Monday, February 22, 2021

KULIT KAYU MANIS

Alhamdulillah.. Kalau setakat nak dapatkan kulit kayu manis, sudah tak perlu membeli lagi kerana di hadapan rumah emak saya terdapat sebatang pokok kulit kayu manis yang agar besar.

Emak rajin meraut kulit pokok ini lalu dijemur sebelum boleh digunakan sebagai penyedap masakan. Cucu-cucunya juga rajin menolong neneknya meraut kulit pokok kayu manis.

Sesetengah orang ada membuat teh dengan kulit kayu manis ni. Tapi saya belum pernah cuba lagi. Mungkin enak juga rasanya, sebab kalau kita bau saja kulit kayu manis ni, memang sedap aromanya. Mungkin satu hari nanti nak cuba juga buat teh kulit kayu manis.


Kulit kayu manis yang telah diraut kulitnya


Orang-orang kampung dahulu pandai buat ubat dari pokok-pokok hutan dan akar-akar kayu. Antara bahan campuran termasuklah kulit kayu manis ni. 

Dalam keluarga besar saya, arwah nenek Alang yang pandai buat benda ni semua. Masih segar dalam ingatan saya, masa kecil-kecil dahulu suka melihat nenek Alang memotong, mengetuk dan meracik bahan-bahan daripada pokok dan akar untuk dijadikan ubat.

Seingat saya ada 2 jenis ubat yang nenek Alang buat iaitu ubat yang dikenali sebagai ubat periuk dan rokok gostom (untuk resdung). Ubat periuk air rebusan akar kayu di minum, tak ingat pula untuk kegunaan apa.

Dikhabarkan, ilmu ini diturunkan daripada moyang saya dahulu. Selepas nenek Alang meninggal, tiada siapa yang meneruskan kegiatan membuat ubat-ubatan tradisional ni.

Cukuplah sekadar di sini bercerita, ingat nak cerita pasal kulit kayu manis saja, melalut pula ke nostalgia yang lalu.

Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada semua.

Sunday, February 14, 2021

TROLL BOLA SEPAK | FOOTBALL TROLL | LIVERPOOL KALAH LAGI

 



Apa malang nasib Liverpool ni.. Orang buat jaringan hatrik, pasukan dia hatrik kalah 3 kali berturut-turut. Kali ni kalah dengan Leicester City pulak.


Dengan kekalahan Liverpool ni, aku nukilkan serangkap pantun khas untuk peminat Liverpool. 


Rahang lenguh mengunyah kacang pool,

habis mencekik buncit di perut;

malang sungguh nasib Liverpool,

buat hatrik kekalahan berturut-turut.



Sunday, February 7, 2021

MANDI SAFAR DI MELAKA


Mandi Safar ni begitu dekat sebenarnya di kampung aku iaitu di Tanjong Keling, Melaka. 

Pesta Mandi Safar ini dikatakan bermula pada tahun 40 hingga 60-an dengan menjadikan pantai di sekitar Tanjong Keling sebagai lokasi temasya ini dilaksanakan. Kalau lihat kepada video yang dipaparkan di atas, boleh dikatakan pesta Mandi Safar ini merupakan suatu acara yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh seluruh pelusuk rakyat dalam negeri ini.

Difahamkan bahawa pesta ini diadakan pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar. Pesta ini diadakan satu hari satu malam dengan pelbagai acara diadakan seperti mandi tolak bala, aktiviti kebudayaan dan jual-jualan.

Begitu hebat dan meriahnya pesta ini dibuktikan dengan penyertaan lebih 200 hingga 250 buah kereta lembu yang membawa penumpang ke lokasi Mandi Safar dari segenap daerah di negeri Melaka. 

Acara ini diadakan pada bulan Safar kerana kononnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah jatuh sakit dan pulih pada bulan Safar. Ada juga menyatakan bahawa bulan Safar merupakan bulan nahas atau bulan penuh bala.

Justeru, Mandi Safar dikatakan mampu untuk menolak bala ini dari terjadi atau terkena pada seseorang. Sebelum mandi, seseorang akan menyapu badan dengan azimat yang ditulis pada kertas atau daun sebelum mandi di pantai. 

Pesta keramaian ini juga dikatakan antara lokasi bertemu jodoh antara pasangan. Di sini mereka bersuka ria dan bermesra tanpa dihalang oleh keluarga kerana pesta Mandi Safar merupakan aktiviti tahunan yang dianggap suci. Malah ada yang menyatakan bahawa terdapat perhubungan yang mesra antara lelaki dan perempuan sehingga melebihi batas.

Syukur alhamdulillah, akhirnya pesta Mandi Safar telah diharamkan dari diamalkan kerana jelas menunjukkan ciri kurafat. Perkembangan agama Islam dari masa ke masa telah menyelamatkan akidah umat Islam di negeri ini dan Malaysia pada keseluruhannya dari meneruskan pesta yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

Dikatakan aktiviti ini telah diharamkan pada tahun 1977.

Anda boleh membaca mengenai Mandi Safar dari pandangan Islam di sini : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Video : FINAS

TROLL BOLA SEPAK | FOOTBALL TROLL - MANCHESTER UNITED VS EVERTON

 


Apa punya bingailah Manchester United ni.. Last minit boleh jadi seri pulak. Permainan dah bagus, tapi kealpaan bahagian pertahanan di minit akhir menyebabkan Manchester United kempunan tiga mata.

Apa-apapun layankan pantun ni.. Mohon dinyanyikan dengan irama Dondang Sayang.


Sambil menonton pop corn dimamah,

minum pula air strawberi;

Southampton bolehlah dibelasah,

dengan Everton last minit berseri-seri.

Saturday, February 6, 2021

TROLL BOLA SEPAK | FOOTBALL TROLL - ASTON VILLA VS ARSENAL

 


Khas buat penyokong Arsenal. Dengarkanlah serangkap pantun dari hamba. Molek kiranya pantun ini dapat dibalas oleh tuan hamba.


Mencekik pauh di laman Pak Enal,

selesai baghah perut membusung;

malang sungguh nasib Arsenal,

ditembak Villa satu kosong.