Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.
*****
Majapahit merupakan
sebuah kerajaan yang besar suatu ketika dahulu. Seluruh kepulauan Jawa dan
sebahagian kerajaan-kerajaan di Nusantara adalah di bawah takluknya. Semasa
peristiwa serangan Majapahit terhadap Singapura, pemerintahnya ialah Raden Inu
Merta Wangsa yang bergelar Betara Majapahit.
Singapura pula pada
ketika itu di bawah pemerintahan rajanya iaitu Paduka Seri Pikrama Wira
merupakan antara kerajaan besar yang bukan di bawah takluk dan tidak menghantar
sembah kepada Kerajaan Majapahit.
Oleh hal Singapura
tidak menghantar sembah kepada Betara Majapahit, baginda telah menghantar
utusan ke Singapura dengan membawa sekeping tatal sepanjang 7 depa. Tatal
tersebut ditarah tanpa putus dan nipisnya seperti kertas lalu digulung menjadi
seperti subang. Peristiwa tatal ini merupakan satu simbolik yang ingin merendahkan martabat pemerintah Singapura dengan menyatakan bahawa raja Singapura bukanlah seorang ‘anak
lelaki’.
Paduka Seri Pikrama
Wira amat memahami maksud Betara Majapahit dan murka dengan tatal yang
dikirimkan itu lalu membalasnya dengan sebilah beliung. Beliung tersebut telah digunakan
untuk mencukur rambut seorang budak kecil yang telah dilakukan dihadapan utusan
Majapahit. Utusan majapahit telah
menjadi saksi di mana cukuran rambut tersebut dibuat begitu kemas dan licin
tanpa meninggalkan sebarang luka dan garis. Lantaran, beliung yang digunakan
itu telah dihantar ke Betara Majapahit sebagai balasan.
|
Gambar sekadar hiasan |
Setibanya utusan yang
membawa beliung itu tiba di Majapahit, Betara Majapahit melihatnya lalu berasa
teramat murka. Baginda beranggapan raja Singapura begitu biadap kerana
menghantar beliung seolah-olah mahu menarah rambutnya. Justeru, Betara
Majapahit telah mengisytiharkan perang terhadap Singapura.
Betara Majapahit
telah menitahkan untuk menyediakan sebanyak 180 buah jong untuk memerangi
Singapura. Setelah siap semuanya, angkatan Majapahit telah belayar ke
Singapura. Setibanya di Bintan, telah kedengaran di Singapura bahawa Majapahit
telah datang untuk berperang lalu Paduka Seri Pikrama Wira telah mengarahkan
bala tenteranya bersiap-sedia untuk menghadapi Majapahit. Baginda telah
menitahkan angkatannya menyediakan 400 buah kapal untuk memerangi Majapahit.
Maka berlakulah peperangan yang begitu dahsyat di lautan dengan memakan masa selama 3 hari 3 malam. Oleh kerana angkatan Majapahit tidak mahir dalam peperangan di lautan, maka banyaklah kapal-kapal Majaphit yang musnah diserang oleh Singapura. Banyak kapal-kapal Majapahit telah dirampas dan tenteranya ditawan. Ada juga kapal-kapal yang sempat berundur semula ke Majapahit. Akhirnya kemenangan telah berpihak kepada Singapura.
Bibliografi :
A. Samad Ahmad (pngr.). 1997. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.