Tuesday, December 31, 2013

MILO OH MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rasanya sudah terlalu lama aku tak terbitkan entri berkaitan hobi mengumpul barangan MILO. Sekarang berbelanja kena berpada-pada. Membeli yang perlu saja. Kalau tak perlu sangat boleh fikir 2,3, kali sebelum membeli.

Baru-baru ni, aku dpat menambah 2 buah koleksi MILO. Barang yang pertama ialah cawan plastik MILO 3 in 1.



Cawan MILO ni aku beli melalui Facebook di Kumpulan Nescafe / Milo. Harganya pun bukannya mahal sangat, bolehlah kiranya aku ambil sebuah untuk memperbanyakkan koleksi MILO aku. Lagipun memang dah lama sangat aku tak membeli.

Sebuah lagi barangan MILO yang baru aku perolehi ialah botol air MILO. 


Botol air ni aku perolehi hasil daripada pembelian produk MILO NUGGETS. Sebenarnya agak lama juga aku mencarinya di pasaraya-pasaraya namun gagal menemuinya. Akhirnya, aku menemuinya di pasaraya Mydin. Apa lagi, pucuk dicita, ulam mendatang, terus saja aku membelinya. 

Ini saja cerita MILO aku pada kali ni. Tak taulah bila lagi nak cerita pasal MILO. Kalau ada membeli, adalah ceritanya. 

Sekian.. :)

Thursday, December 26, 2013

MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

"Satu titis air mata yang digugurkan di atas dunia ini kerana takut kepada ALLAH S.W.T. akan memadamkan selautan api Neraka Jahannam...

tetapi lautan tangisan di akhirat nanti tidak akan memadamkan walaupun satu titis pun dari api Jahannam"

*****

Sama-sama kita menginsafi diri sendiri. Kita manusia sering melakukan dosa dan kesalahan sama ada kita sedar mahupun tidak sedar. 

Setiap dosa pastinya akan dibalas di akhirat kelak. Kita memang tak mampu nak lari ke mana-mana sekiranya dimasukkan ke dalam neraka. Terpekik, terlolong, tiada siapa yang boleh membantu. Sesungguhnya azab ALLAH S.W.T. amatlah berat.

Sekiranya air mata kerana takutkan ALLAH S.W.T itu boleh memadamkan api Neraka Jahannam, taubatlah.. menangislah.. Semoga kita semua terlepas dari azab dan seksaan ALLAH S.W.T.

Peringatan KERAS untuk diri sendiri!

SUBHANALLAH | ALHAMDULILLAH | ALLAHUAKBAR

Monday, December 23, 2013

KITAR SEMULA : SELAMATKAN BUMI MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tajuk entri macam iklan kitar semula saja. Ya, memang aku nak buat iklan, tapi iklan ini tidak dibayar. Ia lahir dari kesedaran diri aku sendiri.

Marilah sama-sama kita menjaga bumi Malaysia dengan mengamalkan kitar semula. Tak susah sebenarnya, kita hanya perlu mengasing-asingkan sampah di rumah dengan kategori botol, tin, kaca, kertas dan sebagainya supaya ia memudahkan proses kitar semula dilakukan.


Rasanya sudah 3,4 bulan aku melakukan pengasingan sampah-sampah yang ada di rumah aku. Penuh 1 plastik saja,  aku letakkan bersebelahan dengan tong sampah di luar rumah. Kalau bukan kakitangan Southern Waste Management (SWM) angkut, mesti ada seorang aunty yang mengangkutnya.

Tak kisahlah siapapun yang angkutnya, janji ia bertujuan untuk dikitar semula. Apa yang penting aku sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan bumi Melaka, Malaysia terus menuju ke arah negeri berteknologi hijau. 

Anda bila lagi? :)

Friday, December 20, 2013

KEHIDUPAN MANUSIA DI 7 ALAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pada dasarnya kita manusia akan menjalani perjalanan kehidupan yang sangat panjang iaitu sebanyak 7 alam. Alam-alam yang dimaksudkan adalah :

1. Alam Roh
2. Alam Rahim
3. Alam Dunia
4. Alam Kubur (Alam Barzakh)
5. Hari Kiamat (Kebangkitan)
6. Hari Penghisaban (Perhitungan Amal)
7. Hari Pembalasan

Buat masa ini kita telah lalui 3 alam iaitu Alam Roh, Alam Rahim dan Alam Dunia. Kini tinggal 4 alam lagi alam yang harus dan mesti kita lalui iaitu Alam Kubur, Hari Kiamat, Hari Penghisaban dan Hari Pembalasan.

Persoalannya, sudahkah kita bersedia untuk menempuh alam-alam yang seterusnya dengan amal ibadah kita yang kita sendiri tidak tahu sama ada ia diterima atau tidak oleh ALLAH S.W.T. Namun, amal dan ibadat harus terus kita lakukan tanpa gagal. Semoga ALLAH S.W.T. menerima amal ibadat kita.

Teringat ceramah dari seorang ustaz di dalam ceramahnya di You Tube, manusia bermula dengan mati kemudian dihidupkan, seterusnya dimatikan semula dan akhirnya akan terus hidup.

Apa yang difahami, mati yang pertama itu adalah di Alam Roh di mana kita hanya ada Roh sahaja sedangkan tiada jasad. Kemudiannya akan hidup di dalam rahim dan dilahirkan di dunia.

Mati seterusnya apabila kita akan dimasukkan ke dalam kubur. Di situlah tempat tinggal kita buat sementara sehingga tiupan sangka kala yang kedua yang akan membangkit dan menghidupkan mayat-mayat dari kubur untuk menjalani pula kehidupan sehinggalah ke hari pembalasan.   

Rujukan gambar >> KLIK <<


Selepas itu manusia tidak akan mati lagi kerana pada ketika itu, manusia yang banyak beramal soleh sedang sibuk di syurga melayani bidadari-bidadari syurga manakala yang melakukan mungkar akan diberi balasan dan hukuman yang sewajarnya mengikut perbuatan salah masing-masing ketika berada di dunia.

Kita kejar mana? Dunia atau akhirat?

UJI MINDA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rileks brader... Brader rileks! Tenangkan fikiran seketika, tarik nafas dalam-dalam dan cuba selesaikan masalah MATEMATIK di bawah ini. 


Bagi wanita yang dapat teka dengan betul, memang dia cun, lelaki pula, memang dia kacak.. Tak susah manapun kan..? Cer teka.. cer teka. :)

Sila beri jawapan dalam KG. dan keterangan dari jawapan tersebut.

Sumber gambar : WhatsApp

Thursday, December 19, 2013

TENTANG BICARA


Tatkala mulut berhajat berbicara,
tolehlah ke kanan,
jelinglah ke kiri,
fikir sejenak sesaat dua,
berbisakah pertuturan,
atau semanis madu kata diatur.

Mungkinkah!
Ada dipandang anak Adam di siang hari,
Ada didengar hamba Allah di malam hari.

Oh! Tidak perlu terus berbicara,
andai bicara tin kosong tak berisi,
elok saja berdiam diri,
elak terpacul kata nista,
elak mengalir lafas keji.

Bukan.. bukan menyekat terus berbicara,
tiada niat untuk mengadang,
berbicaralah yang hak,
diamkan yang batil,
janji Allah itu pasti,
tersalah tersilap mulut berbicara,
kelak tubuh binasa dunia akhirat.

F.B. Mamat
19 Disember 2013
Bandar Hilir, Melaka

Tuesday, December 17, 2013

PAMERAN SOLO FAI ZAKARIA (I EXIST)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bagi peminat-peminat seni visual tanah air, bolehlah merajinkan diri untuk bertandang ke Bastion House (Muzium Dunia Melayu Dunia Islam) untuk menyaksikan Pameran Solo Fai Zakaria bertajuk I Exist. 

Pameran ini sedang berlangsung dan akan berakhir pada 26 Januari 2014. Dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Jom le datang beramai-ramai.. :)

Fai Zakaria... I Exist

Cantik tak?

Oh! Perempuan.. Kasut tinggi dan bunga tak dapat dipisahkan

L.O.V.E

Hasil seni yang halus dan teliti..

Ini bukan pelukisnya.. Ini Fai Mamat :)

Saturday, December 14, 2013

PANGGILAN ILLAHI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kita sebagai ibu bapa, sekiranya memanggil anak kita tetapi dia tidak menyahut walaupun dia hanya duduk di depan mata kita, apa perasaan kita? Marah? Sakit hati? Rasa nak lempang anak? Itu baru sekali kita panggil, kalau 2,3, kali kita panggil tapi dia buat 'keras' je, tak ke lagi mendatangkan marah!

Bagaimana pula sekiranya kita terdengar panggilan azan? Panggilan dari ALLAH SWT supaya kita menunaikan solat. Adakah kita akan segera pergi menunaikan solat atau masih mendiamkan diri, bahkan sehingga selesai azan kita tidak bergerak-gerak lagi untuk menunaikan solat. 

Agak-agaknya apakah pandangan ALLAH SWT terhadap kita?

Persoalan ini ditinggalkan untuk kita sama-sama muhasabah diri masing-masing. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya.., yang lalai dan alpa.

Tuesday, December 10, 2013

MR. MAMA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari Isnin hingga hari Rabu aku bercuti rehatkan badan dan minda di rumah. Cuti tahun pun memang banyak lagi, jadinya, aku mengambil keputusan untuk bercuti. 

Pagi-pagi lagi aku dikejutkan dengan anak perempuan aku yang menyelak baju dan menghisap puting aku. Aduhai, dia ingat aku ni mama dia agaknya. Isteri aku bekerja, tidak bercuti.

Ingat lepas bangun tidur, aku nak hantar anak kecil aku ke rumah penjaganya, tapi penjaga mahu bercuti. Jadi akulah yang akan menjaga sendiri 2 orang anak aku. Yang besar tu takpelah, memang senang dijaga, yang kecil tu agak sukar sedikit.

So far, memang tiada masalah menjaga mereka. Waktu makan kami makan bersama, lepas makan, kitorang pun tidur bersama. Cuma masa diorang bermain tu adalah gaduh-gaduh sedikit. Terjerit sana, terjerit sini. Aku pun terjerit sama. :)

Hari ni banyaklah juga kerja-kerja rumah yang dibuat, membasuh dan menyidai pakaian, menyapu lantai dan memasak. 

Bab memasak ni memang minat, tapi takde ilmu. Dalam perkataan lain, tak tahu memasak. Aku sudah berfikir-fikir untuk buat sup ayam, kerana isteri aku pernah beritahu, anak sulong aku suka makan sup ayam, makan pun akan bertambah-tambah. Jadinya sebelum memasak tu, aku telefon isteri aku untuk minta resepi cara-cara membuat sup ayam.

Gambar sekadar hiasan. Tak sempat nak ambil gambar Sup Ayam aku, anak-anak dah tak sabar nak makan. Sumber gambar >> KLIK <<


Laaa... rupa-rupanya senang saja buat sup ayam. Lepas masak, aku merasa sup ayam tu, dan aku berpuas hati. Rasa sedap, macam isteri aku masak juga. Hehehe. Selain sup ayam, aku juga memasak ayam kunyit menggunakan kuali seperti 'Pemanggang Ajaib'.

Dah ni je yang nak diceritakan. Esok bercuti lagi, mungkin akan terus jadi Mr. Mama semasa bercuti ni. d:-)

Thursday, December 5, 2013

AKIBAT TERPENGARUH GAMBAR DI FACEBOOK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alkisah, seorang rakan Facebook ada memaparkan gambar makanan yang agak glamor semasa di mengunjungi Pulau Pinang. Lihat saja makanan tu, nafsu makan aku agak meluap-luap.

Kalau nak pergi Penang hanya untuk sekadar menikmati makanan tu, memang takdan lah. Jauh. 

Lalu, masa balik kerja, aku ke kedai untuk membeli bahan-bahan seperti yang terpapar dalam gambar di Facebook tu. Sampai saja di rumah, aku menyingsing kedua-dua baju lengan panjang aku dan memulakan operasi main masak-masak.

Dan hasilnya... Taaaddaaaaaa....


Hehe.. Ianya ringkas saja sebenarnya. Budak-budak kecilpun boleh membuatnya. Tak sama seperti di gambar Facebook tu, tapi hampir serupa.. :) 

Monday, December 2, 2013

ART OF BOTTLE CAPS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Masih ingat lagi tak entri aku yang bertajuk KUMPUL TUTUP BOTOL dan KUMPUL TUTUP BOTOL (PART 2)? Kalau tak ingat boleh jengok kembali entri tersebut.

Akhirnya hari ini sebuah koleksi penutup botol telah aku bingkaikan. Sebenarnya sudah lama juga siap, tetapi tiada masa saja untuk ke kedai untuk dibingkaikan. Penutup botol yang telah dibingkaikan seperti gambar di bawah. Amacam, ok tak?


Buat masa sekarang, aku sedang menyiapkan sebuah lagi koleksi yang sama seperti di atas. Tapi masih sedang mencari-cari penutup botol. Sekarang aku sudah memasang 'kaki' untuk mencari penutup botol untuk mempercepatkan projek aku ni. 

Nak harapkan diri sendiri yang mencari penutup botol, memang taklah. Nak ambil penutup botol yang yang bersepah pun malu nak angkat. Kalau betul-betul takde orang barulah dengan selambanya aku pungut botol, lalu menyimpan penutupnya. 

Rasanya selepas ni aku nak serius dalam mengumpul penutup botol. Aku dah terbayang-bayang pelbagai reka letak dan susunan agar ianya lebih bervariasi dan tidak terhad seperti gambar di atas. 

TOPENG-TOPENG MANUSIA

Si pemakai topeng,
riak lagak sesuci embun,
sepantas kilat,
bermuka-muka,
mengubah topeng-topeng,
apabila dibelakangi,
tatkala dikehendaki.

Banyak sekali himpunan topeng,
topeng cacian makian,
topeng penghinaan,
topeng fitnahan,
menunggu sedia dipakai,
tika saat memerlukan.

Hebat si pemakai topeng,
hampir tidak dikenal,
namun sayangnya si pemakai topeng,
mukamu saja ditopeng,
susuk tubuh tetap dikenali.

Duhai si pemakai topeng,
simpan segala topeng-topeng dusta,
topengilah diri dan mukamu dengan iman,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
apa yang tersirat tersurat di balik topeng-topeng.

F.B.Mamat
2 Disember 2013
Bukit Katil, Melaka

ROTI & MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tetiba malam-malam macam ni lapar pula perut. Pergi ke dapur ada pula roti, tapi nak makan dengan apa ye.. Nak goreng telur rasa malas pula, jadi aku mula mengimbau makanan yang aku gemar pada zaman aku kanak-kanak dulu.


Inilah makanannya... Roti disapukan dengan MILO dan susu pekat manis. Dulu masa kecil memang makanan kegemaran aku ni. Tapi sekarang bukan lagi makanan kegemaran aku. Dah lama juga tak makan semacam ni. 

Eh... Sekali teringat pula kisah lama. Korang pernah tak makan macam ni? Cer cite.. Cer cite..

Thursday, November 28, 2013

JOM BANTU MANGSA TAUFAN HAIYAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Mungkin kita tidak seagama dengan mereka, atau mungkin ada segelintir yang sama agama dengan kita. Tanpa memikirkan agama apakah mereka, bangsa apakah mereka dan negara manakah mereka, marilah sama-sama kita meringankan beban mangsa Taufan Haiyan yang sememangnya menunggu sumbangan ikhlas dari kita. 

Sumbanglah melalui akaun Churp Churp atau Nuffnang. Semoga sedikit sebanyak sumbangan dari kita, dapatlah meringankan beban dan membangunkan kembali kawasan yang ditimpa bencana.



Sekadar pesanan khidmat masyarakat. Aku tidak dibayar untuk mewar-warkan perihal ini. Takut nanti ada pula yang berkata aku terima duit dari Churp Churp atau Nuffnang untuk iklankan benda ni. 

Wednesday, November 27, 2013

Tuesday, November 26, 2013

TOP 10 CARIAN PALING POPULAR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Takde kerja tadi aku semak-semak statistik blog aku ni. Saja nak tengok, carian apa yang paling popular dalam blog aku yang tak berapa nak popular ni.

Semak punya semak, berikut adalah 10 tajuk entri yang paling popular dalam blog aku. Agak-agak sesiapa yang belum baca tu, rajin-rajinlah tinjau erk.. :)











Dalam senarai 10 entri terbaik ini, ada entri bersifat ilmiah, rencana, gambar, makluman, hiburan dan sebagainya. Aku amat berbangga juga kerana penulisan aku tentang BAIK DAN BURUKNYA KEBENARAN MEMBAWA TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH mendapat tempat pertama mengalahkan entri suka-suka KENALI FASHA SANDHA.

Ape pula entri Top 10 korang? Cer cite.. Cer Cite.. Berikan linknya, nanti bolehlah aku terjah :)

SENARAI HARGA HOTEL BERSERTA HARGA DI MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Oleh kerana senarai hotel di Melaka yang dibuat tempoh hari mengalami masalah teknikal pada gambarnya. Di sini dilampirkan senarai baru untuk rujukan pada pelawat dan pelancong yang ingin ke Melaka.

Selamat bercuti ke MELAKA. :)

Klik gambar untuk tumbesaran sempurna

Klik gambar untuk tumbesaran sempurna

BERBUDI PADA TANAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.




Buah pisang di atas tu adalah hasil kedua kalinya setelah aku menanam pokoknya di belakang rumah. 

Anak pokoknya aku peroleh dari rumah bapa saudara aku di Kepong, KL. Aku hanya ambil sepokok, selepas beberapa bulan ditanam aku mendapat hasil yang pertama. Setelah aku tebang pisang yang telah berbuah tu, dalam beberapa minggu, tumbuh pula anak-anak pokok pisang lebih kurang 5-6 batang pokok.

Apa yang aku nak jelaskan di sini ialah, kalau kita berbudi pada tanah, In Sha Allah suatu hari nanti pasti mendapat hasilnya. Jom bercucuk tanam.. :)

Ops..! Sebenarnya aku pun tak berapa pasti pisang apakah ni. Ini bukan Pisang Tanduk, tapi ada orang beritahu, yang ni ialah Pisang Lang. Betul ke yang ni Pisang Lang?

Sunday, November 24, 2013

JUMAAT SEBAGAI CUTI HUJUNG MINGGU?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam but nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah.. Tahniah kepada rakyat Johor terutamanya bagi mereka yang beragama Islam kerana cuti mingguan negeri tersebut telah ditukarkan kepada hari JUMAAT dan Sabtu sepertimana negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hari JUMAAT merupakan hari kebesaran bagi umat Islam, memang berpatutanlah sekiranya hari JUMAAT diiktiraf sebagai cuti mingguan. Antara rasionalnya ialah :

a) Bagi pekerja lelaki, tidak perlu terkejar-kejar ke masjid untuk menunaikan Solat JUMAAT oleh kerana waktu rehat yang singkat.

b) Kaum lelaki yang bekerja boleh membersihkan diri dan memakai pakaian yang bersih dan wangi-wangian untuk menunaikan Solat JUMAAT.

c) Waktu rehat bagi kakitangan kerajaan pada hari JUMAAT ialah selama 2 jam 30 minit. Peruntukan waktu rehat yang panjang boleh menjejaskan produktiviti dan perkhidmatan, justeru adalah lebih elok hari JUMAAT Adalah hari cuti.

d) Tiada alasan bagi pekerja yang tidak tidak boleh meninggalkan tempat bertugas untuk tidak bersolat JUMAAT.



Semoga suatu hari nanti, kesemua negeri di Malaysia dapat melaksanakan cuti mingguan pada hari JUMAAT dan Sabtu.

Wallahuaklam.

Monday, November 18, 2013

DUIT MASUK LAJU DENGAN CHURP CHURP


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan nabi MUHAMMAD S.A.W.

Aku tahu mesti sudah ramai yang sedia mengetahui tentang CHURP CHURP. Aku pun kenal benda ni dah lama, cuma tak aktif saja.



Baru-baru ni seorang kenalan blogger duk bercerita pasal CHURP CHURP ni, terus aku teringat yang aku sudah memiliki akaunnya tetapi sudah lama tidak aktif untuk mengongsikan iklan di laman sosial.

Aku log-in CHURP CHURP, jumlah wang terkumpul macam dulu juga, tak bergerak. Iyalah, tak mengongsikan iklan, mana nak bergerak. Then, aku lihat ada 4 iklan yang boleh dikongsikan, dan aku kongsikan iklan tersebut di Facebook aku.

Dalam 2 hari aku mengongsikan 4 iklan tersebut, jumlah peningkatan wang yang terkumpul meningkat sebanyak lebih RM 30.00. Dalam hati aku terfikir, ini sudah cukup bagus. Sudah bolehlah aku aktifkan semula mengongsikan CHURP CHURP

Huh.. Senangnya nak dapat duit. Tak perlu bayar apa-apa, cuma kongsikan saja iklan.  

Agak-agak sesiapa yang belum join CHURP CHURP tu, bolehlah daftar di sini >> CHURP CHURP <<

Ps : Iklan ni yang paling banyak menyumbang --> KLIK




Saturday, November 16, 2013

MENCEBURI DUNIA PERNIAGAAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Menceburi dunia perniagaan bermaksud kita bersedia menanggung kerugian, tetapi siapa yang mahu rugi dalam perniagaan kan? Aku dan isteri yang baru membuka Butik Chenta Creative amat memahami situasi ini.

Dalam seminggu Butik Chenta Creative dibuka, pelbagai bentuk promosi sedang kami jalankan baik di Facebook, banner, flyers dan juga kad diskaun keahlian. Insha Allah, mungkin dalam hujung bulan ini, kami akan membuat sedikit majlis pembukaan bagi memberitahu 'kewujudan' Butik Chenta Creative.

Harapan aku, dengan segala daya usaha yang dijalankan ini, dapat membantu mempromosikan Butik Chenta Creative.




Secara peribadinya, aku takut kegagalan. Aku takut perniagaan ini terhenti pada suatu masa nanti. Walaupun aku takut gagal, aku dan isteri tetap mahu mencuba membuka butik ini. Bak kata orang belum cuba, belum tahu. Kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya. Insha Allah, buat ketika ini, motivasi untuk berjaya amatlah tinggi. 

Apa yang perlu aku lakukan selepas ini ialah terus berusaha dan memotivasikan diri. Selain itu, aku turut dahagakan sokongan dari semua termasuk keluarga, sedara mara dan sahabat handai serta tak lupa juga rakan-rakan bloggers. 

Terima kasih semua...


Friday, November 15, 2013

APA MAKSUDNYA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Agak-agaknya, apa yang korang paham dengan petikan di bawah? Jom cuba kita brainstorming sekejab... 




Wednesday, November 13, 2013

WORDLESS : 1980-AN


Kalau terer, carilah aku.. Hehehe

Monday, November 11, 2013

BUTIK CHENTA CREATIVE : IMPIAN MENJADI KENYATAAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan  NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah.. Nampaknya impian isteri aku untuk mempunyai sebuah butik telahpun menjadi kenyataan. Butik Chenta Creative telah mula dibuka semalam iaitu pada 10 November 2013.

Maaflah kerana tidak berkesempatan nak menjengok blog kawan-kawan. Dalam 2 minggu ni, setiap hujung minggu aku duk di butik untuk membuat persiapan. Dari pagi sampailah ke malam. Mana yang boleh buat, aku buatlah sendiri, dapatlah juga menjimatkan perbelanjaan. 

Aku sisipkan juga beberapa gambar Butik Chenta Creative untuk tatapan semua. Tapi hingga kini belum siap lagi 100%, namun ianya telahpun dibuka.






Bukan hanya pakaian dan tudung saja, kami juga menjual kain ela English Cotton yang datangnya dari Vietnam. Apa yang seronoknya, dalam 3 hari stok sampai, sudah 20 pasang terjual apabila ianya diiklankan di Facebook Chenta Creative Hijab.

Ni ada beberapa pasang lagi yang tinggal. Harganya sepasang hanya RM 70.00, atau 2 pasang RM 130.00. Kalau berminat bolehlah buat pesanan di Chenta Creative Hijab










Friday, November 8, 2013

BITSTRIPS LE PULAK!!!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Siapa yang tak tau Bitstrips lagi? Kalau belum ada tu, bolehlah download Bistrips bagi yang menggunakan android. 

Bestlah juga gunakan Bitstrips ni. Tak perlulah nak tepekkan muka lagi kat Facebook. Guna kartun Bitstrips yang nampak menyerupai diri kita dah cukup bagus. 

Aku juga akan gunakan Bitsrips ni sebagai motivasi kepada kakitangan di bawah seliaan aku. :)






Thursday, November 7, 2013

SUKA DUKA BERNOSTALGIA BERSAMA AIS KRIM MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Entri yang lepas aku ada memaparkan serba sedikit perihal Ais Krim Malaysia. Kalau ada yang tak tahu apa itu, Ais Krim Malaysia, silalah lihat gambarnya di bawah ni.


Ais Krim Malaysia Boleh!!

Kali ni aku nak kongsikan sedikit pengalaman suka duka aku bersama Ais Krim Malaysia

PENGALAMAN SUKA

Arwah datuk aku dulu suka minum Ais Krim Malaysia ni. Kebetulan rumah mak aku dan rumah atok dulu berhampiran, setiap kali atok nak minum Ais Krim Malaysia, dia akan jerit nama aku, Fffaaaairrrruuuusss... Aku yang waktu itu, masih kecil lagi, tak ingatlah baru darjah berapa, lantas pergi ke rumah atok. Kalau tak diminta dipicit, mesti kena belikan Ais Krim Malaysia di rumah nenek sedara aku, Nek Ngah. 

Atok biasanya nak 2 batang dan pastinya aku juga akan mendapat upah sebatang Ais Krim Malaysia. Sambil nak beri atok aku Ais Krim Malaysia miliknya, aku dah nyonyot Ais Krim Malaysia kepunyaan aku.

PENGALAMAN DUKA

Dulu memang suka sangat minum Ais Krim Malaysia ni. Boleh dikatakan setiap hari mesti nak beli di rumah Nek Ngah. Kalau dah selalu nak beli tu, mak aku pun marahlah. Tiap-tiap hari minta duit nak beli Ais Krim Malaysia, sehingga mak kau cakap "ingat mak ni cop duit ke?". 

Oleh kerana dah susah nak dapat duit untuk beli Ais Krim Malaysia, aku pun dengan sendirinya berhutang dengan Nek Ngah untuk mendapatkan Ais Krim Malaysia. Dah sedap sekali berhutang, melarat-larat pula, terus menerus aku berhutang. Nek Ngah aku pun bagi pula tu. Perkataan yang masih terngiang-ngiang di kepala otak aku semasa nak membeli Ais Krim Malaysia "nek... ais krim satu. Hutang erk.."

Aku pun tak tau dah berapa banyak aku berhutang. Asal nak Ais Krim Malaysia saja, mesti berhutang. Ada satu hari tu, abang aku dan seorang sedara telah menangkap aku macam seorang penjahat. Diorang memegang kedua-dua tangan aku, sebabnya ialah Nek Ngah nak jumpa aku pasal dah lama tak bayar hutang. Masa diorang nak bawa ke rumah Nek Ngah, puas aku meronta-ronta minta dilepaskan. Menangis terlolong-lolong, namun tak dilepaskan. 

Sampai di rumah Nek Ngah, takde ape-apepun yang serius. Nek Ngah beritahu jangan berhutang lagi, itu saja. Sejak dari tu aku tak berhutang lagi bila nak membeli Ais Krim Malaysia.

Huh!! Itulah sedikit sebanyak kenangan suka duka aku bersama Ais Krim Malaysia. Amat nostalgia betullah!

Korang ada cerita pasal Ais Krim Malaysia?