Sunday, May 30, 2021

MUFTI NEGERI PERAK MENINGGAL DUNIA



Innalillah wainna ilaihi rojiun.

Telah kembali ke rahmatullah, Tan Sri Dato' Seri Harussani bin Zakaria, Mufti negeri Perak pada hari ini di tanggal 30 Mei 2021.

Beliau dikatakan telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.45 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun di mana sebelum ini beliau telah disahkan dijangkiti covid-19. Beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Didoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

BACAAN DAN MAKNA SEMASA DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD


Apabila kita baca dan fahami makna bacaan semasa DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD, sudah jelas menyatakan pengabdian diri kepada Allah SWT. Dari memohon keampunan, minta disayangi, minta dijaga aib diri, angkat darjat, dikurniakan rezeki, diberi petunjuk dan diberikan kesihatan merupakan satu doa yang amat lengkap.

Justeru, apabila membaca bacaan ini semasa DUDUK DI ANTARA DUA SUJUD, bacalah dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT agar apa yang dimohon dalam bacaan itu dimakbulkan. 

Sama-sama kita mempraktikkannya. Insyaallah.




Saturday, May 29, 2021

TOTAL LOCKDOWN DALAM BAHASA MALAYSIA

Apa lagi nak diharapkan kepada kerajaan, apabila sesuatu perkara rasmi dan penting seperti telah kehilangan frasa dalam Bahasa Malaysia. TOTAL LOCKDOWN! Ini frasa rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Jadi apa dalam Bahasa Malaysia?

Saya sendiri telah saya terpengaruh dengan apa yang dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan dan turut menulis TOTAL LOCKDOWN pada entri blog semalam iaitu : 




Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka yang saya perolehi dari laman Facebook rasminya TOTAL LOCKDOWN di dalam Bahasa Malaysia ialah SEKATAN PERGERAKAN PENUH. Manakala frasa ini boleh ditakrifkan sebagai :

"Satu keadaan apabila orang ramai atau masyarakat awam tidak dibenarkan langsung memasuki atau meninggalkan satu kawasan atau bangunan secara bebas kerana sesuatu wabak atau hal kecemasan."

Jadi, kalau bukan agensi kerajaan yang memartabatkan Bahasa Malaysia, siapa lagi yang hendak diharapkan? Bukankah Bahasa Malaysia adalah Bahasa Rasmi negara yang mana perlu diutamakan. Kita asyik mengutamakan bahasa asing hingga meminggirkan bahasa sendiri. 

Kelak nanti usah ditanya ke mana menghilangnya Bahasa Malaysia kerana ia adalah berpunca dari pihak kerajaan dan pemimpin sendiri. Dahulu ada penggunaan jawi, sudah lenyap, penggunaan bahasa baku pun telah dihentikan. Tak tahulah, selepas ini apa pula yang bakal berlaku terhadap Bahasa Malaysia.

Ps : Guna Bahasa Inggeris bukan bermakna sangat bijak.

ROTI GARDENIA NAIK HARGA?

Baru sahaja pengumuman TOTAL LOCKDOWN oleh pejabat Perdana Menteri Malaysia, tular pula khabar angin di laman sosial bahawa terdapat kenaikan harga roti Gardenia. Umum mengetahui, roti Gardenia merupakan antara makanan yang sering mendapat perhatian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 



Ini bermula apabila terdapat sekeping surat berlogo syarikat roti Gardenia menyatakan terdapat kenaikan harga roti Gardenia  produk roti Gardenia. Tetapi tiada pula disertakan senarai harga terbaharu tu. Tak pasti pula sama ada surat itu betul atau palsu. Saya semak juga laman sesawang Gardenia, tapi tak jumpa pula makluman berkaitan kenaikan harga.

Semoga tiada kenaikan harga pada produk roti Gardenia. Sekarang rakyat sedang susah, jangan pula dinaikkan harga roti yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia ni. Naik mungkin tak berapa sen sangat, itu anggapan kita yang mungkin mampu, bagaimana pun bagi golongan yang tidak atau kurang mampu. Setiap sen kenaikkan sudah terasa bebanannya.

Friday, May 28, 2021

MALAYSIA TOTAL LOCKDOWN

Setelah angka demi angka kes Covid-19 baharu terus meningkat, akhirnya Kerajaan Malaysia telah mengumumkan LOCKDOWN seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021. Ini bermakna semua sektor sosial dan ekonomi ditutup. Walaubagaimanapun, terdapat sektor-sektor penting akan dibuka.



Semoga tindakan Kerajaan Malaysia ini betul dan mampu menurunkan graf kes baharu di dalam negara ini. Diharapkan juga agar pandemik ini segera berakhir dan lenyap di muka bumi ini.

Pada para pemimpin, masa sekarang bukan masa untuk menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Bukan juga masanya untuk merebut atau mempertahankan kuasa. Sekarang ini sama-sama perlu bersatu padu dan berganding bahu bagi mengatasi pandemik ini.

Dahulu kita kerap marahkan Fatah dan Hamas tidak bersatu bersama menentang pencerobohan Israel. Kita marah pasal Islam tidak bersatu. Tapi sebenarnya, di Malaysia sendiri kita boleh lihat situasi ini. Kita mempunyai ramai wakil rakyat Melayu Islam dari pelbagai parti sama ada pemerintah atau pembangkang, namun kita tidak bersatu menghadapi saat-saat sulit bagi negara. Jadi, jangan ditanya lagi kenapa Islam sukar bersatu.

Walau apapun, ini semua adalah perancangan. Ya, mungkin ada pihak yang menyatakan ini adalah perancangan pihak atau organisasi tertentu yang sedang mengawal dunia. Namun, perancangan ini berlaku dengan keizinan Allah SWT. Sebaik-baik perancang manusia, tidak sebaik perancangan dari Allah SWT.

Kita perlu tetapkan Iman kita yang keenam iaitu percaya pada qada' dan qadar Allah SWT. Semua yang berlaku di dalam dunia ini telah tertulis dan kehendak Allah SWT. Anggap ini semua ujian dan kita harus redha, perbanyakkan ibadah dan terus melaksanakan yang terbaik untuk diri, keluarga, bangsa dan negara (pesanan untuk diri sendiri).

Thursday, May 27, 2021

TUKANG KOMEN BERTUAH BULAN MEI 2021

Musim PKP ni ada sedikit masa untuk menjenguk dan menjengah blog rakan-rakan bloggers. Dari duk skrol handphone tak tentu hala, baik layan blog rakan-rakan, macam-macam cerita dan kisah dapat tahu. Dah jengah blog rakan-rakan, turut mengambil kesempatan untuk meninggalkan komen sebagai tanda kita telah sampai ke blog tersebut.

Alhamdulillah, sekali lagi menjadi pengomen bertuah. Kali ini di blog SHIKINRAZALI bagi bulan Mei 2021. Sebelum ini pernah dapat pengomen bertuah bagi bulan April di blog SYAZNI RAHIM. Saya pun tak sangka, rupanya saya ni antara orang yang suka tinggalkan komen. πŸ˜€

Jom lihat apa yang saya terima...


5 keping sampul duit raya dari Jabatan Bomba Malaysia. Kelima-lima sampul ini telah saya gunakan untuk memberi angpow kepada seorang rakan untuk diberikan kepada anak-anaknya. Kebetulan rakan saya ni seorang pengumpul sampul duit raya. 

Dia amat teruja untuk memperoleh sampul tersebut. Hari Raya baru-baru ini, dia telah masuk TV1 yang menyiarkan hobi uniknya mengumpul sampul duit raya.


Ini pula sebuah bekas mengisi batang yang boleh dilipat. Ini saya simpan untuk kegunaan meletakkan barang-barang di meja pejabat saya. Disertakan juga ucapan ringkas dari pemilik blog SHIKINRAZALI. Rupa-rupanya beliau juga mempunyai kemahiran mengurut, iaitu mengurut wanita. Bagi wanita yang ada angin dalam badan, bolehlah mencuba perkhidmatan urutan yang ditawarkan. 

Akhir kata, terima kasih banyak-banyak kepada SHIKINRAZALI kerana memberi kiriman ini. Saya sangat menghargai. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ




DINAR EMAS PUBLIC GOLD

Hai.. Lama juga tak bercerita pasal emas. Saya jarang bercerita pasal emas di blog ni. Tapi hari ni nak cerita sedikitlah pasal hari ni ada 'sale'. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat mengajak orang ramai untuk menyimpan emas.

Nak dijadikan cerita, anak buah saya iaitu anak kepada abang ngah saya nak bermula menabung emas. Jadi saya sarankan agar menabung emas melalui Public Gold kerana saya adalah Dealer Public Gold. Cerita punya cerita dia pun setuju untuk memulakan menabung emas di Public Gold. Emas fizikal ye, bukan emas atas kertas. Dan ia adalah Patuh Syariah. 

Hari ini anak buah saya membeli 2 'ketul' emas iaitu 1/2 Dinar dan 1 Dinar dengan harga semasa berjumlah RM 1,890.00. Ini emas 999 atau 24K dan seperti sedia maklum, emas adalah logam berharga yang kalis inflasi, tidak sama dengan wang yang berada di dalam beg duit kita sekarang. 

Harga semasa 1/2 Dinar RM725.00


Harga semasa 1 Dinar RM 1,165.00


Ada 2 kaedah untuk mendapatkan emas yang dibeli, sama ada pergi ambil di cawangan negeri masing-masing atau menggunakan khidmat pos. Kalau malas nak keluar jauh-jauh, boleh saja menggunakan pos, ia diinsuranskan. Tak perlu risau.

Di Public Gold ada pelbagai cara untuk menyimpan emas. Nak simpan 1 bulan 1 gram pun boleh, atau nak menyimpan RM100 sebulan atau berselang-selang bulan sehingga genap segram harga emas, ia boleh dikeluarkan pun boleh. Nak tak nak je simpan emas.

Andai ada rakan-rakan yang hendak mula menyimpan emas, boleh daftar di sini : Daftar Public Gold : Tak susah mana pun, jual beli semua boleh dilaksanakan di laman sesawang Public Gold. Simpanlah sedikit emas mana yang termampu, 10 gram ke, 20 gram ke atau ada duit lebih, boleh beli sekilogram emas. 

MANCHESTER UNITED TEWAS PENALTI

Sebelum tidur sudah kunci jam loceng di telefon bimbit jam 3.00 pagi untuk menonton perlawanan akhir UEFA Europa League antara Manchester United dan Villareal. Tapi terlewat bangun, sedar saja buka televisyen, dah minit ke-25 dan Villareal dapat menjaringkan gol pertama pada minit ke-29.

Dalam mata mengantuk, layankan juga sampai habis perlawanan. Separuh masa kedua, Manchester United dapat menyamakan kedudukan satu sama hasil jaringan Edinson Cavani di minit ke-55.

Perlawanan berlarutan hingga ke masa tambahan dan apabila tiada gol lagi dijaringkan perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti. Semua sepakan penalti berjaya menghasilkan gol sehinggalah sepakan De Gea berjaya ditampan oleh penjaga gol Villareal yang akhirnya keputusan sepakan penalti berpihak kepada Villareal dengan jaringan 10 - 11. 

De Gea ditenteramkan oleh rakan pasukan


Kempunan nampaknya Manchester United nak menjulang piala. Tak mengapa, boleh cuba lagi di musim hadapan. MU tetap di hati. πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Waktu solat Subuh pun sudah masuk, bola-bola juga, solat jangan diabaikan. Ok, sempat juga nukilkan sebuah pantun bagi perlawanan pagi tadi :

Perkara lalu jangan dikenang,
kalau dikenang merana hati;
apalah nasib MU tak menang,
main dah baik kalah penalti.

Wednesday, May 26, 2021

Tuesday, May 25, 2021

GAMBARAN KEENAKAN SATE DALAM SATU AYAT



Sate dipanggang oleh si peniaga dengan penuh kasih sayang menggunakan arang yang menghasilkan api yang marak menyala membakar daging-daging ayam dan lembu hingga naik aroma yang menusuk hidung dan kalbu lantas meningkatkan keghairahan nafsu makan insan-insan yang menetap di muka bumi yang fana lalu lidi-lidi sate digenggam erat hingga terasa berminyak di jari jemari dan dimasukkan ke dalam mulut yang sedia ternganga minta disuapi dan akhirnya daging-daging yang lembut berjus dikunyah-kunyah hampir empat puluh kali dengan menggunakan gigi geraham seterusnya ditelan oleh anak tekak kemudian ke perut yang telah meronta-ronta minta diisi dan perut pun bersuara, "so yummy".

Monday, May 24, 2021

KEPUTUSAN KUWAIT LAWAN MALAYSIA

Malam ini merupakan perlawanan terakhir English Premier League (EPL) bagi musim 2020/2021 di mana tiga pasukan berentap habis-habisan untuk layak ke UEFA Champions League. Akhirnya yang layak ialah Liverpool FC dan Chelsea FC yang mengikuti Manchester City FC selaku juara dan Manchester United FC, naib juara. 

Leicester City FC dan West Ham United FC di tangga kelima dan keenam pula layak ke UEFA Europa League manakala Tottenham Hotspur FC di tangga ketujuh layak ke Europa Conference League. Sementara tiga buah pasukan yang akan turun liga ialah Fulham FC, West Bromwich Albion FC dan Sheffield United FC. 



Pasukan Harimau Malaya juga mempunyai perlawanan pada masa yang sama. Tapi hanyalah perlawanan latihan bersama pasukan Kuwait yang berlangsung di Dubai, UAE. Perlawanan ini diadakan sebagai pemanas badan sebelum ke perlawanan kelayakan ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malangnya, Harimau Malaya kalah di tangan Kuwait dengan jaringan 4 berbalas 1. Sebagai peminat bola sepak Malaysia, terasa kecewa juga kerana kita kalah dengan jurang gol yang agak besar. Walaupun ini hanya sekadar perlawanan latihan, kekalahan dengan jaringan gol yang banyak menunjukkan pasukan kita masih belum cukup baik. 

Semoga coach Malaysia dapat menilai semula yang benar-benar boleh bermain untuk ke perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 3 hingga 15 Jun ini.

Come on Harimau Malaya!!!

Ps: Sebelum ni bila ada perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Harimau Malaya, ada kalanya saya turun ke Stadium Bukit Jalil. Cepatlah covid-19 berakhir, nak tengok bola di stadium pun tak boleh. πŸ˜”πŸ˜”πŸ˜”

Sunday, May 23, 2021

PENDEKATAN MAYA

Zaman covid-19 kini semuanya terbatas. Hendak buat program itu tidak boleh, buat ini tidak boleh. Jika boleh sekalipun, perlu melalui prosedur yang amat ketat. Ini semua dilaksanakan bagi mengelakkan penularan pandemik covid-19.

Bagi saya yang bertugas di institusi yang memerlukan pergaulan dengan masyarakat bagi menyampaikan ilmu dan maklumat berkaitan dunia permuziuman termasuk hal berkaitan sejarah, warisan dan kebudayaan, turut merasai keterbatasan ini.

Dahulu pelbagai program secara bersemuka dapat dijalankan dengan meriah sekali. Tidak kiralah sama ada program berskala kecil atau besar. Memang institusi saya ni saban tahun tidak kurang 20 program yang perlu dilaksanakan. Ini adalah untuk menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara memahami sejarah, warisan dan kebudayaan khususnya negeri Melaka.

Kini, agak sukar untuk melaksanakan program. Sekarang lebih tertumpu kepada penyampaian maklumat melalui laman maya seperti di Google Meet, Facebook, YouTube dan lain-lain. Contohnya, mesyuarat boleh dilaksanakan melalui Google Meet. Seminar, program bual bicara, bengkel dan sebagainya boleh dibuat melalui siaran langsung di Facebook atau YouTube.

Semasa mengendalikan program bual bicara secara langsung melalui Facebook

Justeru mana-mana institusi perlu bersedia untuk ke arah ini. Kita tidak tahu, bilakah pendamik ini akan berakhir. Semoga cepatlah ia berakhir agar kita boleh kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. 

🀲🏼🀲🏼🀲🏼

KONTAK RAPAT KLUSTER TABLIGH

Mungkinkah Leonardo da Vinci telah dapat meramalkan covid-19 sejak awal tahun 1500 πŸ˜…

Dulu kecoh! Kecoh satu Malaysia. Nama saya dan rakan-rakan lengkap dengan nama penuh, nama jabatan, jawatan, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon telah ditularkan ke media sosial Facebook dan Whatsapp. Dikatakan kami ini dikehendaki kerana mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang positif covid-19.

Mana taknya, masa itu covid-19 baru sahaja tersebar di Malaysia. Jadi, masyarakat luar teruja untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan covid-19. Kebetulan pula kluster tabligh dikatakan kluster pertama penularan covid-19 di Malaysia.

Nak dijadikan cerita, saya berkursus dua hari pada 9 - 10 Mac 2020 lalu dan kursus tersebut turut dihadiri rakan yang baru pulang dari ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Benda baru, masa tu masih belum panas.  Rakan saya tu pun tak menyedari dia telah terkena covid-19. Tapi masa dia hadir kursus tu, menang dia kata tak sedap badan, dan batuk-batuk.

Dalam beberapa hari selepas kursus, rakan saya telah disahkan positif covid-19. Dalam sekelip mata, perkara ini menjadi viral. Kami yang mengikuti kursus tersebut dikatakan sebagai kontak rapat. Macam-macam versi yang saya dapat baca maklumat yang ditularkan, ada yang betul dan ada yang tidak betul.

Dalam masa sehari maklumat kami ditularkan, tak henti-henti saya terima panggilan dan whatsapp dari ahli keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan mengatakan nama saya telah tular kerana covid-19. Boleh dikatakan, hampir ke seluruh Malaysia perkara ini tular. Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak juga turut bertanyakan hal ini. 

Aduh, sudah! Seharian, dari pagi sampai ke malam melayan pertanyaan orang. Sehinggakan saya siapkan satu teks penjelasan dan saya copy and paste pada mereka-mereka yang bertanya lagi. Penatlah nak menjawab dan menjelaskan.

Selang beberapa hari, saya dan semua peserta yang mengikuti kursus telah membuat saringan covid-19. Awal-awal dahulu, belum ada peralatan swab test seperti sekarang. Dulu cucuk guna cotton but saja. Sampai ke pangkal hidung kena cucuk, terus terasa sakit hidung dibuatnya.

Dalam seminggu selepas itu, keputusan covid-19 keluar. Alhamdulillah, semua peserta yang mengikuti kursus itu didapati negatif. Ketika itu, pada masa yang sama, negara telah lancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula 18 Mac 2020.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, sekiranya disekeliling kita terdapat mereka yang dijangkiti covid-19, tolong jangan bebankan mereka dengan banyak pertanyaan. Mereka telah sakit, kita pula sama sibuk bertanya itu ini, itu ini, sehingga mereka terasa terbeban dan mungkin lebih memberi tekanan kepada mereka. 

Lagi satu, jangan tularkan sesuatu yang kita tidak tahu. Dapatkan dahulu kepastian sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Akhir sekali, harapan saya agar pandemik covid-19 ini segera diangkat oleh Allah SWT dan lenyap di muka bumi ini. Dan kita sebagai muslimin dan muslimat hendaklah sentiasa menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT ini.

Saturday, May 22, 2021

DURIAN BELANDA BERBUAH SULUNG

Alhamdulillah.. Sudah lebih 2 tahun menanam pokok durian Belanda ini, akhirnya berbuah juga. Bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba, akhirnya tidak lari gunung dikejar.



Sebelum ini memang banyak kali pokok durian Belanda ini berbunga, akan tetapi bunganya tidak lekat untuk menjadi buah. Ada kalanya kecewa juga melihatkan bunga-bunga pokok durian Belanda jatuh berguguran di tanah. Mungkin belum ada rezeki.

Ada juga amalkan beberapa petua untuk pokok durian Belanda berbuah, antaranya menggoyangkan pokok yang sedang berbunga selepas jam 10 malam. Ini adalah untuk membantu proses pendebungaan. Beberapa kali jugalah saya malam-malam ke belakang rumah untuk menggoyangkan pokok durian Belanda. Rasa lucu pun ada, sehingga kawan-kawan di Facebook siap beritahu, kasi goyang kuat-kuat. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†

Baja juga memainkan peranan penting. Dulu guna pelbagai baja. Baja biji-biji yang dibeli di kedai pokok bunga. Kemudian tukar ke baja tahi ayam. Terkini guna baja mahal sedikit iaitu baja Milagro.

Tak sabar rasanya nak merasai keenakan buah durian Belanda yang ditanam sendiri. Harap-harap buah tersebut membesar dengan sempurna dan menghasilkan isi yang baik. Apa-apapun, ini semua rezeki Allah SWT. Ada rezeki, adalah, kalau tiada rezeki maka tiadalah. 

GIVEAWAY RAYA 2021 - DUIT RAYA BY BOLA KATOK

Apabila rakan blogger meninggalkan komen menjemput untuk menyertai giveaway yang mereka anjurkan, tak sampai hati untuk mengabaikan jemputan tersebut. Saya luangkan juga sedikit masa untuk turut sertai tanda sokongan saya kepada giveaway yang dianjurkan.



Kali ini saya sertai giveaway yang dianjurkan oleh BOLA KATOK bertemakan Raya 2021. Giveaway ini dijalankan bermula 19 Mei hingga 2 Jun 2021. Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai, sila klik pada gambar banner di atas untuk mengetahui syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Semoga giveaway anjuran BOLA KATOK ini turut mendapat sambutan oleh rakan-rakan blogger yang lain. 

Ayuh, apa lagi! Mari ramai-ramai sertainya. 

Saya tag : tigalalat dan afeezz

HAPPY BIRTHDAY GIVEAWAY BY ABAM KIE



Akhirnya berkesempatan juga untuk menyertai giveaway. Kali ini suka saya untuk menyertai giveaway yang dianjurkan oleh ABAM KIE sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke 48 pada 19 Mei ini.

Di kesempatan ini, ini saya rakamkan ucapan selamat hari lahir buat ABAM KIE, semoga panjang umur, diberikan kesihatan yang berterusan dan moga dimurahkan rezeki.

Bagi yang berminat untuk sertai giveaway ini, sila klik pada gambar banner di atas untuk mengetahui syarat-syarat dan langkah selanjutnya.

Ayuh! Sama-sama kita memeriahkan segmen yang dianjurkan oleh rakan blogger tanda sokongan kita bersama. Bukanlah hadiah yang menjadi ukuran, sokongan yang lebih penting. Andai dapat hadiah, itu adalah rezeki dan bonus. Tak dapat pun tak mengapa. πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Tuesday, May 18, 2021

A FAMOSA ADALAH MASJID?



Menara jam ini didirikan pada tahun 1886 hasil sumbangan Tan Jiak Kim sebagai penghormatan kepada mendiang ayahnya Tan Beng Swee. 

Di sini dahulu terdirinya A' Famosa yang dibina Alfonso de Albuquerque bermula pada Ogos 1511 dan siap pada Januari 1512. Cepat siapnya bukan? Mana tidaknya, seramai 1500 buruh (hamba raja) dipaksa untuk menyiapkan kubu yang mempunyai menara 5 tingkat ini. 

Sebelum terbina A' Famosa, dahulu terdapat sebuah masjid yang dipercayai Masjid Agong Melaka. Menurut catatan Tome Pires di dalam Suma Oriental, kubu A' Famosa dibina di atas runtuhan Masjid Agong Melaka (the great mosque). 

"...the famous fortress which was built on the side of the great mosque, with wall of great width and a tower of five storey. He states that on one side the sea washes against it, and on the other the river."

Terdapat juga catatan mengenai A' Famosa dalam Portuguese Document on Malacca yang memerihalkan :

"At the foot of the hill, in a comparatively short time he built a noble fortress. Do that the hill should not overlook it the keep was built height of a five-storey building with a spire covered with lead. It had apartments commensurate with its majesty. It was so imposing and was situated in a place so remote (from Portugal) that it deserved the name A' Famosa which was given to it." (183)

"The plunder was brought to Afonso D' Albuquerque who by now was already engaged in building a fortress where the mosque once stood which he named Famosa. In order to built it, he made use of the stones from the numerous tombs of important persons of the state.... " (393)

Namun apabila terlihat pada menara jam ini, terbayang di benak fikiran adakah ini simbolik kepada kewujudan menara A' Famosa yang dibina Portugis atau mungkin simbolik kepada menara Masjid Agong Melaka yang dipercayai tapaknya di situ.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA UKM), kebarangkalian A' Famosa itu dahulu merupakan masjid yang telah diubahsuai. Mungkin disebabkan itu Alfonso de Albuquerque hanya memerlukan 5 bulan untuk menyiapkan pembinaannya. 

Ini dapat dibuktikan melalui hipotesis :

1. A' Famosa mempunyai sebuah ruang kelihatan seperti mihrab masjid.

2. Kedudukan A' Famosa menghadap ke arah kiblat.

Bagi mengukuhkan hipotesis ini maka kajian melalui kaedah ekskavasi arkeologi perlu dilaksanakan bagi menelusuri kembali jajaran-jajaran lama kota zaman kesultanan Melayu Melaka. Jika ini dapat dilaksanakan dan ditemui, ia merupakan satu kejayaan besar bagi sejarah Melaka yang sememangnya sudah terkenal seantero dunia.

Monday, May 17, 2021

ISRAEL KOYAK



Koyak.
Israel Koyak.

Inilah perkataan atau frasa yang sedang bermain-main di laman maya ekoran krisis yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel.

Kita biasa menggunakan perkataan ini untuk mengambarkan kain yang koyak atau mengoyak kertas dan sebagainya. Namun, "kekreatifan" netizen Malaysia menggunakan frasa koyak ini ditujukan kepada lawan atau musuh yang dalam keadaan kecewa. 

Apa yang menarik, frasa koyak ini telah trending dan dimasukkan ke dalam Urban Dictionary.  Terdapat beberapa makna yang diberikan kepada frasa koyak ini antaranya :

"Koyak is a Malay word. In translation, it means torn off or tear."

"In Malaysia, the word koyak is used for someone who is easily frustrated over a fight. The word usually uses to insults other people during a fight."

Apa-apapun syabas netizen Malaysia, walaupun kita berjauhan dari negara Palestin namun dapat memberikan impak sebagai tanda sokongan dan solidariti kita terhadap Palestin. 


Sunday, May 16, 2021

SELAMAT HARI GURU 2021

Guru adalah insan yang sering dikaitkan dengan lilin. Mereka sanggup membakar diri demi menerangi insan-insan lain khususnya anak-anak didik. Pengorbanan seorang guru begitu besar, mendidik anak bangsa agar berjaya kemudian hari di dunia dan akhirat.


Hari Guru di Malaysia disambut pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Jika semasa di sekolah dahulu, Hari Guru merupakan sambutan yang amat dinanti-nantikan kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik melibatkan guru-guru dan murid-murid. Namun kini, pendamik Covid-19 telah membataskan semua itu dari dilaksanakan, ditambah lagi dengan sesi pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada tahun 2021 ini, tema Hari Guru ialah "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu". Secara peribadi, saya amat suka akan tema ini. 

Kini, pelbagai ujian dan peperiksaan telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan, situasi yang tidak berorientasikan peperiksaan telah membuka lembaran baharu bagi pelajar menonjolkan diri ke arah apa yang diminati dan kecenderungan mereka. Tidak bermakna kekurangan dari segi akademik, seseorang itu tidak boleh berjaya, malah kebanyakan mereka lebih berjaya dari pelajar yang memasuki universiti.

Justeru, murid-murid perlu menanamkan niat untuk apa berguru, pastinya ia untuk mendapatkan ilmu. Ilmu itu pun luas, banyak bidangnya. Jika suka sesuatu bidang ilmu, carilah guru yang selayaknya kemudian barulah generasi dapat dibina dan dibentuk mengikut acuan-acuan atau bidang-bidang mengikut kecenderungan masing-masing.

Kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada guru-guru, ustaz dan ustazah serta para pensyarah universiti yang telah membentuk saya untuk menjadi "manusia". Insyaallah, segala ilmu yang telah dicurahkan menjadi bekalan kalian sepertimana yang telah tertulis bahawa antara amalan yang berterusan selepas meninggal dunia ialah Ilmu Yang Bermanfaat.

Akhir kata Selamat Hari Guru dari saya buat semua pendidik sama ada yang saya kenali atau tidak. Terimalah serangkap pantun dari saya :

Manuskrip Melayu mari disalin,
isinya tersurat pesan memesan;
guru-guru umpama lilin,
membakar diri menerangi insan.

Lihat juga sajak saya perihal guru yang telah saya karang pada tahun 2012 bertajuk Kembali Kepada Lilin.

Friday, May 14, 2021

PANTUN HARI RAYA

Apabila tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang gemar memberi ucapan kepada adik beradik, saudara mara dan rakan taulan sama ada melalui kad atau media sosial. Ucapan-ucapan ini adalah lebih sedap disampaikan dengan adanya pantun-pantun sebagai penyeri. Apatah lagi kita ini adalah Melayu yang sememangnya begitu rapat dan sinonim dengan pantun.

Andai dahulu kita sering mengutus kad raya, tapi kini di zaman serba moden dan serba pantas ucapan melalui media sosial lebih menjadi pilihan. Semasa penggunaan kad raya dahulu, pantun yang sering digunakan sudah pastinya :

Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca harap balas.

Atau;

Pecah kaca pecah tong,
sudah baca harap gantung.

Hah! Itulah pantun dua kerat yang boleh dianggap pantun tradisi yang sehingga kini digunakan dan tersemat di dalam hati bagi setiap insan yang hidup di zaman lewat 70, 80 dan awal 90-an.

Namun kini, pelbagai pantun bertemakan hari raya telah banyak dicipta oleh kebanyakan orang. Saya juga antara tidak mahu ketinggalan untuk mencipta pantun bertemakan hari raya, antaranya :

Berseri-seri si rama-rama,
mari hinggap di dahan berangan;
subuh pagi takbir bergema,
itu tandanya satu kemenangan.

Burung pipit burung kedidi,
terbang tinggi di atas paya;
mari adik marilah mandi,
persiap diri menyambut raya.

Manis-manis buah kepaya,
manis lagi buah pulasan;
ziarah menziarahi tradisi budaya,
erat hubungan sesama insan.

Daun pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merimbun;
jari disusun maaf dipinta,
salah dan silap mohon diampun.

Bunga melati bunga melur,
harum baunya dibuat hiasan;
lapangkan hati salam dihulur,
bermaaf-maaflah sesama insan.

Jadi, bagaimana dengan pantun ciptaan saya ni? Andai ada ruang penambahbaikan bagi pantun-pantun ini, sila maklum pada saya di ruangan komen untuk sama-sama saya pelajari untuk menghasilkan pantun yang baik.

Ps : Raya kan sebulan, kita pantunlah sampai sebulan. πŸ˜†πŸ˜†πŸ˜†

Ps : PANTUN telah diiktiraf sebagai WARISAN DUNIA bagi kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO pada 17 Disember 2020.

Thursday, May 13, 2021

DOMAIN DAN KELEBIHANNYA

Andai ada yang perasan, domain bagi blog saya telah bertukar. Alamat untuk blog ini bukan lagi [dot] blogspot [dot] com tetapi sekadar [dot] com sahaja. Justeru, selepas ini sekiranya mahu mencari blog saya cukup sekadar menaip fairusmamat.com.



Sejak tahun 2009 saya menulis blog, tidak pula saya menyangka untuk mempunyai domain sendiri. 2021 menjadi sejarah apabila saya mempunyai domain sendiri dan ini semestinya menjadi satu motivasi untuk terus menulis blog dengan lebih aktif.

Sebenarnya saya terpengaruh dengan entri yang diterbitkan oleh blogger SA. Beliau bercerita tentang domain blognya yang telah diperbaharui. 

Jujurnya, saya ini tidaklah berapa mengerti sangat bab teknikal tentang blog. Domain pun saya kurang faham. Namun, apabila terdetik untuk memahami tentang domain, saya dapati ia amat bagus dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Sebelum mengambil keputusan untuk melanggan domain, saya telah membuat penelitian dari beberapa halaman maya untuk mendapatkan kepastian. Saya turut mencari review pengguna berkaitan produk dan pembekal domain yang boleh dianggap antara yang terbaik.

Setelah membuat pertimbangan, saya telah memilih untuk melanggan domain melalui KLNet Network. Bayaran langganan tahunannya antara yang termurah, iaitu sekitar RM60.00 setahun. Walaupun antara termurah namun perkhidmatan yang diberikan begitu cepat. Setelah membuat pembayaran, kurang 15 minit blog saya telah dikemaskini dengan domain yang dilanggan.

Apa kelebihan mempunyai domain sendiri? Antara kelebihan yang paling utama ialah Search Engine Optimization (SEO). Blog yang mempunyai domain sama ada [dot] my, [dot] com atau [dot]com [dot] my dilihat lebih mesra pencarian. 

Apabila kita membuat satu-satu carian URL yang mempunyai domain ini yang akan berada di atas berbanding dengan URL yang mempunyai [dot] blogspot, [dot] Wordpress dan sebagainya. Secara tidak langsung, blog kita lebih dikunjungi berbanding sebelumnya. Ini saya boleh sahkan, kerana baru sahaja saya menukar domain, dalam masa yang singkat kunjungan ke blog saya meningkat lebih 50% dari sebelumnya. 

Kelebihan kedua ialah URL blog lebih pendek dan ringkas. Kalau dahulunya blog saya fairusmamat.blogspot.com tapi kini hanya perlu menaip fairusmamat.com. Tiadalah pendek sangat, tapi pendeklah juga.

Hanya dua kelebihan ini sahaja yang dapat saya gariskan berdasar pengalaman singkat saya yang baru melanggan domain. Secara peribadi, saya amat menggalakkan penggunaan domain oleh para blogger atau pada mereka yang menjadikan blog sebagai medium jualan atas talian agar blog akan kelihatan lebih berwibawa dan dipercayai kerana mempunyai domain.

Ps: Google Adsense saya kena review semula pula oleh Google. Paling lewat 2 minggu katanya.. πŸ˜”

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM

Assalamualaikum
Warahmatullahi
Wabarakatuh..

Dengan rendah hati dan diri saya Fairus bin Haji Mamat berserta seluruh ahli keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada rakan-rakan blogger dan sesiapa saja yang mengenali diri ini.

Sekiranya ada penulisan saya yang mengguris hati, haraplah dimaafkan. Andai ada penulisan saya yang tidak sehaluan, sealiran atau bercanggah dengan kalian, boleh saja tegur saya. Saya terbuka hati untuk menerima segala teguran yang membina.

Saya turut mendoakan agar rakan-rakan blogger dan sesiapa saja yang saya kenali dapat menyambut hari raya ini dengan gembira di samping keluarga tercinta. Jaga diri, jaga keluarga, insyaallah, Allah jaga kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin.
πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

Setahun sekali dapat bergambar macam ni... πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Susah nak angkat gambar keluarga, si paling kecil tu taknak tengok kamera


Pohon pandan tumbuh melata,
pohon serai hidup merumpun;
jari disusun maaf dipinta,
silap dan salah moga diampun.

Wednesday, May 12, 2021

EXPRESS KAD RAYA GA 2.0 BY NINA

Akhir-akhir ini kerap pula saya menyertai segmen atau giveaway oleh rakan-rakan blogger. Kali ini suka saya untuk menyertai giveaway Express Kad Raya GA 2.0  yang dianjurkan oleh blogger NINA. Ini saya lakukan untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan blogger, yang biasa atau kerap mengunjungi dan rajin meninggalkan komentar di blog saya.

Giveaway ini berlangsung pada masa yang singkat iaitu bermula 11 Mei dan berakhir pada 12 Mei. Jadi sesiapa yang berminat untuk menyertai, sila klik pada gambar banner di bawah. 


Pada blogger NINA, semoga giveaway yang kamu adakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Dan kepada rakan-rakan blogger lain, mari sama-sama menyokong dan memeriahkan giveaway ini dengan menyertainya. 

Kepada yang hendak menyertai, jangan lupa klik pada gambar banner di atas untuk mengetahui syarat-syarat penyertaan.

Tuesday, May 11, 2021

TERIMA HADIAH PENGOMEN BERTUAH


Alhamdulillah... Semalam saya telah terima bungkusan pos dari syarikat J&T yang sampai di pejabat tempat saya bekerja. Telah diduga, sudah pasti ia merupakan bungkusan hadiah sebagai pengomen bertuah bagi bulan April 2021 di blog SYAZNI RAHIM BLOG.

Rasa-rasa saya, sepanjang menulis blog sejak tahun 2009, inilah kali pertama saya mendapat sesuatu dari rakan blogger. Gembira. Ya, saya gembira melalui detik ini, bukan kerana mendapat hadiah, tetapi rasa berbaloi apabila menulis blog dan mengunjungi blog rakan-rakan terasa ada yang menghargainya.

Sebenarnya saya sudah lama terhenti menulis blog. Amat lama juga kerana ketiadaan masa lantaran tugas-tugas hakiki yang banyak ditambah dengan anak-anak yang membesar. Saya banyak meluangkan masa pada tugas dan melayan karenah anak-anak hingga malas nak menulis lagi.

Kini saya kembali menulis kerana saya telah bertukar bahagian di tempat kerja yang memerlukan saya banyak menulis. Justeru, saya mengambil peluang untuk turut kembali aktif menulis blog.

Sekali lagi, berbanyak-banyak terima kasih saya rakamkan kepada SYAHZI RAHIM BLOG atas pemberian ini. Saya masih belum berkesempatan untuk membaca buku ini lagi. Namun saya amat teruja untuk membaca dan menghayati isi penulisan buku ini. 

Oh ya! Saya hampir terlupa untuk menyatakan ini. Sebenarnya saya baru tahu dan mengenali Syazni atau pun nama penanya Syaz Eym merupakan penulis buku atau lebih tepat penulis novel yang saya terima ini. Tak sangka pula ada kenalan blogger yang juga seorang novelis. Bertambah teruja saya mahu membaca novel ini nanti.

Bagi yang masih belum mengenali Syazni Eym dan ingin membaca karya-karya beliau, boleh dapatkannya di pautan INI. Mari kita beri sokongan dengan membeli karya-karya beliau. Dikesempatan ini juga, ingin saya ucapkan semoga Syaz Eym terus menulis tanpa jemu dan menghasilkan karya-karya yang bermanfaat buat pembaca. Tahniah.

1ST GIVEAWAY SEMPENA B'DAY SA 6 JUNE 2021

Sebagai tanda sokongan terhadap rakan-rakan bloggers, saya berbesar hati menyertai giveaway yang dianjurkan oleh Suria Amanda atau lebih suka dikenali sebagai SA. Bukan niat untuk memenangi giveaway, tapi apa yang lebih utama ialah dapat menambah kenalan di alam maya dan menyokong rakan-rakan yang mengadakan giveaway agar terus mendapat sambutan dari rakan bloggers lain.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai giveaway ini, sila klik gambar banner di bawah ini untuk mengetahui peraturan dan syarat-syarat penyertaan. Saya sendiri telah mengikuti segala arahan yang disyaratkan. 


Buat SA, mungkin ini terlalu awal untuk saya ucapkan, namun saya nak ucapkan juga supaya tidak terlupa di kemudian hari. 

"Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kelahiran, semoga diberikan kesihatan yang baik dari Allah SWT, dimurahkan rezeki, dipanjangkan dan diberkati usianya serta tidak lupa juga agar sentiasa ceria-ceria selalu."

IMPIAN GAZA

Terpekik terlolong minta perhatian
tiada sesiapa pun jiran peduli
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Anak bangsa seagamaku berlumuran darah
darah mengalir membasahi bumi
jiranku hanya menutup mata dan telinga.

Peluru menghujani jasad yang tak berdosa
kediaman diumpamakan lapang sasar
jiranku cuma menutup mata dan telinga.

Apa aku ada?
cuma ketulan batuan menjadi senjata
hanya sekujur tubuh menjadi pendinding
dengan laungan kalimah Allahuakbar 
ku rejam batuan menjadi peluru
ku tegapkan tubuh menjadi perisai syahid.

Impianku agar Allah menghulur bantuan
bagaikan Ababil menghapuskan tentera bergajah.

Fairus Mamat
9 Februari 2009


*****

"Dan khabarkan kepada Bani Israel dalam kitab itu : Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu berlaku sombong angkuh dengan melampau."

(Al-Isra' 17 : 4)

Sajak ini telah saya nukilkan pada tahun 2009. Pada ketika itu, kejadian sama seperti sekarang iaitu pengeboman Gaza oleh laknatullah Israel.

Kita sebenarnya telah banyak terhutang budi dengan rakyat Palestin. Mereka berjuang mempertahankan Al-Aqsa, masjid yang begitu suci dan merupakan kiblat pertama umat Islam.

Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan masjid Al-Aqsa, sedangkan kita di sini hanya mampu melihat dan mendengar dari jauh hal kesulitan dan penderitaan yang mereka alami.

Doa saja yang mampu dipanjatkan kepada Allah SWT agar perjuangan Palestin mempertahankan tanah air memperoleh kejayaan. Dengan izin Allah SWT, Insyaallah, suatu hari nanti dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran, kejayaan pasti memihak kepada Islam.



Monday, May 10, 2021

PELAKON TAMBAHAN JEJAK RASUL 2021

Tanggal 9 Mei 2021 berakhirnya siri Jejak Rasul 2021 dengan 15 episod di mana 3 episod terakhir rakamannya di Melaka. Hampir seminggu juga penerbit dan kru rakaman berkampung di Melaka bagi menyiapkan tugasan ini.

Saya pada ketika itu, diarahkan oleh bos untuk membantu dan mengiringi kru pengambaran ke lokasi-lokasi pengambaran. Penerbit, pengacara dan kru-kru pengambaran semua ok, peramah, boleh berborak-borak. Kiranya seminggu saya sebagai pegawai pengiring (LO) tidaklah bosan.

Terdapat juga rakaman semasa kami sedang membuat kerja-kerja ekskavasi arkeologi sekitar Pulau Melaka, jadi ternampaklah kelibat saya dalam beberapa saat di episod terakhir Jejak Rasul 2021. πŸ˜…


Dalam rakaman ini kelihatan saya memakai baju kameja, nampak bersih dan rapi. Tapi hakikatnya, bila saya sudah turun ke tapak ekskavasi, beginilah rupanya. 

πŸ‘‡πŸΌπŸ‘‡πŸΌπŸ‘‡πŸΌ




Sunday, May 9, 2021

INI BUKAN A FAMOSA

Tolong sematkan di dalam hati masing-masing bahawa gambar di bawah ini nama sebenarnya ialah PINTU GERBANG SANTIAGO atau PORTA DE SANTIAGO bukan A' FAMOSA. 

Ini PINTU GERBANG SANTIAGO bukan A' FAMOSA

A' Famosa terletak di bahagian lain iaitu di hadapan bangunan merah (Stadthuys). Harap selepas ini tiada kekeliruan lagi. Jejak Rasul 2021 yang mengisahkan tentang Masjid Agong Melaka di Kota A' Famosa memang benar tapi bukan di pintu gerbang Santiago yang netizen bayangkan. 

Kekhilafan netizen disebabkan kerana pintu gerbang Santiago ini telah sekian lama dikenali A' Famosa sedangkan itu bukanlah namanya yang sebenar.

Berikut adalah dapatan saya yang menyatakan bahawa Masjid Agong Melaka bukan di Pintu Gerbang Santiago :

1. Masjid Agong Melaka terletak berhadapan sungai dan berdekatan jambatan. 

A' Famosa : Ya - Hadapannya Sungai Melaka dan ada jambatan menghubungkan kawasan pasar Melaka pada ketika itu (kini Jonker Street)

Pintu Gerbang Santiago : Tidak - Dahulu pintu gerbang ini berhadapan pantai (Sekarang telah ditambak dan berhadapan Dataran Pahlawan Megamall)

Kawasan ini meliputi A' Famosa hingga ke bulatan kancil (roundabout)


2. Mengikut arah kiblat.

A' Famosa : Ya, mengikut kiblat

Pintu Gerbang Santiago : Tidak mengikut kiblat.

Dilampirkan paparan video di mana pengacara Jejak Rasul 2021, Fedtri Yahya berdiri dan menunjukkan lokasi A' Famosa sebenar yang dipercayai tapak Masjid Agong Melaka.


Lihat video penuh di YouTube TV3 Malaysia Official

Semoga pendedahan ini bermanfaat untuk semua sekaligus memperbetulkan kekeliruan berkaitan kedudukan A' Famosa yang sebenar.

Lihat juga : Kedudukan A' Famosa Yang Sebenar