Thursday, March 31, 2022

Pernah Dulu Bercita-Cita Menjadi Guru Tapi Tak Lulus Peperiksaan Untuk Jadi Guru

Perkongsian ilmu bersempena lawatan akademik pelajar UKM

Pernah satu ketika dahulu aku bercita-cita untuk menjadi guru. Dalam ahli keluarga aku, abang sulong aku merupakan seorang guru. Bapa dan emak saudara, sepupu sepapat aku ramai yang bekerjaya sebagai guru. Jadi, terdetik dalam sanubari aku keinginan menjadi seorang guru seperti mereka.

Tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku pernah memohon maktab perguruan. Telah duduki peperiksaan, namun gagal. Gagal. Tak pasti di mana silapnya. Mungkin dahulu otak aku belum cukup bergeliga sehingga boleh dibuat batu cincin. Walaupun pada hakikatnya, ramai yang menyatakan negara kekurangan guru lelaki. Kenapa aku tak terpilih? (Huk aloh... Sebab gagal ujian nak jadi cikgu le tu). 

Aku sambung ambil Ijazah Pertama setelah tamat tingkatan 6. Akan tetapi selepas itu tidak pula aku mencuba untuk mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebab mungkin kerana selepas beberapa bulan graduasi, aku telah mendapat kerja. jadi, impian aku untuk menjadi guru, aku sendiri yang kuburkan.

Sekarang, sudah 15 tahun aku bertugas dalam bidang pemuziuman. Dalam 15 tahun ni telah banyak bahagian dan unit telah aku bertugas. Dari unit pendaftaran, operasi muzium, konservasi, pemasaran dan kini di seksyen penyelidikan. Alhamdulillah, banyak juga pengalaman yang telah aku timba dalam dunia pemuziuman. Namun aku sedar, aku bukanlah hebat, aku sekadar pekerja biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewanya.

Bagusnya di sini, aku berpeluang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan mengajar, namun berkongsi ilmu. Sedikit ilmu yang aku ada, aku kongsikan agar dapat memberikan manfaat kepada yang ingin menerimanya. Jadi, aku boleh merasa juga diri ini sebagai guru. Menyampaikan ilmu kepada masyarakat dari peringkat tadika, sekolah rendah hinggalah ke pelajar yang mengambil PhD yang hadir ke muzium untuk mendapatkan maklumat.

Terima Kasih daun Keladi_Dapat Variety Box Dari Syazni Rahim


Alhamdulillah... Terima kasih diucapkan kepada blogger Syazni Rahim atas pemberian ini. Lihat saja gambar di atas, pelbagai barangan yang aku terima dalam satu pengeposan. Sesungguhnya ianya amat dihargai.

Hadiah ini diterima sebagai hadiah saguhati dalam penyertaan giveaway yang telah dianjurkan oleh beliau. Rasa-rasanya, sudah tiga kali aku terima hadiah giveaway dari Syazni Rahim. 

Ada kalanya rasa segan pula nak menerimanya. Aku masuk giveaway biasanya sekadar mahu menyokong rakan-rakan bloggers. Kelazimannya juga, apabila tiada idea untuk menulis, aku mencari-cari rakan-rakan bloggers yang mengadakan giveaway jika ada aku akan sertai, secara tidak langsung, aku telah membuat satu entri. Hehe..

Akhir kata, sekali lagi ribuan terima kasih kepada Syazni Rahim kerana memberikan hadiah ini. Semoga kamu terus dimurahkan rezeki dan hidup aman damai bersama keluarga tercinta. 

Friday, March 25, 2022

Masa Untuk Menelaah Buku


Inilah antara tugasan aku. Ada kalanya meja kosong, tapi selalunya dipenuhi oleh buku-buku. Sekali tengok sudah seperti seorang pelajar PhD sedang menelaah buku-buku. Tapi aku bukan pelajar, hanya bekerja. Membaca untuk menyiapkan tugasan.

Membuat dan menyampaikan maklumat adalah antara tugas aku di jabatan. Ada kalanya perlu membuat tinjauan serta kajian-kajian literasi mahupun kajian di lapangan yang kebiasaannya tertumpu kepada bidang sejarah, warisan, budaya, pemuziuman dan lain-lain yang berkaitan. Membuat kajian untuk tujuan-tujuan rujukan pihak jabatan, negeri dan pihak-pihak yang memerlukan maklumat seperti pelajar sekolah, kolej dan universiti.

Itulah antara fungsi utama muzium. Bukan sekadar mempamerkan artifak dan bahan bersejarah, namun perlu menyedia dan menyampaikan maklumat, pendidikan kepada masyarakat agar memahami sejarah, warisan dan kebudayaan negara.

Tahun ini juga ada beberapa buku, buletin dan laporan yang akan diterbitkan. Harap-harap aku dapat selesaikan sebelum menjelang akhir tahun ini. Insyaallah, bulan Ramadan ini boleh terus fokus menulis.

Berseronoklah Dengan Apa Jua Pekerjaan Yang Kita Lakukan


Ada kalanya bekerja di pejabat yang dingin, sejuk bak air batu yang enak dicampurkan bersama sirap Bandung. Teringat air Bandung, tak sangka tak lama lagi Ramadan bakal muncul kembali. Alhamdulillah. Namun, ada kalanya bekerja di luar pejabat, berjemur di bawah terik matahari. Bekerja umpama buruh kasar, kerja berat, anggota badan berpeluh dan kotor.

Itu semua tak pernah menjadi satu masalah bagiku. Aku tak pernah mengeluh. Sebagai seorang yang sukakan cabaran dan boleh bertugas dan bekerja dalam apa jua keadaan, aku seronok melalui semua ini. Semakin banyak aku melakukan sesuatu, semakin banyak juga aku dapat menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku sedar, hidup ini hanya sementara, jadi selagi mata belum tertutup dan badan belum dikafankan maka aku harus mencari sebanyak mana ilmu dan pengalaman untuk aku rasai. Apabila kita mempunyai ilmu dan pengalaman, kita tidak kekok untuk menyampaikan maklumat tentang apa yang kita tahu kepada sesiapa sahaja.

Gambar di atas ini merupakan kerja-kerja kajian struktur bangunan Masjid Lama Belimbing Dalam. Ini adalah bengkel kajian, jadi bagi kajian struktur yang melibatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi tidak dilaksanakan secara menyeluruh, hanya tiga petak ekskavasi dibuka. Namun, lain-lain kajian antaranya lukisan terukur (measured drawing) dilaksanakan sehingga selesai oleh pihak lain.

Wednesday, March 23, 2022

Wednesday, March 16, 2022

Sunday, March 13, 2022

Pemenang Giveaway Buku Kereta Lembu Dari Melaka oleh fairusmamat.com

Maaf kerana terlewat sedikit untuk mengumumkan pemenang giveaway ini. Banyak tugasan yang perlu diselesaikan termasuklah berkejaran ke hospital kerana isteri sudah sakit-sakit hendak bersalin, namun belum bersalin lagi, ditambah pula anak yang kurang sihat, sekarang alhamdulillah sudah kembali sihat.

Jadi, tanpa melengahkan masa, dengan ini suka aku nyatakan bahawa pemenang bertuah yang bakal menerima buku Kereta Lembu Dari Melaka ialah....


Pemenang bernombor 11 ialah As Samsudin dan pemenang bernombor 24 ialah Mia Liana. Nombor-nombor ini boleh dirujuk melalui senarai penyertaan di SINI

Jadi, tahniah kepada kedua-dua pemenang ini. Mohon kerjasama untuk e-mel maklumat seperti nama penuh, alamat surat menyurat dan nombor telefon ke fairusmamat81@gmail.com. Terima kasih.

Kepada yang kurang bernasib baik, usah gundah gulana. Insyaallah, nanti-nanti pastinya akan aku buat giveaway lagi. 

Terima kasih kepada semua yang telah menyertai giveaway ini. 

Wednesday, March 9, 2022

Tuesday, March 8, 2022

Pecutan Terakhir Giveaway Buku Kereta Lembu Dari Melaka

 

Siapakah dua orang yang bertuah untuk menerima hadiah ini. Bukunya sudah ditandatangani, hanya tunggu giveaway ini berakhir dan akan diposkan kepada pemenangnya. Untuk makluman, giveaway ini akan tamat pada jam 12.00 tengah malam ini dan insyaallah, pemenangnya akan diwar-warkan pada keesokan harinya.

Bagi yang belum menyertainya lagi, masih ada peluang di saat-saat akhir untuk menyertai giveaway ini. Boleh klik di SINI untuk maklumat lanjut.

Kepada yang telah menyertai giveaway ini, terima kasih diucapkan. Moga ada rezeki buat kalian untuk memenangi buku ini. 


Selamat hari Wanita

 


Apabila tiba pada tarikh 8 Mac, pasti ada yang teringat bahawa tarikh ini merupakan sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut oleh warga seluruh dunia. Pada tahun ini tema sambutan Hari Wanita Sedunia ialah 'Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow’ atau apabila dialihbahasakan ke Bahasa Malaysia boleh ditafsirkan sebagai Kesaksamaan Jantina Hari Ini untuk Kemampanan Hari Esok. Sedikit lebih kuranglah terjemahan tu. Namun di peringkat Malaysia, tema Hari Wanita ialah Saksama Bersama.

Bersempena Hari Wanita ini, pertama sekali sudah pastinya ingin aku ucapkan kepada ibuku Fatimah binti Hj. Majid, merupakan seorang insan yang paling aku sayangi. Seterusnya kepada isteriku Norhati binti Abu Talib, suri hatiku dan anak-anakku yang sama-sama berkongsi hidup susah senang bersama.

Tak lupa juga kepada rakan-rakan bloggers wanita yang tidak jemu-jemu hadir ke blog aku ini. Walaupun satu masa ketika dulu, pernah aku sunyi dari menulis, namun apabila aku kembali menulis, kalian masih dan tetap mengunjungi blog aku ini. Terima kasih diucapkan.

Kepada kalian yang bergelar wanita, Selamat Hari Wanita aku ucapkan. 






Monday, March 7, 2022

Giveaway Wang Tunai RM500 Mamapipie & Jomjalan


Wah.. Nampak lumayan sungguh hadiah giveaway oleh Mamapipie & Jomjalan ni. Jadi barang siapa yang berminat bolehlah sertainya dengan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti di bawah ini.

Syarat-syarat Penyertaan Giveaway Wang Tunai RM500 Mamapipie & Jomjalan :

👉Terbuka kepada blogger yang menetap di Malaysia bagi memudahkan urusan bank in wang tunai (Ya, aku dah layak. Hehe)

👉Buat satu blog post bertajuk "Giveaway Wang Tunai RM500 Mamapipie & Jomjalan". Tepek banner di atas beserta link ke post ini. (Ya, sudah buat)


👉Wajib letak Blog Mamapipie.com & Jomjalan.com.my ke dalam Bloglist korang (Ya, sudah)

👉Sila pilih salah satu post Jomjalan yang korang suka beserta link. Terpulang nak pilih tempat melancong, hotel, tempat makan, etc. Nyatakan mengapa post ini menjadi pilihan.

Sudah tentulah aku mencari promo-promo yang menarik yang boleh membawa kami sekeluarga ke sesuatu lokasi. Jadi, untuk melihat promo-promo yang menarik boleh lihat di halaman ini www.jomjalan.com.my/promo/

👉Digalakkan Follow Media Social Mama: Instagram FB Youtube Twitter FB Page (Ok, semua sudah kecuali Twitter sebab aku bukan budak Twitter. Hehe)

👉Last sekali, tinggalkan link pernyertaan korang di post ini. (Ok, baik)

👉Tarikh tutup giveaway adalah pada 3 April 2022. (Ok, maklum)

👉Syarat wajib nombor 4 mama akan check satu-satu.. Kalau tak patuhi syarat ni korang akan disqualified. So, pastikan patuh pada syarat ye. Boleh buat penyertaan lebih dari satu dengan syarat mesti blog yang berlainan dan menepati semua syarat di atas dan syarat no. 5 tu bukan copy paste. (Ok, faham)

Sunday, March 6, 2022

Bukti Kewujudan Bukit Melaka oleh Emanuel Godinho De Eredia

Dalam seminggu dua ini kembali hangat isu tentang kerajaan negeri Melaka hendak menukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka. Isu ini terus menjadi hangat apabila wakil di pihak pembangkang mempertikai dan membantah usul ini. Pihak pembangkang juga telah menyatakan bahawa pihak kerajaan mahu menukar sejarah. 

Tidak... Ini bukan untuk menukar sejarah. Tetapi sebenarnya kita sedang kembalikan sejarah. Kita kembalikan nama Bukit St. Paul kepada nama sebenarnya iaitu Bukit Melaka. 

Sebenarnya, pada tahun 2020 yang lalu, aku telahpun menulis tentang Bukit Melaka, boleh baca di sini "Bukit Melaka : Satu Catatan Sejarah". Di sini aku tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai peta lakaran yang menunjukan lokasi Bukit Melaka yang terdapat di dalam catatan Emanuel Godinho De Eredia di dalam bukunya berjudul Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay (Description of Malaca, Meridional India, and Cathay.) yang telah ditulis pada tahun 1613.

Sebelum menulis dengan panjang lebar, mari kita kenali siapakah Emanuel Godinho De Eredia? Bak kata orang-orang lama, tak kenal maka tak cinta. 


Emanuel Godinho De Eredia merupakan seorang Portugis yang lahir di Melaka pada tahun 1563 iaitu semasa zaman penjajahan Portugis di Melaka. Beliau banyak menghabiskan masa kecilnya di Melaka. Bapanya berbangsa Aragon (Sepanyol) manakala ibunya dari keturunan Bugis dari Makasar. Beliau juga mendapat pendidikan awalnya di Melaka dan di Goa, India.

Bapanya bernama João de Erédia Aquaviva manakala ibunya bernama Dona Elena Vessiva. Beliau telah berkahwin dengan isterinya Vilante de Sampaio di Cochin pada tahun 1586 dan telah dikurniakan dua orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1623.

Eredia adalah seorang penulis dan ahli kartografi. Selain itu beliau juga bekerja sebagai jurutera ketenteraan. Beliau banyak menghasilkan peta-peta di kawasan Asia Tengggara untuk Raja Sepanyol.  

Antara penulisan-penulisan Eredia adalah :

- Plantas de plaças das conquistas de Portugal (1610)
- Discourse on the Province of Indostan, termed Mogûl (1611)
- Summary of the Trees and Plants of India intra Ganges (1612)
- Description of Malaca, Meridional India, and Cathay (1613)
- History of the Martyrdom of Luiz Monteiro Coutinho (1615)
- Treatise on Ophir (1616)
- Lyvro de Plataforma das Fortalezas da India (1620)

Eredia adalah ahli kartografi. Bagi yang tidak mengetahui apa itu kartografi, kartografi merupakan ilmu, seni dan teknologi yang digunakan untuk membuat peta. Kartografi adalah sangat berkait dengan ilmu geografi dan topografi. Justeru, sudah pasti beliau merupakan pakar dalam membuat peta dan sangat mengetahui akan sesuatu lokasi yang telah beliau lukis atau lakar. 


Di dalam catatan Eredia yang terdapat di dalam buku Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay terdapat sehelai muka surat yang mengisahkan tentang Malaca Antiga iaitu Melaka pada zaman kuno. Di dalam helaian ini memaparkan sebuah lakaran peta kota Melaka di mana salah satu lokasi yang dinyatakan ialah Monte : Buquet Malaca yang bermaksud Bukit Melaka.

Peta ini merupakan lakaran oleh Eredia yang menunjukan Melaka pada zaman pemerintahan Parameswara (Raja Iskandar Syah). Peta ini adalah selari dengan lokasi jika dibandingkan pada zaman kini iaitu sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Jadi, agak sukar disanggah bahawa tiada penggunaan Bukit Melaka pada catatan terdahulu. 

Ya, mungkin ada yang masih mahu menyanggah dengan menyatakan bahawa Eredia tidak hidup di zaman Parameswara, jadi masakan beliau boleh mengetahui bahawa pada zaman Parameswara bukit ini telah dinamakan sebagai Bukit Melaka? Berkemungkinan memang sejak dahulu bukit ini dikenali sebagai Bukit Melaka, justeru Eredia turut menulisnya sebagai Bukit Melaka sepertimana beliau menulis Bukit China sebagai Buquet China, Bukit Pipi sebagai Buquet Pipi dan Bukit Piatu sebagai Buquet Piato. 

Eredia boleh sahaja meletakkan nama lain contohnya Buquet St. Paul tapi kenapa beliau menyatakan bukit tersebut sebagai Buquet Melaka (Bukit Melaka)? Jawapannya senang, memang bukit tersebut namanya Bukit Melaka.

Selain Eredia, dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) turut mencatatkan kewujudan Bukit Melaka di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 - 1488). Catatan berkaitan Bukit Melaka yang terdapat pada Sulalatus Salatin boleh di baca di sini "Bukit Melaka : Satu Catatan Sejarah". Sulalatus Salatin merupakan teks agung Sejarah Melayu yang mula dikarang oleh Tun Seri Lanang pada sekitar tahun 1612. 

Eredia merupakan seorang penulis yang mempunyai memori yang hebat. Selain daripada melakar peta Bukit Melaka dan persekitarannya, beliau turut menulis perihal Melaka meliputi kisah, lokasi dan nama-nama tempat yang terdapat di Melaka. Antara nama-nama tempat yang dicatat dalam penulisannya seperti Tanjon Chelim (Tanjong Keling), Tanjon Bidara (Tanjong Bidara), Batantiga (Batang Tiga), Rio de Malaca (Sungai Melaka), Muar dan banyak lagi.

Justeru, nama Bukit Melaka merupakan nama asal Bukit St. Paul tidak boleh disangkal lagi. Keputusan kerajaan negeri Melaka untuk mengembalikan nama asal bukit tersebut adalah tepat. Kita bukan menukar sejarah, tetapi kita mengembalikan sejarah.

Sepatutnya ini tidak dijadikan isu sama ada isu perkauman atau isu politik. Jika nak dikatakan ia sebagai isu perkauman adalah tidak logik kerana kerajaan mahu menukarkan kepada Bukit Melaka bukannya Bukit Melayu. Jadi ia tidak harus dijadikan isu perkauman. Kita harus bangga kerana mengembalikan nama bukit tersebut dengan menggunakan nama negeri dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan dan bukannya mengagung-agungkan warisan penjajah. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, jadi apa bezanya mereka dengan penjajah?

Sekarang ini pun telah banyak nama-nama berbahasa Inggeris atau berunsurkan penjajah telah kembali ditukarkan kepada Bahasa Kebangsaan. Di Melaka sendiri telah menukarkan Fort Road (Jalan Kota), Bona Vista (Jalan Hang Tuah), Newcome Road (Jalan Munshi Abdullah) dan banyak lagi. 

Di peringkat nasional juga telah menukarkan nama-nama warisan penjajah kepada Bahasa Kebangsaan seperti Teluk Anson (Teluk Intan), Port Swettenham (Pelabuhan Kelang), Jalan Birch (Jalan Maharajalela), Port Weld (Kuala Sepetang) dan banyak lagi. 

Jadi apa masalahnya tukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka?

Thursday, March 3, 2022

Giveaway Syazni Rahim Blog Nak Masuk Tingkatan 1!

 

"Lepas 5 jam published, masih tak ada penyertaan. Seramlah pulak. Patut tarik balik ke GA ni" (Syazni Rahim)

Aduh kawan.. Tak perlulah tarik semula GA ni, tak berapa lama lagi ramailah yang sertai nanti. Mungkin belum ada rakan-rakan bloggers yang perasan posting kamu ni. Sabar, insyaallah ramai nanti yang akan sertai.

Jadi, bagi rakan-rakan bloggers, jom sama-sama memeriahkan GA anjuran Syazni Rahim ni. Jika berminta hendak sertai, sila ikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan ini :

(1) Buat satu post entri bertajuk : Giveaway Syazni Rahim Blog Nak Masuk Tingkatan 1!

(2) Follow Blog Syazni Rahim.

(3) Letak banner giveaway di atas dan backlink kan ke entri giveaway ini. 

(4) Kalau nak bagi panjang sikit, bolehlah ceritakan entry SR yang mana yang kalian paling ingat? Dan kenapa? (Tak wajib)

Kalau perkara berkaitan Syazni Rahim ni, aku mengetahui bahawa beliau merupakan penulis yang telah menerbitkan beberapa buah buku. Antara buku yang ditulisnya ialah Life Baggage. Buku ini telah dihadiahkan kepada aku sempena dipilih sebagai pengomen bertuah.

Selain itu, Syazni Rahim juga pernah memberi hadiah kepada aku berupa sejadah sebagai pengomen bertuah di blog beliau. Baik sungguh beliau kerana gemar memberi hadiah tanda penghargaan kepada rakan-rakan bloggers

Wednesday, March 2, 2022

Tuesday, March 1, 2022

Mini Giveaway SS 2022

Semasa blogwalking ke blog rakan-rakan, aku terjumpa pula giveaway ni. Rasanya kali pertama aku bertandang ke blog ini dan sebagai tanda sokongan terhadap rakan-rakan bloggers, aku meluangkan sedikit masa untuk menyertai giveaway ini. 

Jadi kepada rakan-rakan bloggers yang masih belum menyertai giveaway ini, silalah beri sokongan dengan menyertainya. Sila klik gambar di bawah untuk mengetahui segala syarat, hadiah dan lain-lain maklumat berkaitan giveaway ini. 


Jangan lupa sertai tau...