Wednesday, October 31, 2012

WAJIB BACA : PENIPUAN WANG ALAF BARU


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Sebelum saya bercerita agak panjang lebar, terlebih dahulu saya berpendapat mungkin ada antara kalangan yang membaca entri ini pernah terkena sepertimana yang saya mahu ceritakan ini. Saya berkongsi cerita ini supaya kita semua mendapat makluman seterusnya tidak tertipu dalam apa-apa bentuk penipuan yang menyuruh kita menyerahkan wang. Wallahuaklam.
 
Hendak dijadikan cerita, pagi tadi (30 Oktober 2012) saya ada mendapat satu panggilan bernombor misteri iaitu 1300888*** yang mendakwa panggilan dibuat dari TM (Telekom Malaysia). Semasa menjawab panggilan tersebut, operatornya memberitahu saya mempunyai bayaran tertunggak bil bulanan UNIFI sejak April 2012 sebanyak RM 3,000 ++. Selepas itu, operator menyuruh saya menekan nombor sekian-sekian untuk terus disambungkan kepada pegawai mereka.
 
Saya agak terperanjat kerana saya tidak pernah melanggan pakej tersebut, ditambah lagi keraguan bahawa kawasan penginapan saya memang masih belum ada servis UNIFI. Saya agak sedikit bingung.
 
Pegawai yang disambungkan kepada saya mendakwa beliau dari pejabat TM di Kuala Lumpur. Saya memberitahu perkara sebenar yang saya memang tidak melanggan UNIFI. Seterusnya dia memberitahu kepada saya mungkin ada seseorang yang telah menggunakan nama dan nombor kad pengenalan saya untuk melanggan UNIFI.
 
Apa yang membuatkan saya berasa janggal sangat, orang yang didakwa menggunakan nama saya itu juga membuka akaun RHB BANK sebagai agensi pemotongan bulanan terus dari akaun untuk membayar bil bulanan UNIFI. Keadaan saya semakin tertanya-tanya.
 
Lantas, pegawai tadi menyatakan mungkin nama dan nombor kad pengenalan saya telah disalahguna oleh pihak tertentu dan menyarankan saya membuat laporan ke BANK NEGARA kerana ia melibatkan penipuan akaun bank. Sebelum itu sempat juga dia memberikan maklumat-maklumat berkaitan seperti alamat dan nombor telefon rumah orang yang menggunakan nama saya, nombor akaun UNIFI serta nombor akaun RHB BANK yang semuanya menggunakan nama saya.
 
Pegawai tersebut menyuruh saya menulis segala maklumat yang diberikan supaya mudah disampaikan kepada pegawai di BANK NEGARA semasa saya membuat laporan. Sebelum menamatkan panggilan, pegawai tersebut telah memberikan nombor telefon Unit Aduan BANK NEGARA dan menyarankan agar saya segera menghubunginya.
 
Saya tanpa berfikir panjang terus menghubungi BANK NEGARA melalui nombor telefon yang telah diberikan. Tiada jawapan. Saya dail sekali lagi, masih tiada jawapan seperti talian sedang sibuk. Dalam hati saya berfikir, tentu mereka sedang sibuk menerima aduan pelanggan yang ramai.
 
Semasa menunggu talian tidak sibuk saya sempat mengemaskini status di Facebook dengan menyatakan masalah yang sedang saya hadapi. Ada pula seorang yang menekan butang "like" iaitu MADAM LALA. Saya juga sempat menghantar mesej kepada isteri saya untuk menyatakan perihal ini.
 
Dalam beberapa minit selepas itu, saya dapat menembusi talian Unit Aduan BANK NEGARA. Apabila panggilan diangkat dengan pantas orang yang menjawab panggilan tersebut bertanya "BANK NEGARA, BOLEH SAYA BANTU?" Saya pun menceritakan masalah yang saya hadapi sepertimana yang diberitahu oleh pegawai TM sebelum tadi.
 
Selepas selesai menceritakan masalah saya secara ringkas, pegawai yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA tersebut menyatakan dia akan menelefon saya semula untuk proses rakaman suara pula untuk merekod aduan. Dia meminta saya meninggalkan nombor telefon supaya dia boleh menelefon saya semula. Dalam hati saya bertanya, mengapa dia tidak memasang terus sistem rakaman suara?
 
Dalam beberapa minit selepas itu, pihak yang mendakwa dirinya dari BANK NEGARA telah menghubungi saya semula. Kali ini dia meminta banyak maklumat dari saya. Dari kad kredit (saya tidak ada), bank-bank yang saya menyimpan duit, jumlah-jumlah duit yang ada dalam setiap akaun dan pelbagai soalan seperti lagak orang sedang menjalankan siasatan.
 
Saya mula risau apabila pegawai terbabit berkata mungkin akaun-akaun bank saya boleh dikeluarkan wang oleh orang yang menggunakan nama saya untuk melanggan UNIFI tersebut. Soal jawab antara dia dan saya agak lama juga sehinggalah talian terputus. Perkataan terakhir yang saya ingat sebelum talian terputus ialah "bagaimana pula dengan akaun ASB saya?".
 
Dan dan selepas talian terputus orang tersebut tidak menghubungi saya lagi. Pada sesi soal jawab tersebut, pegawai itu sempat meberitahu agar tidak menghebah-hebahkan perkara ini kepada sesiapa pun kerana ia dalam siasatan dan akan membuat tangkapan dan dalam jangka masa 3 hari, saya dilarang untuk membuat apa-apa transaksi di bank.  Lalu saya teringat saya ada mengemaskini status di Facebook. Dengan pantas saya log masuk ke Facebook dan memadam status saya. Begitu juga dengan mesej yang saya berikan pada isteri, saya menghantar mesej kepadanya semula agar tidak memberitahu kepada sesiapa kerana ia masih dalam siasatan pihak BANK NEGARA
 
Selepas itu saja bekerja seperti biasa, masih mengharap juga panggilan dari BANK NEGARA yang terputus dan tidak ditelefon semula. Dalam pukul 4.00 petang, isteri saya membuat panggilan, dia menyatakan bahawa panggilan dari TM yang saya terima itu adalah panggilan tipu. Nombor telefon BANK NEGARA yang diberikan juga itu adalah tipu. Rupa-rupanya ini adalah satu perancangan rapi dari mereka sendiri untuk menipu wang mangsa. Pada masa ini saya adalah mangsanya.
 
Namun saya bersyukur kerana saya tidak terus tertipu. Pada hemat saya, saya hanya memberitahu akaun-akaun bank (tanpa nombor akaun) dan nilai wang yang ada di setiap akaun bank yang saya ada. Saya harap tiada maklumat penting yang terlepas kepada si penipu itu.
 
Saya yang berasa tidak puas hati terus membuat carian nombor telefon sebenar BANK NEGARA. Setelah berjaya membuat panggilan, saya menceritakan hal yang terjadi pada saya. Pegawai yang menjawab panggilan saya itu seperti sudah tahu kes seperti saya, beliau menyuruh saya membiarkan sahaja kerana telah banyak aduan yang sama mengenainya.
 
Beginilah serba sedikit pengalaman saya yang hampir tertipu. Mujurlah saya memang tiada menggunakan perkhidmatan UNIFI, kalau tidak mungkin juga saya terhasut untuk membayar tunggakkan yang perlu saya jelaskan.
 
Macam-macam cara orang penipu untuk mendapatkan wang, jadi saya berharap apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak memberi makluman dan pengetahuan kepada semua agar tidak tertipu dengan penipuan yang mempunyai modes operandi sedemikian rupa. Harapnya dapatlah juga dikongsikan kepada adik beradik, sedara mara dan sahabat handai yang lain untuk makluman bersama.

Monday, October 29, 2012

PINGAT MILO HIDUP BOLA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kalau ada yang perasan, baru-baru ini saya ada menerbitkan sebuah entri bertajuk Pingat Milo Play More Learn More, dan pada hari ini saya mahu berkongsi lagi 5 buah pingat Milo iaitu pingat Hidup Bola yang saya minta dari anak buah saya yang sememangnya aktif dalam sukan bola sepak.

Memang banyak piala di rumahnya, jadi saya pun mintalah jika dia tidak keberatan. Jadinya, dia memberikan  5 buah pingat Hidup Bola kepada saya sebagai koleksi Milo. Ada beberapa lagi masih tersimpan dalam simpanan dia. 

Bukan setakat pingat saja, akak saya turut hendak memberikan sijil-sijil Milo kepunyaan anaknya. Tetapi saya tidak mengambilnya, saya menyarankan agar disimpan saja untuk kegunaan masa hadapan. Sijil-sijil adalah sesuatu yang berharga.


Pingat-pingat Milo Hidup Bola


Pingat-pingat ini diperoleh pada tahun-tahun 2009 hingga 2011. Ada yang juara, tempat keenam dan ketujuh dan ada juga yang ke Grand Final. Hebat budak-budak sekarang bermain bola, saya dulu setakat main peringkat sekolah dan kampung saja. 

Umur dah mencecah 30-an sekarang saya masih juga bermain bola. Main biasa-biasa saja mewakili jabatan dalam perlawanan-perlawanan persahabatan. Minggu lepas baru saja ada satu perlawanan persabatan, kalah  4 - 2. Tapi yang pentingnya saya ada menjaringkan gol sebiji. Namun apakan daya, gol yang sebiji tu saya golkan di gawang sendiri. Hahaha.. Tanpa disengajakan. Masih ingat lagi, masa saya menjaringkan gol sendiri tu, saya pandang penjaga gol, penjaga gol pun pandang saya. Dua-dua kelu tanpa kata. :)

Thursday, October 25, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1433 H



PAMERAN SOLO SHAMSUL BAHARIN @ GALERI SENI RAKYAT, MELAKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada hari ini saya ingin mempromosikan satu pameran lukisan yang sedang berlangsung di Galeri Seni Rakyat, Melaka yang bertajuk Pameran Solo : Shamsul Baharin. Pameran ini berlangsung di Galeri Seni Rakyat bermula secara rasmi pada 1 November 2012 hingga 1 Januari 2013.

Bagi mereka yang berminat pada seni lukisan, bolehlah hadir untuk melawat pameran ini yang mana, lukisan-lukisan yang dihasilkan adalah dari media cat minyak yang dilukis di atas kanvas. Harga-harga lukisan amat berpatutan bermula dari RM 2,500.00 hingga RM 7,500.00.

Apa yang baiknya, 30 % hasil jualan lukisan-lukisan ini akan didermakan kepada badan-badan amal seperti rumah-rumah anak yatim yang terpilih. 

Di bawah ini saya sertakan gambar pelukis dan beberapa karya yang dipamerkan di Galeri Seni Rakyat, Melaka. Jom Ramai-ramai kita saksikan pameran ini. :) 

Shamsul Baharin

Impastorektif 2

Impastorektif 4

Impastorektif 9

Impastorektif 17

PINGAT MILO PLAY MORE LEARN MORE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Nak dijadikan cerita, saya mempunyai seorang anak saudara (anak buah) yang sangat aktif dalam bidang sukan terutama sukan bola sepak. Umurnya tahun ini ialah 12 tahun. Banyak pertandingan bola sepak yang telah dia masuki sama melalui sekolah, kelab mahupun mewakili negeri.
 
Apabila banyak pertandingan yang dia masuk, maka banyak jugalah hadiah-hadiah yang dia perolehi. Satu daripadanya ialah Juara Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah anjuran Milo Play More Learn More yang telah diadakan pada 7 Oktober yang lepas.
 
Champ Milo Play More Learn More

Johan Bola Sepak 7 Sebelah
 
 
Saya yang sememangnya amat teruja dengan barangan Milo terasa ingin memilikinya. Dia pun tidak kisah kerana di dalam rumah dia penuh dengan pingat-pingat sedemikian rupa. Pingat dari Milo saja ada lebih kurang 8 - 10 buah.
 
Saya sedang mengeceknya untuk mendapat semua pingat-pingat Milo yang dia miliki. Saya beritahu bahawa saya akan menyimpannya, jika dia mahu tengok kembali pingat-pingat Milo yang dia perolehi, boleh datang ke rumah saya. :)  Lagipun, budak-budak kadangkala tidak menghargai hadiah, habis bersepah-sepah ditaruknya. Daripada terus bersepah dan mungkin akan hilang, maka elok saja saya yang menyimpannya.
 
Erm.. Mungkin juga saya akan memberikan sedikit token buat anak buah saya nanti jika dia sanggup menyerahkan segala pingat-pingat Milo yang dia perolehi.
 
Akhir kata, Hidup Milo... :: Play More Learn More ::

Wednesday, October 24, 2012

JOM KUMPUL BOBOIBOY @ PETRONAS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Kalau sebut pasal animasi BoBoiBoy, pastinya ramai kanak-kanak di Malaysia yang sangat mengenali dengan watak-watak yang ada dalam siri animasi ini. Jangankan di Malaysia, siri animasi ini telah berjaya menembusi beberapa buah negara dan jika tidak silap, animasi BoBoiBoy telah mengatasi Upin Ipin sebagai animasi yang paling popular di Malaysia.
 
Sekarang BoBoiBoy sedang menyerang stesyen-stesyen minyak Petronas dengan rakan-rakanya seperti Gopal, Yaya dan Ying. Mereka tampil sebagai miniatur yang harus dikumpul oleh collector kanak-kanak yang menyukai siri animasi ini. Saya juga tidak terlepas untuk mendapatkannya sebagai koleksi saya.
 
Untuk pengetahuan bagi mereka yang masih tidak mengetahui tentang kehadiran miniatur BoBoiBoy di stesyen minyak Petronas, ia mempunyai 6 buah miniatur yang mula dijual pada bulan Oktober 2012 di mana setiap bulan hanya 2 buah yang dijual. Harganya ialah RM 19.90 atau RM 16.90 sekiranya membuat pembelian di Kedai Mesra Petronas sebanyak RM 15.00.
 
Jom dapatkannya di Kedai Mesra Petronas
 
Gambar di atas merupakan miniatur siri BoBoiBoy yang boleh didapatkan di Kedai Mesra Petronas. Saya bertekad untuk mendapatkan keenam-enam buah sebagai pelengkap koleksi. Kalau dulu saya pernah mengumpul miniatur Upin Ipin di Restoran Kentucky Fried Chicken, tetapi saya gagal untuk melengkapkan koleksi dan rasa amat terkilan sekali.  
 
Sebenarnya saya mula minat mengumpul miniatur animasi selepas saya mengumpul miniatur Upin Ipin. Selepas itu saya telah berjaya mengumpul miniatur Spiderman juga melalui Restoran KFC dan yang terakhir yang dapat saya kumpul ialah miniatur Doraemon.
 
Kini saya sudah memilik 2 buah miniatur siri BoBoiBoy dan akan terus mendapatkan 4 buah lagi di bulan-bulan akan datang. Jom layan saja miniatur siri BoBoiBoy yang baru saya peroleh ini.
 
Memperkenalkan BoBoiBoy dan Yaya
 
BoBoiBoy dengan Kuasa Angin

Yaya
 

Monday, October 22, 2012

ZULFAHMI CIPTA SEJARAH PERMOTORAN MALAYSIA


Assalamualaikum dan Sala Sejahtera.
 
Dalam dunia sukan negara kita, Malaysia pastinya kita mengenali atlit Malaysia yang terkenal seperti Dato' Lee Chong Wei, Dato' Nicol Ann David, Azizulhasni Awang dan Pandalela Rinong. Namun kita harus tahu kita mempunyai jaguh terbaru dalam bidang permotoran iaitu Muhammad Zulfahmi Khairuddin seorang atlit permotoran Grand Prix dalam kategori Moto3.

Hari ini juga merupakan hari dalam sejarah bagi Malaysia kerana buat pertama kalinya pelumba Grand Prix negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dapat menaiki podium iaitu mendapat tempat kedua di Malaysian Motorcycle Grand Prix, Sepang Circuit 2012.



Zulfahmi yang dilihat mendominasi pelumbaan akhirnya terpaksa akur di tempat kedua setelah dipotong oleh Sandro Cortese di saat-saat akhir iaitu di pusingan dan selekoh yang terakhir. Pecutan terakhir ke garisan penamat memihak kepada Sandro Cortese dengan hanya memisahkan Zulfahmi dengan beberapa saat sahaja.

Keputusan penuh bagi Malaysian Grand Prix 2012 bagi tempat pertama hingga ketiga :

1. Sandro Cortese (Redbull KTM Ajo)
2. Muhammad Zulfahmi Khairuddin (AirAsia - SIC - Ajo)
3. Jonas Folger (Mapfre Aspar Team Moto3)

Tahniah diucapkan kepada Zulfahmi, semoga dia terus maju pada masa akan datang. Usianya begitu muda, beliau mempunyai banyak masa untuk terus berjaya dalam bidang permotoran ini. Diharap suatu hari nanti beliau akan mula berlumba dalam ketegori Moto GP pula.

Syabas.

Sunday, October 21, 2012

BANGGA DENGAN KAMU MUHAMMAD ZULFAHMI KHAIRUDDIN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Nampaknya bahang Piala Malaysia 2012 telah melaburkan tirainya dengan kemenangan kepada pasukan Kelantan dengan jaringan 3 - 2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
Tetapi kita dibahangkan lagi dengan kebangkitan seorang anak muda bernama Muhammad Zulfahmi Khairuddin iaitu seorang pelumba Grand Prix Moto3 yang sedang menempa nama di mata dunia. Pada ujian masa Grand Prix Moto3 di Malaysian GP Race, Sepang 2012, beliau telah mendapat kedudukan di petak pertama.
 
Ini dilihat sebagai sesuatu yang mungkin akan mengembirakannya kerana beliau berlumba di gelanggang sendiri iaitu di Sepang dan hari tersebut merupakan hari lahirnya yang ke 21.
 
 
Sedikit maklumat / biodata beliau :
 
Nama Sebenar :
 
Tarikh Lahir :
20 Oktober 1991
 
Tempat Lahir :
Banting, Selangor
 
Tinggi :
168 cm
 
Berat :
56 kg
 
Pasukan :
AirAsia - SIC - Ajo
 
Jentera :
KTM
 
Sebenarnya saya juga mengikuti perkembangan pelumba muda negara ini. Memang beliau merupakan pelumba yang mempunyai bakat besar dan mungkin akan menjadi pelumba yang terbaik pada masa hadapan. Memang beliau belum pernah menaiki sebarang podium tetapi kebanyakan perlumbaan beliau dapat memperoleh mata.
 
Sebenarnya saya terfikir juga, sekiranya beliau berjaya menaiki podium tidak kiralah di tempat pertama, kedua atau ketiga, adakah beliau akan memegang dan menyembur botol minuman arak setelah menerima piala? Saya harap beliau masih dalam fikiran waras dan mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan Islam. Saya amat berharap juga agar ;beliau berjaya menaiki podium pada Malaysian GP 2012 ini.
 
Harap Zulfahmi tidak melakukan aksi ini apabila berjaya menaiki podium
 
Apa-apapun, jom kita layan gambar-gambar Muhammad Zulfahmi Khairuddin semasa dalam perlumbaan Grand Prix Moto3.
 
Muhammad Zulfahmi Khairuddin

Nombor 63

Lambaian kepada penonton

Semasa perlumbaan yang lepas

@ Litar Sepang
 
 
Sumber rujukan : Zulfahmi Info

Saturday, October 20, 2012

SENDA GURAUAN : GO ATM GO


Klik untuk tumbesaran sempurna


Agak-agak siapa yang menang Piala Malaysia 2012 malam ini ye? Mari kita buat ramalan. Saya meramalkan ATM menang ke atas Kelantan 2 -1. 

Ramalan anda pula?

Monday, October 15, 2012

SISTEM AES : BAIK ATAU BURUK?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekarang ini masyarakat sedang sibuk berkata tentang Sistem AES - Automated Enforcement System atau dalam Bahasa Melayunya Sistem Penguatkuasaan Automatik yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hati-hati Bro...

Ada yang bersetuju untuk sistem ini dilaksanakan dan ada pula pihak yang membangkang untuk pelaksanaan sistem ini. Walaubagaimanapun, kita perlulah menganalisa kebaikannya dulu. Bagi pendapat saya secara peribadi, sistem ini adalah bagus untuk dilaksanakan tetapi perlulah mengatasi segala kekurangan / keburukan sistem ini dengan sempurna.

Memang tidak dinafikan bahawa sistem ini adalah sebuah 'mesin' yang tidak lari daripada berlaku silap dan salah, justeru langkah-langkah untuk meminimakan kesalahan tersebut haruslah dijalankan dengan pemantauan yang kerap dari masa ke semasa. 

Berikut adalah kebaikan dan keburukan yang dijangka berlaku dalam pelaksanaan sistem ini :

KEBAIKAN 

1. Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

2. Memupuk sikap berhati-hati bagi setiap pengguna jalan raya.

3. Mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh pada peraturan jalan raya dan isyarat-isyarat jalan raya yang telah ditetapkan.

4. Menjadikan pengguna jalan raya di Malaysia sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.

5. Bukan sekadar mengesan kesalahan memandu melebihi had, ia juga berperanan untuk mengesan kesalahan-kesalahan lain seperti memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat, membawa lebih had muatan dan pelbagai lagi.

6. Mengesan kenderaan penjenayah yang sedang diburu.

KEBURUKAN

1. Sistem rosak.

2. Salah saman kerana disebabkan nombor pendaftaran kenderaan dipalsukan.

3. Mungkin seorang pengguna akan banyak menerima saman dan tidak mampu membayar seterusnya saman tidak dibayar.

Begitulah kebaikan dan keburukan Sistem AES ini daripada penaksiran saya. Bagi pendapat saya ada baiknya juga sistem ini dijalankan untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya dan secara tidak langsung akan mengurangkan kadar kemalangan.

Sebelum mendapat lesen memandu, kita sudah terlebih dahulu belajar undang-undang jalan raya secara teori dan praktikalnya. Jadi, kita sememangnya sudah tahu akan sesuatu undang-undang jalan raya. Oleh itu, undang-undang haruslah dipatuhi, sekiranya kira mampu melanggar undang-undang bermaksud kita tidak patuhinya dan sanggup membayar saman.

Bagi saya, undang-undang sudah jelas lagi nyata, kalau kita tidak patuhi kenalah saman. kalau kita patuhi tiadalah saman. Senang cerita "langgar undang-undang jalan raya = saman" atau "patuhi undang-undang jalan raya = tiada saman".

Sunday, October 14, 2012

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN FACEBOOK





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Facebook. Satu fenomena luar biasa yang melanda dunia sejak tahun 2006. Di asaskan oleh seorang lepasan Universiti Harvard iaitu Mark Zuckerberg, kini penggunaanya mencecah kepada 400 juta pengguna aktif di seluruh negara.

Di negara kita, Malaysia, Facebook turut menjadi satu laman sosial yang paling popular. Pelbagai fungsi dimainkan mengikut kehendak diri dan agensi masing-masing. Namun begitu, pada pendapat saya, terdapat juga beberapa KEBAIKAN dan KEBURUKAN Facebook. Antaranya ialah :
KEBAIKAN :
1) Mengikat tali silaturrahim antara keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

2) Sebagai media pemasaran produk / perkhidmatan, syarikat swasta, jabatan kerajaan dan lain-lain.

3) Berkongsi sesuatu yang baik seperti nasihat, resepi masakan, amalan agama dan lain-lain.

4) Dapat mengenali orang yang mempunyai hobi, minat dan arena yang sama. (Group)

KEBURUKAN :

1) Kurangnya privasi kerana segala perbuatan dan tingkah laku di "update".

2) Menjadi medan "kebebasan bersuara" untuk memfitnah, mengutuk, mengeji dan lain-lain.

3) Pengguna memuat naik gambar-gambar personal yang membuka aurat dan yang keterlaluan.

4) Melalaikan sehingga menganggu waktu bekerja (siang) dan waktu tidur (malam)

Ini saja yang dapat saya gariskan buat masa ini. Mungkin dalam pemikiran tuan / puan ada pendapat yang berbeza. Jika ada, mari kita kongsikan di ruangan komen. :)

DAPATKAN TUDUNG-TUDUNG YANG BERKUALITI DARI CHENTA CREATIVE HIJAB

TIADA IDEA



 


Tuesday, October 9, 2012

POKOK MILO

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ada sesiapa pernah nampak pokok Milo? Hehe, yang sebenarnya ini bukanlah pokok Milo yang sebenar. Manalah ada pokok Milo, yang ada hanyalah pokok koko. Dari buah koko itulah asalnya minuman Milo.

Sebenarnya saya hanya mahu mengongsikan barangan Milo yang terbaru masuk ke dalam koleksi saya iaitu Futsal Caps. Saya membelinya melalui Mudah.my dan sebenarnya saya sudah lama memerhatikannya di laman sesawang tersebut.
 
Saya tidak pasti dari manakah si penjual mendapat Futsal Caps ini. Memang saya tidak pernah jumpa sebelum ini. Ada 7 keping semuanya. Besi zink berbentuk pokok itu pula bukannya dari Milo, ia sekadar kreativiti si penjual dengan melekatkan Futsal Caps dengan besi berani (magnet) ke kepingan zink berbentuk pokok. Kerana ia kelihatan menarik, saya pun belilah.
 
Apa kata layan saja gambar pokok Milo saya ni. Semoga lepas ni pokok Milo ni terus berbuah :)
 
Pokok Milo???

Futsal Caps yang memaparkan gambar orang bermain futsal
 
Sebenarnya ia bukanlah sekadar gambar orang sedang bermain futsal. Di belakang setiap Futsal Caps ini memaparkan keterangan tentang pergerakan-pergerakan yang ada pada gambar seperti Bicycle Kick, Penalty, Rolling Ball dan sebagainya.

MALAM HANGAT

Mengintai Dari Jendela Kamar,
Malam Berseri Gelap Pekat,
Bersuluh Sinar Suram,
Tiada Angin,
Bergelora Hanya Di Dada,
Dedaunan Pohon Malas Melambai,
Batangnya Tegak Berdiri,
Tiada Meliuk Kanan Kiri.

Hangat,
Malam Hangat,
Tertitis Keringat,
Satu-Satu Dilucut,
Damba Kedinginan,
Damba Titikan Hujan,
Menyegarkan Tubuh dan Tanah Gersang,
Mungkinkah Ada Harapan?
Atau Sekadar Nikmati Kehangatan.

F. B. Mamat
8 Oktober 2012
Bukit Katil, Melaka

Sunday, October 7, 2012

KAKI KOMEN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hidupnya sesuatu blog kerana mempunyai entri. Kemudiannya, entri yang ditulis akan bertambah baik sekiranya ada pembaca dan si pembaca pula meninggalkan komen. Tidak kiralah komen yang membina mahupun yang menghentam. Pastinya kita sebagai penulis blog menginginkan pembaca meninggalkan komen atas entri yang telah mereka baca.

Saya adalah antara yang suka memberi komen pada entri-entri blog yang saya baca terutama dari senarai blog di bloglist saya. Secara jujurnya, saya meninggalkan komen kerana (2) tujuan iaitu :

i) Memang hendak meninggalkan komen berkaitan entri

ii) Meninggalkan jejak supaya bloggers tahu kehadiran saya :)

Semasa melawat ke blog-blog yang biasa saya lawati, saya dapati ada diantara blog-blog tersebut menunjukan bahawa saya merupakan antara pengomen yang tertinggi. Tak perasan pula saya pasal hal ini, tapi setelah terperasan di dalam gadget pengomen tertinggi, barulah saya tahu saya ini merupakan seorang yang banyak meninggalkan komen.

Berikut merupakan beberapa contoh blog yang menunjukan peranan saya sebagai pengomen yang tertinggi :

Saturday, October 6, 2012

GELAS MILO YANG SAMA TAPI TAK SERUPA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Petang tadi saya pergi ke bengkel kereta untuk "servis" kereta saya. Dalam duduk melepak menantikan kereta siap di"servis", saya menerima panggilan daripada Kak Rina Carasina (nickname di FB). Dia menelefon untuk berjumpa saya untuk memberikan barangan Milo.
 
Seperti yang telah dijanjikan, Kak Rina Casarina telah memberikan 2 buah barangan Milo iaitu Gelas Milo - Celebrates The L.A 1984 Olympics dan sebatang Pen Bola Milo.
 
Sebenarnya saya sudah pun mempunyai sebuah gelas yang sama tetapi ada yang tidak serupa iaitu perkataannya. Saya miliki gelas yang bertulis Bahasa Malaysia iaitu "Menghayati Semangat Kesukanan Olimpik L.A 1984" dan kini saya telah memiliki gelas yang sama di dalam perkataan Bahasa Inggeris pula.
 
Celebrates The L.A 1984 Olympics

Samakan? Tapi ada yang tak serupa...

Lihat pada perkataan di kedua-dua gelas. B.I dan B.M
 
Selain itu, saya turut diberikan juga sebatang Pen Bola Milo. Unik sungguh pen ini kerana di hujungnya ada reka bentuk bola sepak dan amat jarang rasanya Milo keluarkan pen, biasanya pensil saja.
 
Satu-satunya koleksi Pen Milo yang telah saya miliki
 
Sebenarnya, saya bukan terima begitu sahaja barangan ini dari Kak Rina Casarina. Kami telah bersetuju untuk menukar barangan Milo kami yang terdapat di dalam koleksi. Mana barangan yang saya ada lebih, saya tukarlah dengan beliau. Tapi tadi oleh kerana saya berada di bengkel kereta, beliau hanya menyerah barangannya dahulu, mungkin minggu hadapan saya akan serah pula barangan saya yang ingin beliau miliki.
 
Okay, entri ini tamat di sini secara mengejut! :)

Friday, October 5, 2012

PANTAI PUTERI

Bilamana  Berkehendak,
Mengenang Ciptaan Yang Esa,
Ku Hadir Padamu,
Di Kala Mentari,
Menapak Menenggelamkan Diri,
Terlihat Mega-Mega,
Indah Nian,
Awan Berkepul,
Mentari Mencelah,
Terlukis Karya Agung,
Ciptaan Maha Esa.

Terus Terpaku,
Deruan Ombak Memecah Pantai,
Anak-Anak Riang Di Persisiran,
Dedaun Ru Melambai-Lambai,
Angin Bayu Segar Hangat Menyelinap Segenap Tubuh,
Kadang Terlihat Nelayan Pulang Petang,
Oh! Indah Pandangan,
Tenang Perasaan.

F. B. Mamat
3 Oktober 2012
Pantai Puteri, Melaka

Thursday, October 4, 2012

KATA PUJANGGA

Berbekal Pena Dan Tinta,
Ku Coret Secebis Pujangga,
Agar Ditatap Warga,
Sebagai Wadah,
Mengupas Diri,
Alam Dan Sekitar,
Bukan Memahat Nama,
Sekadar Mencoret Keikhlasan,
Untuk Tatapan Bersama,
Buruk Datangnya Dari Diri,
Allah Jua Yang Maha Benar Kuasa.

F. B. Mamat
2 Oktober 2012
Bandar Hilir, Melaka

Wednesday, October 3, 2012

MILO : WORDLESS




 
Tak Perlu Kata Apa-Apa

Tuesday, October 2, 2012

TEMAN ABADI

Hati Tersemat Gundah,
Tatkala Teman,
Di Khianati Bak Lawan,
Terfikir Dalam Jemala,
Apatah Salah,
Apatah Dosa,
Ditikam Bertubi,
Arah Belakang,
Tanpa Sempat Menoleh,
Dalam Senyap Sunyi.

Teman,
Semanis Madu Dihulur,
Pahit Hempedu Dipulang,
Akan Hatiku Teman,
Tanpa Sangsi,
Ku Abdi Diri,
Biar Kilat Berdentum,
Biar Langit Runtuh,
Ku Bina Ukhwah,
Ikat Silaturrahim.

F. B. Mamat
1 Oktober 2012
Bandar Hilir, Melaka

Monday, October 1, 2012

OH MILO : SETELAH LAMA MENYEPI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Agak lama juga saya tidak menyiarkan entri berkaitan koleksi Milo terbaru saya. Iyalah, baru-baru ni Milo buat "hal", keluarkan free gift berderet-deret sehingga duit dihabiskan untuk membeli Milo. Milo pula bukanya murah, mahal. Kalau beli 500 gram dapat free gift tak mengapalah juga, ini tidak, kena beli 1 kilo dan 2 kilo Milo baru ada free gift.

Nak buat macam mana, saya sudah terjebak dengan aktiviti kumpul mengumpul barangan Milo ni. Sekali kaki melangkah masuk ke arena ini, mana mungkin saya undur kebelakang. Chewah.. Ayat macam panglima mahu pergi bertarung. :)

Gambar di bawah ini merupakan koleksi Milo terbaru yang saya perolehi. Ada yang dapat melalui pembelian produk Milo, ada yang dibeli melalui Kedai Antik dan ada pula yang diberi oleh sahabat karib saya.

2 buah containers Milo, sebuah botol air Milo dan sebuah gelas Milo

Container Milo bercorak tahun 1950 -an

Container Milo bercorak tahun 2012
2 buah containers lini merupakan free gift terbaru dari Milo. Hendak mendapatkannya, kenalah beli pek Milo 2 kilogram yang harganya kurang lebih RM 30.00. Kalau di pasar raya, harganya sekitar RM 30.00 hingga RM 32.00 tapi kalau di pasar mini atau kedai runcit biasa, harganya sekitar RM 34.00 hingga RM 36.00. Jadinya saya membelanjakan RM 60.00 ++ untuk mendapatkan containers Milo yang amat menarik ini.

Botol air Milo
Botol air Milo ini pula saya dapat melalui seorang pengusaha kedai antik di Melaka. Botol air Milo ini merupakan keluaran khas untuk Sukan Sea Manila, Filipina 1991. Saya dan tuan kedai antik tu memang sudah rapat. Dialah yang menelefon saya apabila dia mendapat barangan Milo. Kalau dia offer dengan harga yang munasabah, insyaallah saya akan beli.

Gelas Milo bercorak tahun 2012
Gelas Milo ini pula diberikan oleh rakan karib saya. Dia bermesej dengan saya melalui telefon bimbit yang dia mahu memberikan sesuatu pada saya. Dalam otak saya memang dah agak mesti barangan Milo. Dapatlah saya gelas Milo ini walaupun saya sudah ada dalam koleksi. Sebagai balasan, saya belanja dia minum teh tarik dan roti canai. :)

Okay, setakat inilah saja cerita saya. Kalau nak lihat koleksi-koleksi Milo saya yang lain, bolehlah layari blog saya ini. Sila klik gambar.