Sunday, February 7, 2021

MANDI SAFAR DI MELAKA


Mandi Safar ni begitu dekat sebenarnya di kampung aku iaitu di Tanjong Keling, Melaka. 

Pesta Mandi Safar ini dikatakan bermula pada tahun 40 hingga 60-an dengan menjadikan pantai di sekitar Tanjong Keling sebagai lokasi temasya ini dilaksanakan. Kalau lihat kepada video yang dipaparkan di atas, boleh dikatakan pesta Mandi Safar ini merupakan suatu acara yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh seluruh pelusuk rakyat dalam negeri ini.

Difahamkan bahawa pesta ini diadakan pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar. Pesta ini diadakan satu hari satu malam dengan pelbagai acara diadakan seperti mandi tolak bala, aktiviti kebudayaan dan jual-jualan.

Begitu hebat dan meriahnya pesta ini dibuktikan dengan penyertaan lebih 200 hingga 250 buah kereta lembu yang membawa penumpang ke lokasi Mandi Safar dari segenap daerah di negeri Melaka. 

Acara ini diadakan pada bulan Safar kerana kononnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah jatuh sakit dan pulih pada bulan Safar. Ada juga menyatakan bahawa bulan Safar merupakan bulan nahas atau bulan penuh bala.

Justeru, Mandi Safar dikatakan mampu untuk menolak bala ini dari terjadi atau terkena pada seseorang. Sebelum mandi, seseorang akan menyapu badan dengan azimat yang ditulis pada kertas atau daun sebelum mandi di pantai. 

Pesta keramaian ini juga dikatakan antara lokasi bertemu jodoh antara pasangan. Di sini mereka bersuka ria dan bermesra tanpa dihalang oleh keluarga kerana pesta Mandi Safar merupakan aktiviti tahunan yang dianggap suci. Malah ada yang menyatakan bahawa terdapat perhubungan yang mesra antara lelaki dan perempuan sehingga melebihi batas.

Syukur alhamdulillah, akhirnya pesta Mandi Safar telah diharamkan dari diamalkan kerana jelas menunjukkan ciri kurafat. Perkembangan agama Islam dari masa ke masa telah menyelamatkan akidah umat Islam di negeri ini dan Malaysia pada keseluruhannya dari meneruskan pesta yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

Dikatakan aktiviti ini telah diharamkan pada tahun 1977.

Anda boleh membaca mengenai Mandi Safar dari pandangan Islam di sini : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Video : FINAS

No comments:

Post a Comment

Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.