Monday, March 31, 2014

GARIS, ALOR DAN BENTUK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pameran Solo terbaru yang berlangsung di Bastion House, Bandar Hilir, Melaka. Tajuknya Garis, Alor dan Bentuk. Pelukisnya pula seorang Ambassador iaitu Dato' Mohd Yusof Ahmad.

Ada beberapa gambar lukisan untuk tatapan. Sedikit saja, kalau nak lihat lebih banyak lukisan, datanglah melawat ke pameran ini. Oh.. ya! Ia berlangsung dari 22 Mac hingga 22 April 2014.

Maaf, tiada caption. Layan saja gambarnya.











ANTARA BAIK DENGAN TIDAK BAIK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Insan di dunia sering menilai insan lain melalui luaran sahaja. Sekiranya nampak seseorang itu baik, difikirkan orang tersebut semestinya baik. Begitu juga sebaliknya, sekira terlihat seseorang itu berkelakuan tidak baik, maka dinilai orang tersebut sebagai seorang yang tidak baik. 

Sebenarnya apa yang penting ialah pengakhiran yang baik iaitu Khusnul Khotimah. Pernah tak menonton drama Taubat Seorang Gengster? Walaupun dia seorang yang begitu jahat dan kejam sewaktu masa dahulu, namun atas keinsafan, dia telah bertaubat dan kembali ke jalan Allah yang sebenar-benarnya.

Wallahuaklam.



Tuesday, March 25, 2014

ITUKAH PENAMATNYA MH370?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Begitukah pengakhiran bagi MH370? Berbelas-belas hari dicari namun akhirnya Perdana Menteri DS Najib mengumumkan bahawa menurut analisis data dari pakar, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. 

Lautan Hindi yang terbentang luas

Secara peribadi, aku boleh menerima hanya beberapa peratus dari keputusan analisis yang dinyatakan. Analisis ciptaan manusia dengan menggunakan teknologi yang mungkin betul ataupun kurang tepat. Masih ramai yang inginkan bukti-bukti kukuh bagi menguatkan lagi andaian bahawa MH370 telah terjunam di Lautan Hindi. 

Dimanakah bangkai pesawat MH370? Adakah benar satu cebisanpun tidak dapat dijumpai? Atau kesemuanya telah tersemadi di dasar lautan? Ternyatalah buat masa ini hanya ALLAH S.W.T saja yang Maha Mengetahuinya.  

Apa-apapun, sekiranya analisis ini 100% benar, maka takziah diucapkan kepada keluarga-keluarga mangsa dan sekiranya masih sangsi terhadap keputusan analisis, maka perlulah usaha mencari dan terus mencari dimanakah MH370 berada. 



MH370 tinggal kenangan

Saturday, March 22, 2014

NUFFNANG BERI IKLAN BERUNSUR LUCAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Inilah buat pertama kali blog aku mengeluarkan iklan Nuffnang yang mempunyai unsur lucah. Aku sendiri tidak pernah nampak iklan ni di blog aku, sehingga ia diperasan oleh seorang kenalan blogger AMRY

Lihat saja iklannya di bawah ni. Agak berketepatan pula iklan tu hinggap pada entri aku yang bertajuk CARA-CARA MENDAPATKAN BANYAK IKLAN B.E NUFFNANG.


Seingat aku, tak pernah aku membenarkan iklan-iklan Nuffnang berunsur rokok dan alkohol untuk dipaparkan di blog aku. Aku semak semula di setting, tiada pula item untuk iklan berunsur lucah. Entah macam manalah iklan macam tu boleh terpapar di blog aku.

Aku taknak ulas banyak pasal hal ni, kalau nak baca ulasan yang agak komprehensif, bolehlah kunjungi blog si AMRY, yang telah bermati-matian mempertahankan blog aku yang suci murni ni. :)

Thursday, March 20, 2014

TERKENANG PUISI YANG LALU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kadang-kadang bila berada di tempat kerja, teringat anak-anak di rumah penjaga. Macam manalah dengan keadaan mereka. Tidur ke, bermain-main ke, rindu kat ayah dan mama ke, hanya mereka saja yang tahu.

Tapi, mereka perlu tahu, ayah dia ni pun rindu juga dengan anak-anak. Kalau tak bekerja, nak saja duduk dengan anak seharian di rumah. Membawa mereka bersiar-siar, makan-makan bersama. 

Teringat anak-anak, teringatlah juga puisi-puisi yang telah aku cipta buat mereka, semasa mereka selamat dilahirkan di muka bumi.








Coretan ikhlas dari ayahmu

|
|
V


Moga kelak mereka dapat membaca puisi yang telah aku coretkan ini khas untuk mereka.

Sunday, March 16, 2014

CARA-CARA MENDAPATKAN BANYAK IKLAN B.E NUFFNANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Sebelum apa-apa, sila tengok statistik iklan Nuffnang yang sedang bermain-main di blog aku sekarang...

Sila klik di gambar kalau rabun
Amacam, banyak tak iklan Buffering Earning (B.E) yang sedang 'bermain-main' dalam blog aku? Sekali tujuh tu... 

Sebenarnya aku pun tak tahu macam mana nak dapatkan iklan B.E sebegini banyak. Tiada cara-cara yang menarik yang aku lakukan untuk mendapat iklan B.E. 

Kalau dilihatkan cara aku berblog memang tak boleh dijadikan panduan. Sudahlah sekarang ni agak malas nak menulis blog, entrinya pun bercampur-campur dan entah apa-apa. Hmm... Inilah cara aku.

Kesimpulannya, orang yang berblog cara biasa-biasa saja pun boleh dapat banyak iklan B.E. Hehehe.. 

Saturday, March 15, 2014

SOKONGAN UNTUK #MH370


Asslamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tiada ada apa kudrat yang termampu aku lakukan untuk mencari #MH370, hanya mampu berdoa saja demi keselamatan anak-anak kapal dan para penumpang #MH370. Didoakan juga agar #MH370 segera ditemui.

Petang tadi, kurang lebih 4.30 petang, jabatan aku membuat majlis ringkas untuk #MH370. Dimulakan dengan bacaan doa dan dituruti dengan aktiviti menurunkan tandatangan ke atas banner sebagai sokongan terhadap usaha-usaha pencarian #MH370 yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak terlibat.





Friday, March 14, 2014

TERUSKAN BERDOA UNTUK #MH370


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Duhai kawan-kawan, teruskanlah berdoa kepada ALLAH S.W.T. agar dipermudahkan kerja-kerja pencarian dan keselamatan anak-anak kapal #MH370.

Amin Ya Rabbal 'alamin.



Thursday, March 13, 2014

KOLEKSI PANTUN UNTUK MAJLIS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Aku biasa juga membuat teks pengacara majlis (MC) untuk majlis-majlis di jabatan aku. Antara teks yang pernah aku buat ialah teks untuk majlis perhimpunan pagi jabatan dan juga program-program yang dibuat di bawah kelolaan unit aku.

Dalam membuat teks MC, aku suka menyelitkan pantun-pantun Melayu dalam teks tersebut. Bagi pendapat aku, pantun merupakan secebis kata-kata yang begitu begitu indah, lembut dan sopan. Walhal kalau kita memerli seseorang dalam pantun sekalipun, orang tersebut tidak akan terasa dengannya. 


Oleh kerana kebanyakkan majlis adalah majlis dalaman jabatan aku sendiri, aku lebih suka mencipta pantun-pantun untuk dijadikan teks MC. Berikut merupakan beberapa pantun yang aku cipta untuk majlis-majlis tertentu :

Koleksi Pantun Untuk Majlis (Bahagian 2)

PEMBUKA MAJLIS

Menguntum manis senyuman si dara,
datang teruna ingin bersua,
assalamualaikum mulai bicara,
salam hormat untuk semua.

Mari dimakan sirih puan,
sirih dipetik di Tasek Chini,
selamat datang tuan dan puan,
menjadi penyeri majlis ini.

BACAAN DOA

Buah langsat dicelah pohon,
ambil galah jolok-jolokkan ,
tangan diangkat doa dipohon,
moga Allah dapat restukan.

Membeli pukat di Simpang Ampat,
singgah sebentar di Anjung Batu,
tangan diangkat jari dirapat,
doa dipanjat memohon restu.

MENYAMPAI KATA ALUAN

Pak petani menyabit rumput,
rumput diberi makan ternakan,
jemput bukan sebarang jemput,
jemput menyampai kata aluan.

Masak ranum si buah rambutan,

dimakan sebiji menjadi rinduan, 
hadir tuan dengan jemputan,
mohon diungkap kata aluan,

PERASMIAN MAJLIS

Marilah mari menyorong papan,
papan disorong ke pohon kuini,
marilah tuan mari ke depan,
melafaskan rasmi majlis ini.

Makan nasi di tepi bendang,
bersambal tumis ikan bilis,
datanglah tuan kami mengundang,
tampil ke depan merasmi majlis.

PENUTUP MAJLIS

Mari dipetik sirih puan,
sirih dipetik di tepi perigi,
terima kasih tuan dan puan,
di lain masa berjumpa lagi.

Makan nasi bersayur kailan,
lepas makan terus bersugi,
selamat pulang hadirin sekalian,
ada umur bersua lagi.

Tuesday, March 11, 2014

PUISI BUAT MH370


8 Mac 2014,
dinihari ini,
bulan bintang jadi saksi,
lenyapnya pesawat penuh misteri,
dihuni insan-insani,
dalam juga luar negeri.


Seantero dunia memandang ini,
bantuan dihulur tanda kasihi,
Namun, 
hari-hari terus meniti,
tiada bayang tiada temui,
tiada bukti tiada erti,
pesawat terbang kian dirindui.

Duhai insan-insani,
asal kejadian kehendak Illahi,
Qada' Qadar harus diimani,
Sabar, redha semat di hati,
Allah Ta'ala ingin menguji,
Keimanan insan dunia kini.

Duhai MH370 pesawat misteri,
saban hari dicari-cari,
muncullah kamu munculkan diri,
jangan lagi mengaburi diri,
kasihanilah yang merindui.

Mengharap keajaiban dari Illahi,
selamat kamu mendarat di bumi,
hanya itu pinta kami,
hentikanlah kerinduan ini.

F.B. Mamat
11 Mac 2014
Bukit Katil, Melaka

Monday, March 10, 2014

DARI JAUH KUPOHONKAN #DOAUNTUKMH370


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Aku bukanlah penganalisa penerbangan, bukan juga juga pembuat teori yang bukan-bukan, apatah lagi sebagai seorang jurutera injin kapal terbang. Apa yang hanya aku mampu lakukan adalah berdoa kepada ALLAH S.W.T. agar MH370 ditemui.


Friday, March 7, 2014

PERKENALKAN LOGO HARAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari ini khutbah Jumaat di masjid perihal makanan Halal. Makanan yang Halal lagi baik itu adalah makanan yang terhindar dari benda yang haram dan unsur syubhah. 

Kita orang Islam kalau nak membeli barangan makanan memang sering meneliti dulu sama ada barangan tersebut mempunyai logo Halal atau tidak. Tak kiralah logo Halal manapun, janji ada logo Halal, kitapun beranggapan ianya Halal. 

Sebenarnya ada logo Halal yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), ada juga logo Halal dipalsukan demi untuk mengaut keuntungan dari pengguna Islam.

Sampai bila umat Islam di Malaysia terus ditipu? Rasanya tanpa disedari, sudah banyak makanan Haram yang telah masuk ke dalam perut umat Islam pada zaman sekarang. Pasal itulah generasi sekarang hatinya begitu 'keras'.

Sudah tiba pada saatnya Kerajaan Malaysia melalui jabatan atau agensi tertentu membuat satu logo baru untuk barangan makanan dan lain-lain barangan berkaitan iaitu logo Haram.



Rasanya dengan adanya logo Haram akan lebih 'menyeramkan' pengguna Islam untuk membeli barangan tersebut berbanding logo Halal yang berbagai-bagai jenis.

Begitu juga rokok, harus ada logo Haram di kotak rokok. Manalah tahu, dengan kaedah sebegini boleh barulah tabiat merokok di kalangan umat Islam boleh diberhentikan. (termasuklah dengan si penulis) 

*****

Mungkin ada yang akan berkata, makanan Halal itu bukan sahaja dari keadaan zahir dan batin makanan yang kita beli. Ia juga melibatkan dalam beberapa aspek lagi, seperti :

a) Memakan makanan dari hasil mencuri

b) Membeli makanan untuk anak-anak dan isteri hasil dari rasuah

c) Menjana pendapatan dengan hasil menipu

d) Menerima pendapatan bulanan tetapi kerap ponteng kerja, melepak dan makan terlalu lama dan sebagainya.

Ps : Sedang muhasabah diri sendiri.