Sunday, April 17, 2022

Menikmati Tau Fu Fa di Bulan Ramadan

 


Tau Fu Fa telah menjadi menu wajib bagi aku sepanjang bulan Ramadan ini. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku menikmati Tau Fu Fa. Selepas solat tarawih, duduk di dapur seorang-seorang sambil menikmati Tau Fu Fa. Anak-anak yang lain tak berminat, maka biasanya aku akan beli satu bekas saja untuk aku makan sendiri.

Aku beli Tau Fu Fa hanya di gerai-gerai tepi jalan sahaja. Tak pergi mencari di Bazar Ramadan.  Ada tiga hingga empat gerai yang berdekatan dengan rumah ada menjual Tau Fu Fa, semua rasanya enak. Jadi aku boleh saja memilih di gerai mana pun untuk membelinya.

Sekiranya bukan di bulan Ramadan, agak sukar nak cari Tau Fu Fa. Kalau teringin nak makan, perlu cari di pasar malam. Tapi di bulan Ramadan ni, mana-mana tempat mesti ada jual Tau Fu Fa. Senang nak jumpa.

Ada yang suka makan Tau Fu Fa?

Thursday, April 14, 2022

Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan


Alhamdulillah.. Telah menjadi kelaziman jabatan tempat aku bekerja mengadakan program Tadarus Al-Quran apabila menjelang bulan Ramadan. Aku turut tidak melepaskan peluang untuk sama menyertai program ini. Rasanya sudah bertahun-tahun juga aku sertai program ini.

Alhamdulillah juga kerana tahun demi tahun dapat mempelajari dan memperbaiki bacaan walaupun pada hakikatnya aku masih belum pandai sepenuhnya membaca Al-Quran. Apabila kena tegur kerana silap membaca, aku suka ditegur kerana dengan teguran tersebut, insyaallah aku akan mengingati apa yang aku salah dan akan memperbaikinya.

Sebenarnya aku amat berterima kasih kerana jabatan aku mengadakan program sebegini. Secara tidak langsung, aku mula mengenal dan membaca Al-Quran. Sebelum ini membaca agak 'merangkak-rangkak'. Alhamdulillah, sekarang rasanya sudah agak baik. Namun, banyak lagi yang perlu diperbaiki dari aspek makhraj huruf, hukum tajwid, dan lain-lainnya.

Marilah tuan-puan, kita perbanyakkan membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini. Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Thursday, April 7, 2022

Hadirmu di Bulan Mulia


Alhamdulillah... Pada 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadan 1443 Hijrah lahirnya seorang anak lelaki buah hati pengarang jantung keluarga aku. Ini merupakan anak kelima kami dan rasanya cukuplah lima orang anak. Umur pun dah awal empat puluh siri, nanti bila dah bersara, ramai anak masih bersekolah payah juga nanti.

Isteri pun telah pulang ke rumah. Duduk wad sehari sahaja selepas bersalin. Di kala menaip entri pun terdengar suara bayi menangis. Apa lagi kalau bukan mahu menyusu. Terasa hilang rindu mendengar suara bayi menangis. 

Nama belum beri lagi. Sebelum bersalin lagi sudah mencari-cari nama yang sesuai, namun tidak dapat lagi. Iyalah, nama anak aku semua bermula dengan huruf "F" sepertimana nama aku. Huruf "F" ni macam kurang saja pilihan nama. Banyak nama orang lain dah ambil. 

Sekarang ni ada juga beberapa nama yang aku fikirkan. Cuma belum dimuktamadkan lagi. Tunggulah nanti, apabila pergi ke pejabat Jabatan  Pendaftaran Negara, nama yang dicatat, itulah namanya nanti 

Ada idea tak nama anak lelaki yang bermula dari huruf "F"?

Saturday, April 2, 2022

Salam Ramadan Dan Selamat Berpuasa


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi peluang untuk bertemu bulan Ramadan pada tahun ini. 

Dikesempatan ini aku ingin memohon seribu kemaafan kepada semua terutama rakan-rakan bloggers yang tidak jemu-jemu bertandang ke blog aku yang suam-suam kuku ini. Sekiranya ada sebarang kesalahan terutama dari penulisan-penulisan aku yang mungkin tidak seiring atau sealiran dengan jiwa kalian, mohon dimaafi. 

Sama-samalah kita jadikan Ramadan pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Akhir kalam, selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa.

Puasa tau, jangan tak puasa.

Friday, April 1, 2022

Giveaway SR X Mitch Memoir Kampung Boy

 


Hari Jumaat yang indah dan penuh barakah. Hari ini sekali lagi aku dapat meluangkan masa bagi membuat satu entri untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh Syazni Rahim. Rasanya baru sahaja terima hadiah saguhati daripada beliau untuk penyertaan giveaway sebelum ini, hari ini aku sertai lagi giveaway yang ini pula. Ini semua tanda sokongan aku kepada rakan-rakan bloggers. 

Jadi, ayuh rakan-rakan bloggers, mari sama-sama memeriahkan giveaway ini. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, manalah tahu untung kita dapat hadiah buku. 

*****

Blurb Memoir Kampung Boy  
Ia mengisahkan tentang cerita kanak-kanak di zaman 1970 dan 1980-an di mana watak aku (Kenit) memaparkan aktiviti serta apa yang dialaminya ketika itu. Ketika zaman tiada gajet yang canggih, ‘aku’ dan rakan-rakannya bermain apa sahaja yang dapat menghiburkan hati mereka. Kisah ini bermula perpindahan dari Pekan, Pahang ke Johor Bahru (JB). Di JB, ‘aku’ mendapat sahabat karibnya bernama Rais dan Kajid yang memperkenalkan banyak permainan sewaktu zaman dulu, seperti main ‘gundu’, baling selipar, tarik upih pinang, permainan ‘cakar ayam’ dan sebagainya. Namun masa amat mencemburui persahabatan mereka.

👉 Kenali Mitch

Giveaway 2022 : Happy 1st Anniversary CCL & Husband


Hari ini aku dapat meluangkan masa untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh Cik Cappuccino Latte. Sebenarnya telah lama giveaway ini dijalankan, cuma baru hari ini aku berkesempatan untuk menyertainya.

Sempena ulang tahun pertama perkahwinan CCL dan suami, ingin aku rakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pasangan. Semoga hubungan kalian berdua berkenalan dan bahagia hingga ke akhirnya. Hiduplah rukun dan damai bersama pasangan, adakalanya masalah menimpa, berbincanglah baik-baik. Hidup berumahtangga banyak cabarannya, ibarat bait-bait lagu P. Ramlee "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri...."

Bagi yang masih belum menyertai giveaway ini, jom sama-sama kita memeriahkannya. Masih sempat lagi ni...