Friday, January 28, 2022

Pokok Kelapa

 


Susah nak lihat pokok kelapa sekarang. Zaman aku kecil-kecil dahulu banyak  pokok kelapa di hadapan rumah emak. Rasa-rasanya ada 3 batang pokok di halaman rumah emak di kampung dengan sebatang pokok  condong yang amat menarik bila dipandang.  Namun kini, semuanya sudah tiada. Lama sudah ditebang. Kemungkinan bahaya, kerana pokok-pokoknya tinggi dan berdekatan dengan rumah.

Pokok kelapa jika diambil gambar pun menarik. Sudahlah susah hendak dijumpai, jika sudah jumpa pokok kelapa yang cantik kedudukannya, pasti akau akan cuba mengambil gambar. Sekadar minat mengambil gambar, bukan profesional pun.

Gambar pokok kelapa di atas tu aku 'tangkap' gambarnya semasa menziarahi rakan sekerja kematian ibu. Sempat juga aku mencuri masa untuk menangkap gambar ini. Teruja, pasal lama juga tak jumpa pokok kelapa yang tinggi-tinggi sebegini. Daunnya melambai-lambai di langit biru. Indah nian.

Thursday, January 27, 2022

Bunga Telang Rancak Berbunga

Alhamdulillah.. Benih bunga telang pemberian Cik Nur yang aku semai pada Julai 2021 lalu kian rancak berbunga. Tak tahu nak buat apa dengan bunga-bunga ini, kebiasaannya aku akan buat air dengan merendam beberapa kumtum bunga telang pada air panas dan letakkan sedikit gula. Sekiranya ada limau, perahkan sedikit untuk lebih sedap.

Bunga telang ni merupakan pewarna asli. Sudah ramai yang gunakan sejak zaman berzaman. Jika di Melaka ni, bunga telang bukan sahaja digunakan oleh orang Melayu, malah turut biasa digunakan oleh kaum Baba Nyonya, Chetti dan Portugis. Ada yang menggunakannya untuk membuat kuih, nasi kerabu dan lain-lain lagi. 

Baru-baru ini aku ada membeli uncang teh kosong di Shopee, nanti-nanti bolehlah petik bunga telang lagi, jemur dan masukkan dalam uncang. Nak minum nanti, rendamkan saja pada air panas seperti membancuh teh.

Dengar-dengar, banyak juga khasiat bunga telang ni. Kalau kalian nak tahu khasiatnya, sila Google sahaja. Banyak maklumat boleh diperolehi.




Friday, January 21, 2022

Kereta Lembu Dari Melaka


Alhamdulillah.. Akhirnya siap juga sebuah buku Siri Khazanah Warisan : Kereta Lembu Dari Melaka yang siap dicetak pada awal Januari 2022 lalu. Ini merupakan terbitan pertama bagi Siri Khazanah Warisan, insyaallah, selepas ini terdapat lagi siri-siri yang lain bakal diterbitkan. 

Buku ini bukanlah sebuah buku yang 'berat', tujuan kami menerbitkan buku ini sebagai satu dokumentasi agar dapat dibaca, difahami, dirasai, ditatapi oleh masyarakat seterusnya memulihara agar khazanah ini tidak hilang ditelan zaman. Umum sedia maklum, kereta lembu amat popular di Melaka, bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini, kereta lembu terus wujud namun pengusahanya semakin kurang dan hampir pupus.

Justeru, buku ini merupakan salah sebuah bahan yang boleh menjadi rujukan kepada masyarakat untuk mengetahui tentang hal-hal berkaitan sejarah kereta lembu, pekembangannya, kaedah pembuatan, bahagian-bahagian kereta lembu, pemilihan jenis lembu dan banyak lagi. Sekiranya ada yang berminat untuk membeli buku ini, harganya cuma RM30.00 sahaja, saya boleh bantu untuk poskan sekiranya ada yang berminat.

Insyaallah, selepas ini kami akan menerbitkan beberapa judul lagi bagi Siri Khazanah Warisan bagi tahun 2022. Antara yang telah dirancang ialah Dondang Sayang, Sanggul Lintang dan Permainan Tradisional.

Thursday, January 6, 2022

Terima Buku Perancangan Tahun 2022 Dari Abam Kie

Alhamdulillah... Dalam menyepi dalam dunia blog buat seketika ada juga rezeki yang diberikan oleh rakan blogger. Kali ini aku terima sebuah buku perancangan tahunan bagi tahun 2022.

Buku ini aku terima blogger Abam Kie sempena menjadi sebahagian Pengomen Tegar blog Abam Kie pada tahun 2021. Daripada 7 orang yang dipilih sebagai pengomen tegar, aku di tangga keempat. Tak sangka pula. 




Apa-apa pun, aku berterima kasih kepada Abam Kie atas hadiah ini. Memang buku ini sampai tepat dan sesuai pada waktunya. Kebetulan, belum terima apa-apa buku perancangan tahunan dari jabatan, jadi buku ini sudah pastinya menjadi buku utama untuk aku bawa ke hulu ke hilir pada tahun ini.

Terima kasih Abam Kie...

Tuesday, January 4, 2022

Ada Yang Rindu Ke?

Ada yang rindu ke? Hehehe...

Minta maaf banyak-banyak kepada rakan bloggers kerana saya tidak aktif berblog seperti dahulu. Bak kata orang tua-tua, daun palas sudah melekat di belakang badan. Aduh.. Malas betul dah sekarang nak kemaskini blog. Jangan kata nak kemaskini, nak buka blog sendiri pun dah malas. Huk aloh.

Nak dikatakan tugasan banyak di pejabat, ya juga. Bukan setakat tugasan di pejabat, bermula Oktober hingga Disember 2021 yang lepas aku banyak berada di tapak ekskavasi bagi meneruskan usaha penyelamatan dan mencari artifak di sekitar kawasan tambak laut di Pulau Melaka. Hari-hari pakaian dan anggota badan dipenuhi lumpur dan kotoran dari tanah. Balik rumah, badan pun sudah penat. Jadi bermula Oktober tahun lepas jugalah aku mula perlahan dan terus tidak mengemaskini blog.

Rehat tengah hari. Nampak benar penatnya. Hehehe


Alhamdulillah, kerja-kerja penggalian ekskavasi penyelamatan artifak pada masa tersebut telah banyak menaikkan artifak-artifak seusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara artifak yang paling banyak ditemui ialah porselin dan serpihan-serpihan porselin (biru-putih) dari zaman Dinasti Ming. 

Terdapat juga lebih 200 keping syiling timah bercetak Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain jumpaan seperti syiling Portugis, serpihan-serpihan tembikar tanah dan batu serta lain-lain lagi. Sebahagian artifak ini yang masih dalam keadaan baik ada dipamerkan di Kompleks Muzium Rakyat. 

Selain itu, selepas kerja-kerja ekskavasi tamat, aku bersama bahagian aku telah melaksanakan sesi bicara warisan dengan menjemput 3 orang pakar dalam bidang arkeologi dan maritim untuk membentangkan kertas kerja masing-masing berkaitan penemuan artifak-artifak tersebut.

Sebenarnya, kerja-kerja ekskavasi tersebut belum selesai sepenuhnya cuma lesen penggalian dari Jabatan Warisan Negara (JWN) telah tamat. Kerja-kerja sebegini sebenarnya memerlukan kos yang agak besar juga, jadi kami dalam usaha untuk meneruskan lagi dan akan memohon kembali lesen penggalian. 

Nak lihat beberapa artifak yang ditemui boleh lihat di SINI.