episod kali ini adalah berjudul Kulinari Warisan Harmoni di mana memaparkan masakan kaum Melayu, Baba Nyonya dan Chetti yang menjadi warisan kaum masing-masing yang kekal hingga kini. Episod ini juga dirakam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Tak besar mana.. Besar ni je... 

Light, camera and action.. 

Makkk.. Fairus masuk TV... 

Sebelum ini, pernah juga beberapa kali muka aku keluar di kaca televisyen seperti di rancangan Jejak Rasul bersama hosnya Ahmad Fedtri Yahya dan Astro Oasis bagi rancangan Merentas Samudera ke Nusantara yang dihoskan oleh Zainal Ariffin Ismail.

Kenangan bersama Zainal Ariffin Ismail menjayakan rancangan Dari Samudera ke Nusantara 

Aku masuk televisyen ni pun bukanlah aku minta. Ini semua atas arahan big bos. Dia yang buat keputusan bagi mana-mana kakitangannya untuk membantu dalam apa-apa permohonan untuk ditemuramah bagi rakaman televisyen. Bukan aku nak sangat pun... 

Akan datang nantikan lagi kemunculan aku di kaca televisyen bagi rancangan Mercu. Tak pastilah bila ia akan ditayangkan. Mengikut penerbit, mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Nak lihat rakaman penuh Majalah 3 episod Kulinari Warisan Harmoni boleh klik di pautan Youtube ini : KLIK

Sunday, September 3, 2023

Sertai Pertandingan Bola Tampar

Aku sedari, aku bukanlah kaki bangku. 😄Aku boleh bermain banyak sukan. Boleh bermain bola sepak, sepak takraw, boling dan lain-lain lagi termasuk bola tampar. Namun hakikatnya aku tidaklah begitu handal seperti seorang superstar dalam bidang sukan.

Banyak juga pertandingan sukan yang pernah aku sertai sejak dari sekolah rendah hingga kini yang usia ku mencecah 42 tahun. Seingat aku, sukan pertama yang aku sertai dalam pertandingan ialah sepak takraw di mana aku pernah mewakili di sekolah rendah lewat tahun 80-an. 

Di sekolah menengah pula aku lebih pada bermain bola sepak. Mewakili sekolah hingga di tingkatan enam. Juga bermain kelab-kelab di kampung. Namun kini, sudah kurang bermain bola sepak kerana sudah malas nak berlari. Haha. 😆

Pada 2 September 2023 semalam, jabatan aku dijemput untuk menyertai pertandingan bola tampar tertutup daerah Jasin bagi merebut piala YB. Datuk Zaidi Attan yang juga merupakan Pengerusi tempat aku bekerja.

Sebenarnya, jabatan aku ni ramai yang dikategorikan sebagai otai. Umur masing-masing sudah 40 tahun ke atas dan ramai juga yang menanti hendak pencen. Jadi, yang nak bermain sukan pun orang-orang yang sama dan umur masing-masing makin meningkat. Jadinya, yang mana ada sahaja dijadikan pemain termasuklah aku. Namun ada tiga ke empat orang dalam pasukan yang berkemahiran dalam sukan ini. 

Jersi pun pinjam, itu pun bukan jersi bola tampar yang sebenar. Jersi bola tampar ada nombor di belakang dan hadapan. 


Bola tampar bukanlah permainan kebiasaan yang aku bermain, tapi asasnya aku ada. Boleh main, tapi tak berapa mahir. 

Main secara berkumpulan, dalam kumpulan kami mempunyai tiga pasukan. Pasukan-pasukan yang menyertai nampak begitu berpengalaman dengan gaya dan saiz badan masing-masing kecuali pasukan aku. 😅

Pasukan aku hanya menjadi pelengkap jadual. Dalam peringkat kumpulan, kedua-dua perlawanan kami kalah. Namun, tidak semudah yang disangka. Kami turut memberi tentangan yang hebat. Mata kemenangan pihak lawan dengan pasukan kami tidak jauh pun. Cuma kami tiada nasib sahaja. Latihan pun hanya dapat dijalankan sehari sahaja. 

Pertandingan ini dijalankan di luar bukan di dalam dewan. Jadi cuaca agak panas. Perlawanan pertama pasukan kami berlangsung kira-kira jam 10 pagi manakala perlawanan kedua pula tepat jam 12 tengah hari ketika matahari betul-betul tegak di atas kepala. Kulit muka, tangan pun menjadi kering dan gelap. 

Keletihan jelas terasa. Pulang dari pertandingan terus terlelap hingga ke petang. Tahu-tahu emak kejutkan "Fairus, dah sembahyang ke belum..?"

Saturday, September 2, 2023

Muzium Negara Sudah 60 Tahun. Tahniah!

1 September 2023 aku berkesempatan ke Muzium Negara. Dihantar mewakili jabatan atas jemputan Jabatan Muzium Malaysia (Malaysia). Kebetulan big bos ke Jakarta, jadi, aku diarahkan untuk mewakilinya ke majlis ini.

Seawal 5.30 pagi aku sudah bangkit dari tidur kerana telah berjanji dengan pemandu jabatan untuk bertolak dari Melaka ke Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 pagi. Belum pun azan subuh berkumandang aku telah keluar rumah dan mengerjakan solat Subuh di bilik pemandu di tempat kerja. 

Sebenarnya terdapat dua acara yang perlu aku hadiri. Pada jam 9.00 pagi ialah acara Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Muzium Negara manakala jam 9.00 malam pula acara Malam Apresiasi Media dan Rakan Strategik Muzium Negara. 

Aku tiba di Muzium Negara tepat pada masanya. Tidak terlalu cepat dan tidak lewat. Hadir, ambil tempat duduk dan tetamu kenamaan yang menjadi perasmi iaitu Menteri Perpaduan pun hadir tidak berapa lama selepas itu. Program pun berlalu depan cepat dan lancar. 

Selesai program, masih banyak masa yang perlu diisi bagi menunggu jam 9.00 malam. Apa lagi, aku mengajak pemandu jalan putar-putar Kota Raya Kuala Lumpur. Lalu di Chow Kit, Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi. Sambil-sambil melepak di satu, dua kedai makan bagi menghabiskan masa.

Sempat merakamkan mural Allahyarham Sudirman semasa melalui jalan di Chow Kit 

Lepak di kedai mamak pekena roti nan dan ayam tandoori 


Ikutkan, boleh saja menempah bilik hotel, tapi memandangkan ada program lain pada hari esok, jadi aku hanya menghabiskan masa dengan mengelilingi Kuala Lumpur. Aku pun dah lama tak ke Kuala Lumpur. 

Tatkala tengah hari aku pergi bersolat Jumaat di surau IPD Dang Wangi. Parkir agak jauh, kebetulan selepas berjalan menuju ke surau hujan pun turun. Lembab jugalah baju disimbah air hujan. Tiba di surau, ramai jemaah. Terdapat jemaah yang masih menanti untuk menyelitkan diri sebelum solat dimulakan. Aku mendengar khutbah sambil berdiri berdekatan pili mengambil wuduk. 

Apabila bilal mula melaungkan iqamat, maka berduyun-duyun jemaah mula bergerak mengambil kedudukan saf. Aku dapat saf di bahagian luar, tapi terlalu sempit dan rapat. Semasa rukuk kepala akan tersentuh punggung jemaah di hadapan. Semasa duduk pun tidak dapat melakukan dengan sempurna. Habis solat Jumaat aku sambung, jamak takdim. 

Apabila mentari melabuhkan tirai, aku singgah ke Masjid Negara untuk membersihkan diri sambil mengenakan pakaian baharu untuk mengikut tema pemakaian majlis iaitu hitam dan emas. Kemudian aku menunaikan solat Maghrib dan jamak takdim. Seterusnya ke Muzium Negara sekali lagi untuk menghadiri jemputan majlis. 

Hampir tidak ingat bila kali terakhir ke Masjid Negara 


Seperti biasa, majlis dimulakan dengan ucap-ucapan oleh orang-orang kenamaan. Tetamu kenamaan yang merasmikan majlis adalah Timbalan Setiausaha Kementerian Perpaduan. Kenapa Kementerian Perpaduan? Dahulu muzium diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan namun kerajaan terkini meletakkan muzium di bawah Kementerian Perpaduan. 

Setelah habis sesi ucapan, terdapat persembahan artis iaitu Zamani Slam. Zamani telah menyumbangkan empat buah lagu malar segar menjadi penyedap halwa telinga. Ketika nyanyian berlangsung, para tetamu menikmati hidangan yang disediakan. 

Menghampiri ke penghujung majlis, acara penyampaian pula diadakan. Masa ini aku turut dipanggil ke atas pentas bagi menerima sijil dan plak penghargaan sebagai rakan strategik Muzium Negara. 

Mewakili jabatan menerima penghargaan dan plak



Demikianlah sedikit coretan aku sehari menghadiri program di Kuala Lumpur. Di kesempatan ini juga suka aku ingin berkongsi sekilas pandang sejarah Muzium Negara yang kini berusia 60 Tahun.

* * * * *

Idea penubuhan Muzium Negara telah dicetuskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Beliau berpendapat, Tanah Melayu (pada ketika itu) memerlukan sebuah muzium yang beridentiti nasional untuk menterjemahkan kepelbagaian aspek budaya, warisan dan alam semulajadi negara. 

Oleh yang demikian, tapak bangunan Muzium Selangor (1906-1945) yang telah roboh akibat serangan bom Tentera Udara Pihak Berikat pada 10 Mac 1945 telah dipilih sebagai lokasi pembinaan Muzium Negara.

Kerja-kerja pembangunan Muzium Negara telah mula dilaksanakan pada tahun 1959 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 1963. Reka bentuk bangunan Muzium Negara ini telah diterjemahkan oleh arkitek yang telah dilantik iaitu Encik Ho Kok Hoe berdasarkan ciri-ciri seni bina istana Raja-raja Melayu. Uniknya pada ketika itu, Muzium Negara merupakan satu-satunya bangunan kerajaan yang beridentitikan seni bina Melayu tradisional. 

Keunikan Muzium Negara tidak hanya terlihat pada seni binanya sahaja, tetapi turut terpapar pada permukaan dinding hadapannya yang dihiasi dengan dua buah mural diperbuat daripada kaca mozek Itali. Mural-mural tersebut yang memaparkan rentetan sejarah dan kraftangan Malaysia ini telah dihasilkan oleh Encik Laitong Cheong yang merupakan antara pelukis terkenal Malaysia.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah menyempurnakan upacara perasmian Muzium Negara pada tanggal 31 Ogos 1963. 

Pada tanggal 11 Ogos 2015, Muzium Negara telah menerima pengiktirafan sebagai bangunan warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sumber : laman sesawang Jabatan Muzium Malaysia (JMM)