Tuesday, October 4, 2022

Cara Mudah Menukar Kad ATM Maybank

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib, isteri sudah berpesan supaya belikan beberapa barangan di kedai. Jadi, aku bawalah dompet dan telefon bimbit sekali ke masjid supaya selepas solat boleh terus ke kedai. Biasanya aku tak bawa semua tu semasa ke masjid, hanya membawa diri saja. Masjid dan rumah tak jauh mana. Tak lalu pun jalan besar.

Dompet dibawa dengan tujuan untuk membayar, telefon bimbit pula untuk membaca senarai barangan yang perlu dibeli yang dipesan melalui aplikasi Whatsapp. Kalau bawa diri saja, nak bayar dengan apa... Nak beli apa...?

Awal lagi aku sudah berpesan, malam tersebut balik lewat sedikit pasal ada kuliah Maghrib. Justeru, selepas Isyak baru dapat pergi ke kedai untuk membeli barang. 

Selepas solat aku terus memecut ke kedai. Motorsikal Honda PCX 150 pemberian isteri sempena hari lahir ku dua tahun lalu aku tunggang dengan laju dan bergaya dengan baju kurta, kain pelikat dan ketayap yang hampir-hampir terbang akibat kelajuan motorsikal. 

Setibanya di kedai, dengan penuh keyakinan aku mengangkat satu persatu barangan yang dipesan oleh isteriku. Ada juga barangan yang tidak dapat dibeli kerana ketiadaan stok. Tak mengapa, selepas ini boleh ke kedai runcit sebelah pula, mungkin ada barangan tersebut di kedai itu.

Tiba masa untuk membayar, aku memaklumkan untuk membayar menggunakan kad debit. Aku memang gemar menggunakan kad debit berbanding tunai. Aku juga jarang mempunyai tunai yang banyak di dalam dompet. 

Semasa wave debit kad tiba-tiba mesin tersebut menolak kerana kad debit telah tamat tempoh. Aduhai, payahlah macam ni... Aku sendiri tak perasan kad debit sudah tamat tempoh. Duit dalam dompet tak banyak. Korek punya korek, adalah sedikit duit tapi masih belum mencukupi. Belakang aku pula sudah dua tiga orang berbaris untuk membayar. Aduh, parah.

Aku maklumkan pada juruwang tersebut bahawa duit tidak cukup, aku perlu pulang dahulu ke rumah untuk mengambil duit. Selepas ambil duit di rumah, aku bayarlah kembali jumlah yang kurang. 

Keesokan harinya semasa waktu rehat tengah hari, aku ke Maybank untuk menukar debit kad. Sebelum pergi ke bank, aku telah Google dahulu tentang bagaimana untuk menukar debit kad yang telah tamat tempoh. Jadi, yang paling mudah disarankan agar menggunakan Debit Card Replacement Kiosk. 

Melalui pencarian Google tersebut menyatakan bahawa di Melaka hanya terdapat satu sahaja cawangan Maybank yang mempunyai kiosk tersebut iaitu di Maybank Jalan Hang Tuah iaitu merupakan cawangan utamanya di Melaka. Jadinya, aku ke situ untuk menukarkan kad debit.

Inilah Debit Card Replacement Kiosk by Maybank


Mudah sungguh menggunakan kiosk ini. Hanya memerlukan satu hingga dua minit untuk memperoleh kad debit yang baharu. Semua arahan dipaparkan di skrin, kita cuma perlu ikut sahaja satu persatu arahan yang diberikan. Bermula dari memasukkan kad debit lama, kemudian masukkan nombor pin, pengesahan dengan memasukkan kad pengenalan dan pengesahan cap jari. 

Seterusnya kita pilihlah corak kad yang dipaparkan. Ada 4 pilihan. Aku pilih corak yang mempunyai gambar pasukan Manchester United. Walaupun baru kalah 6 - 3 dengan Manchester City, kira oklah tu. Corak tu saja yang lain daripada lain selebihnya hanya gambar buah epal.

Selepas memilih, keluarlah kad debit tersebut dan sudah boleh digunakan seperti biasa. Huh, sekian sahaja perkongsian aku mengenai cara untuk menukar kad debit yang telah tamat tempoh. Semoga bermanfaat.

17 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsiannya. Kita memang baru nak cari artikel cara tukar kad debit guna mesin ni. Kad nak mati bulan depan, hahaha.

    ReplyDelete
  2. Alahai satu aje kat Jalan Hang Tuah huhuu... Mrs. A punya pun dah tamat tempoh Oktober 2022. Dah buat replacement online unfortunately tak sampai-sampai pun

    ReplyDelete
  3. Panjang betul kronologi cerita. Hehe tapi saya seronok baca.

    ReplyDelete
  4. senang guna mesin...24/7 boleh guna...

    ReplyDelete
  5. Memang mudah pakai kiosk ni untuk tukar kad. Cawangan-cawangan terdekat di kawasan rumah saya tiada mesin ni, jadi saya renew secara online sahaja.

    ReplyDelete
  6. teringat masa saya renew kad atm Maybank melalui kaunter. sempat selit pesanan kat staf tu tak nak kad Man Utd. ikutkan nak guna kiosk, tapi cawangan tu takde dan saya terdesak. nasib baik staf sudi layan

    ReplyDelete
  7. Ammi pun baru je tukar debit card...mujur perasan tarikh tamat tempoh. Tapi masalah dengan bank sotong ni ialah..kena pergi sendiri ke bank. Takde khidmat tukar card di kiosk. Huh

    ReplyDelete
  8. Mudah kerja ada kiosk. Cepat pun cepat. Saya pun baru tukar haritu tapi guna kaedah online sebab masa tu kiosk belum diperbanyakkan lagi.

    ReplyDelete
  9. Ha ah... uncle pun guna kiosk je....

    ReplyDelete
  10. kad kita gambar apple..hehehehe..

    ReplyDelete
  11. Memang mudah tukar card pakai mesin ni . Jimat masa dan tenaga

    ReplyDelete
  12. Wah menarik! saya selalu guna yang apply guna m2u sahaja sebelum ni.

    ReplyDelete
  13. biasanye wak akan selitkan rm50 dlm wallet utk kecemasan., manelau tau kann., ;p

    ReplyDelete
  14. sy tukar online je. 3 hari bekerja sampai la kad baharu tu.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.