Friday, April 30, 2021

TAHNIAH PEMENANG GIVEAWAY BUKU HIMPUNAN KUIH MUIH TRADISIONAL ETNIK MELAKA

Terlebih dahulu, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya maka giveaway sulung anjuran saya - Buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan yang amat menggalakkan.

Terima kasih kepada semua blogger yang sudi menyertai giveaway ini. Sokongan dan dokongan kalian amatlah saya hargai. Semoga selepas ini, sekitarnya terdapat lagi giveaway dari saya, harap disertai.

Untuk makluman para peserta, cabutan pemenang saya laksanakan secara dalam talian dengan menggunakan Random Name Picker. Pemilihan dibuat tanpa pilih kasih dan dijalankan dengan penuh berintegriti. πŸ˜ƒ

Jadi, suka saya umumkan bahawa pemenang giveaway Buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka adalah jatuh kepada loveneddy.blogspot.com



Tahniah saya ucapkan kepada loveneddy.blogspot.com. Mohon kerjasama untuk berikan maklumat NAMA PENUH, ALAMAT dan NOMBOR TELEFON bagi tujuan pengeposan buku tersebut. Hantarkan maklumat ke fairusmamat81@gmail.com. 

Sekali lagi, sekalung tahniah buat pemenang.  Pada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa dan jangan pula melupakan blog saya ini. Insyaallah, selepas ini terdapat lagi giveaway dari saya.

Sebagai penutup, di sini saya sertakan video pelaksanaan pemilihan pemenang bagi giveaway ini. Semoga berjumpa lagi pada giveaway yang lain. Terima kasih. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

SENARAI PENYERTAAN GIVEAWAY BUKU HIMPUNAN KUIH MUIH TRADISIONAL ETNIK MELAKA



Alhamdulillah. Edisi sulung giveaway anjuran saya mendapat sambutan yang menggalakkan. Terima kasih kepada semua yang sudi menyertai giveaway ini. Sokongan dan galakan kalian memberi semangat kepada saya untuk terus berblog, di mana sebelum ini blog saya sekian lama menyepi.

Berikut adalah senarai penyertaan yang telah diterima :

1. www.azhafizah.com

2. ikashoid.blogspot.com

3. tiaarasapphire.blogspot.com

4. www.suriaamanda.com

5. zzzyy.blogspot.com

6. famf-tower.blogspot.com

7. karyaku-paridahishak.blogspot.com

8. www.ezaboomboom.com

9. www.shikinrazali.com

10. aniesandyou.blogspot.com

11. iamaslowrunner.blogspot.com

12. loveneddy.blogspot.com

13. imwritingformyself.blogspot.com

14. anakomak6.blogspot.com

15. iammasitahsamsudin.blogspot.com

16. www.travelogsyuhadasalleh.com

17. salatulzarida.blogspot.com

18. kasihkuamani.blogspot.com

19. www.mamapipie.com

20. at-tarmizi.blogspot.com

Insyaallah, saya akan membuat cabutan dalam sedikit sahaja masa lagi. Saya akan membuat cabutan berdasarkan nombor-nombor yang tercatat pada nama blog peserta. 

Harap semua peserta dapat bersabar, sebab 2 hari ni ada bengkel di tempat kerja, agak sibuk sedikit. πŸ™πŸΌ

Senarai pautan peserta boleh dilihat di SINI.

JALAN YANG LURUS DAN BENAR

Malam tidak sunyi

sayup-sayup kedengaran

bunyi-bunyian alam saling bertingkah

menghasilkan irama mendayu syahdu

pepohon hijau tak melambai

tegak berdiri kaku

tiada angin

embun mulai menitik

lantas kedinginan menyelubungi malam gelap pekat yang hanya ditemani lampu neon yang samar.


Menyendiri belajar mensyukuri

meneliti dan menaakul

alam ciptaan Allah yang Maha Agong

agar tidak menyimpang

dari landasan yang lurus lagi benar.


Fairus bin Haji Mamat

26-11-2020

Thursday, April 29, 2021

SALAM NUZUL AL-QURAN 1442 HIJRAH


Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan nabi Muhammad S.A.W ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira’.

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah S.A.W beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s selama 23 tahun, iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Al-Alaq.

Perkataan "Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan salam Nuzul al-Quran buat semua muslimin dan muslimat seantero dunia. Semoga kita semua tergolong dalam insan-insan yang membaca dan memahami isi kandungan al-Quran.

Monday, April 26, 2021

SUDAH ADA YANG BAYAR!

Kali kedua saya singgah di gerai tepi jalan untuk membeli juadah tetapi peniaga tidak mahu menerima wang kerana ia telah dibayar. Kali pertama dahulu, sebelum bulan Ramadan, masa membeli nasi lemak, namun ia telah dibayar oleh seseorang. Alhamdulillah, rezeki Allah SWT yang tentukan.

Kuih seri muka dan koci yang dibeli petang tadi telah dibayar orang


Menurut peniaga, memang biasa jualannya diborong oleh seseorang, kemudian disedekahkan kepada pembeli-pembeli yang mengunjungi gerainya.

Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan berdoa agar si pemberi terus dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda. Insyaallah... 

Sebenarnya, bukan gerai itu saja, di tempat kerja pun sama. Sebelum Ramadan dahulu ada saja insan-insan berhati mulia sedekah (belanja makan) dengan memberikan sejumlah amaun ke sebuah kedai, dan apabila kakitangan jabatan kami makan, dikira telah dibayar makanannya. Ini sangat memotivasikan saya untuk membuat perkara yang sama. 

Dalam keadaan kesulitan yang dihadapi oleh kebanyakan orang sekarang, masih banyak lagi jiwa-jiwa berhati mulia. Mereka begitu pemurah dalam membantu meringankan sedikit beban bagi mereka dalam kesukaran. 

Kita tak sehebat Ustaz Ebit Liew, namun sekiranya ada sedikit kelebihan, bantulah orang yang sangat memerlukan. Dalam wang yang kita miliki, ada hak orang-orang lain juga. Kita bantu orang untuk bantu diri sendiri di akhirat.

Sunday, April 25, 2021

VIDEO PROMO HARI RAYA AIDILFITRI

Hai.. Raya lama lagi, tapi lagu raya sudah keluar. Ini semua gara-gara gatal tangan nak edit-edit video, maka terhasillah video hari raya yang menarik tak seberapa ini.




Sebenarnya saya bukanlah pro, cuma saya suka mengedit gambar dan video. Ia kini menjadi hobi saya. Dengan adanya aplikasi-aplikasi yang berlambak di Google play dan sebagainya, kita yang biasa-biasa ini pun dah boleh mengedit bagaikan seorang profesional. πŸ˜…

Dikesempatan ini juga, suka saya menyarankan aplikasi yang biasa saya gunakan untuk mengedit gambar dan video yang boleh anda cari di Google Play.

Edit fotografi

1. Snapseed

2. PicsArt

Edit videografi

1. Inshot

2. Quik

3. Video Cutter


Thursday, April 22, 2021

GIVEAWAY BUKU HIMPUNAN KUIH MUIH TRADISIONAL ETNIK MELAKA

Bersempena sambutan Hari Buku Sedunia yang disambut pada tanggal 23 April setiap tahun, buat julung kalinya saya berasa teruja untuk membuat Giveaway buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka khas untuk sesiapa sahaja yang berminat atau terperasan posting ini.

Baru-baru ini, buku tersebut telah memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori buku warisan. Alhamdulillah... Saya merupakan antara penulis dan yang menyelaras pembikinan buku ini. Justeru, saya ingin berkongsi buku ini kepada sesiapa yang bertuah.



Bagaimana ingin menyertai give away ini? Syaratnya amat mudah. Sila ikuti syarat di bawah : 

1. Buat posting bertajuk Giveaway Buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka.

2. Muat naik gambar poster di bawah ke entri anda dan buatkan link (backlink) ke entri ini.




3. Publish-kan posting anda dan tinggalkan komen links di entri ini.

4. Terpulang pada anda untuk tulis apa-apa di entri giveaway ini.

5. (Pilihan) bantu tag 1, 2, atau seberapa orang teman blogger anda untuk turut menyertai giveaway ini. Maklumlah, saya ni berblog suam-suam kuku, takut tiada siapa sudi sertai. Tapi sekiranya seorang saja yang sertai, ia tetap pemenang.

Ok. Itulah sahaja syarat-syaratnya. Mudah bukan? Jadi, siapalah seorang yang bertuah untuk mendapat buku tersebut.  Mungkin anda. Ya, anda yang sedang membaca entri ini.

Hadiah

1 buku x 1 orang pemenang. (Pemenang dipilih melalui sistem cabutan bertuah yang terdapat dalam internet)

Tarikh

Giveaway ini berlangsung bermula 23 April hingga 29 April 2021.

Besarlah harapan saya agar ramai menyertai giveaway ini dan semoga berjaya. Sekiranya ada yang tidak memahami syarat yang ditetapkan, sila tinggalkan pertanyaan di ruang komen. πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ

Senarai yang menyertai :




















Sunday, April 18, 2021

MATI SAMBIL MEMEGANG TELEFON BIMBIT

Tajuk yang saya pilih ini tidak mustahil berlaku pada insan-insan yang berada di muka bumi ini. Dan perkara ini memang telah pun berlaku tak kira di dalam negara kita mahupun di luar negara.

Ini berlaku kerana kebergantungan kita terhadap telefon bimbit adalah tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari, pastinya kita akan membelek-belek telefon bimbit untuk membaca whatsapp, melihat Facebook, blog dan Instagram dan lain-lain lagi.

Bukannya seminit dua, kita boleh terus membelek-belek telefon bimbit hingga berjam-jam lamanya. Masa yang begitu berharga dihabiskan begitu sahaja tanpa membuat perkara yang lebih berfaedah.

Alangkah baiknya bagi kita yang beragama Islam ini dapat meluangkan masa untuk membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan al-Mubarak ini. Bukan sahaja dapat pahala, malah pahala yang berlipat kali ganda. Itulah janji Allah SWT, mana mungkin Dia dustakan.




Tidak dapat membaca satu juzuk, dua tiga helai sehari pun boleh. Andai tidak mampu juga, sehelai sehari pun sudah cukup baik. Apa yang penting, kita tidak melupakan Al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT yang suci.

Bukan niat untuk mengajar, cuba sekadar mengingatkan kepada rakan-rakan muslim agar tidak melupakan Al-Quran. Peringatan ini juga merupakan ingatan keras untuk diri sendiri. Memang lumrah manusia selalu lupa dan perlu diperingatkan. Sepertimana isi yang terkandung di dalam surah Al-Asr.



Thursday, April 15, 2021

UBI KAYU SUDAH JADI BOKO UBI

Alkisah semalam menuai sebatang pokok ubi kayu di belakang rumah. Dapatlah beberapa biji ubi kayu yang comel-comel saiznya.

Hasil daripada tuaian semalam terus isteri saya merebus ubi untuk dibuat boko ubi. Sememangnya dahulu saya pernah beritahu isteri, apabila ubi kayu telah mengeluarkan hasil, saya nak minta dia buatkan boko ubi. Sebelum ini pun dia pernah buat dan rasanya pun sedap.


Ha.. inilah rupa boko ubi yang isteri saya buatkan tu. Betul-betul sudah nak masuk waktu berbuka, boko ubi ini siap dihidangkan.  Dapat juga memberikan pada jiran berdekatan. Alhamdulillah, dapat juga jiran merasa.

Entri ini dibuat sebab ada seorang uncle ni bertanya di ruang komen menanyakan dia mahu melihat apa hidangan daripada ubi kayu yang dicabut tu. Jadi uncle, inilah hasilnya... BOKO UBI. πŸ˜ƒπŸ˜ƒπŸ˜ƒ

Selain ubi kayu di belakang rumah yang tanahnya sekangkang kera tu saya turut menanam pokok mulberi, kelapa pandan, cili, nona, serai, daun pandan, durian belanda, jambu air dan nangka namun belum banyak yang keluarkan hasil. Cuma yang sudah mengeluarkan hasil ialah nona, mulberi dan ubi kayu sahaja.

MENUAI UBI KAYU

Hari ini negeri Melaka bercuti sempena ulang tahun ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah. Jadi, kami sekeluarga tinggal saja di rumah berehat tanpa ke mana-mana sambil mengemas apa yang patut.

Saya mengemas kawasan belakang rumah. Sangkar kucing yang memuatkan 8 ekor kucing dibersihkan dari segala kotoran. Sambil itu, buat juga penyelenggaraan kecil dengan menambah jaring di bahagian atas sangkar kerana anak-anak kucing yang kecil dah pandai meloloskan diri dari ruang antara bumbung sangkar.

Kemudian, terperasan pula pokok ubi kayu yang telah ditanam tidak lama dahulu. Tinggi pokoknya. Kelihatan subur daun-daunnya. Pokok ubi ini merupakan pokok seumpamanya yang ditanam di belakang rumah. Jadi, saya amat teruja untuk melihat hasilnya.



Inilah hasilnya. Lumayan juga. Comel-comel saja buahnya. Mungkin terlalu awal dituai. Seeloknya pokok ubi kayu ini dituai selepas 9 bulan ditanam. Hasil yang ini, mungkin baru 3, 4 bulan ditanam.

Tak mengapa, ada beberapa batang pokok lagi masih belum dituai. Saya akan tunggu sehingga lebih 9 bulan untuk mendapatkan ubi yang lebih besar. 

Sementara, batang-batang ubi kayu yang telah saya cabut tadi, telah saya semai semula. Sudah tumbuh sedikit pucuk nanti, bolehlah ditanam kembali.

Alhamdulillah, ada juga hasil berbudi pada tanah yang sekangkang kera di belakang rumah. 😌😌😌

Monday, April 12, 2021

DALIL PUASA



Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak buat rakan-rakan yang mengenali diri saya. Turut ingin diucapkan selamat berpuasa, semoga puasa Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan yang sebelumnya.

Andai penulisan saya sebelum ini terdapat apa-apa kesalahan dan mengguris hati, 10 jari saya susun memohon kemaafan. 

πŸ™πŸΌπŸ™πŸΌπŸ™πŸΌ



Wednesday, April 7, 2021

MENANG ANUGERAH BUKU NEGARA

 


Alhamdulillah. Sebenarnya, hanya sekelumit sumbangan aku dalam penulisan buku ini. Hari ini pada tanggal 7 April 2021, buku Himpunan Kuih Muih Tradisional Etnik Melaka telah diangkat untuk memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori Buku Warisan yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Buku ini adalah terbitan jabatan aku yang menghimpunkan resepi kuih muih tradisional etnik Melaka dan artikel-artikel berkaitan.

Antara resepi-resepi yang terkandung dalam buku ini adalah dari etnik Melayu, Cina, India, Portugis, Chetti, Baba Nyonya dan Orang Asli. Buku ini ditulis dalam dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

Tidaklah banyak mana penulisan aku dalam buku ini, hanya 3 artikel sahaja iaitu : 

1. Pengenalan Perbadanan Muzium Melaka

2. Kuih-muih Warisan Satukan Etnik Melaka

3.  Masakan Tradisional Portugis, Istimewa di Pesta Keagamaan

Sekiranya rakan-rakan blogger ingin mendapatkan buku ini, saya sedia membantu untuk poskan buku ini kepada kalian. Bolehlah tinggalkan komen di bawah sekiranya ingin membeli.


Harga buku ini sepertimana yang tercatat pada poster promosi di atas. Sekiranya mahu membeli, sila tambah beberapa RM untuk tujuan pengeposan. 

WW : MENJENGAH AWAN

 


Monday, April 5, 2021

JUMPAAN STRUKTUR KAPAL DI PULAU MELAKA

 








Sekiranya bukan kayu dari struktur kapal, kayu apakah ini? Inilah persoalan demi persoalan yang bermain di minda dan fikiran aku selama lebih kurang seminggu bersama pasukan untuk menyerlahkan jumpaan kayu ini.

Projek yang dirangka dilaksanakan seminggu masih tidak dapat membongkar persoalan ini. Secara hipotesis, pihak pengkaji berpendapat ini adalah struktur rangka kapal yang berkemungkinan dari zaman kesultanan Melayu Melaka. Ini dikuatkan lagi apabila di lokasi yang sama ditemui ratusan matawang termasuk matawang Sultan Mahmud Syah (1488 - 1511). Turut ditemui sebuah mangkuk porselin kecil dalam keadaan baik.

Kayu yang ditemui telah dibuat uji kaji dan ia adalah dari spesis merbau. Menurut pengkaji, kayu merbau hanya terdapat sekitar Nusantara, justeru adalah dipercayai juga kapal ini merupakan kapal Alam Melayu. Terdapat juga penggunaan teknik pasak yang terkenal dalam senibina Melayu lama.

Dalam perancangan, kerja-kerja ekskavasi bagi menyelamatkan artifak di kawasan tersebut akan dilakukan termasuklah kerja-kerja untuk menyerlahkan jumpaan kayu-kayu yang masih tertanam.

Semoga kerja-kerja ini dipermudahkan dan sejarah kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka dapat dibangkitkan kembali sebagai pembuktian kepada penulisan-penulisan sejarah yang kita sedia maklum selama ini. Jika benar, struktur kayu yang dikatakan sebagai kayu kapal zaman kesultanan Melayu Melaka, maka ia merupakan penemuan yang hebat bagi negeri Melaka dan secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan sejarah.