Sunday, May 28, 2023

Cerita Seorang Suami Yang Suka Membasuh, Menjemur dan Melipat Pakaian

Tugas-tugas di dalam rumah tangga tidak terikat pada mana-mana sama ada suami, isteri mahupun anak-anak. Tugasan di rumah adalah tanggungjawab bersama. Tidak ada peraturan yang menyatakan suami tidak boleh membantu isteri membasuh, menjemur atau melipat pakaian. Walaupun berperanan sebagai ketua keluarga, suami masih perlu membantu hal-hal lain di rumah. 

Gambar sekadar hiasan 😄


Perlu kita fahami bahawa peranan isi rumah adalah sering berubah seiring dengan perubahan zaman. Zaman sekarang bukan suami sahaja yang bekerja, namun isteri juga bekerja untuk sama-sama membantu keluarga. Justeru, kerja-kerja di rumah perlu dibahagi-bahagikan secara adil mengikut kesepakatan bersama dan kelapangan masa pasangan masing-masing. 

Adalah penting untuk kita sering berkomunikasi dengan baik sesama pasangan bagi pembahagian tugas-tugas di rumah. Ini perlu bagi mewujudkan kerjasama, kesepakatan dan kemampuan masing-masing bagi memastikan keadaan di dalam rumah dan persekitaran dalam keadaan teratur seterusnya mewujudkan suasana yang damai.

Aku secara peribadi memang dilahirkan dengan suka atau gemar mengemas. Dari kecil aku dilatih oleh emak dan sememangnya aku tidak kekok untuk melaksanakan segala tugasan sehinggalah perangai tersebut terbawa-bawa sampai sekarang walaupun sudah berumah tangga.

Membasuh, menjemur dan melipat pakaian bukan asing bagi aku. Dan aku sendiri tak suka melihat pakaian yang bersepah-sepah. Jadi, tanpa perlu menyuruh sesiapa, aku sendiri yang akan mengemas sendiri. Menjadi rutin aku, duduk di belakang rumah, mengangkat baju yang telah dijemur terus dilipat dan disusun di almari atau rak pakaian.

Sekian, cerita seorang suami yang suka membasuh, menjemur dan melipat pakaian. 😊😊😊 

Wednesday, May 24, 2023

Peranan Tun Kudu di Zaman Kesultanan Melayu Melaka

Dalam sejarah dunia terdapat beberapa orang wanita yang memainkan peranan penting dalam negaranya seperti Hua Mulan (China), Ratu Elizabeth I (England), Kleopatra (Mesir), Catherine Yang Termasyur (Rusia) dan lain-lain lagi. Namun, sejarah dalam negara kita juga tidak kurang hebatnya apabila turut mempunyai wanita-wanita yang memainkan peranan penting khususnya di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara wanita-wanita tersebut seperti Tun Fatimah, Tun Teja, Hang Li Po, Raden Galuh Cendera Kirana dan tidak ketinggalan Tun Kudu.



Tun Kudu merupakan anak kepada Bendahara Seri Wak Raja dan adik kepada Tun Perak. Beliau merupakan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Syah iaitu Sultan yang memerintah Melaka pada tahun 1446 hingga 1459. Tun Kudu adalah seorang wanita mempunyai rupa paras yang baik.

Peranan Tun Kudu dianggap penting di zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana telah menyelesaikan masalah politik antara sesama pembesar Melaka iaitu Tun Ali dan Tun Perak. Tun Ali merupakan bapa saudara kepada Sultan Muzaffar Syah. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan Sultan Muzaffar Syah ke atas takhta kerajaan Melaka. Selepas kemangkatan Bendahara Seri Wak Raja, Tun Ali dijadikan sebagai Bendahara dengan gelaran Seri Nara Diraja. Namun, pelantikan ini menyebabkan berlakunya krisis politik antara Bendahara Seri Nara Diraja dan Tun Perak dengan kedua-dua pembesar ini bersama pengikut-pengikutnya tidak dapat bermuafakat.

Oleh hal demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mencari jalan bagi mendamaikan kedua-dua pembesar. Baginda sultan telah mencadangkan agar Bendahara Seri Nara Diraja bersara dan dibenarkan memperisterikan dengan seorang gundik sultan. Bendahara Seri Nara Diraja bersetuju untuk bersara dengan namun dengan syarat Tun Kudu dijadikan sebagai isterinya.

Baginda sultan bersetuju lalu menceraikan Tun Kudu dan menyerahkannya kepada Bendahara Seri Nara Diraja untuk dijadikan sebagai isteri. Kemudian, Tun Perak pula dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja. Hal ini telah berjaya mengatasi krisis politik di Melaka. Bendahara Paduka Raja Tun Perak seterusnya menjadi seorang Bendahara yang cemerlang dengan berkhidmat bersama empat orang sultan bermula di zaman Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan di awal zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

Kisah ini menggambarkan pengorbanan Tun Kudu yang rela diceraikan oleh Sultan Muzaffar Syah dan kemudiannya bersuamikan Tun Ali iaitu seorang tua. Turut digambarkan bahawa Tun Kudu sanggup bercerai demi untuk menaikkan abangnya Tun Perak sebagai Bendahara Melaka. Pengorbanan Tun Kudu dilihat adalah semata-mata demi mengembalikan kestabilan politik di Melaka.

Saturday, May 20, 2023

Tips Untuk Mudah Bangun Tidur Awal



Ada kalanya kita sukar untuk bangun tidur di awal pagi. Mulalah kelam-kabut nak mandi, solat subuh, menggosok baju, sarapan dan lain-lain hal sebelum pergi kerja. Itu belum lagi nak berkejaran ke tempat kerja dengan menempuh kesesakan lalu lintas. Memang angin satu badan dibuatnya.

Namun, itu semua boleh diatasi jika kita tekad dan mendisiplinkan diri untuk bangun tidur awal. Seronok sebenarnya andai dapat bangun tidur awal kerana segala pekerjaan atau perbuatan selepas bangun dari tidur dapat dilakukan dengan tenang-tenang saja.

Jadi, apabila aku jenguk beberapa tips yang terdapat di dalam halaman maya, aku kira ini antara tips-tips yang boleh kita semua praktikan bersama untuk mudah bangun tidur di awal pagi :

1. TETAPKAN JADUAL TIDUR YANG KONSISTEN
Cuba usahakan sehabis baik untuk tidur dan bangun tidur pada waktu yang sama pada setiap hari termasuk waktu di hujung minggu. Jika kita berjaya melakukan ini, insyaAllah, ia akan menjadi kebiasaan. Bangun tidur di awal dan konsisten akan membuatkan kita berasa lebih segar dan bertenaga ketikan bangkit dari tidur.

2. ELAKKAN MINUM KOPI SEBELUM TIDUR
Kopi dan minuman lain yang mengandungi kafien perlu dielakkan dari diminum beberapa jam sebelum tidur. Minuman ini akan menganggu kualiti tidur seterusnya menyukarkan kita untuk bangun awal di waktu pagi.

3. CIPTA SUASANA YANG SELESA
Pastikan di dalam bilik tidur mempunyai ciri-ciri yang tenang, gelap dam sejuk. Gunakan langsir atau penutup mata bagi mengelakkan cahaya terang yang mengganggu tidur. Pastikan juga tilam dan bantal yang digunakan adalah selesa bagi memberikan tidur yang berkualiti.

4. ELAKKAN PENGGUNAAN GADGET SEBELUM TIDUR
Cahaya yang terdapat pada gadget akan menganggu hormon yang mengatur tidur. Elakkan menggunakan gadget seperti telefon bimbit, komputer riba atau tablet sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.

5. LAKUKAN ISTIRAHAT SEBELUM TIDUR
Cuba lakukan aktiviti istirahat sebelum tidur seperti membaca buku, mendengar muzik yang menenangkan atau melakukan meditasi. Ini dapat membantu merehatkan jiwa dan minda seterusnya tubuh badan bersedia untuk tidur.

6. ELAKKAN TIDUR DI WAKTU SIANG TERLALU LAMA
Jika kita tidur yang agak lama di waktu siang, adalah berkemungkinan kita akan mendapat kesukaran untuk tidur awal di waktu malam seterusnya akan menyebabkan terlewat untuk bangun tidur. Boleh tidur di waktu siang, namun cukuplah sekadar dari 20 hingga ke 30 minit sahaja.

7. LAKUKAN AKTIVITI FIZIKAL YANG TERATUR
Bersenam atau bersukan yang konsisten pada waktu siang mampu membantu mengatur pola tidur kita. Apabila berasa penat, pada waktu malam kita akan tidur awal bagi merehatkan diri. Namun jangan pula melakukan senaman terlalu dekat masanya dengan waktu tidur kerana ia akan menyukarkan kita untuk tidur.

8. JANGAN HISAP ROKOK DAN MINUM MINUMAN BERALKOHOL
Minum minuman beralkohol dan merokok akan mengganggu kualiti tidur seterusnya menyebabkan kita berasa kurang selesa dan segar apabila bangun tidur. Seeloknya elakkan mengambil kedua-dua bahan ini sebelum tidur.

9. GUNAKAN PENGGERA (ALARM)
Apabila mempunyai kesukaran untuk bangun tidur, cara yang baiknya ialah menggunakan penggera. Pilih masa yang diperlukan untuk bangun dari tidur.

Jadi, sama-samalah kita cuba mempraktikkan tips-tips ini agar dapat bangun tidur sesuai dengan waktu yang kita perlukan. Bangun tidur awal membolehkan kita berasa tenang seterusnya dapat melaksanakan segala hal juga dengan tenang.

(ps: ketika menulis tips ini, jam di kompuer riba menunjukkan ke angka 2.07 pagi. Hihihi...)

Thursday, May 18, 2023

Ucapan Selamat Hari Muzium Antarabangsa 2023




Selamat Hari Muzium Antarabangsa kepada semua warga muzium seluruh dunia! Pada tahun 2023 ini, saya mengucapkan selamat kepada negeri Sarawak yang menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Muzium Peringkat Kebangsaan. Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun. Pada tahun ini tema yang diangkat adalah "Muzium, Kemampanan dan Kesejahteraan."

Hari Muzium merupakan hari yang istimewa untuk merayakan warisan budaya, sejarah, pengetahuan, dan karya seni yang ada di muzium-muzium di seluruh dunia. Muzium merupakan khazanah yang membuka pandangan kita terhadap sejarah, seni, sains, dan kekayaan budaya yang tak ternilai harganya. Muzium juga berperanan dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan, penelitian, dan program sosial.

Melalui koleksi yang unik dan pengetahuan yang disampaikan, muzium memberikan inspirasi kepada generasi masa kini dan hadapan untuk menjaga, menghargai, dan melindungi kekayaan budaya yang kita warisi. 

Selamat Hari Muzium Antarabangsa, mari kita terus mengangkat dan mengapresiasi peranan muzium dalam mewujudkan kemampanan dan kesejahteraan bagi semua.



Wednesday, May 17, 2023

Lima Perkara Menarik Yang Terdapat di Muzium

Balai Seni Lukis Melaka mempamerkan karya seni artis dari dalam dan luar negara

Terdapat banyak perkara menarik yang terdapat di muzium. Berikut adalah lima perkara menarik yang anda boleh jumpai di muzium :

ARTIFAK BERSEJARAH

Muzium sering kali mempamerkan artifak bersejarah yang memberi gambaran tentang masa lalu. Anda mungkin akan menjumpai senjata dan perkakas kuno, pakaian tradisional dan lain-lain. Melalui artifak-artifak ini, anda dapat menghayati dan mempelajari tentang budaya, peradaban, dan peristiwa penting dalam sejarah. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Sejarah Melaka, Muzium Istana Kesultanan Melaka.

LUKISAN DAN UKIRAN

Muzium seni seringkali mepamerkan koleksi lukisan dan ukiran yang mengagumkan. Anda dapat menikmati keindahan seni dari pelukis-pelukis ternama atau pengukir-pengukir terkenal. Muzium seni juga sering mengadakan pameran sementara yang menampilkan seniman-seniman kontemporari. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Balai Seni Lukis Melaka dan Galeri Seni Rakyat.

FOSIL DAN TULANG-TULANG

Jika anda mengunjungi muzium yang maempamerkan sejarah alam semulajadi atau paleontologi, anda akan menjumpai fosil dan tulang-tulang dari haiwan purba dari spesis yang sudah pupus. Melalui pameran ini, anda dapat mempelajari tentang evolusi dan aneka kehidupan di muka bumi. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Negara, Muzium Budaya Borneo.

ARTIFAK BUDAYA

Muzium berkaitan budaya seringkali mempamerkan artifak yang berkaitan dengan kehidupan sehari-hari masyarakat tertentu. Contohnya, muzium berkaitan etnografi mungkin mempamerkan pakaian tradisional, alat muzik, senjata tradisional, dan objek-objek budaya yang lain. Melalui pameran ini, anda dapat mengeksplorasi kebudayaan yang berbeza dan menghargai kepelbagaian manusia melalui etnik dan kaum. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Etnografi dan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam.

SAINS DAN TEKNOLOGI

Muzium bertemakan sains dan teknologi biasanya menampilkan penemuan-penemuan dan inovasi yang mempengaruhi dunia. Anda mungkin dapat melihat model-model mesin, prototaip, alat-alat ilmiah, dan interaktif yang memperlihatkan prinsip-prinsip sains. Ini adalah tempat yang baik untuk belajar tentang perkembangan teknologi dan bagaimana ia telah membentuk kehidupan kita. Contoh muzium yang boleh dikunjungi ialah Muzium Automobil Nasional dan Muzium Budaya Borneo.

Namun perlu diingat, setiap muzium memiliki koleksi yang unik dan tersendiri. Justeru perkara menarik yang dapat ditemui dapat bervariasi dari satu muzium ke muzium yang lain.

Apa Yang Perlu Dilakukan Semasa Cuaca Panas

Langit tanpa awan... Panas sungguh.


Semasa cuaca panas, terdapat beberapa tindakan yang perlu dan boleh diambil untuk menjaga kesihatan dan keselesaan tubuh badan. Antara tips atau langkah yang perlu diambil ialah :

BANYAKKAN MINUM AIR

Pastikan anda tetap terhidrasi dengan baik. Minum air putih dalam jumlah yang cukup untuk menggantikan cecair yang hilang melalui peluh. Hindari minuman berkafein atau beralkohol kerana boleh menyebabkan dehidrasi.

MENGENAKAN PAKAIAN YANG SESUAI

Gunakan pakaian yang longgar, ringan, dan diperbuat daripada kain seperti cotton supaya kulit dapat bernafas dengan baik. Hindari pakaian yang terlalu ketat atau diperbuat daripada bahan sintetik yang akan menyebabkan berasa panas dan tidak selesa.

LINDUNGI DIRI DARI SINAR MATAHARI 

Gunakan topi atau payung untuk melindungi kepala dan wajah dari terkena secara langsung dengan sinar matahari. Gunakan juga krim pelindung matahari bagi melindungi kulit dari sinar UV yang berbahaya.

CARI TEMPAT SEJUK

Carilah tempat yang mempunyai penyaman udara atau gunakan kipas angin bagi membantu mengurangkan suhu badan. Elakkan terlalu lama berada di luar bangunan semasa cuaca sangat panas.

KURANGKAN AKTIVITI BERAT

Semasa cuaca panas, hindarkan dari melakukan aktiviti fizikal yang berat atau berlebihan. Jika perlu melakukan aktiviti di luar, lakukannya pada waktu pagi atau petang iaitu ketika suhu lebih rendah.

MAKAN MAKANAN SIHAT

Ambillah makanan yang ringan, sihat dan berkhasiat. Pilih makanan yang berair seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Elakkan dari memakan makanan berat dan berlemak yang boleh membuatkan rasa tidak selesa.

Tuesday, May 16, 2023

Poster-poster Ucapan Selamat Hari Guru

Bagi sesiapa yang belum menghantar ucapan Selamat Hari Guru kepada guru-guru mereka, memanfaatkan peluang ini untuk mengambil poster di bawah ini dan sampaikan ucapan penghargaan kepada guru-guru kalian.

Selain itu, pada tahun 2023 ini, tema Selamat Hari Guru adalah "Guru Insani Pemangkin Generasi Madani." Tema ini menekankan peranan guru sebagai pembentuk generasi yang berakhlak mulia dan berdaya saing dalam konteks masyarakat yang madani. Guru-guru memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar menjadi individu yang bertanggungjawab, beretika, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Sekali lagi, saya menggalakkan semua orang untuk mengambil inisiatif dan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru kalian sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam mendidik dan membimbing generasi muda.

 






Ucapan Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di seluruh negeri! Tema tahun 2023 ialah "Guru Insani Pemangkin Generasi Madani". 

Sebagai guru insani, guru sudah pasti memahami bahawa kejayaan dalam pendidikan tidak hanya berpusat pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga membentuk pelajar yang penuh dengan kesabaran, kepercayaan diri, berdisiplin dan hampir kesemuanya termasuk pengetahuan agama yang kuat. Oleh itu, tugas sebagai guru insani adalah untuk membantu pelajar mengekalkan nilai murni dan keperibadian yang positif.

Sebagai pemangkin generasi madani, guru memainkan peranan penting bagi pembangunan masyarakat yang bernilai, bermoral dan memberikan sumbangan yang bererti tidak hanya bagi diri sendiri tetapi juga bagi masyarakat sekitar. Selaku tenaga pendidik, guru harus berfikir jangka panjang di mana kejayaan bukan hanya memiliki sijil tetapi juga menjadi pemimpin yang selayaknya pada masa akan datang.

Saya ingin mengucapkan semoga guru-guru semua terus memberikan kesan positif pada pendidikan di negara kita dengan menjadi model pengajaran yang mencetuskan generasi madani yang cemerlang, gemilang dan terbilang. 

Selamat Hari Guru!

Thursday, May 11, 2023

Tinta Sekelonet Buat Tatapan Warga

Tidak pernah aku bermimpi untuk menjadi seorang penulis. Namun aku hampir terlupa berapa jumlah buku dan artikel yang telah diterbitkan sama ada terbitan jabatan atau luar. 

Kini, atas kepercayaan yang diberikan, jabatan telah melantik aku sebagai salah seorang penulis bagi satu bab di dalam buku coffee table Bibliografi Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka. Buku ini sebenarnya telah siap diterbitkan pada awal tahun 2023. Aku sendiri secara langsung menguruskan hal-hal berkaitan penerbitan buku ini sehinggalah ia siap dicetak. Satu lagi pengalaman yang berguna dapat aku timba. Pahit dan manis aku telan jua.

Dalam perancangan, buku ini bakal dilancarkan oleh TYT Tun pada akhir bulan ini di salah sebuah hotel di Melaka. Dimaklumkan bahawa, semasa big bos aku mempersembahkan naskhah yang telah siap ini, TYT Tun agak gembira dengan hasilnya. Moga dengan penerbitan buku ini, memperbanyakkan lagi sumber rujukan bagi tokoh-tokoh negeri dan negara.


Muka hadapan buku coffee table Dari Bukit Katil ke Istana Melaka

Tersenarai bersama penulis-penulis hebat merupakan sebuah kepercayaan diberikan kepadaku

 

Monday, May 8, 2023

Kata-kata Tentang Kopi | Mencuba Aplikasi Artificial intelligence (AI)

Sekarang sudah heboh penggunaan aplikasi Artificial Intelligence (AI) di media sosial. Pelbagai gambar menarik dapat dihasilkan dengan menggunakan AI. Dengan hanya menaip prompt iaitu menulis apa yang sedang bermain di fikiran kita, aplikasi AI akan menghasilkan gambar yang diinginkan. 

Contoh prompt : "seorang gadis berbangsa Melayu, memakai hijab sedang memegang bunga berlatarbelakangkan taman yang menghijau, bokeh, dlsr." Biasanya prompt ditulis dalam bahasa Inggeris. Kemudian klik generate. AI akan menghasilkan gambar seperti yang dikehendaki seperti ditaip di prompt

Nasib jugalah, ada kalanya apa yang ditulis akan menjadi, ada kalanya tidak seperti yang dimahukan. Jadi kelakar pun ada. Bagi sesiapa yang suka edit mengedit, bolehlah cuba pelbagai aplikasi AI yang terdapat di Play Store atau Apple Store. 

Sebenarnya AI bukan hanya tertumpu pada gambar sahaja. Pelbagai lagi yang boleh dilakukan seperti menulis surat, membuat laporan, membuat kertas kerja dan lain-lain lagi. Tapi perlu banyak belajar bagaimana cara dan kaedahnya. 

Tak tahu nak buat apa, aku mencuba menghasilkan gambar secawan kopi dengan menggunakan aplikasi AI. Cuba tulisan aku menggunakan aplikasi Phonto. Maka terhasil lah kata-kata tentang kopi seperti di bawah. 











Monday, May 1, 2023

Kenali Potensi Anak

Kesilapan aku ialah menganggap apa yang keluar dari mulut anak aku hanya sebagai angin lalu. Dia kata suka main bola, dia kata lariannya pantas sehingga sering mengalahkan rakan-rakan sekelasnya semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Namun, aku sekadar mendengar dan tidak mengambil serius.

Sehinggalah pada satu ketika anak aku, Muhammad Firas Faiq berusia 8 tahun menyatakan dia terpilih untuk mewakili sekolah dalam acara pertandingan bola sepak jemputan St. Michael's Soccer Association Melaka Cup (SMSA Melaka Cup 2023) bawah 8 tahun yang telah diadakan pada 11 - 12 Mac 2023 lalu yang diadakan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Sebagai seorang penyerang, pada hari pertama dia telah menjaringkan 3 biji gol dalam 4 perlawanan. Walaubagaimanapun, pasukannya tidak berjaya ke pusingan seterusnya. Hari berikutnya, pasukan yang tidak berjaya bertanding pula dalam Frienship Cup. Namun pasukannya sekadar menduduki tempat ke-7 secara keseluruhan. Nampak bakatnya di situ, sekiranya digilap, insyaallah boleh terus mewakili sekolah pada tahun-tahun berikutnya. 

Tiga biji gol sahaja ayah...

Besar harapan aku, agar suatu hari dia berjaya menjadi pemain bola sepak profesional seperti sepupunya Nizarruddin Jazi yang kini bermain di JDT2. Atau sekurang-kurangnya perlulah mengatasi aku sebagai ayahnya yang bermain bola sepak untuk sekolah hingga ke peringkat daerah. Hihi.


Muhammad Firas Faiq bersama pasukannya

Poster-poster Ucapan Selamat Hari Pekerja

Ada yang mencari poster untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja untuk rakan taulan dan saudara mara? Di sini disertakan beberapa idea poster ucapan Selamat Hari Pekerja yang boleh digunakan. Untuk membuat poster sebegini tidaklah begitu sukar, boleh layari dan edit poster di laman sesawang ini : PosterMyWall Mudah sahaja. Selamat mencuba. Selama ni, laman sesawang inilah yang membantu aku untuk membuat poster yang ringkas-ringkas sebegini.