Thursday, October 7, 2021

Gereja St. Paul Asalnya Adalah Sebuah Masjid?


Gereja St. Paul di Bukit Melaka.... Beberapa penyelidik menyatakan bahawa dahulunya ia merupakan sebuah masjid di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Berkemungkinan juga! Posisinya juga menghadap ke arah kiblat. Adakah itu suratan atau kebetulan?

Umum mengetahui, sebelum Portugis menakluk Melaka, Melaka merupakan antara sebuah empayar yang telah masyhur, mempunyai pelabuhan dagangan Timur dan Barat. Mempunyai perundangan tersendiri (Hukum Kanun Melaka & Undang-undang Laut Melaka) dan ditadbir dengan sistem kesultanan yang bersistematik dibantu oleh pembesar-pembesar seperti Bendahara, Temenggong, Laksamana dan lain-lainnya yang mempunyai peranan dan tugasan ditetapkan.

Melaka telah mempunyai kota yang hebat. Catatan Portugis sendiri menyatakan beberapa gambaran tentang kota Melaka yang dibina dari kayu dan batu. Ada juga dibina dengan batu semata dan ada juga kayu sahaja. Terdapat juga masjid-masjid di sekitar kawasan istana dan kota.

Kota Melaka setelah ditakluki Portugis, mereka membina A' Famosa seterusnya membina Fortaleza De Malaca (Kota Melaka). Apabila Belanda berjaya menakluki Melaka, kota ini tidak dimusnahkan malah dinaiktaraf dan dipertingkatkan pertahanannya. Cuma semasa pemerintahan Inggeris, mereka telah memusnahkan keseluruhan kota dan yang tinggal hanya pintu gerbang Santiago (Porta Da Santiago).

Sedikit persoalan, adakah pihak Portugis benar-benar membina tembok kubu kota yang mengelilingi Bukit Melaka atau sekadar menaiktaraf tembok sedia ada? Penggunaan batu laterit (juga dikenali sebagai batu merah, batu lada atau batu besi) yang sering dikaitkan sebagai bahan binaan utama bangunan Portugis sebenarnya telah lama digunakan oleh masyarakat Melaka.

Batu laterit dan masyarakat Melaka sebenarnya sudah lebih dahulu dari Portugis mengenal batu laterit kerana di Melaka memang terdapat banyak batu ini sama ada di daratan, pantai dan pulau-pulau. Penggunaan batu laterit di Melaka boleh dilihat pada asas/tembok rumah, perigi malah batu nisan dan tembok kubur.

Berbalik pada gereja St. Paul yang dikaitkan sebagai sebuah masjid. Berkemungkinan asalnya ia merupakan sebuah masjid yang dikatakan telah bertapak sejak zaman kesultanan Melayu Melaka kemudian dijadikan sebagai gereja oleh Portugis dan Belanda dengan pemusnahan dan penambahan pada struktur-struktur tertentu.

Walaubagaimanapun dapatkan-dapatan mengenai masjid ini merupakan hipotesis dari para penyelidik dan masih belum dapat kesahihan yang sebenar, namun kemungkinan tetap ada. Semoga suatu hari nanti ada penyelidik yang berjaya menghasilkan satu penyelidikan yang dapat menjawab segala persoalan ini.

Monday, September 20, 2021

Giveaway by Shida Radzuan


 
Dengan masa yang ada ini, aku meluangkan sedikit masa untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh blogger Shida Radzuan. Kepada rakan-rakan blogger yang lain, jom kita memeriahkan giveaway ini sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan blogger yang lain. Sekiranya ingin sertai, sila klik pada gambar di atas untuk mengetahui syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Antara syarat-syaratnya :

1. Buat satu post entri bertajuk : Giveaway by Shida Radzuan (sudah)

2. Follow Socmed shida : Blog + Facebook + Instagram + Twitter (sudah kecuali Twitter sebab tiada)

3. Letak banner giveaway dan backlink kan ke entri giveaway (sudah)

4. Cerita sikit dalam entri : Apa yang korang suka tentang blog Shida

"Blog Shida Radzuan merupakan sebuah blog yang berinformasi sama ada perihal dunia blog, tips-tips dan maklumat-maklumat semasa. Gaya penyampaian dan penggunaan ayat dan perkataan yang baik. Apa yang paling suka ialah blog aku tersenarai dalam bloglist beliau dan kami saling meninggalkan komen di blog masing-masing."

5. Selesai semua, publish dan submit link entri ke ruangan komen entri ini. (sudah)

Sunday, September 19, 2021

Menternak Ayam Kampung Kacuk

Harga ayam di pasaran sekarang cukup tinggi. Aku pula tidak gemar atau jarang membeli ayam di pasaraya. Biasa beli ayam di kedai atau tempat proses ayam orang Melayu kita. Sekali beli seekor ayam boleh cecah hingga RM20.00. 

Nak dijadikan cerita, aku fikir kenapa tak menternak ayam kampung sahaja. Di rumah mak memang sudah ada reban ayam yang agak besar, tetapi ayamnya saja yang kurang. Jadi, inilah peluang untuk menternak ayam dengan jumlah yang sedikit banyak.

Aku merupakan seorang yang suka bereksperimen. Suka try and error. Apabila sesuatu terlintas di fikiran terus aku ingin mencuba. Lantas aku membeli 30 ekor anak ayam kampung kacuk dengan harapan dalam dua hingga tiga bulan nanti tidak perlu lagi membeli ayam. Boleh makan ayam yang diternak sendiri sahaja.


Anak-anak ayam kampung kacuk ini aku beli dengan memesan pada rakan sekerja isteri. Dia yang tolong belikan dan hantarkan. Kebetulan pada masa yang sama dia pun hendak membeli anak ayam. Dia juga seorang penternak yang agak berjaya walaupun hanya kecil-kecilan. Aku membeli seekor anak ayam kampung kacuk dengan harga RM2.80 seekor dan aku tambahlah sedikit upah penghantaran.

Apabila balik saja ke rumah mak, dengan bantuan abang aku, dia buatkan pendawaian lampu untuk reban anak ayam. Ayam yang kecil atau baru lahir perlu ada lampu agar sentiasa berasa panas atau hangat sesuai untuk tumbesarannya.

Semoga anak-anak ayam ini membesar dengan sihat. Jika projek pertama ini berjaya, sudah boleh berkira-kira untuk menambah bilangannya pada masa akan datang. Saja suka-suka, untuk makan sendiri dan ahli keluarga yang lain.

Thursday, September 16, 2021

Selamat Hari Malaysia Ke-58 Tahun

Buat Malaysiaku tercinta. Damailah, harmonilah. kekalkan kestabilan ekonomi dan politik negara. Buat rakyat Malaysia, berhentilah berbalah-balah mengenai politik. Majukan diri, dengan hati yang tekad, bangun, bangkit, sama-sama jadikan negara yang tercinta ini kembali disegani oleh negara-negara kawan dan lawan.

Selamat Hari Malaysia untuk semua..

Tuesday, September 14, 2021

Asal Usul Bendera Malaysia

Jika ditulis dengan panjang lebar nanti, tiada pula orang yang rajin membacanya. Jadi, aku mempermudahkan pemahaman dengan membuat infografik ini. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada semua.

Andai diikutkan hati, banyak perkara dan maklumat yang boleh ditulis berkenaan sejarah bendera ini. Ia boleh dimulakan dari bendera Union Jack, bendera Negeri-negeri Selat, bendera Negeri-negeri Melayu Bersekutu sehinggalah bendera Malaysia diberikan nama Jalur Gemilang. Boleh siap sebuah buku sekiranya mahu diceritakan semua.

Namun, cukuplah sekadar infografik ini sahaja. Sekiranya ada permintaan, nanti aku tulis panjang-panjang sejarah bendera ini.


 

Friday, September 10, 2021

Giveaway #busyrakongsirezeki Wang Tunai RM100

Sudah beberapa hari aku melihat giveaway ini berlegar-legar di dalam blog-blog yang sering aku kunjungi. Hari ini (10 September 2021) merupakan hari terakhir giveaway ini diadakan. Jadi aku ambil kesempatan ini untuk menyertai bagi memeriahkan lagi giveaway yang dibuat oleh rakan blogger.

Jika kalian masih belum sertai giveaway ini, mari turut sertainya dengan klik gambar di bawah ini. 



Kepada yang ingin menyertai giveaway ini, sila patuhi syarat-syarat penyertaan:

1. Follow blog busyratakiyudin (sudah)

2. Like facebook page Y.ra Printing (sudah)

3. Buat 1 entri "Giveaway #busyrakongsirezeki Wang Tunai RM100" (sudah)

4. Copy & paste banner di atas dan link kan ke entri ini (sudah)

5. Dalam entri tersebut, nyatakan 1 entri lain yang korang suka dalam blog busyra (sudah)

Oleh kerana aku gemar puisi, aku suka akan entri puisi ini yang bertajuk Tegang. Selain itu, aku juga suka cetak-cetak baju, jadi aku turut suka akan entri Tempah T-shirt Printing - Sehelai Pun Boleh! 

6. Komen link penyertaan korang di ruangan komen (sudah)

Tuesday, September 7, 2021

Antologi Puisi : Tiupan Nafiri



Alhamdulillah.. Sekali lagi aku diberi ruang dan peluang untuk berkolaborasi bersama 23 orang penukil puisi. Jika hendak dibandingkan, ramai penukil puisi yang turut menyumbangkan karya merupakan mereka yang hebat-hebat kerana kebanyakan mereka dari Persatuan Penulis Negeri Melaka namun aku hanyalah sekadar peminat puisi. 

Di dalam buku ini, setiap penukil menyumbangkan 4 buah karya berupa puisi sajak. Jadi, keseluruhan sajak yang terkandung di dalam buku ini ialah sebanyak 92 buah karya. 

Berikut merupakan tajuk-tajuk sajak aku dan tahun ia ditulis :

1. Impian Gaza (9 Februari 2009)
2. Kitakah Manusia Itu (11 Oktober 2013)
3. Siapa Sudi Teman (21 April 2012)
4. Terukir Lukisan Alam (8 Mei 2012)

Sebenarnya aku telah memiliki lebih 50 buah puisi sajak yang dikumpul sejak tahun 2008, namun aku bukanlah penulis sajak yang tegar. Impian aku, ingin menerbitkan buku-buku antologi sajak secara berkumpulan dan kemudiannya teringin juga menerbitkannya secara solo. Insyaallah, mungkin suatu hari nanti, bila? Masih belum diketahui. 

Bukan.. Bukan nak mencipta nama. Aku menulis hanya untuk kepuasan diri dan berharap apabila aku meninggal dunia nanti, karya-karya ini boleh ditatapi oleh anak cucu dan generasi-generasi akan datang agar mereka memperoleh manfaat darinya.

Bagi genre puisi, sebenarnya ini merupakan buku kedua aku menyumbangkan karya, sebelum ini aku turut menyumbang 15 rangkap pantun ke dalam buku Antologi Pantun : Gunung Daik Bercabang Tiga yang telah diterbitkan pada tahun 2020.

* Insyaallah, aku akan buat "segmen hadiah percuma" buku ini nanti. Tunggu ye.

Sunday, September 5, 2021

Mohon "Like"


Mesti ada yang pernah perasan gambar ini telah aku terbitkan di blog sebelum ini. Kepada yang belum sempat melihat dan membacanya, bolehlah klik di SINI

Nak dijadikan cerita, semasa melayari Facebook, aku ternampak satu pertandingan Fotografi Amatur yang dianjurkan oleh Perpustakaan UiTM Pahang. Aku pun terfikir untuk mencuba nasib. Manalah tahu ada rezeki. Syarat pertandingan tersebut hanya perlu memuatnaik gambar di dalam borang yang disediakan bersama kapsyen berkaitan kenegaraan Malaysia (menggunakan Google Form).

Jadi, aku pun sertailah pertandingan tersebut dan menulis kapsyen seperti berikut :

"Malaysia merupakan sebuah negara yang aman, damai dan harmoni di mana rakyat pelbagai agama dan bangsa saling bertoleransi serta melengkapi antara satu sama lain dalam memajukan negara yang tercinta ini."

Alhamdulillah, gambar ini telah dipilih untuk Top 30 untuk ke peringkat selanjutnya. Cuma di peringkat seterusnya ini, untuk mencari pemenang prosesnya adalah melalui LIKE TERBANYAK. Aduh, payah juga macam ni. Bukan senang nak minta orang lain like gambar kita.

Justeru, aku memohon ihsan kepada sesiapa yang membaca entri ini agar dapat membantu LIKE gambar tersebut di pautan Facebook ini :


Manalah tahu, dengan bantuan kalian, gambar ini bakal mendapat LIKE yang banyak.. Hehe.. Kita hanya berusaha, Allah SWT. juga yang menentukan segalanya. Segala kerjasama kalian untuk LIKE gambar tersebut, aku dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Allah SWT. sahaja yang dapat membalas jasa kalian. 

Surprise Giveaway By Aienienka

Lama juga tak sertai giveaway. Kebetulan sedang berblogwalking, terperasan beberapa giveaway yang disertai oleh rakan-rakan bloggers. Jadi aku fikir, elok juga aku sertai tanda menyokong usaha para bloggers yang mengadakan giveaway. Matlamat utama aku bukanlah nak menang sangat, cuma nak memeriahkan saja disamping dapat juga membuat entri tatkala tiada idea untuk menulis.

Jadi, kali ini aku sertai giveaway yang dianjurkan dari blog aienienka.com. Sebenarnya ini kali pertama aku menjumpai blognya. Bagus juga ada program giveaway sebegini, secara tak langsung dapat mempromosikan sesebuah blog.

Sekiranya kalian ingin menyertai giveaway ini, sila klik pada gambar di bawah ini untuk mengetahui syarat-syaratnya.



Nak dijadikan cerita, aku pernah menerima beberapa hadiah best surprise. Antara best surprise yang pernah aku terima ialah sebuah motorsikal Honda PCX pemberian isteri pada Oktober 2020. Pada tahun 2021 juga aku menerima sebuah lagi hadiah surprise juga dari isteri iaitu sebuah laptop HP Pavilion merupakan hadiah sempena hari kelahiran. 

Sebelum-sebelum ini juga telah banyak hadiah yang telah aku terima khususnya dari isteri. Aku juga serupa isteri, sering juga memberi hadiah surprise kepadanya. 

Terima Hadiah "Top Commentators" Bulan Ogos 2021

Alhamdulillah.. Orang memberi kita merasa. Tak sangka pula masih mendapat hadiah sebagai antara pengomen tegar di blog shikinrazali.



Seingat aku, dah mula kurang bertandang dan meninggalkan komen dalam beberapa minggu ni, kerana ada ketentuan lain yang menyebabkan aku kurang berblog. Namun tak sangka pula, masih lagi merupakan individu yang banyak meninggalkan komen di beberapa buah blog yang biasa saya kunjungi.

Jadi, terima kasih tak tehingga diucapkan kepada blogger shikinrazali atas pemberian hadiah Top Commentator Bulan Ogos 2021. Ianya amat dihargai.

Saturday, September 4, 2021

Teh Tarik Bungkus Ikat Tepi

 


Pada saat entri ini ditulis, negeri Melaka masih lagi di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1. Aku bekerja mengikut jadual dan penggiliran. Ada kalanya seminggu sekali, ada juga seminggu dua kali. Namun sekiranya ada banyak kerja, aku akan tetap ke pejabat tanpa ikut jadual.

Kedai-kedai pun masih banyak yang belum buka. Kedai yang biasa aku sarapan dan makan tengah hari juga belum memulakan kembali perniagaan. Agak sukar juga. Ditambah lagi masih banyak kedai yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai. Hanya boleh bungkus sahaja.

Berpusing aku mencari kedai untuk membeli sarapan. Masih tak buka lagi. Ada juga yang baru nak buka kedai, barangkali aku datang terlalu awal. Peniaga baru nak susun kerusi, tapi jam dah menunjukkan 7.30 pagi. Akhirnya terjumpa sebuah kedai mamak. Difikirkan mahu makan di kedai sahaja, namun kecewa. Hanya bungkus dibenarkan.

Jadi aku mengambil keputusan untuk membungkus 2 keping roti canai kosong dengan kuah kari. Airnya pula pada awal aku memesan teh O ais. Tapi apabila ada seorang pelanggan yang turut hadir memesan teh tarik, jadi aku bertukar fikiran untuk sama memesan teh tarik. Dah lama tak merasa teh tarik mamak. Rindu.

Dah siap dibungkus aku pun segera kembali ke pejabat. Air teh tarik tu mula-mula ia diikat mati. Apabila mula nak makan roti canai, aku ikatlah tepi, mudah sedikit nak diminum. Tiada pula tempat nak gantung, aku gantunglah di kabinet fail di yang terletak di belakang meja aku. 

Nak dijadikan cerita, roti canai yang dicicah dengan kuah kari tu memang sedap. Kena pula dengan teh tarik, lagi bertambah sedap. Pasal inilah agaknya kenapa ramai orang memilih untuk makan di kedai atau restoran mamak. Mungkin ada beberapa rahsianya yang kita tidak tahu. 

Friday, September 3, 2021

Oh! Teratai Bunga Indah


Aku bukanlah orang bandar. Orang kampung. Walaupun orang kampung, masa aku kecil-kecil tidak pernah ke sawah padi. Mungkin kerana tiada ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja di sawah. Lantaran itu, aku tidak pernah masuk ke sawah untuk bermain lumpur dan selut.

Walaupun begitu, bukan bererti aku tidak pernah langsung pergi ke bendang di masa kecil. Ya pernah, tapi cuma berlalu saja. Memancing di sawah pun tidak pernah. Dulu lebih suka memancing di pantai, kerana rumah mak pun berhampiran pantai. Cuma sekarang ini sahaja apabila berpindah di kawasan perumahan yang begitu hampir dengan sawah padi, aktiviti memancing di tali air telah menjadi kebiasaan aku.

Baru-baru ini aku berbasikal. Kayuh berseorangan melalui laluan kampung, tali air dan sawah padi yang terbentang luas. Ya Allah! Dalam hati aku kenapa aku tak pernah merasakan perasaan dan pemandangan yang begitu indah sekali sebelum ini. Kawasan ini dekat sahaja di kawasan perumahan aku, namun ia kelihatan asing bagiku kerana memang aku tak pernah melalui kawasan tersebut.

Beberapa kali dalam hati ini terdetik perasaan malang bagiku. Umur sudah melepasi 4 siri tetapi baru tahu ada tempat yang aman damai seperti ini. Kayuh basikal petang-petang walaupun berseorangan tidak merasa penat dan lelah. Ramai orang memancing di situ. Barangkali orang-orang kampung berdekatan. Sesekali berhenti mengayuh menyapa orang-orang yang sedang memancing. Ada yang muda, ada yang berusia.

Mungkin ini saja catatan aku pada kali ini. Benarlah kata orang-orang terdahulu, jauh perjalanan luas pemandangan. Maaf jika ada sedikit perubahan pada kata ganti nama diri. Awalnya dulu, memang menggunakan 'aku', kemudian tukar kepada 'saya'. Kini kembali menggunakan AKU kerana aku rasa ia lebih selesa bagiku menulis demikian. 

Monday, August 30, 2021

Selamat Hari Kebangsaan Ke - 64

 

Selamat Hari Kebangsaan ke - 64 tahun buat semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama. Semoga negara kita yang tercinta ini kekal merdeka buat selama-lamanya.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!


Sunday, August 29, 2021

Baju Bendera Malaysia

 

Muhammad Firas Faiq


Dulu-dulu suka sangat pakai baju berjenama. Kalau tiada jenama tak nak beli. Lebih baik lagi bila dapat pakai baju berjenama luar negara. Ada gaya, nampak mahal. Tapi itu semua dululah. Cerita lama.

Sekarang sudah banyak usahawan-usahawan kita menghasilkan baju terutamanya t-shirt dengan corak-corak yang menarik dan kreatif. Kualiti baju pun setanding juga dengan yang berjenama. Harganya pun amat berpatutan. Alah, baju saja kot. Nak beli mahal-mahal pun nak buat apa. Janji dapat pakai sudahlah. 

Nak dijadikan cerita, isteri saya telah membeli t-shirt bertemakan bendera Malaysia untuk anak-anak saya. Keempat-empat dapat seorang sepasang. Warna merah satu dan warna kelabu satu. Baju murah-murah saja. Seronoklah mereka dapat pakai baju sedondon di bulan kemerdekaan ini. Sempena bulan kemerdekaan ni, kenalah pakai baju bertemakan bendera Malaysia ye tak? Nak ambil feel sedikit...

Gambar di atas tu, memperkenalkan Muhammad Firas Faiq, anak ketiga saya selaku model baju t-shirt Malaysia.. Dia seorang ni lain sedikit dari adik beradik lain, bisa ngomong bahasa Indonesia kerana suka tengok gamer YouTuber dari Indonesia. Hehe..

Friday, August 27, 2021

Ayuh Kibarkan Jalur Gemilang

 

Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-64 tidak berapa hari saja lagi. Sana sini meriah dengan pemasangan bendera Jalur Gemilang. Walaupun masih dalam situasi covid-19, namun Jalur Gemilang terus berkibar di mana-mana termasuk di sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, di taman-taman perumahan dan tak lupa juga di kampung-kampung. Di taman perumahan saya juga banyak rumah yang kibarkan Jalur Gemilang. Ditambah lagi dengan bendera-bendera yang dipasang oleh persatuan penduduk, bertambah-tambah meriah dengan bendera.

Petang tadi saja ajak anak perempuan saya Ainnur Afiah untuk buat sesi fotografi merdeka. Takde masuk pertandingan mana-mana pun. Saja suka-suka sambil menerapkan semangat patriotik pada anak-anak. Tak dapat buat banyak aksi, kerana bateri telefon bimbit dah tinggal sedikit. Benda buat tak dirancang, kebetulan saja. Bateri habis pun tak perasan. 

Ayuh! Penuhkan Facebook, Blog, Instagram dan lain-lain media sosial dengan gambar-gambar bertemakan Jalur Gemilang tanda sokongan kita di bulan kemerdekaan. 

Thursday, August 26, 2021

Doa Sambutan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Pada 31 Ogos 1957

Sumber gambar : rijalunsodaqu.com

Berikut merupakan doa yang telah dilafazkan oleh Almarhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan semasa sambutan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Ya Allah! 

Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! 

Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. 

Ya Allah! 

Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! 

Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! 

Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan.

Ya Allah! 

Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Sunday, August 22, 2021

Ada Terowong Rahsia Di Bukit Melaka?

Bukit Melaka atau kini dikenali sebagai Bukit St. Paul merupakan pusat pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu Melaka pada ratusan tahun dahulu. Kawasan yang amat strategik kerana menghadap ke arah laut. Sesuai untuk aspek pertahanan dan pentadbiran khususnya perdagangan, perkapalan dan pelabuhan.

Masa silih berganti, kesultanan Melayu Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis dan mereka mentadbir Melaka juga dari kawasan sekitar Bukit Melaka. Kemudian, Belanda dan British juga turut mentadbir di kawasan yang sama. Kuasa-kuasa barat ini cuma membaiki apa yang sedia ada dan memperkuatkan pertahanan di sini.

Ratusan tahun lamanya Bukit Melaka ini menjadi saksi bisu atas penguasaan kerajaan-kerajaan yang pernah bertakhta di situ. Pasti ada misteri yang masih belum terungkai di bukit ini antaranya terowong rahsia! Benarkah ada terowong rahsia di sekitar Bukit Melaka? 

Secara peribadi, saya sudah melihat hampir 10 ruang, lubang, laluan yang 'boleh dianggap' sebagai terowong atau laluan rahsia di sekitar Bukit Melaka. Namun, untuk mengesahkan ia sebagai terowong masih belum benar-benar dapat dipastikan. Namun, secara hipotesis pihak kami berpendapat ia adalah terowong dan perlu diteruskan penyelidikan ini secara kajian ekskavasi dan menggunakan alatan berteknologi tinggi seperti Ground Penetrating Radar (GPR), LIDAR Sensor Technology atau sebagainya bagi mengesan ruang atau rongga-rongga yang terdapat di bawah tanah atau di bawah bangunan.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang dapatan-dapatan secara kasar yang kami perolehi, cuma jika ingin mengetahui lebih lanjut dan jika berminat, sila ikuti program di bawah ini. 


Semoga ia memberi manfaat kepada semua khususnya para pencinta sejarah tanah air. Simpan tarikhnya dan selamat menonton.

Ps : saya pernah menulis sedikit mengenai kisah terowong ini, boleh baca di SINI

Friday, August 20, 2021

DATO' SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB DILANTIK SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE-9


Teka teki siapakah bakal menerajui kerajaan Malaysia kini telah terjawab apabila DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia berkenan untuk melantik Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen dari Bera, Pahang.

Selamat menjalankan tugas dan semoga dapat memaksimumkan kepentingan rakyat dari kepentingan peribadi. Ingat, jawatan ini bukan untuk selama-lamanya. Dengan keadaan politik yang tidak menentu, bila-bila masa roda boleh berpusing. Rakyat suka, rakyat dukung, rakyat tak suka, rakyat humban.

Semoga membawa Malaysia terus cemerlang! 

Tahniah atas pelantikan.

*****

Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob

Isteri :
Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin

Anak :
4 orang

Pendidikan :
Ijazah Undang-undang Universiti Malaya

Kerjaya Awal :
Peguam
Pengerusi Malaysia Travel Business Sdn. Bhd.
Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)
Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia

Jawatan Kerajaan :

2008 - 2009
Menteri Belia dan Sukan

2009 - 2013
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

2013 - 2015
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

2015 - 2018
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

2020 - 2021
Menteri Pertahanan

2021
Timbalan Perdana Menteri (7 Julai)
Perdana Menteri (20 Ogos)
 

TUTORIAL MELETAKKAN KEPALA BLOG DI TENGAH-TENGAH



Bagi sesiapa yang biasa mengunjungi blog saya, pastinya perasan ada sedikit perubahan di dalam blog ini. Ia bukanlah satu perubahan yang besar, cuma sedikit perubahan pada susun atur (layout) blog sahaja. Sekiranya anda menggunakan komputer peribadi untuk melayari blog ini, paparannya sebesar skrin komputer.

Apabila menukar susun atur, menjadi seperti cacat pula saya lihatkan kepala blog (blog header) yang tidak ikut ukuran sepertimana saiz badan blog (blog body). Kepala blog memberat ke sebelah kiri manakala sebelah kanannya ada ruang kosong. Perkara ini telah lama saya cuba atasi namun menemui jalan buntu.

Saya cuba menyelesaikannya dengan mencari solusi dengan carian di Google. Namun 4,5 buah blog yang saya temui memberi penerangan tidak cocok dengan aturan pengeditan di blog saya. Akhirnya saya telah terjumpa sebuah blog dari luar negara yang banyak membantu saya dalam penyelesaian yang saya perlukan dan ia sungguh ringkas dan mudah.

Sekiranya kalian mempunyai masalah yang serupa untuk meletakkan kepala blog anda di tengah-tengah, bolehlah ikuti langkah-langkah ini :

1. Klik 'theme' dan 'edit html'

2. Cari kod ini : ]]></b:skin> Jika terdapat kesukaran untuk mencari kod ini secara manual, sila tekan 'ctrl & F' kemudian tampalkan kod tersebut dalam carian.

3. Selepas jumpa, sila tampalkan kod di bawah ini sebelum kod ]]></b:skin> :

.header-inner .Header #header-inner { display: block; margin: 0 auto; width: 750px; }

4. Sudah hampir selesai... Selepas itu, sila edit ukuran "750px" di atas mengikut kehendak ukuran yang kalian mahukan. 

5. Setelah selesai, sila simpan (save) dan selesai.

Sekian sahaja perkongsiannya. Moga bermanfaat.

Monday, August 16, 2021

DALAM SETANDAN PISANG BUKAN SEMUANYA BUSUK

 
Hanya daun pisang saja yang mampu diambil gambar. Pisang belum berbuah.

Begitulah indahnya peribahasa ciptaan orang dulu-dulu. Mereka melihat dan meneliti kejadian alam semesta untuk dirujuk kepada perkara-perkara yang dilakukan oleh manusia seharian. Biasanya, tepat sekali perumpamaan ini, iaitu perkaitan antara tumbuhan atau haiwan dan manusia. Sungguh bijak orang-orang dahulu meniliti dan menilai alam ciptaan Allah SWT.

Kenapa pisang? Sebenarnya banyak peribahasa, perumpamaan dan pantun yang menggunakan pisang sebagai objek untuk menerangkan sesuatu. Tak perlulah saya jelaskan kerana semua orang sedia mengetahuinya.

Dalam setandan pisang tak semuanya busuk dan bukan juga semuanya baik. Jadi, jika kita sedia ketahui status pisang-pisang yang terdapat pada setandan pisang, kita sendiri pilihlah. Yang mana baik, simpan atau terus makan, manakala yang sudah busuk, untuk apa disimpan lagi, perlu dibuang sahaja.

Janganlah pula kita menjadi gila dengan membuang semua pisang yang setandan itu. Bukan semuanya busuk, buat apa dibuang semua. Hendak menanam pisang bukannya mudah. Nak tunggu lagi pisangnya berbuah pun satu hal lagi. Jika bernasib baik, berbuah semula, jika tumbesaran pokok terbantut, langsung tak mendatangkan hasil. 

Saya membuat entri ini setelah melihat pokok-pokok pisang di belakang rumah saya kelihatan terbantut tumbesarannya. Malu-malu nak membesar. Barangkali tanahnya tak sesuai. Puas sudah dibelai, dibaja. Mungkin belum ada rezeki nak makan pisang yang ditanam sendiri.

Saturday, August 14, 2021

MENIKMATI BUAH-BUAHAN TEMPATAN



Musim buah kali sungguh puas merasai pelbagai buah-buahan tempatan. Dari buah durian, rambutan, manggis, pulasan, langsat dan pelbagai lagi. Ada yang dibeli, ada juga diperolehi daripada pemberian sedara mara. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Buah-buahan kini kian mendapat tempat di hati warga kita. Musim yang ditunggu-tunggukan. Mujurlah sekarang zaman covid-19, kalau tak, mesti ada saja pesta buah-buahan diadakan di mana-mana. 

Nak dijadikan cerita, hari ini ada lagi yang memberi buah-buahan. Suami anak buah sebelah isteri, bapanya ada kebun di Muar, jadi memang banyak buah-buahan. Memang selalu dia beri pada semua sedara mara. Saya pula memang suka makan buah tempatan, anak-anak pun suka. Alhamdulillah. 

*****

Antara ayat-ayat Al-Quran yang tercatat perihal buah-buahan/tumbuh-tumbuhan.

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

Surah Al-An'aam : 95

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

Surah Al-An'aam : 99

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.

Surah Taa-Haa : 53

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Surah Ibrahim : 25

Wednesday, August 11, 2021

ANDA KEMURUNGAN DI MUSIM PANDEMIK COVID-19?

Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Bagaimana hendak mengatasinya, itulah yang kita perlu ketahui. Pada ketika ini, pandemik Covid-19 telah banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat terutama yang melibatkan kewangan. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang gajinya dipotong, peniaga terpaksa menutup operasi malah ada yang bankrup. 

Hampir dua tahun masyarakat perlu menjalani perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan. Hendak ke sini tidak boleh, ke sana pun tidak boleh, pendek kata, pergerakkan adalah terbatas. Tidak seperti dahulu. Bayangkan jenis individu yang amat patuh, sentiasa duduk di rumah sahaja. Barangkali, apa yang berlaku di luar rumah pun tidak diketahuinya.

Mungkin akan ada sesuatu yang negatif berlaku apabila pandemik covid-19 berterusan antaranya kemurungan. Jaga-jaga, sebenarnya kemurungan ini adalah sesuatu yang begitu bahaya. Ia boleh membawa kepada kes bunuh diri.



Justeru, mari sama-sama menyaksikan sebuah program Impak Psikologi Semasa Impak Pandemik Covid-19 yang akan membincangkan tajuk Kemurungan Pembunuh Dalam Diam. Program ini akan diadakan pada 12 Ogos 2021 (Khamis) bermula jam 3.00 petang hingga 4.00 petang yang akan mengetengahkan Dr. Ahmad Rostam Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. 

Program ini dianjurkan oleh Unit Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) negeri Melaka. Kebetulan saya merupakan ahli AKRAB dan telah dijemput untuk menjadi moderator. Rakan-rakan yang berminat boleh ikuti program ini melalui siaran langsung di Facebook rasmi Unit Psikologi & kaunseling, JKMM.

Tuesday, August 10, 2021

TERIMA HADIAH GENG KUAT KOMEN DARI BLOGGER SHIDA RADZUAN


Tak sangka dapat lagi hadiah dari rakan blogger. Kali ini dari blogger Shida Radzuan. Saya dikatakan antara geng kuat komen di blog beliau. Alhamdulillah, terima kasih blogger Shida Radzuan kerana mengirimkan hadiah ini untuk saya dan rakan-rakan lain yang dinamakan sebagai geng kuat komen.. Hehe..

Hadiah yang saya terima ialah, pelitup muka (Jovian) dan juga penyambung pelitup muka bercorak warna bendera Palestin. Insyaallah, esok ke pejabat saya akan guna pelitup muka ini. Untuk penyambung pelitup muka tu saya akan berikan kepada isteri saya sebab biasaya perempuan yang pakai tu.

Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan kepada blogger Shida Radzuan atas pemberian ini. Sesungguhnya ia sangat dihargai.

SALAM MAAL HIJRAH 1443


Selamat tahun baharu 1443 hijrah kepada semua umat manusia seantero dunia. Semoga tahun baharu ini menjadikan kita lebih baik berbanding tahun-tahun yang sudah. Tak lupa juga, moga-moga tahun ini pandemik covid-19 berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Apabila tiba tahun baharu hijrah, pastinya lagu malar segar ini kerap dijadikan lagu tema Maal Hijrah. Jom kita hayati lirik-liriknya yang begitu baik sekali hingga melekat di sanubari sejak dari kita kecil hinggalah sudah besar panjang sekarang.

Satu Muharam Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

Untuk Sepanjang Zaman….

Sedapkan lirik lagu ni? Cuma saya tak pasti apakah tajuk sebenar lagu ni dan siapa penyanyi asalnya. Siapa yang tahu boleh tolong nyatakan di ruang komen. 

Sunday, August 8, 2021

TAHNIAH DATO' MOHD AZIZULHASNI AWANG



Pagi ini sepatutnya hendak berbasikal mengelilingi kawasan sekitar namun teringat akan perlawanan berbasikal Olimpik Tokyo yang melibatkan dua orang pemain negara iaitu Dato' Mohd Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom. Lalu, terus tak jadi untuk berbasikal, lagipun cuaca di luar kelihatan gelap seperti mahu hujan. Di kala entri ini dibuat, hujan pun telah turun dengan lebatnya.

Perlawanan bermula seawal jam 9.30 pagi waktu Malaysia di mana Dato' Mohd Azizulhasni Awang layak ke separuh akhir manakala Shah Firdaus Sahrom terkandas di suku akhir. Dalam jam 10.00 pagi Dato' Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi menang bergaya dalam pusingan separuh akhir sekaligus layak ke peringkat akhir acara keirin (L) berbasikal trek. 

Terasa bergetar tangan melihat perlawanan akhir di telefon bimbit sambil mulut kumat kamit melafazkan doa bagi kejayaan atlit negara. Dada berombak-ombak, berdebar, dan di dalam hati sudah yakin ada kilauan pingat tetapi tidak tahu apa yang bakal dimenangi.

Akhirnya, Dato' Mohd Azizulhasni Awang memenangi pertandingan akhir tersebut,  bukan emas tetapi perak. Alhamdulillah., Tak mengapa, warga Malaysia nampak usahanya. Pingat perak pun sudah cukup untuk dibanggakan. 

Tahniah diucapkan kepada Dato' Mohd Azizulhasni Awang yang menghadiahkan pingat perak untuk negara di bulan kemerdekaan ini. Semoga lebih maju jaya pada masa-masa akan datang.

Tahniah!!!

CARA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN


Makan nasi bungkus bersama empat orang anak merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Dari yang sulung berusia 13 tahun hinggalah ke bongsu berusia 3 tahun, sama-sama menikmati Nasi Ganja Bawah Pokok. Bukan satu bungkus, tetapi dua bungkus nasi habis kami makan. Ibunya tiada masa ni kerana bekerja.

Jadi apa kena mengena makan nasi dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan? Ya lah.. Bila makan nasi bersama-sama beralaskan pembungkus nasi yang sama dengan lauk, kuah dan segalanya dikongsi bersama dapat membangkitkan lebih kemesraan. Sambil jari jemari masing-masing berlaga-laga semasa meramas nasi, mencubit daging ayam seorang sedikit, anak sulung pula bercerita pengalaman beberapa kali makan sebegini semasa dijemput oleh ahli tabligh yang pernah berkampung di kampung emak saya, ia mengundang kelucuan dan kemesraan seterusnya boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ini sekadar pendapat saya, bukan bermaksud makan seperti biasa bersama di satu meja tak mesra, namun apabila merasai sendiri makan begini bersama anak-anak, nampak kemesraan itu lagi jelas terpancar dari kalangan semua ahli keluarga. Sesiapa yang belum cuba, boleh mencubanya. 

Saturday, August 7, 2021

TERIMA HADIAH BUKU DARI BLOGGER SURIA AMANDA


Buka sahaja bungkusan pos sudah terlihat judul buku walaupun samar-samar kelihatan di sebalik pembalut plastik. Macam-macam PETUA, inilah judulnya. Bagus sekali ada usaha oleh penulis/penerbit untuk menerbitkan buku seperti ini. Setidak-tidaknya petua yang juga boleh dikatakan warisan turun temurun dapat didokumentasikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang yang sudah pastinya amat kurang pengetahuan akan petua-petua lama.

Buku ini dihadiahkan kepada saya oleh blogger Suria Amanda atau lebih ingin dikenali sebagai SA. Saya terima sempena dipilih sebagai pengomen bertuah antara 10 pengomen tertinggi blognya bagi bulan Julai 2021.

Terima kasih saya ucapkan kepada SA atas pemberian hadiah ini. Sesungguhnya saya amat menghargainya. Buku ini memang sangat menarik dan sudah pasti saya akan membacanya dan mungkin akan menjadi rujukan saya dari masa ke semasa.

Thursday, August 5, 2021

PANTUN KATAK



Lompat si katak lompat,
lompat di pinggir kota;
apa si katak dapat,
wang ringgit juta-juta.

Lompat si katak lompat,
lompat ke atas bangunan;
apa si katak dapat,
wang hingga tujuh keturunan.

Lompat si katak lompat,
lompat tinggi di angkasa;
apa si katak dapat,
merasa juga mengenggam kuasa.

Lompat si katak lompat,
lompat bawah sinar mentari;
apa si katak dapat,
untung-untung jadi menteri.

Lompat si katak lompat.
lompat tinggi-tinggi;
apa si katak dapat,
berpeluang tambah bini lagi.

Lompat si katak lompat.
lompat ke depan kedai;
apa si katak dapat,
harta berjuta maruah tergadai.

Lompat si katak lompat,
lompat ke tong sampah;
apa si katak dapat,
berak merata kencing bersepah.

Ps : Saya sedang berimiginasi dengan beberapa ekor binatang yang dipanggil katak. Tidak ada kena mengena dengan katak-katak yang lain yang terdapat di muka bumi. Juga tiada kena mengena dengan katak yang masih hidup ataupun katak yang telah mati katak.

Monday, August 2, 2021

FENOMENA HALO

Sedang duduk membelek-belek mesej di whatsapp, terbaca pula mengenai fenomena Halo. Apa lagi bergegas ke luar rumah untuk merakam beberapa gambar sebagai kenangan.

Sambil mengambil gambar sambil mulut tak henti-henti mengucapkan Subhanallah-Maha Suci Allah. Kebetulan anak-anak pun melihatnya sekali, saya pun mulalah tazkirah sedikit agar mereka memahami, inilah tanda-tanda kebesaran, kekuasaan dan kekuatan Allah SWT.