Monday, April 30, 2012

TANAH INI BUKAN TANAH ARAB

Menyorak Gegak Gempita,
Bagai Halilintar,
Memanah Bumi Kosmopolitan Ini,
Berseteru Yang Kuasa,
Maruah Bangsa Ditelanjangi,
Maruah Agama Ditolak Tepi,
Pelaku Luar Misi,
Agenda Sendiri Disembunyi,
Jangan Gusar,
Usah Gundah.
Masih Ada Sinar Aman,
Masih Ada Lihat Damai,
Alhamdulillah,
Masih Ada Waras Pekerti,
Wujud Dalam Jati Diri,
Arab Spring,
Bukan Di Bumi Ini.

F. B. Mamat
30 April 2012
Bandar Hilir, Melaka

Saturday, April 28, 2012

KATA SPONTAN NO. 10 : SATUKAN UMMAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila berlaku huru hara di Palestin kadangkala kita akan berkata "mereka tu tidak bersatu, Hamas dan Fatah sentiasa berseteru". Apabila berlaku keganasan di Afganistan dan Pakistan, puncanya juga dari kelompok Islam yang menggelarkan diri sebagai Al-Qaeda.

Bagaimana kita di Malaysia?

Balik rumah, cuba duduk bersendirian. Muhasabah diri. Pikir dalam-dalam, apa yang kita buat ini betul atau tidak. Tindakan yang kita lakukan itu betul atau tidak.

Ayuh umat Islam Malaysia, bersatulah. Bersatulah untuk mengukuhkan Islam dari terus dilalaikan oleh Dajjal-Dajjal yang bertopengkan manusia.

Thursday, April 26, 2012

MENGEJAR BAYANG : ADIWIRA



Jangan risau... Adiwira datang untuk menyelamatkan alam semesta.

MENGEJAR BAYANG

PAMERAN 100 TAHUN NESTLE DI SISIMU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siang tadi (25 April 2012) saya bersama 4 lagi rakan sekerja telah berkunjung ke Muzium Negara untuk melawat Pameran 100 Tahun Nestle Di Sisimu. Sebenarnya kebetulan kami menghadiri Wacana Manuskrip Melayu, Hang Tuah : Adiwira Dunia Melayu di Wisma Sejarah dan tamatnya sekerat hari saja, lalu semasa perjalanan pulang, kami singgahlah sebentar ke Muzium Negara.

Idea untuk melawat ke pameran Nestle ini sebenarnya datang daripada saya juga. Iyalah, sayakan salah seorang peminat koleksi Milo, bolehlah dapatkan maklumat mengenai sejarah Milo. Malas mahu cerita banyak, layan saja gambar ini :












Wednesday, April 25, 2012

KISAH DI SEBALIK KEMALANGAN PROTON PREVE


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan perlanggaran pertama kereta Proton Preve yang baru saja dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Isu pelanggaran ini mungkin sudah basi, dan bukanlah niat saya untuk memperbesarkan semula cerita ini, cuma mahu memberi sedikit ulasan.



Perkara ini dilihat seperti memalukan. Ya, memang memalukan. Apa tidaknya, baru beberapa hari dilancarkan, kereta tersebut mengalami kemalangan pula. Kemudiannya, teruk juga keadaan kereta tersebut. Namun dengan lantas pihak Proton mengeluarkan kenyataan bahawa pemandu kereta Proton Preve tersebut tidak menerima apa-apa kecederaan. Ermm.. Ini satu kelebihan juga kerana jika dilihat pada kereta, nampak teruk dan syukur pemandunya tidak ada apa-apa. Pendek kata, aspek keselamatannya BAGUS.

Keduanya, para pemandu kereta-kereta baru seperti ini haruslah lebih berhati-hati semasa memandu. Iyalah.. Kereta itu bukanlah milik anda, anda seharusnya lebih berhati-hati semasa memandu kereta baru. Lebih-lebih lagi, kereta yang baru dilancarkan dan baru keluar kilang. Kita tidak tahu potensi sebenar kenderaan itu. Bukan setakat Proton Preve saja, apa-apa model kereta sekalipun kadangkala kita terlihat kereta baru dikeluarkan dengan nombor pendaftaran sementara juga dipandu seperti ribut. Para peniaga atau jurujual sepatutnya tidak memandu begitu laju kerana kereta tersebut bukan kereta mereka, sekiranya apa-apa berlaku bagaimana?

Akhir sekali, mungkin terdapatnya unsur sabotaj. Manalah tahu, ada individu yang sengaja mahu merosakkan reputasi Proton dengan mengadakan kemalangan tesebut. Saya tidak mengatakan ianya benar, saya hanya menyatakan MUNGKIN. Siasatan menyeluruh oleh Proton harus dilakukan.

Kesimpulannya, saya sebenarnya bangga dengan Proton. Memang benar kritikan demi kritikan diterima oleh Proton dalam terus membangunkan industri otomobil negara namun ingatlah, kita adalah sebuah negara membangun dan mampu ada kenderaan buatan sendiri. Negara lain termasuk negara maju yang tidak mempunyai produk kenderaan mereka sendiri, namun kita ada.  

Monday, April 23, 2012

HULUR NYAWA

Apa Kejam Manusia Itu,
Ditangan, Ditapak,
Dilambung, Dihempas,
Tubuh Kecil Tiada Maya,
Tiada Tahu Erti Lawan,
Hanya Diam,
Tubuh Diulek Mimpi Ngeri,
Tangis,
Tiada Berguna Lagi,
Urat-Urat Tiub Melingkar Segenap Jasad,
Hulurkan Nyawa,
Pelaku Rasa Apa?
Apa Kita Rasa?
Dia Masih Muda Hijau,
Dilaku Umpama Beradu Gajah,
Sadis,
Hulurnya Nyawa,
Agar Kelihatan Bulan Bintang,
Agar Bumi Terus Dipijak,
Agar Mengenal Dunia Fana,
Tiada Bersangka,
Masih Iblis Menjelma Manusia.

F. B. Mamat
23 April 2012
Bukit Katil, Melaka

Minat Sajak? Baca Lagi ---> Koleksi Sajak F. B. Mamat

WOW... HEBAT!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 21 April 2012 yang lepas, saya berpeluang untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak MSSM Melaka kawasan Tanjong iaitu antara Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai Melaka. Perlawanan Akhir tersebut telah dimenangi oleh S.K. Lereh dengan jaringan 2 - 0.

Apa yang nak dibanggakan ialah kerana 4 orang anak buah saya turut menyertai perlawanan tersebut. Mereka adalah Muhammad Nizarruddin, Muhammad Aidil Nuruddin, Muhammad Daniel dan Muhammad Nur Asyraf. Biasalah, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  


MSSM Kawasan Tanjong. S.K Lereh Juara. Terbaiklah... Sekolah  Lama Saya Dulu NI.. :)


Ini Dia Ketua Pasukan, Nizar. Juga Merupakan Penjaring Gol Di Perlawanan Akhir.


Asyraf @ Arab... Pemain Gantian Di Akhir Perlawanan Separuh Masa Kedua. Orang Penting Di Separuh Akhir. Gol Tunggalnya Melayakkan S.K. Lereh Ke Perlawanan Akhir. Cayalah...


Aidl.. Bolehlah Tahan. Tapi Lembik Sikit. Bagus Untuk Permulaan...


Daniel... Stopper Terbaik. Timing Dia Pun Ok.


Ini Dia Pewaris Aku Dan Abang-Abangku.. Majulah Sukan Untuk Keluarga Haji Mamat.. :)





Saturday, April 21, 2012

HUJAN

Langit Biru Berarak Kelabu,
Nun Jauh Diduga,
Pasti Hujan, Pasti Hujan.

Mencucur Atap Si Pemunya,
Merintik-rintik Mesra,
Menyubur Tanaman,
Membasah Tekak Ternakan,
Membasuh Alam Penuh Noda.

Terhenti Sang Pujangga,
Menanti Reda,
Ditemani Manusia-manusia Berhati Sama.

Hujan,
Pastikan Reda,
Perjalanan Masih Jauh,
Destinasi Entah Ke Mana.

F. B. Mamat
21 April 2012
Pengkalan Rama, Melaka

SIAPA SUDI TEMAN

Sendirian,
Adakah Peneman?
Kiri Kanan Asing,
Hanya Sendirian,
Menjamu Bungaan,
Dari Pandangan,
Kembang Tidak,
Layu Tidak,
Namun Indah,
Terpaku Lagi,
Rintik Hujan,
Tak Mampu Bertapak,
Irama Atap Memecah Sunyi,
Tap, Tap, Tap, Tap,
Tap, Tap, Ketap, Tap, Ketap,
Kelopak Kian Katup,
Mana Mungkin Di Laman Asing.

F. B. Mamat
21 April 2012
Pengkalan Rama, Melaka

LAGI-LAGI MILO

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekarang ni asyik cari barang Milo saja. Banyak sudah mengeluarkan duit. Tapi nak buat macam mana, tiba-tiba saja ada keinginan dan minat untuk mengumpul koleksi barangan Milo. Dalam minggu ini saya membeli lagi beberapa barangan Milo di Mudah.my. Ada berupa botol-botol Milo dan satu lagi ialah gelas Milo Ais yang mempunyai air (seperti di gambar).

Nak membeli ni pun kena juga jadi pembeli yang bijak, jangan nampak terus mahu beli. Kena juga perhatikan juga harganya. Gelas Milo Ais tu saya dapat dengan harga yang agak munasabah untuk 4 biji gelas. Ada yang menjualnya sebiji RM 100.00. Perghh.. Mak aai, mahalnya. Jadi saya tinjau punya tinjau dapatlah membeli gelas Milo Ais tu dengan harga RM 30 ++ untuk 4 biji.

Harga ni memang subjektif. Peniaga memang boleh meletakkan sebarang harga, lebih-lebih lagi bagi barangan boleh dikumpul (collectable item), atau barangan lama. Jadi kita sendiri kena pandai tinjau harga yang bersesuaian dengan poket kita, barulah boleh beli.





Beg ni tidak beli, entah bila berada di dalam rumah. Mungkin isteri saya yang dapat

Thursday, April 19, 2012

KATA SPONTAN NO. 9 : MAKLU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita dalam Bahasa Melayu banyak juga menggunakan perkataan pinjaman dari Bahasa Inggeris. Iyalah, banyak bahasa teknologi berasal dari Bahasa Inggeris, justeru banyaklah perkataan Bahasa Inggeris telah diMelayukan.

Sebagai contoh :

- Computer dialihkan kepada komputer
- Bag dialihkan kepada beg
- Pencil dialihkan kepada pensil

Dan banyak lagi perkataan Bahasa Inggeris dipinjam oleh Bahasa Melayu.

Namun, bukan itu yang saya mahu perbesarkan, yang saya mahu perbesarkan ialah tentang perkataan-perkataan yang seakan sama namun mempunyai maksud yang berbeza. Sebagai contoh : -

"Information" = Maklumat
"Inform" = Maklum
"Info" = Maklu

Eh... Ada ke perkataan Maklu? Sekadar gurauan. jangan ambil hati ye... :)

WANITA ITU





Wanita Jiwanya Diisi Tabah
Wanita Hatinya Punya Tulus
Wanita Kulitnya Licin Halus
Wanita Hidupnya Amat Tuah

Dia Dicintai
Dia Dilindungi
Dia Penyejuk Hati
Dialah Mahligai Sanubari
Dialah Penyeri Tatkala Sepi

Tidak... Tidak...
Wanita Bukan Perhiasan
Bukan Juga Barang Mainan
Usah Dibuat Ikut Suka Tuan
Kelak Punah Binasa Badan

Kelembutan, Keayuan Bukan Alasan
Sedang Tangan Lagi Membuai
Mampu Mengoncang Dunia
Mampu Duduk Tengadah
Sama Tinggi Sama Rendah

Bukan Lagi Mimpi
Wanita Bukan Kebelakang Zaman
Wanita Punya Azam Kedepan

Hormat, Kasihlah Wanita Itu
Kerna Itu Asal Usulmu

F.B. Mamat
19 April 2012
Bandar Hilir, Melaka

Lagi sajak-sajak F.B. Mamat ---> KLIK

Saturday, April 14, 2012

PROTON PREVE : KEKURANGAN @ KELEMAHAN





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Proton... Proton merupakan satu jenama besar pengeluaran automobil negara kita, Malaysia. Baru-baru ini satu lagi model kenderaan kebanggaan Malaysia iaitu Proton Preve akan menembusi pasaran. Ianya pasti ditunggu-tunggu keluarannya kerana mempunyai reka bentuk yang menarik dan kuasa enjin yang hebat.





Sebenarnya saya tidak pernah melihat kenderaan ini dan tidak juga pernah memandu ujinya. Namun, saya melihat kekurangan kereta Proton Preve ini adalah dari aspek 'namanya'. Melalui apa yang saya tahu, nama Preve adalah olahan dari bahasa Inggeris iaitu 'proof' bermakna bukti.

Persoalannya, mengapa tidak menggunakan bahasa Melayu? Rasanya di Proton lebih ramai pegawai-pegawai Melayu berbanding bangsa lain. Lagi satu, bukankah dalam Perlembagaan Persekutuan pada Artikel 152 ada menyatakan bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan. Siapa lagi yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu melainkan kita sendiri dengan mengangkat produk utama negara dengan dinamakan dengan Bahasa Melayu. Silaplah kita sekiranya tidak yakin jenama dengan Bahasa Melayu tidak mampu bersaing di mata dunia.

Satu ketika dahulu, kita berasa bangga apabila Proton memperkenalkan kereta konsep dengan dinamakan Proton Tuah, Proton Jebat, Proton Lekir, Proton Lekiu dan Proton Kasturi. Namun kini, ia hanyalah sekadar konsep dan tidak diimplementasikan ke pasaran sebenar. Bukankah elok menggunakan Bahasa Melayu dan saya yakin, mereka di luar sana lebih suka sekiranya sesuatu negara menggunakan bahasa sendiri untuk menaikkan nama satu-satu produk.

Saya bukanlah mahu menghentam Proton. Saya cuma mahu mengkritik 'mesra'. Saya bangga kerana Malaysia mampu bersaing dalam industri automobil. Namun, cubalah utamakan Bahasa Melayu. Siapa lagi yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu kalau bukan kita sendiri. Sekiranya tidak, maka sia-sia sahajalah pihak kerajaan membuat itu ini untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Friday, April 13, 2012

CUBA TEKA MANA SATU...?





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Erm.. Tak sangkalah, muka macam saya inipun ada keluar dalam akhbar. Sipi-sipipun dapat juga masuk surat khabar erk.. Agak-agaknyalah yang mana satu saya? Cuba teka...




2 gambar terakhir tu sayapun tidak tahu sebenarnya sehinggalah diberitahu oleh Sahrom melalui Facebook.

I
I
I
I
I
I
I
I
I
I
I
I
I
V

Thursday, April 12, 2012

CENDERAHATI DARI PERTH, AUSTRALIA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya sudah lebih seminggu saya tidak mengemaskini blog. Iyalah, seminggu dua ini agak sibuk sedikit dengan kursus dan beberapa program.

Saya baru sahaja pulang dari Australia. Eh... sebenarnya, pada 9 hingga 11 April 2011 yang lalu, saya sekali lagi menjadi Pegawai Pengiring (Liason Officer) bagi program Melaka 12th International Twin Cities Convention. Pada tahun-tahun yang sudah saya pernah menjadi L.O kepada Duta Nigeria dan Datuk Bandar Nairobi, Kenya, dan pada tahun ini saya menjadi L.O kepada seorang pembentang kertas kerja dari Perth, Australia.

Rasanya tahun ini tidaklah sesukar mana jika dibandingkan untuk menjaga Duta atau Datuk Bandar. Sedikit rilek namun tetap sentiasa memberikan khidmat yang sebaik mungkin.

Banyak pengalaman menarik yang diterima sepanjang menjadi L.O Sekiranya mahu diceritakan, elok rasanya di lembaran yang lain pada tajuk yang lain. Tapi, hari ini saya sekadar untuk berkongsikan beberapa cenderamata yang saya terima daripada pembentang kertas kerja dari Perth, Australia. Nak tahu apa yang saya terima, layan saja gambar di bawah :)

2 batang pen ini diberikan kepada saya selepas sahaja saya menghantarnya ke bilik selepas "check in".

Set eksesori golf ni sebenarnya diagihkan kepada para tetamu VVIP, selepas ada lebihan dia beri sahaja pada saya.


Set cawan berserta piring ini diberikan kepada saya semasa beliau mahu pulang meninggalkan negeri Melaka

(Ps : Madam tu panggil saya Mr. Mamat. Lain rasanya, tetapi biasalah Omputeh akan memanggil dengan nama hujung )

Monday, April 2, 2012

6 BULAN BERLALU TANPA ROKOK






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Enam bulan tanpa rokok. Ini merupakan kejayaan yang besar dalam hidup saya sejak dilahirkan sebagai seorang perokok sejak zaman persekolahan lagi. Bermula pada 3 Oktober 2011 yang lalu saya telah berhenti merokok dan hari ini 3 April 2012 saya masih tidak merokok walaupun sepam (sesedut) atau sebatang. Syukur Alhamdulillah.

Syukur sekali lagi kerana di dalam kepala otak saya sudah lenyap perasaan ingin merokok. Selepas makan, semasa hendak ke tandas dan sedang berbual-bual, saya tidak lagi terasa ingin merokok. Kalau dahulu saya menerima kesan berhenti merokok dengan berkali-kali batuk tak henti-henti di awal permulaan berhenti merokok, namun kini Alhamdulillah, ia tidak lagi berlaku.

Sekiranya dicongak-congak kembali, sebenarnya kita banyak menghabiskan duit dengan merokok. Tahun demi tahun harga rokok meningkat. Sekarang sudah RM 10.00 sekotak. Kalau dahulu saya menghisap rokok 1 hari 1 kotak, bermakna saya menghabiskan RM 300.00 sebulan untuk membeli rokok. Bukankah angka RM 300.00 itu adalah satu angka yang besar?

Andai kata harga rokok tidak sampai RM 10.00 sekotak, kita andaikan yang paling murah RM 8.00 dan ianya tetap memerlukan belanja yang banyak iaitu RM 8.00 x 30 hari = RM 240.00. Banyak juga tu... Rasanya dengan duit tu kita boleh membeli berbagai-bagai keperluan rumah dan untuk anak-anak.

Sekali lagi, seperti entri-entri saya yang lepas berkaitan merokok, saya menyeru agar kita bersama-sama berusaha berhenti merokok. Merokok merbahayakan kesihatan disamping telah dijatuhkan fatwa bahawa merokok ialah HARAM. Melakukan perkara yang haram adalah berdosa. Namun masih ramai yang tanpa segan silu melakukan dosa di khalayak ramai malah di hadapan isteri dan anak-anak sendiri.

Masa kian berlalu dengan pantas, jangan menoleh lagi kebelakang. Berusahalah berhenti merokok sebelum pelbagai penyakit berkaitan merokok hinggap pada diri kita.

Dapatkan tips berhenti merokok di sini ---> Tips Berhenti Merokok

v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v

Mahu berhenti merokok?


Sunday, April 1, 2012

KATA SPONTAN NO. 8 : TIADA YANG INDAH MELAINKAN





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita manusia, hamba Allah yang hidup di dunia ini bukanlah untuk selama-lamanya. Satu hari nanti pasti akan mati. Kita tidak bawa harta benda, kebanggaan dan keegoan ke dalam kubur. Semua yang kita miliki akan ditinggalkan di bumi fana.

Jadi, apa tujuan kita hidup? Yang utama dan pastinya ialah kerana Allah Taala.

Dalam diri saya sendiri tiada yang lebih indah melainkan :

1) Membahagiakan ibu bapa.

2) Menjalankan aktiviti kekeluargaan dengan seadanya.

3) Membuat perkara yang digemari.

4) Bekerja dalam keadaan persekitaran kerja yang kondusif dan mesra.