Tuesday, December 31, 2013

MILO OH MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rasanya sudah terlalu lama aku tak terbitkan entri berkaitan hobi mengumpul barangan MILO. Sekarang berbelanja kena berpada-pada. Membeli yang perlu saja. Kalau tak perlu sangat boleh fikir 2,3, kali sebelum membeli.

Baru-baru ni, aku dpat menambah 2 buah koleksi MILO. Barang yang pertama ialah cawan plastik MILO 3 in 1.



Cawan MILO ni aku beli melalui Facebook di Kumpulan Nescafe / Milo. Harganya pun bukannya mahal sangat, bolehlah kiranya aku ambil sebuah untuk memperbanyakkan koleksi MILO aku. Lagipun memang dah lama sangat aku tak membeli.

Sebuah lagi barangan MILO yang baru aku perolehi ialah botol air MILO. 


Botol air ni aku perolehi hasil daripada pembelian produk MILO NUGGETS. Sebenarnya agak lama juga aku mencarinya di pasaraya-pasaraya namun gagal menemuinya. Akhirnya, aku menemuinya di pasaraya Mydin. Apa lagi, pucuk dicita, ulam mendatang, terus saja aku membelinya. 

Ini saja cerita MILO aku pada kali ni. Tak taulah bila lagi nak cerita pasal MILO. Kalau ada membeli, adalah ceritanya. 

Sekian.. :)

Thursday, December 26, 2013

MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

*****

"Satu titis air mata yang digugurkan di atas dunia ini kerana takut kepada ALLAH S.W.T. akan memadamkan selautan api Neraka Jahannam...

tetapi lautan tangisan di akhirat nanti tidak akan memadamkan walaupun satu titis pun dari api Jahannam"

*****

Sama-sama kita menginsafi diri sendiri. Kita manusia sering melakukan dosa dan kesalahan sama ada kita sedar mahupun tidak sedar. 

Setiap dosa pastinya akan dibalas di akhirat kelak. Kita memang tak mampu nak lari ke mana-mana sekiranya dimasukkan ke dalam neraka. Terpekik, terlolong, tiada siapa yang boleh membantu. Sesungguhnya azab ALLAH S.W.T. amatlah berat.

Sekiranya air mata kerana takutkan ALLAH S.W.T itu boleh memadamkan api Neraka Jahannam, taubatlah.. menangislah.. Semoga kita semua terlepas dari azab dan seksaan ALLAH S.W.T.

Peringatan KERAS untuk diri sendiri!

SUBHANALLAH | ALHAMDULILLAH | ALLAHUAKBAR

Monday, December 23, 2013

KITAR SEMULA : SELAMATKAN BUMI MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tajuk entri macam iklan kitar semula saja. Ya, memang aku nak buat iklan, tapi iklan ini tidak dibayar. Ia lahir dari kesedaran diri aku sendiri.

Marilah sama-sama kita menjaga bumi Malaysia dengan mengamalkan kitar semula. Tak susah sebenarnya, kita hanya perlu mengasing-asingkan sampah di rumah dengan kategori botol, tin, kaca, kertas dan sebagainya supaya ia memudahkan proses kitar semula dilakukan.


Rasanya sudah 3,4 bulan aku melakukan pengasingan sampah-sampah yang ada di rumah aku. Penuh 1 plastik saja,  aku letakkan bersebelahan dengan tong sampah di luar rumah. Kalau bukan kakitangan Southern Waste Management (SWM) angkut, mesti ada seorang aunty yang mengangkutnya.

Tak kisahlah siapapun yang angkutnya, janji ia bertujuan untuk dikitar semula. Apa yang penting aku sudah melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan bumi Melaka, Malaysia terus menuju ke arah negeri berteknologi hijau. 

Anda bila lagi? :)

Friday, December 20, 2013

KEHIDUPAN MANUSIA DI 7 ALAM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pada dasarnya kita manusia akan menjalani perjalanan kehidupan yang sangat panjang iaitu sebanyak 7 alam. Alam-alam yang dimaksudkan adalah :

1. Alam Roh
2. Alam Rahim
3. Alam Dunia
4. Alam Kubur (Alam Barzakh)
5. Hari Kiamat (Kebangkitan)
6. Hari Penghisaban (Perhitungan Amal)
7. Hari Pembalasan

Buat masa ini kita telah lalui 3 alam iaitu Alam Roh, Alam Rahim dan Alam Dunia. Kini tinggal 4 alam lagi alam yang harus dan mesti kita lalui iaitu Alam Kubur, Hari Kiamat, Hari Penghisaban dan Hari Pembalasan.

Persoalannya, sudahkah kita bersedia untuk menempuh alam-alam yang seterusnya dengan amal ibadah kita yang kita sendiri tidak tahu sama ada ia diterima atau tidak oleh ALLAH S.W.T. Namun, amal dan ibadat harus terus kita lakukan tanpa gagal. Semoga ALLAH S.W.T. menerima amal ibadat kita.

Teringat ceramah dari seorang ustaz di dalam ceramahnya di You Tube, manusia bermula dengan mati kemudian dihidupkan, seterusnya dimatikan semula dan akhirnya akan terus hidup.

Apa yang difahami, mati yang pertama itu adalah di Alam Roh di mana kita hanya ada Roh sahaja sedangkan tiada jasad. Kemudiannya akan hidup di dalam rahim dan dilahirkan di dunia.

Mati seterusnya apabila kita akan dimasukkan ke dalam kubur. Di situlah tempat tinggal kita buat sementara sehingga tiupan sangka kala yang kedua yang akan membangkit dan menghidupkan mayat-mayat dari kubur untuk menjalani pula kehidupan sehinggalah ke hari pembalasan.   

Rujukan gambar >> KLIK <<


Selepas itu manusia tidak akan mati lagi kerana pada ketika itu, manusia yang banyak beramal soleh sedang sibuk di syurga melayani bidadari-bidadari syurga manakala yang melakukan mungkar akan diberi balasan dan hukuman yang sewajarnya mengikut perbuatan salah masing-masing ketika berada di dunia.

Kita kejar mana? Dunia atau akhirat?

UJI MINDA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Rileks brader... Brader rileks! Tenangkan fikiran seketika, tarik nafas dalam-dalam dan cuba selesaikan masalah MATEMATIK di bawah ini. 


Bagi wanita yang dapat teka dengan betul, memang dia cun, lelaki pula, memang dia kacak.. Tak susah manapun kan..? Cer teka.. cer teka. :)

Sila beri jawapan dalam KG. dan keterangan dari jawapan tersebut.

Sumber gambar : WhatsApp

Thursday, December 19, 2013

TENTANG BICARA


Tatkala mulut berhajat berbicara,
tolehlah ke kanan,
jelinglah ke kiri,
fikir sejenak sesaat dua,
berbisakah pertuturan,
atau semanis madu kata diatur.

Mungkinkah!
Ada dipandang anak Adam di siang hari,
Ada didengar hamba Allah di malam hari.

Oh! Tidak perlu terus berbicara,
andai bicara tin kosong tak berisi,
elok saja berdiam diri,
elak terpacul kata nista,
elak mengalir lafas keji.

Bukan.. bukan menyekat terus berbicara,
tiada niat untuk mengadang,
berbicaralah yang hak,
diamkan yang batil,
janji Allah itu pasti,
tersalah tersilap mulut berbicara,
kelak tubuh binasa dunia akhirat.

F.B. Mamat
19 Disember 2013
Bandar Hilir, Melaka

Tuesday, December 17, 2013

PAMERAN SOLO FAI ZAKARIA (I EXIST)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Bagi peminat-peminat seni visual tanah air, bolehlah merajinkan diri untuk bertandang ke Bastion House (Muzium Dunia Melayu Dunia Islam) untuk menyaksikan Pameran Solo Fai Zakaria bertajuk I Exist. 

Pameran ini sedang berlangsung dan akan berakhir pada 26 Januari 2014. Dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Jom le datang beramai-ramai.. :)

Fai Zakaria... I Exist

Cantik tak?

Oh! Perempuan.. Kasut tinggi dan bunga tak dapat dipisahkan

L.O.V.E

Hasil seni yang halus dan teliti..

Ini bukan pelukisnya.. Ini Fai Mamat :)

Saturday, December 14, 2013

PANGGILAN ILLAHI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Kita sebagai ibu bapa, sekiranya memanggil anak kita tetapi dia tidak menyahut walaupun dia hanya duduk di depan mata kita, apa perasaan kita? Marah? Sakit hati? Rasa nak lempang anak? Itu baru sekali kita panggil, kalau 2,3, kali kita panggil tapi dia buat 'keras' je, tak ke lagi mendatangkan marah!

Bagaimana pula sekiranya kita terdengar panggilan azan? Panggilan dari ALLAH SWT supaya kita menunaikan solat. Adakah kita akan segera pergi menunaikan solat atau masih mendiamkan diri, bahkan sehingga selesai azan kita tidak bergerak-gerak lagi untuk menunaikan solat. 

Agak-agaknya apakah pandangan ALLAH SWT terhadap kita?

Persoalan ini ditinggalkan untuk kita sama-sama muhasabah diri masing-masing. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya.., yang lalai dan alpa.

Tuesday, December 10, 2013

MR. MAMA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Hari Isnin hingga hari Rabu aku bercuti rehatkan badan dan minda di rumah. Cuti tahun pun memang banyak lagi, jadinya, aku mengambil keputusan untuk bercuti. 

Pagi-pagi lagi aku dikejutkan dengan anak perempuan aku yang menyelak baju dan menghisap puting aku. Aduhai, dia ingat aku ni mama dia agaknya. Isteri aku bekerja, tidak bercuti.

Ingat lepas bangun tidur, aku nak hantar anak kecil aku ke rumah penjaganya, tapi penjaga mahu bercuti. Jadi akulah yang akan menjaga sendiri 2 orang anak aku. Yang besar tu takpelah, memang senang dijaga, yang kecil tu agak sukar sedikit.

So far, memang tiada masalah menjaga mereka. Waktu makan kami makan bersama, lepas makan, kitorang pun tidur bersama. Cuma masa diorang bermain tu adalah gaduh-gaduh sedikit. Terjerit sana, terjerit sini. Aku pun terjerit sama. :)

Hari ni banyaklah juga kerja-kerja rumah yang dibuat, membasuh dan menyidai pakaian, menyapu lantai dan memasak. 

Bab memasak ni memang minat, tapi takde ilmu. Dalam perkataan lain, tak tahu memasak. Aku sudah berfikir-fikir untuk buat sup ayam, kerana isteri aku pernah beritahu, anak sulong aku suka makan sup ayam, makan pun akan bertambah-tambah. Jadinya sebelum memasak tu, aku telefon isteri aku untuk minta resepi cara-cara membuat sup ayam.

Gambar sekadar hiasan. Tak sempat nak ambil gambar Sup Ayam aku, anak-anak dah tak sabar nak makan. Sumber gambar >> KLIK <<


Laaa... rupa-rupanya senang saja buat sup ayam. Lepas masak, aku merasa sup ayam tu, dan aku berpuas hati. Rasa sedap, macam isteri aku masak juga. Hehehe. Selain sup ayam, aku juga memasak ayam kunyit menggunakan kuali seperti 'Pemanggang Ajaib'.

Dah ni je yang nak diceritakan. Esok bercuti lagi, mungkin akan terus jadi Mr. Mama semasa bercuti ni. d:-)

Thursday, December 5, 2013

AKIBAT TERPENGARUH GAMBAR DI FACEBOOK


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alkisah, seorang rakan Facebook ada memaparkan gambar makanan yang agak glamor semasa di mengunjungi Pulau Pinang. Lihat saja makanan tu, nafsu makan aku agak meluap-luap.

Kalau nak pergi Penang hanya untuk sekadar menikmati makanan tu, memang takdan lah. Jauh. 

Lalu, masa balik kerja, aku ke kedai untuk membeli bahan-bahan seperti yang terpapar dalam gambar di Facebook tu. Sampai saja di rumah, aku menyingsing kedua-dua baju lengan panjang aku dan memulakan operasi main masak-masak.

Dan hasilnya... Taaaddaaaaaa....


Hehe.. Ianya ringkas saja sebenarnya. Budak-budak kecilpun boleh membuatnya. Tak sama seperti di gambar Facebook tu, tapi hampir serupa.. :) 

Monday, December 2, 2013

ART OF BOTTLE CAPS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Masih ingat lagi tak entri aku yang bertajuk KUMPUL TUTUP BOTOL dan KUMPUL TUTUP BOTOL (PART 2)? Kalau tak ingat boleh jengok kembali entri tersebut.

Akhirnya hari ini sebuah koleksi penutup botol telah aku bingkaikan. Sebenarnya sudah lama juga siap, tetapi tiada masa saja untuk ke kedai untuk dibingkaikan. Penutup botol yang telah dibingkaikan seperti gambar di bawah. Amacam, ok tak?


Buat masa sekarang, aku sedang menyiapkan sebuah lagi koleksi yang sama seperti di atas. Tapi masih sedang mencari-cari penutup botol. Sekarang aku sudah memasang 'kaki' untuk mencari penutup botol untuk mempercepatkan projek aku ni. 

Nak harapkan diri sendiri yang mencari penutup botol, memang taklah. Nak ambil penutup botol yang yang bersepah pun malu nak angkat. Kalau betul-betul takde orang barulah dengan selambanya aku pungut botol, lalu menyimpan penutupnya. 

Rasanya selepas ni aku nak serius dalam mengumpul penutup botol. Aku dah terbayang-bayang pelbagai reka letak dan susunan agar ianya lebih bervariasi dan tidak terhad seperti gambar di atas. 

TOPENG-TOPENG MANUSIA

Si pemakai topeng,
riak lagak sesuci embun,
sepantas kilat,
bermuka-muka,
mengubah topeng-topeng,
apabila dibelakangi,
tatkala dikehendaki.

Banyak sekali himpunan topeng,
topeng cacian makian,
topeng penghinaan,
topeng fitnahan,
menunggu sedia dipakai,
tika saat memerlukan.

Hebat si pemakai topeng,
hampir tidak dikenal,
namun sayangnya si pemakai topeng,
mukamu saja ditopeng,
susuk tubuh tetap dikenali.

Duhai si pemakai topeng,
simpan segala topeng-topeng dusta,
topengilah diri dan mukamu dengan iman,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
apa yang tersirat tersurat di balik topeng-topeng.

F.B.Mamat
2 Disember 2013
Bukit Katil, Melaka

ROTI & MILO


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Selawat dan Salam buat nabi junjungan NABI MUHAMMAD S.A.W.

Tetiba malam-malam macam ni lapar pula perut. Pergi ke dapur ada pula roti, tapi nak makan dengan apa ye.. Nak goreng telur rasa malas pula, jadi aku mula mengimbau makanan yang aku gemar pada zaman aku kanak-kanak dulu.


Inilah makanannya... Roti disapukan dengan MILO dan susu pekat manis. Dulu masa kecil memang makanan kegemaran aku ni. Tapi sekarang bukan lagi makanan kegemaran aku. Dah lama juga tak makan semacam ni. 

Eh... Sekali teringat pula kisah lama. Korang pernah tak makan macam ni? Cer cite.. Cer cite..