Thursday, August 31, 2023

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan | Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Kali ke-66 Tahun



Merdeka! Tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66 dengan semangat yang membara dan penuh cinta tanah air. Sejak merdeka pada tahun 1957. Malaysia terus memancarkan gemilangnya di dunia, menjadi bukti kekuatan perpaduan dan kepelbagaian.

Melangkah maju dengan cita-cita yang tinggi, kita menelusuri perjalanan sejarah yang telah membentuk negara kita menjadi tempat di mana kepelbagaian budaya, bahasa, dan agama berpadu harmoni. Kita adalah bangsa yang berdiri teguh di atas asas penyatuan, menjulang dengan semangat patriotik yang tak tergoyah.

Sebagai warganegara Malaysia, marilah kita bersatu hati dan bekerjasama untuk membangun masa depan yang lebih cerah. Mari kita terus memupuk semangat bersatu padu, menghormati sejarah kita dan melangkah ke hadapan dengan tekad yang kuat. Kita adalah pelukis takdir bangsa ini dan melalui usaha bersama, kita mampu mewujudkan impian dan cita-cita untuk generasi akan datang. 

Jadikanlah Hari Kebangsaan ini sebagai titik tolak bagi kita semua untuk terus mengukir sejarah kebangsaan yang lebih megah dan membangun Malaysia yang lebih makmur. Semangat patriotik kita haruslah membara dalam setiap tindakan dan usaha kita, membawa kemajuan, harmoni dan kemakmuran kepada setiap sudut negara tercinta ini.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-66. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Friday, August 25, 2023

Facebook Boleh Membaca Minda Manusia?

Nak dijadikan cerita, aku berhasrat menamakan anak-anak kucing aku yang masih belum sempat aku berikan nama. Sambil mendukung seekor anak kucing yang paling aku sukai, aku bertanya kepada isteri dan anak-anakku, "hari ini ayah nak menamakan kucing ini.. apa nama nak diberikan?" Anak perempuan pula yang menyahut "mesti ada huruf F macam nama anak-anak ayah."

Lantas terlintas dalam benak fikiran aku untuk menamakannya sebagai Frodo. Satu watak di dalam filem Lord of the Ring. "Ya Frodo.. Mulai hari ini kita panggil dia Frodo", kataku kepada mereka dan mereka setuju sahaja.

Dalam beberapa minit selepas itu, aku membuka komputer riba untuk melayari Blog dan Facebook. Sedang aku scroll facebook, tak semena-mena keluar gambar Frodo dan Gandalf. Aik! Facebook ni macam tahu-tahu saja aku baru saja sebut pasal Frodo. Sebelum itu tiada pula aku membuat sebarang carian pasal Frodo mahupun filem Lord of the Ring. Lantas aku membawa komputer riba menunjukkan kepada isteriku, "tengok ni... Kita baru sebut nama Frodo, tiba-tiba gambar Frodo ada pada Facebook ayah".

Adakah ini suratan atau kebetulan? Ajaib juga.

Frodo dan Gandalf

Apabila melihat Gandalf bersama Frodo, aku berhasrat menamakan seekor lagi anak kucing dengan nama Gandalf. Amat sesuai namanya kerana anak kucing tersebut tempang kakinya sejak lahir akibat tersangkut pada sangkar. Sesuai dengan Gandalf yang bertongkat. 

Dah.. Dah.. Jangan fikir yang bukan-bukan. Takkanlah Facebook boleh membaca minda manusia. Itu semua hanya kebetulan. 

Hidupkan Insurans | Takaful Yang Nak Mati!!!


Satu-satunya makhluk yang mati tidak ditanam tetapi perlu dihidupkan semula! Apa lagi kalau bukan Insurans (Takaful) kenderaan. Kalau Insurans (Takaful) anda akan mati atau telah mati, jangan segan, jangan malu untuk hubungi saya yang berkebolehan untuk menghidupkan orang Insurans (Takaful) yang telah @ akan mati.

Dapatkan sebut harga PERCUMA di sini > TAKAFUL KENDERAAN < dan kita bincang sampai jadi. Kalau mahal, kita kurangkan mana yang tak perlu. Kalau murah, kita tambah apa yang perlu. 

Sekarang sudah mudah. Tak perlu lagi nak ke sana, ke sini. Saya bantu menghidupkan Insurans (Takaful) anda secara dalam talian. Jangan lupa dapatkan sebut harga PERCUMA di sini > TAKAFUL KENDERAAN <

Mudahnya Melabur Bersama RAIZ



APA ITU PELABURAN RAIZ?

Pelaburan Raiz merupakan satu platform pelaburan mikro yang membolehkan individu melabur jumlah wang yang kecil secara automatik dalam pelbagai jenis instrumen kewangan seperti saham, bon, dan dana indeks. Matlamat platform ini adalah untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh mereka yang tidak mempunyai modal besar untuk dilaburkan. Raiz merupakan platform yang dibangunkan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Cara platform Pelaburan Raiz berfungsi adalah seperti berikut :

Pendaftaran
Pengguna mendaftar di platform Raiz dan menghubungkan akaun bank mereka.

Pembundaran Pembelian
Setiap kali pengguna membuat pembelian dengan akaun bank yang dihubungkan, Raiz akan membundarkan jumlah pembelian kepada nilai yang lebih tinggi (sebagai contoh, jika pembelian adalah RM4.50, Raiz akan membulatkan kepada RM5.00) dan melaburkan perbezaan tersebut (RM0.50 sen) dalam portfolio pelaburan pengguna.

Pilihan Portofolio
Pengguna memilih portfolio pelaburan yang sesuai dengan tahap risiko dan matlamat pelaburan mereka. Portofolio ini boleh mengandungi pelbagai jenis instrumen kewangan seperti saham syarikat besar, bon, dan dana indeks yang melabur secara kolektif dalam pasaran saham.

Pelaburan Automatik
Setiap kali terdapat jumlah dana yang mencukupi daripada pembulatan pembelian, Raiz secara automatik melaburkan wang tersebut dalam portfolio yang dipilih oleh pengguna.

Pengurusan Portfolio
Raiz menguruskan portfolio pelaburan pengguna dengan menyesuaikan pengagihan aset mengikut keadaan pasaran dan objektif pelaburan.

Muat turun aplikasi dan daftar di sini : Raiz 

KELEBIHAN PELABUHAN MENERUSI APLIKASI RAIZ

Mudah Digunakan
Antara muka Raiz direka untuk kemudahan penggunaan, sesuai untuk pelabur yang baru mula dan tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang pelaburan.

Pelaburan Automatik
Kaedah pembundaran transaksi Raiz membolehkan anda melaburkan "baki" dari transaksi harian anda, seperti pembelian kopi atau makan tengahari, yang kemudiannya boleh berkumpul menjadi jumlah yang mencukupi untuk dilaburkan.

Pelaburan Pelbagai Aset Automatik
Raiz akan melaburkan dana anda dalam pelaburan pelbagai aset yang telah dicorakkan dengan baik, membantu mengurangkan risiko pelaburan secara keseluruhan.

Akses kepada Pelaburan Biasanya Mahal
Melalui Raiz, anda dapat mengakses pelbagai jenis pelaburan seperti saham dan bon dengan jumlah permulaan yang relatif rendah.

Pilihan Untuk Melabur Semula Dividen
Dividen yang diperolehi daripada pelaburan anda boleh dilabur semula secara automatik, membolehkan anda memanfaatkan kesan kumpulan dan potensi pertumbuhan pelaburan anda.

Pendidikan Kewangan
Raiz menyediakan sumber pendidikan kewangan dan pelaburan, membantu anda memahami bagaimana pasaran kewangan berfungsi dan cara menguruskan pelaburan anda.

Kecekapan
Pelaburan anda di platform Raiz cenderung lebih cair daripada beberapa pelaburan tradisional seperti hartanah. Ini bermaksud anda boleh mengakses dana anda dengan lebih mudah jika diperlukan.

Penyesuaian Pelaburan untuk Matlamat
Platform ini membolehkan anda menetapkan matlamat kewangan anda, seperti persaraan atau percutian, dan mengagihkan pelaburan anda mengikut matlamat tersebut.

Namun, perlu diingatkan bahawa semua jenis pelaburan mempunyai risiko, termasuk melalui platform Raiz. Nilai pelaburan anda boleh berubah-ubah berdasarkan prestasi pasaran. Sentiasa lakukan penyelidikan yang lebih mendalam, fahami strategi pelaburan, dan pertimbangkan matlamat kewangan anda sebelum membuat keputusan pelaburan. Juga, pastikan maklumat ini masih relevan pada masa anda membacanya, kerana platform dan produk kewangan boleh berubah dari masa ke masa.

Muat turun aplikasi dan daftar di sini : Raiz

* * * * *

Menabung sedikit-sedikit sambil dilaburkan secara automatik

Aku tetapkan tabungan sebanyak RM5 seminggu

Pembelian menggunakan kad debit akan dibundarkan

Muat turun aplikasi dan daftar di sini : Raiz

Thursday, August 24, 2023

Poster | Tema | Logo Sambutan Hari Kebangsaan 2023 | Sambutan Hari Merdeka Ke-66 Tahun

Sempena hendak menyambut Hari Kebangsaan kali ke-66 tahun 2023 yang bakal menjelma, aku meluangkan sedikit masa untuk mereka bentuk beberapa poster ucapan Selamat Hari Kebangsaan dengan menggunakan laman sesawang postermywall

Bagi sesiapa yang ingin membuat poster ucapan Selamat Hari Kebangsaan bolehlah mencuba dengan menggunakan lama sesawang tersebut. Atau boleh sahaja menggunakan mana-mana poster di bawah ini dengan hanya memasukkan nama kalian sendiri.






Bagi tahun 2023 ini, tema bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ialah Malaysia Madani : Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Manakala logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan 2023 adalah seperti di bawah ini.




Jangan Jadi Bangsat!!!

Ogos 1511 jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis. Sebuah kisah sedih yang harus dikenang. Pembinaan negara bangsa dari Kesultanan Melayu Melaka habis lenyap kesemuanya.

Batu Nisan Sultan Mansur Syah di Muzium Sejarah Melaka


Namun, apa yang lebih menyakitkan hati, apabila terdapat segelintir warga yang menyatakan bahawa tanpa penjajahan, Melaka tidak terkenal seperti sekarang, Melaka tiada sumber dan hanya bergantung kepada sektor pelancongan, malah ada yang menyatakan Melaka adalah bandar mati!

Yang matikan Melaka adalah penjajah! Tidakkah kalian belajar dari sejarah? Dahulu sebelum datangnya era penjajahan, Melaka sudah sedia terkenal. Ia bukanlah sebuah negeri, tetapi sebuah empayar. Empayar yang sebahagian besarnya meliputi segenap nusantara.

Penulis luar juga menyatakan bahawa Melaka ini merupakan "Venice di sebelah Timur", sebuah emporium menghubungkan Timur dan Barat. Di pelabuhan Melaka terdapat 84 bahasa dipertuturkan, lihat betapa gahnya Melaka ketika itu.

Melaka juga mempunyai undang-undang yang tersendiri. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menunjukkan bahawa Melaka adalah sebuah empayar yang mempunyai pemerintahan yang bersistematik, adil dan saksama.

Terdapat juga manuskrip-manuskrip Melayu yang memerihalkan kehebatan Melaka, antaranya Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah di mana 2 teks karya agung ini melihatkan keintelektualan masyarakat tempatan setanding negara Barat yang dikatakan lebih maju itu.

Tak perlulah diterangkan lagi perihal kehebatan empayar Melaka dengan panjang lebar. Seharusnya kalian sudah sedia tahu.

446 tahun Melaka dijajah! Betapa sakitnya hati para pejuang-pejuang terdahulu apabila terdapat segelintir warga yang memperlekehkan perjuangan mereka, malah disanjung pula penjajah.

Yang mana kuat memperlekehkan di mana tempat kakinya berpijak, eloklah kiranya pulang semula dari mana arahnya datang!

Wednesday, August 23, 2023

Masuk Majalah 3 Pulak!

Baru sahaja semalam terlibat dengan penggambaran untuk rancangan di RTM, hari ini pun ada penggambaran lagi, kali ini untuk TV3 pula. Penggambaran ini adalah untuk rancangan Majalah 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Bergambar kenangan bersama penerbit Majalah 3, Asyraf Naqiuddin

Macam biasa. Apabila bos sudah arahkan untuk membantu, aku patuh pada arahan. Barangkali bos-bos semua sibuk, jadi aku yang bukan bos ni perlu menghadapi situasi ini iaitu di temuramah oleh stesen televisyen. 

Temuramah kali ini melibatkan hal-hal berkaitan perpaduan antara kaum di Melaka khususnya Melayu, Cina dan India dengan menelusuri kembali keeratan perpaduan di zaman Kesultanan Melayu Melaka, migrasi kaum sehingga berlaku asimilasi budaya dan warisan bersama penduduk asal semenanjung Tanah Melayu dan lain-lainnya. 

Nanti, jangan lupa menonton rancangan Majalah 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan negara tahun 2023 ini. 

Lihat juga :




Gembira dapat berkenalan dengan individu dari berlainan disiplin pekerjaan

Tuesday, August 22, 2023

Bakal ke Kaca Televisyen Sekali Lagi?

Pada hari ini, aku berpeluang membantu menjayakan pengambaran rancangan televisyen bertajuk "Mercu". Rancangan ini dijadualkan untuk ditayangkan di saluran RTM menjelang penghujung tahun 2023 atau awal tahun 2024. 

Mercu merupakan sebuah rancangan santai 13 episod yang memaparkan bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda bagi negeri-negeri di Malaysia. Di Melaka, bangunan Stadthuys yang menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi menjadi salah satu episod bagi rancangan ini. Justeru, bos telah mengarahkan aku untuk membantu menjayakan pengambaran ini.

Dalam pengambaran ini, aku telah ditemubual oleh Anas Ridzuan yang memainkan peranannya sebagai pengacara rancangan. Banyak jugalah soalan-soalan yang ditanyakan, namun aku rasa macam tak puas bercakap. Banyak lagi yang aku boleh terang dan jelaskan tapi mungkin kerana masa tayangannya tak lama, jadi hanya babak-babak yang pendek sahaja temubual dijalankan.

Pengalaman membantu menjayakan pengambaran rancangan Mercu adalah satu perjalanan yang berharga bagi diri aku walaupun pengambarannya hanya seketika iaitu kira-kira 2 jam. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan tunjang utama dalam menjayakan satu-satu hal dalam memastikan masyarakat dapat turut mendapat maklumat yang betul lagi tepat.



Bersama Anas Ridzuan, pengacara Mercu

Bersama kru pengambaran

Tuesday, August 8, 2023

Rumah Terbakar : Aku Redha dengan Ujian Allah SWT






Tanggal 6 Ogos 2023 (Ahad) merupakan hari sejarah pahit bagiku, namun aku redha dengan ketentuan dan ujian daripada Allah SWT. Kira-kira jam 10.30 pagi, rumah yang aku duduki baru kira-kira 4 tahun telah mengalami kebakaran. Tarikh ini juga merupakan hari lahir anakku yang ketiga yang kini berusia 8 tahun. 

Kebakaran berpunca dari bilik nombor 4, namun pada ketika ini, siasatan masih berjalan dan laporan penyiasatan masih belum aku perolehi dari pihak bomba. Mungkin esok atau lusa baru mendapat laporannya. 

Aku bersyukur kerana anak-anak dan anak-anak buah yang aku tinggalkan sempat keluar menyelamatkan diri. Ketika itu aku tinggalkan mereka untuk pergi  bersarapan di kedai tidak jauh dari rumah. Pada awalnya, aku mengajak mereka, tetapi mereka tidak mahu ikut. Jadi aku dan isteri dan anak bongsu sahaja yang pergi keluar bersarapan.

Baru sahaja air yang aku pesan sampai, tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada anak buah menyatakan rumah terbakar. Lantas aku mendapatkan kereta untuk pulang. Sempat aku melihat cctv di dalam telefon bimbit dan kelihatan asap hitam berkepul-kepul keluar dari dalam rumah. Isteri pula segera menelefon bomba. Dalam masa yang sama, jiran aku turut menghubungi aku menyatakan hal yang sama iaitu rumahku terbakar dan beliau juga telah menghubungi pihak bomba. 

Sampai sahaja di rumah, aku melihat asap hitam keluar di segenap ruang yang terbuka. Ketika ini jentera bomba belum tiba lagi. Ingin aku masuk untuk menyelamatkan apa yang perlu, tapi asap hitam membantutkan hasrat aku. Aku cuma dapat mencapai kunci kereta dan motor yang terletak di tepi pintu untuk mengeluarkannya dari dalam halaman rumah. 

Dari luar kedengaran bunyi kaca-kaca berderai. Aku hanya mampu melihatnya sahaja. Jentera bomba tiba dalam pukul 10.55 pagi dan segera memadamkan kebakaran. Sebentar sahaja pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran. 

Walaupun kebakaran hanya melibatkan bilik nombor 4, namun akibat daripada itu hampir seluruh rumah dipenuhi jelaga hitam di lantai, dinding dan syiling. Kesan teruk nyata kelihatan di bilik nombor 4 di mana dinding merekah dan pecah, lantai seramik pecah, struktur bumbung meleding hingga atap hampir roboh. 

Di ruang tamu dan ruang makan juga menerima tahap kepanasan hingga pendingin udara, kipas syiling dan alatan dari plastik hampir cair. Lantai seramik di bahagian dapur juga terbongkar dan pecah.

Tiada apa yang dapat aku katakan. Aku redha dengan ujian yang Allah SWT berikan ini dan aku amat bersyukur kerana ahli keluargaku semuanya selamat dari bencana ini. 

Sehinggalah kini aku masih belum mengusik apa-apa barang dari rumah. Hanya mengambil pakaian, dokumen penting dan barang-barang persekolahan anak-anak. Aku telah berurusan dengan pihak insurans bagi mentafsir kerugian. Pada ketika ini aku menumpang di rumah mak aku. 

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan sekalian ahli keluargaku. 

Thursday, August 3, 2023

2024 Tahun Melawat Melaka

Dengan slogan "Mana lagi? Melaka ler...!" bakal menggamit kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka pada tahun hadapan. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka telah pun melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan menyasarkan kunjungan pelancong seramai 19.7 juta orang.

Sebagai rakyat Melaka dan bertugas di dalam sektor pelancongan, aku amat mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri Hang Tuah ini.

Sebenarnya, jika dilihat keadaan sektor pelancongan di negeri Melaka sekarang, pada pemerhatian aku ia sudah kembali rancak seperti era sebelum pandemik covid-19. Bukan sahaja pada hujung minggu atau cuti umum, pada hari biasa pun, Melaka khususnya di Bandar Hilir dipenuhi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Kadangkala terfikir juga aku, mereka ni tak bekerja ke? 🤔



Risau akan jalan raya sesak? Usah bimbang sangat. Ia adalah perkara biasa bagi lokasi pelancongan. Bukan di Melaka sahaja, negeri-negeri lain pun sama sesak di kawasan tumpuan pelancong.

Justeru, jangan serik datang ke Melaka. Orang Melaka sentiasa menanti kehadiran anda semua. Dan jangan lupa, kunjungilah muzium. 😊

Kapal dagang dari seberang, 
sarat muatan kayu meranti;
dari jauh tuan puan datang, 
orang Melaka sedia menanti. 

Mee Bodo Tengkera : Ringkas dan Sedap

Tengkera merupakan laluan pergi balik aku dari rumah ke tempat kerja. Bukan setakat ke tempat kerja, anak-anak aku juga bersekolah melalui laluan tersebut. Seorang di SK Tengkera 1 dan seorang lagi di MGS 2. Jadi aku akan melalui kedai makan Mee Bodo Tengkera yang termasyhur di Melaka sejak 1969.

Nak kata aku sering ke kedai Mee Bodo tak juga. Tapi jarang-jarang. Walau jarang-jarang, apabila melalui kedai ini pastinya di kepala otak terlintas rasa keenakan Mee Bodo atau juga dikenali sebagai Mee Hassan.

Nampak macam biasa-biasa saja, tetapi luar biasa 
Mee gorengnya ringkas sahaja. Ada mee, taugeh, sambal dan timun. Yang lebih sedap lagi ialah telur yang digoreng dengan menggunakan campuran sambal. Yummyyy.

Harganya kalau tak silap RM3.00 sepinggan. Dan telur goreng RM1.50 sebiji. Kalau dua biji telur RM3.00 le. Biasa aku makan, dua biji telur sekali makan.

Beratur untuk mendapatkan telur goreng segar dari dalam kuali 
Walaupun kedainya selalu ramai, tetapi tempoh menunggu tidaklah lama. Cuma telur goreng sahaja perlu beratur dan ambil sendiri. Mee dan air akan diambil pesanan dan akan dihantar. Bayar pula di kaunter. 

Kalau orang luar Melaka yang masih belum merasai Mee Bodo Tengkera, bolehlah cuba. Cari sahaja melalui Waze, pasti akan jumpa. Jangan datang hari Khamis pula pasal kedainya tutup pada setiap hari Khamis. 

Wednesday, August 2, 2023

Lawatan Kerja ke Makassar, Indonesia

Pada 24 hingga 27 Julai 2023 lalu aku berpeluang ke Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia bagi mengikuti beberapa program iaitu seminar, mesyuarat dan lawatan kerja. Lawatan diaturkan oleh jabatan aku yang disertai delegasi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Hari pertama dan keempat hanyalah melibatkan perjalanan pergi dan pulang manakala dua hari lagi dipenuhi dengan program yang dirancang di mana hari kedua adalah seminar dan mesyuarat manakala hari kedua adalah lawatan kerja.

Seminar berlangsung di Universitas Negeri Makassar (UNM) dengan tajuk International Talk on Architecture Heritage and Culture Between Malaysia and Indonesia 2023.Kemudian diikuti dengan mesyuarat antara bagi membincangkan kolaborasi yang boleh diadakan bersama bagi kedua-dua belah pihak.

Hari berikutnya merupakan lawatan kerja. Terdapat beberapa lokasi bersejarah yang dilawati antaranya Fort Rotterdam, Museum Karaeng Pattingalloang, Benteng Somba Opu, Makam raja-raja di Katangka dan beberapa lagi tempat bersejarah.

Bab makan di sana, memang agak mewah. Pelbagai makanan tradisi Makassar yang telah aku rasai. Kebanyakkan adalah makanan laut. Tak lupa juga menikmati Nasi Padang di sana. Makanan di sana enak-enak juga namun 2 hari perut aku tidak selesa, takut-takut tersalah makan. Sempat juga aku pergi membeli ubat di apotek (farmasi). Selepas makan ubat, barulah selesa sedikit.

Di Makassar bagi aku terkenal dengan 2 perkara iaitu Bugis di mana kebanyakkan orang di Makassar ialah berketurunan Bugis. Satu lagi ialah pinisi iaitu kapal tradisi masyarakat Makassar.


Bergambar kenangan di hadapan Menara Pinisi, Universitas Negeri Makassar

Benteng Somba Opu, kubu pertahanan kerajaan Gowa

Hanya dapat seketika berada di Makam Raja-raja di Katangka. Tak sempat nak teliti pemilik makam


Tuesday, August 1, 2023

Membantu Pelajar PhD dari China Membuat Penyelidikan

Walaupun aku telah bertukar dari Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi ke Bahagian Pengurusan Muzium namun aku masih membantu para penyelidik yang memerlukan bantuan bagi mendapatkan maklumat untuk kajian mereka. Atas tanggungjawab, aku tetap akan membantu kerana bagi aku, apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita, Insya-Allah.

Tak berapa lama dahulu, pernah aku membantu seorang pelajar Sarjana bagi mendapatkan maklumat tentang jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku di temuduga dengan beberapa soalan, aku juga dengan senang hati melayannya dengan baik bahkan memberikan penerangan, memberikan laporan dan gambar-gambar berkaitan di samping mengeluarkan segala artifak yang tersimpan di dalam repositori untuk ditatapi oleh pelajar tersebut bagi tujuan penyelidikan. Apabila hendak mendapatkan informasi lanjut, beliau masih bertanya kepada aku melalui panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp

Apa yang membuat hati aku terharu, selepas beberapa bulan beliau whatsapp  kepada aku meminta izin untuk menamakan aku sebagai penulis bersama (co-writer) bagi penulisan jurnalnya. Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.



Hari ini seorang lagi, iaitu pelajar PhD dari China yang belajar di universiti tempatan telah aku santuni. Juga membuat kajian berkisar kepada jumpaan artifak di Pulau Melaka. Aku telah mengeluarkan artifak-artifak dalam simpanan untuk penyelidikan beliau dan turut membawanya ke tapak ekskavasi bagi menunjukkan lokasi artifak-artifak ditemui.

Selesai lawatan ke tapak ekskavasi, beliau mempelawa aku untuk makan tengah hari, namun aku menolaknya dengan baik.

* * * * *

Sebenarnya telah agak lama aku tidak mengemaskini blog. Kehilangannya buah fikiran untuk menulis di samping tugas-tugas yang tiada penghujungnya di pejabat membuatkan aku lelah namun aku tetap suka akan pekerjaan ku.

Aku berusaha menulis semula secara harian sama ada panjang atau ringkas catatan harian ku yang boleh diabadikan untuk rujukan diri aku sendiri pada masa akan datang. 

😎🤘🏼