Sunday, March 31, 2013

DI MANA MAHU DAPATKAN GAMBAR LAMA MELAKA?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Fuh..! Tajuk entri aku hari ini siap berakhir dengan tanda soal. Siapa yang nak menjawabnya tu? Hehe, biar aku yang menjawabnya sendiri.
 
Sebenarnya aku sekadar mahu berkongsi beberapa gambar lama yang diambil di Melaka. Nak tahu berapa lama usia gambar ini, lihat saja gambarnya.
 
 
Ini Pintu Gerbang Santiago atau kini lebih dikenali sebagai A' Famosa. Dahulunya pintu gerbang ini dipagarkan. Tidak pastilah mengapa ia ditutup. Namun kini ia menjadi satu monumen bersejarah yang harus dilawati oleh setiap pelancong yang datang ke Melaka. 
 
 
 
 
Lihat... Beberapa orang tempatan sedang ber'posing' di hadapan Pintu Gerbang Santiago. Entah masih hidup atau telah meninggal dunia empunya diri di gambar ini, wallahuaklam.
 
 
 
 
Ini Bangunan Stadthuys atau lebih dikenali sebagai Bangunan Merah. Kelihatan juga Menara Jam di sebelah kanannya. Masih tersergam indah bangunan ini sekarang dan terus kukuh. Hebat bukan senibina orang zaman dahulu?
 
 

 
Kelihatan Bangunan Stadthuys di sebelah kanan gambar bersama Menara Jam. Disebalik Menara Jam terdapat Gereja Christ. Kelihatan juga beberapa orang tempatan yang menjadi tukang kebun dan pembawa kereta kuda.
 
 
 
 
Ini Sungai Melaka pada zaman dahulu. Sekarang sudah banyak perubahannya.
 
 
 
 
Ini gambar Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Bandar Hilir, Melaka semasa menjadi pengerusi perhimpunan menanti kepulangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London untuk mendapatkan Kemerdekaan.
 
 

 
Perarakan pulang Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari Lapangan Terbang Batu Berendam ke Bandar Hilir setelah pulang dari Kota London untuk mendapatkan Kemerdekaan. Agak-agaknya mengapa tarikh pengisytiharan Kemerdekaan di buat di Melaka? Siapa boleh jawab..?
 
Oklah, cukuplah beberapa keping gambar yang sempat aku tayangkan di blog ini. Tak bolehlah aku nak tayangkan banyak-banyak. Kalau nak lihat gambar-gambar sebegini bolehlah lawati Galeri Melaka di Bukit Peringgit. Galeri ini berdekatan dengan Galeri Ketua Menteri Melaka.
 
Nanti senang-senang aku akan buat entri berkaitan Galeri Melaka pula.  :)

Saturday, March 30, 2013

IKLAN JAWATAN KOSONG DI PERBADANAN MUZIUM MELAKA (PERZIM)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
 
 
Pada 20 Februari 2013 yang lalu, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), tempat aku bekerja ni baru saja membuka iklan jawatan kosong. Kini, PERZIM membuka lagi beberapa jawatan untuk diisikan bagi memenuhkan penjawatan di Perkampungan Hang Tuah pula.
 
Perkampungan Hang Tuah merupakan satu lagi produk pelancongan yang bakal dibuka tidak lama lagi. Ia terletak di Kampung Duyung di mana terletaknya Perigi Hang Tuah.
 
Antara jawatan kosong yang akan dibuka ialah :
 
a) Kurator S41 (1 kekosongan)
 
b) Pembantu Muzium S17 (1 kekosongan)
 
c) Pembantu Am Pejabat N1 (6 kekosongan)
 
* Taraf jawatan : Kontrak
 
Buat masa ini aku lihat iklan kekosongan ini masih belum dikemaskini di laman sesawang PERZIM, namun bagi sesiapa yang berminat bolehlah kerap membuat semakan di laman sesawang PERZIM untuk maklumat lebih lanjut. Juga boleh membuat semakan di Facebook PERZIM seperti berikut :
 
Laman sesawang : perzim.gov.my
 
 
Sedikit maklumat mengenai Perkampungan Hang Tuah :
 
Perkampungan Hang Tuah terletak di Kampung Duyung, Melaka. Ia didirikan di kawasan yang berkeluasan 40 hektar. Antara bangunan baru yang didirikan di Perkampungan Hang Tuah ini ialah rumah 5 bersaudara iaitu Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu.
 
Selain itu, ia juga menempatkan sebuah muzium iaitu Muzium Hang Tuah. Antara bangunan lain yang dibina ialah rumah-rumah tradisional Melayu, auditorium, balai adat dan pentas kebudayaan. Tidak lupa juga pada pembinaan gelanggang silat yang dikatakan bakal menjadi gelanggang silat yang terbesar.
 
Masih dalam proses pembikinan, belum siap 100%

Antara binaan yang terdapat di Perkampungan Hang Tuah
 
Siapa yang dapat tawaran temuduga nanti, mungkin banyak soalan berkaitan Perkampungan Hang Tuah kerana kekosongan yang hendak diisi penempatannya adalah di situ.
 
Jadi, selamat menulis dan menghantar borang dan selamat mencuba. Rezeki itu datangnya dari Allah, belum cuba belum tahu. Semoga berjaya.... :)
 

Wednesday, March 27, 2013

REVOLUSI NAMA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Apa ada pada nama? Ya, nama memang penting bagi kita, bukan saja ianya disebut-sebut di dunia malahan nama kita ini akan melekat pada diri kita hinggalah ke akhirat kelak.

Sebenarnya aku mahu bercerita sedikit perihal revolusi nama orang Islam yang terdapat di Malaysia ini. Bukanlah aku mahu mengatakan yang negatif, cuma mahu membandingkan nama-nama orang terdahulu dengan nama-nama masa kini.

Kalau kita imbau kembali nama-nama nenek moyang kita dahulu, apa yang kita dapat tahu? Nama mereka pendek, ringkas malahan ada yang mengambarkan tentang alam sekeliling.

Mungkin kita biasa mendengar nama-nama seperti ini bagi orang-orang terdahulu iaitu :

Fatimah / Rabiah / Jahara / Sapiah / Rafeah / Yasin / Majid / Kassim / Ibrahim / Ramlah / Zaiton / Zainon / Rahim / Yunus / Semah  dan lain-lain lagi.

Begitu juga nama-nama yang dianggap pelik seperti :

Pendek / Hitam / Keling / Bulat / Merah dan sebagainya.

Kini, zaman terus berubah. Nama-nama turut berubah. Kalau dulu namanya pendek saja, kini nama-nama kanak-kanak sekarang paling tidak pun mempunyai 2 perkataan dan sedap-sedap namanya

Hendak dijadikan cerita, hari Sabtu lalu di muzium ada membuat pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika, jadinya sempat jugalah aku melihat beberapa nama kanak-kanak zaman sekarang yang begitu panjang tetapi sedap disebut. Antaranya :

Nur Quratu 'Ain / Nor Amalina Syasya / Nuraqilah Maisarah / Wafa Ayuni Umairah / Nur Qaseh Izzati / Nur Irene Qistina / Durarumaisya Balqis / Nisrina Nadhirah

yang lelakinya pula :

Muhammad Nu'man Hasif / Danish Haikal Hairul / Mohammad Denish Khan / Muhammad Adli Syahmi Hairul / Muhammad Aqil Zuhairi / Muhammad Aqmal Hakimi.

Erm.. Begitulah revolusi nama-nama Islam dari dahulu sehinggalah kini. Aku tak mengatakan ianya salah, selagi ianya mempunyai maksud yang baik ia tetap tidak salah. Di sini aku cuma mahu kita lihat perkembangan nama dahulu dan kini.

Ps : Anak aku namanya Muhammad Fahim dan seorang lagi Ainnur Afiah :)      

 

  


WORDLESS : KESIAN... SAMPAI TERLENA



Monday, March 25, 2013

AGENT DROPSHIP CHENTA CREATIVE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
  
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini Chenta Creative HIJAB melangkah setapak dengan memperkenalkan sistem Agent Dropship di mana ia memberi peluang kepada semua orang yang ingin berniaga tetapi tiada modal.

Apa itu Dropship? 

Dropship adalah satu kaedah perniagaan di mana penjualan sesuatu produk atau servis dengan pengedar hanya perlu membayar kepada pembekal berdasarkan produk atau servis yang dijual.

Ianya memberikan keuntungan yang besar kepada pengedar kerana tidak perlu menyimpan stok dan menanggung modal. 

Dropship membolehkan setiap orang menjalankan perniagaan kerana peniaga tidak perlu mempunyai produk atau servis yang dikeluarkan sendiri.

Bagaimana kaedah perniagaan dropship bersama Chenta Creative?

Para bakal agent dropship hanya perlu mengikuti 4 langkah mudah iaitu :

1. Mempromosikan produk keluaran Chenta Creative dengan cara memuat turun gambar di page Chenta Creative kemudiannya memuat naik gambar tersebut ke laman-laman sosial seperti Facebook / Twitter / blog dan sebagainya.

2. Apabila mendapat tempahan, agent dropship perlu menghubungi Chenta Creative secara private message di Facebook atau email untuk booking.

3. Pembeli akan membayar kepada agent dropship harga produk tersebut seterusnya agent akan membayar kepada Chenta Creative dengan jumlah yang telah ditolak komisen.

4. Chenta Creative akan membuat penghantaran terus ke pembeli.

Senang bukan untuk menjadi Agent Dropship Chenta Creative? Untuk makluman, Chenta Creative akan memberikan komisen sehingga RM 10.00 bagi setiap jualan tudung yang dapat dijual oleh Agent Dropship.

Kalau berminat untuk menjadi Agent Dropship Chenta Creative sila beri maklumat berikut :

a) Nama
b) Nombor Kad Pengenalan
c) Nombor Telefon
d) Alamat Email
e) Alamat Rumah

dan emailkan kepada chentacreativehijab@yahoo.com

Antara produk yang ditawarkan untuk Agent Dropship adalah :







Lain-lain produk tudung 3 layer yang ditawarkan boleh didapati di sini >>> KLIK <<<

Sokongan anda amatlah diharapkan. Terima kasih.

MASA BUMI 2013


Assalamualaikum dan Salam Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Masa bumi atau lebih popular dalam Bahasa Inggeris iaitu Earth Hour, sudah beberapa tahun ianya telah disambut oleh penduduk bumi. Aku sendiri telah mengeluarkan entri tentang Earth Hour selama 2 kali iaitu pada tahun 2011 dan 2012.
 
Jadi, apa yang kita lakukan untuk Earth Hour? Erm.. Tak perlulah aku bertanya apa yang kamu lakukan, elok saja aku ceritakan apa yang aku sendiri lakukan.
 
Apa yang aku lakukan? Ya, sebagai menyokong Earth Hour 2013, aku telah bergelap di dalam rumah hanya ditemani cahaya televisyen.

Bertemankan cahaya televisyen... :)
 
 
Namun, aku hanya bertahan selama 20 minit sahaja sedangkan waktu yang diperlukan untuk menyokong program ini ialah selama 1 jam. Nak buat macam mana, aku ada anak kecil. Erm.. setidak-tidaknya adalah juga aku menyokongnya walaupun tidak lama. :)

Saturday, March 23, 2013

AYAM BOHSIA!!!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Pernah dengar Ayam Bohsia? Nak tahu apa itu Ayam Bohsia? Ok, layan gambar Ayam Bohsia ni...
 
v
v
v
 
 
Sebenarnya tak pernah pun aku gelarkannya Ayam Bohsia, cuba ada sekali terperasan kawan aku di Facebook menggelarkannya Ayam Bohsia.
 
Mengikut bahasa yang biasa dipakai, makanan ini biasanya disebut Ayam Togel, Ayam Rangka atau Ayam Tulang. Kalau pergi ke pasar malam memang selalu juga membeli ayam ni. Sedap dimakan begitu saja. :)
 
Masih ingat pada satu masa dulu, harga yang dijual hanya RM 1.00 saja, kini harganya menjangkau RM 3.50 seekor. Padahal ianya hanyalah ayam goreng yang hanya tinggal tulang, adalah sedikit-sedikit isinya. Tapi itulah yang sedapnya kan..
 
Ada sesiapa suka makan Ayam Bohsia?

Friday, March 22, 2013

TERIMA KASIH AMRY'S BLOG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Perniagaan masa kini bukan hanya terhad kepada kaedah tradisional iaitu dengan hanya membuka kedai dan hanya menanti pelanggan datang ke kedai kita. Kini, dunia tanpa sempadan yang menggunakan Internet sedikit sebanyak membantu para peniaga menjalankan jualan dan pemasaran sesuatu produk.
 
Facebook juga merupakan satu-satu medium yang amat berkesan dalam aspek pemasaran. Dengan hanya satu klik, keterangan / gambar sesuatu produk dapat dibaca dan dilihat oleh puluhan, ratusan malahan ribuan pengguna Facebook. Dalam ratusan yang melihat, takkanlah tiada satupun yang membeli, ye tak?
 
Berbalik kepada tajuk entri iaitu Terima Kasih Amry's Blog... Kenapa aku nak berterima kasih kepadanya? Emm... iyalah, mestilah kena berterima kasih kepadanya kerana dengan tanpa diminta, dia telah mempromosikan CHENTA CREATIVE HIJAB diblognya.
 
Banner Chenta Creative @ Amry's Blog
 
 
Walaupun tidak dapat dipastikan berapa besarnya impak promosi tersebut, namun sekurang-kurangnya dapatlah juga nama CHENTA CREATIVE HIJAB disiarkan di sana sini dalam alam maya ini. Terima kasih bro...
 
Kini, perjalanan perniagaan CHENTA CREATIVE HIJAB agak lancar. Jualannya cukup memberangsangkan sama ada secara runcit-runcit mahupun borong. Alhamdulillah, Allah yang memberikan rezeki, kita hanya mampu merancang.

Monday, March 18, 2013

BUKAN BUSY BODY


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.


SUMBER GAMBAR >> KLIK <<

Sekarang ni agak sibuk dan ditambah penyakit demam, batuk, selsema, sakit kepala dan sengal-sengal satu badan. Jengok blog pun sekejab saja, nak blogwalking, komen pun rasa malas.

Sabtu dan Ahad hari tu pun bertugas sebab ada program, malam tadi pergi klinik 1 Malaysia (depan rumah saja) nak pergi klinik lain jauh, badan pula dah tak larat, kepala berat semacam. Klinik 1 Malaysia mana ada keluarkan MC, jadinya hari ini kerjalah juga. Walaupun badan tak berapa nak sihat, ku gagahkan juga pasal hujung minggu ni ada program lagi kena uruskan. Segala preparation kena laksanakan.

Ok dah, cukuplah ni.. :) 

Wednesday, March 13, 2013

Tuesday, March 12, 2013

JOM SANTAI-SANTAI MELAWAT PAMERAN SOLO ALLENTAN : TRUEFACES COLLECTION II


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Seni visual atau dahulunya dikenali sebagai seni lukis amat berkembang pesat di Malaysia pada zaman kini. Namun, tidak ramai membeli hasil seni kerana masing-masing beranggapan ianya memerlukan kos yang tinggi. Tetapi kita perlu tahu juga bahawa tidak semua hasil seni itu mahal dan hasil seni juga merupakan suatu yang tidak mudah turun harganya. Ianya akan terus menjadi mahal. Semakin lama semakin mahal.

Ok.. Cukuplah sedikit mukadimmah di atas. Hasrat aku hanyalah untuk mewar-warkan sebuah pameran terbaru yang sedang berlangsung di Balai Syed Sheikh Al-Hadi atau lebih dikenali sebagai Bastion House di Bandar Hilir, Melaka.

Pameran ini dinamakan PAMERAN SOLO ALLENTAN : TRUEFACES COLLECTION II yang berlangsung dari 11 Mac 2013 hingga 30 April 2013. Tiada bayaran masuk dikenakan. Pelukis ini pun bukannya asing, beliau sudah beberapa kali mengadakan pameran solo di sini.

Jika ada kelapangan waktu, aku menyusun karpet merah menyemput semua ke pameran ini. Silakan... :)

Lokasi pameran

Antara lukisan yang dipamerkan

Pelbagai tema lukisan

Kuda... Lambang kemewahan


Cukuplah beberapa gambar ini aku sertakan, taruk banyak-banyak nanti orang tak masuk pula ke pameran ni sebab dah tengok gambar dalam blog ni saja.

Monday, March 11, 2013

PENGAWAL DIRAJA KESULTANAN MELAYU MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Kesultanan Melayu Melaka kembali wujud? Oh, tidaklah. Sebenarnya aku hanya mahu memaparkan kakitangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka yang mengenakan pakaian seperti 'orang dulu-dulu'.


Hulubalang Istana..


Kakitangan ini akan memakai pakaian seperti ini pada hari hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad dan berperanan sebagai penyambut tamu di pintu masuk muzium ini.


Nasib koranglah.. Aku dah pasang pengawal...

Bukan sahaja berperanan sebagai penyambut tamu, mereka juga menjadi mangsa model untuk ditangkap gambar bersama, lebih-lebih lagi para pelancong asing yang begitu teruja untuk bergambar.

Ada sesiapa yang agak teruja nak bergambar bersama dua orang pengawal diRaja ni, jomlah melawat ke Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka. (hehe.. kuat promote).

Keluar tajuk sekejab... Melaka dahulu terkenal dengan zaman kesultanannya. Negerinya masyur seantero Nusantara dan Timur, Barat. Namun kini, kesultanannya sudah tiada dan lupus. Tetapi ingat, masih ada yang mengakui dirinya adalah pewaris Kesultanan Melayu Melaka.

Cuba kita berimaginasi sekejab, adakah pada suatu hari nanti yang dikatakan pewaris Kesultanan Melayu Melaka akan menyerang Melaka bagi mendapatkan kembali kekuasaan dan wilayahnya di Melaka sepertimana yang dilakukan oleh Kesultanan Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah? Huh, harap-harap tiadalah, negeri Melaka ni sudahlah kecil, mana mahu menyorok kalau diserang. (sekadar gurauan, anggaplah ia sebagai angin lalu sahaja)

Sunday, March 10, 2013

(IKLANEKA) KOLEKSI TUDUNG CHENTA CREATIVE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Alhamdulillah, kini jualan tudung-tudung Chenta Creative kian mendapat sambutan sama ada secara off-line mahu pun on-line. Sudah ada juga 'likers' di Facebook menanyakan untuk menjadi pengedar.
 
Begitu juga seorang pengedar secara off-line telah menjadi pengedar yang aktif, hanya seminggu dua sebanyak 20 helai tudung telah terjual. Alhamdulillah.
 
Kini pihak Chenta Creative sudah mengenalpasti 3 buah kedai untuk menjadi ejen pemasaran tudung Chenta Creative. Proses untuk penyediaan bahan-bahan display sedang diusahakan.
 
Di sini ada beberapa lagi koleksi yang masih lagi available, kalau ada berminat bolehlah order dengan aku. Harga yang dipamerkan tidak termasuk kos penghantaran. :)
 
Orchid 3 Layer Printed
 
Material : Shiffon
Harga RM 80.00
 




Orchid 3 Layer Plain

Material : Shiffon
Harga : RM 75.00
 



 
Untuk pembelian secara borong, bolehlah membaca maklumat di sini >>> KLIK <<<
 
Sudi-sudikan like di Facebook >>> Chenta Creative <<<
 

ALKISAH TERPERANGKAP DI DALAM LIF


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Ada sesiapa berpengalaman terperangkap di dalam lif? Pada tanggal 7 Mac 2013, aku berpengalaman terperangkap di dalam lif di sebuah hotel baru yang 'berbintang-bintang' di Bandar Hilir, Melaka.
 
Aku dan isteri sebelum kejadian terperangkap di dalam lif 
 
 
Ketika itu aku baru sahaja selesai menghadiri satu program makan malam, orang memang ramai, hampir 1000 orang. Semasa pulang, orang berpusu-pusu untuk turun dengan menaiki lif, termasuklah aku. Kalau tingkatnya rendah mungkin aku boleh melalui tangga sahaja, namun programnya di tingkat 11, kalau nak melalui tangga, mahu berpeluh dibuatnya.
 
Nak dijadikan cerita, apabila masuk sahaja ke dalam lif, memang tiada apa-apa perkara ganjil berlaku, perjalanan ke tingkat bawah baik-baik sahaja. Tiba-tiba, apabila sampai di aras 'G', pintu lif tidak terbuka. Tunggu juga beberapa saat tapi tidak terbuka. Akhirnya aku yang berada betul-betul di butang nombor lif menekan loceng kecemasan. Terus berhubung dengan pihak hotel menggunakan intercom.
 
Di dalam lif terdapat 17 orang termasuk aku. Ada pula seorang wanita yang mengandung dan mempunyai asma. Mula-mula semuanya agak bersabar menanti bantuan tiba, namun lama-kelamaan keadaan menjadi sedikit tidak terkawal kerana agak terlalu lama kami terperangkap di dalam lif tersebut. Mengenangkan pula ada wanita mengalami asma, ada beberapa orang sudah memarah-marah pihak hotel melalui intercom. Aku hanya menyuruh mereka bersabar.
 
15 minit sudah berlalu, aku terasa sudah kekurangan oksigen, dalam lif juga sudah berasa panas. Ada seorang 'abang' tu sudah berpeluh-peluh aku lihat. Keadaan terus tidak terkawal, sudah ada yang terus memaki-maki, mengetuk-ngetuk pintu lif dan ada juga yang cuba membuka pintu lif dari dalam.
 
Selepas kira-kira 20 minit terperangkap di dalam lif, akhirnya kami selamat keluar dengan bantuan pihak teknikal hotel. Mereka membuka pintu lif secara manual dari luar. Tapi lif tersebut tidak betul-betul berada di landasannya, kami perlu melangkah seperti tangga untuk keluar.
 
Wanita yang asma tersebut dipapah keluar, kelihatan dia begitu lemah dan direhatkan dahulu di sebuah kerusi. Alhamdulillah, apabila aku lihat wanita tu seperti sihat saja, aku pun teruslah balik kerana jam di tangan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah malam.
 
Sekian aku melaporkan.. :)

Saturday, March 9, 2013

TIPS UNTUK MENDAPATKAN CEK DARI NUFFNANG


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Sebenarnya tiada apa tips pun untuk mendapatkan cek dari Nuffnang, asalkan jumlah tabungan di akaun Nuffnang sudah melebih RM 50.00, jadi sudah bolehlah ia minta dihantar kepada kita untuk ditunaikan.
 
Apa yang hendak diwar-warkan di dalam entri ini sebenarnya perihal cek kedua dari Nuffnang yang aku baru terima. :)
 
 
Bukan mahu berlagak pun pasal terima cek dari Nuffnang ni. Berkurun jugalah mengumpul untuk mendapatkan jumlah sebegini. Apa yang dapat dirumuskan ialah, bukan boleh kaya pun. Lainlah kalau bloggers yang benar-benar pro.
 
Namun, apa yang aku nak kongsikan juga ialah pasal tips untuk mendapatkan iklan Buffering Earning (BE). Hanya satu saja tips yang aku nak kongsikan dan sememangnya sudah ramai yang sudah tahu iaitu dengan MENGEMASKINI TINJAUAN KITA DALAM PAGE NUFFNANG DAN SELALULAH BERTANYA KEPADA NUFFNANG DALAM BORANG PERTANYAAN.
 
Rasanya, ia memang tidak dapat dinafikan. Biasanya kalau sudah lama sangat iklan BE tidak hadir dalam blog aku, mulalah aku mengemaskini tinjauan dan balas membalas surat dalam borang pertanyaan Nuffnang. Lepas itu, selang beberapa hari hadirlah iklan BE dalam blog aku. Apa yang bestnya, dah tamat satu BE, bersambung pula satu BE lagi. Pergghhh... Memang sukalah.

Wednesday, March 6, 2013

PENGORBANAN DAN KASIH SAYANG SEORANG IBU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W

Terlebih dahulu cuba kita sama-sama perhatikan karya seni ini :


Karya seni di atas merupakan hasil tangan seorang artis bernama Allen Tan yang kini pameran lukisannya sedang berlangsung di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, (Bastion House), Bandar Hilir, Melaka.

Sebenarnya karya ini memaparkan seorang ibu dan bayinya yang terperangkap dalam satu runtuhan (tidak pasti sama ada runtuhan rumah atau lereng bukit).

Kelihatan si ibu melindungi bayinya itu di sebalik runtuhan batu dan tanah dan ketika ini keduanya masih dalam keadaan bernyawa. Si ibu sempat menyusukan bayinya itu dengan susu badan supaya anaknya tidak kelaparan dan terus hidup. Semasa ini proses menyelamat oleh anggota penyelamat sedang dijalankan.

Si ibu tidak pasti sama ada mereka mampu bertahan sehingga diselamatkan atau akan meninggal dunia di bawah runtuhan tersebut. Kebetulan si ibu ada memegang telefon bimbit lalu beliau menulis sesuatu yang berbunyi "wahai anak, sekiranya kamu masih hidup, ketahuilah bahawa ibu sangat sayang pada kamu".

Ya Allah, betapa kasih dan sayangnya ibu terhadap seorang anak. Aku tidak pastilah sama ada karya ini dilukis berdasarkan pemerhatian sebenar atau hanya imiginasi pelukis, namun kesan kesedihan dapat dirasa dalam diri aku.

Inilah namanya karya seni yang bermutu. Kita dapat merasakan apa yang dilukis. Amat jarang sekali aku menemui suatu karya seni yang mampu memberikan kesan sedih dalam diri.

Tuesday, March 5, 2013

MALAM INI JUGA NAK KE LAHAD DATU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Nampaknya sudah agak lama pihak penceroboh yang mendakwa mereka adalah tentera kesultanan Sulu menceroboh ke negeri Sabah khususnya di Lahad Datu. Bermula dengan ingin mengadakan perbincangan sehinggalah kepada peristiwa pertumpahan darah, namun mereka masih enggan meninggalkan bumi Sabah.
 
Bermacam versi cerita dan berita yang kita dapat lihat dan baca dari pelbagai media terutamanya media baru (internet). Namun, kita perlu bijaksana meneliti sesuatu perkara dengan menentukan kesahihan sebelum menyebarkannya.
 
Aku tidaklah mahu mengulas apa-apa tentang peristiwa di Lahad Datu, namun aku tertarik dengan seorang pakcik yang begitu bersemangat untuk sama-sama kembali berjuang untuk melenyapkan petualang di negeri Sabah.
 
Berikut adalah perbualan aku dengan seorang pakcik semasa menjamu selera di surau setelah selesai kuliah Fardhu Ain.
 
Aku : Pakcik pencen polis ke?
 
Pakcik : Mana tau?
 
Aku : Saya tengok badan dah tau... (walaupun sudah berumur namun badannya masih 'smart' dan tegap). Apa cerita Lahad Datu?
 
Pakcik : Ye, pakcik pencen polis. Huh, pakcik memang geram mendengarnya. Kalau mereka beri pakcik 'uniform' dan senjata, malam ni juga pakcik terbang ke Lahad Datu. (dengan penuh semangat)
 
Sebenarnya aku terharu juga dengan semangat juang yang ada pada dirinya. Walaupun beliau sudah berpencen namun semangat untuk terus berbakti pada agama, bangsa dan negara masih kekal tersemat di dadanya.
 
Terfikir pula tentang anak-anak muda masa kini (Gen-Y), adakah mereka juga mempunyai semangat juang yang tinggi ataupun hanya sekadar pandai bercakap...

Monday, March 4, 2013

ANDAI INI BOLEH DIKATAKAN SEBAGAI KOLEKSI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Agak lama juga blog aku ini tidak mempunyai entri terbaru. Walaupun tiada entri terbaru, namun aku tetap mengunjungi blog-blog yang kebiasaannya aku lawati (seperti di bloglist).
 
Hendak dijadikan cerita, pada satu hari seorang pengumpul tegar datang ke rumah aku untuk membeli barangan Milo yang aku iklankan di Mudah[dot]My. Beliau memang seorang pengumpul tegar, bukan setakat macam aku yang hanya mengumpul Milo, tetapi beliau mengumpul bermacam-macam benda dan barangan.
 
Kalau hendak disebutkan satu-persatu memang banyak sangat barang yang dikumpulnya. Namun, ada satu barang yang dikumpul oleh beliau yang aku tertarik iaitu mengumpul penanda nama (tagging).
 
Sebenarnya aku memang mempunyai banyak penanda nama ni, namun semangat untuk aku mengumpulnya tiada. Justeru, bermulalah episod aku mengumpul semula penanda nama ini yang kebanyakkan memang bersepah-sepah. Ada yang terletak di rumah, dan ada yang terletak di pejabat.

Hasil daripada pencarian semula penanda nama ini, dapatlah aku temui sejumlah penanda nama yang agak banyak juga dan telah aku simpankan ke dalam sebuah kotak untuk dijadikan sebagai bahan koleksi.

Bak kata orang, cakap banyak tak guna, tikam tak kena, layan saja beberapa gambar koleksi penanda nama yang sempat aku ambil.

Adalah sedikit...

Antara penglibatan dalam sukan

Pegawai Pengiring (Liason Officer)

Antara penglibatan di peringkat Asean / antarabangsa (tetapi dalam Malaysia)

Antara penyertaan kursus / bengkel / seminar dan lain-lain

Sebilangan daripada program-program jabatan

Menarik tak mengumpul barangan macam ni..? :)

APA KHABAR LAHAD DATU

Apa khabar Lahad Datu?
hati di Semenanjung berombak laju,
mata tidak dapat dilena,
dengar perkhabaran ini itu,
apakah tenang di sana?
atau terus bersengketa.

Wira-wira negara tumbang,
mempertahan kedaulatan,
dari petualang,
bertandang tanpa diundang,
dengan laras senapang.

Ingatlah wahai petualang,
Ingatlah sejarah,
Kesultanan kamu sudah lama pupus,
tanah ini tanah berdaulat,
bukan hak kamu.

Pulanglah duhai petualang,
ruang kamu pulang aman,
usah seteru yang kuasa,
kelak badan rosak binasa,
hilang zuriat,
hilang pusaka.

Fairus Haji Mamat
4 Mac 2013