Assalamualaikum dan slaam sejahtera.
Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.
Jangan kita mengutuk, memaki mahu pun bergosip yang buruk-buruk tentang majikan atau organisasi tempat kita bekerja. Di situ adalah tempat kita mencari rezeki. Rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita.
Dari rezeki itu, kita memperolehi gaji yang banyak membantu kita bermula gaji yang pertama hingga kini. Gaji itulah kita belanjakan untuk membina keluarga, menyara hidup isteri dan anak-anak, membeli rumah, membeli kenderaan dan berbagai-bagai lagi.
Fikirkanlah... Majikan atau organisasi cuma memberikan peluang kepada kita untuk mendapatkan pekerjaan. Kita sendiri sebenarnya yang memohon pekerjaan itu. Mereka tidak minta pun kita bekerja dengan mereka. Kita yang minta!
Jadi, mengapa harus kita tidak suka dengan majikan atau organisasi tempat kita bekerja? Sekiranya memang tidak mampu bekerja lagi di sesuatu majikan atau organisasi, kita boleh angkat kaki dan carilah pekerjaan lain yang boleh memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada diri kita.
Dan jangan kita jadikan kerja hanya sekadar kerja. Kerjalah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan hati. Sekiranya kerja adalah sekadar kerja, beruk pun boleh bekerja dengan menurut arahan tuannya dengan memanjat pokok kelapa.
Apa kita telah lupa dengan kata-kata indah yang pernah dijawab semasa temuduga dahulu? Semuanya pasti 'ya' dan 'boleh'. tetapi kini, mengapa kita berubah? Disuruh itu, tidak boleh, disuruh ini, banyak alasannya...!
Rasullullah pernah bersabda, "bekerjalah seperti kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadahlah seperti kamu akan mati esok hari."
Jadi, marilah sama-sama kita fikirkan sama ada pekerjaan kita ini adalah tempat kita beribadah ataupun sebagai tempat kita membuat dosa?
Pesanan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat.