Friday, March 30, 2012

EARTH HOUR 2012




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila muncul bulan Mac, kita akan teringat pasal kempen Earth Hour. Pada tahun lepas, kempen ini telah dilaksanakan pada 26 Mac 2011 dan pada tahun ini, kempen ini akan dijalankan pada 31 Mac 2012.


Sebenarnya apa Earth Hour ni? Bagi mereka yang masih belum fahami, kempen Earth Hour ini berkait rapat dengan pemanasan global. Salah satu fakto menyebabkan pemanasan global ialah lampu. Lampu menghasilkan haba yang panas, justeru dengan adanya kempen menutup lampu selama sejam ini mampu menenangkan pemanasan global.

Jadi, adalah lebih elok kita yang menjadi hamba Allah di muka bumi ini sama-sama menyokong kempen seperti ini. Dengan ikhlas saya katakan, pada tahun lepas saya sama-sama menyokong kempen ini dengan memadam semua lampu-lampu di rumah saya selama 1 jam. Namun, saya hanya membuka televisyen.

Dalam usaha untuk menyelamatkan bumi dari pemanasan global, kita boleh melaksanakan kaedah Teknologi Hijau yang sedang digembar gemburkan dan ada yang sedang giat ke arah itu. Antara apa yang boleh kita laksanakan dalam menyokong Teknologi Hijau ialah :

a) Menggunakan sistem solar (tenaga yang boleh diperbaharui)

b) Menggunakan mentol / lampu LED (kurang panas)

c) Kitar semula (menyelamatkan pokok-pokok dari ditebang untuk membuat kertas. Begitu juga dengan tin, plastik dan lain-lain)

d) Menanam pokok-pokok (memberikan banyak oksigen kepada hidupan)

e) Menggunakan kenderaan elektrik (kerana minyak menghasilkan plumbum yang merosakan udara)

Dan banyak lagi kaedah Teknologi Hijau yang boleh kita praktikan berdasarkan kemampuan kita sendiri. Sekiranya kita tidak mampu untuk menggunakan sistem solar, membeli kenderaan elektrik, tetapi kita mampu untuk menanam pokok-pokok dan mengamalkan kitar semula. Yakinlah, kita mampu mengubahnya. Negara-negara barat telah mempratikan kitar semula ini dalam negara mereka dengan kadar 65% tetapi kita di Malaysia hanya 5% sahaja.

Ada dengar berita yang kerajaan akan mempertingkatlah lagi usaha kitar semula. Ini sudah bagus. Memang elok dan kenalah dengan waktunya di kala bumi sekarang sedang tenat dengan pemanasan global.

Akhir kata, sama-samalah kita menyokong kempen-kempen yang kearah menyelamatkan bumi. Mereka bukan mahu apapun, hanya memerluka jasa baik kita untuk memadamkan lampu di premis masing-masing dalam masa 1 jam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam pada 31 Mac 2012 ini.

Wednesday, March 28, 2012

# 18 WORDLESS (ADAKAH INI REMY GILA-GILA REMAJA?)




Sunday, March 25, 2012

MEMBORONG MILO





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ini bukanlah cerita pasal memborong air Milo, tetapi cerita pasal saya membeli koleksi-koleksi Milo berupa gelas dan piring Milo yang baru saya perolehi pada 24 Mac 2012 melalui pembelian di Mudah.My. Ini sudah beberapa kali saya membeli koleksi Milo melalui Mudah.My dan nyatalah ia boleh dipercayai.

Sekiranya ada yang tertinggal membaca / melihat entri saya berkenaan KOLEKSI MILO, bolehlah klik pautan di bawah ini :

Sebenarnya, minat untuk mengumpul koleksi barangan Milo bermula daripada saya memperolehi dua buah Van Mini Milo yang saya tebus setelah mengumpul kod bar barangan Milo, kira-kira pada akhir tahun lepas. Di tambah pula dengan rakan bloggers yang saya kenal melalui dunia blog iaitu http://spallanpunya.blogspot.com/ dan http://hobby-collection.blogspot.com/ maka bertambahlah minat saya dalam bidang kumpul mengumpul ini.

Saya pasti, diluar sana masih ramai otai-otai yang lagi hebat koleksinya. Saya ini apalah, baru setahun jagung mengumpul, koleksi pun tak banyak lagi. Lagi pula masih banyak koleksi-koleksi Milo yang terlepas dan mungkin tidak terkejar. Namun, sekarang sedang berusaha untuk mendapatkan kembali koleksi-koleksi Milo yang lepas-lepas, tetapi kenalah juga tengok pada bajetnya juga.

Erm.. Taknak cakap banyak, layan sajalah koleksi-koleksi Milo terbaru yang saya perolehi.








Thursday, March 22, 2012

KATA SPONTAN NO. 7 : FALSAFAH RUMAH MELAYU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Terlanjur saya teringatkan sesuatu berkenaan rumah tradisional Melayu, ingin saya sampaikan dua (2) falsafah rumah Melayu Melaka.

Yang pertamanya, kebiasaan rumah Melayu Melaka mempunyai tangga batu di bahagian serambi. Dan kebiasaannya juga, tangga tersebut mempunyai anak tangga dengan bilangan yang ganjil iaitu 5 atau 7 anak tangga. Ini memberikan gambaran bahawa setiap tetamu yang bertandang biasanya akan mula melangkah ke anak tangga dengan kaki kanan dan juga akan mengakhiri langkah kakinya dengan kaki kanan. 

Keduanya ialah perihal bendul. Bendul yang menghubungkan serambi dengan bahagian tengah rumah biasanya agak tinggi sedikit. Mengapa ia tinggi? Ini adalah kerana, semasa tetamu yang hadir ke rumah ini mereka akan mengangkat kaki lalu kelihatan menundukan kepala apabila mahu melintasi bendul tersebut. Ini mengambarkan penghormatan yang diberikan daripada tetamu kepada tuan rumah dengan menundukan kepala. 

Sekian sahaja perkongsian untuk hari ini. Inipun secara spontan terlintas di kepala. Ada apa-apa ilmu yang saya perolehi berkenaan rumah tradisional Melayu Melaka, akan saya kongsikan lagi kemudian.

Wednesday, March 21, 2012

# 17 WORDLESS (MUKA MASUK SURAT KHABAR)






Perbualan antara saya, Sahrom dan Encik Suami.

Klik untuk besarkan

Penulis Wadah Panglima turut ada dalam surat khabar tu

Sunday, March 18, 2012

PANTUN UNTUK BLOGGERS





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila terbaca entri dari blog Komensen yang bertajuk Blog Pun Ada Peribahasa, saya mula mendapat satu idea untuk menulis dengan gaya yang seakan sama. Namun, saya tidak menggunakan peribahasa sebagai intipati sebaliknya saya menggunakan pantun Melayu yang biasa kita baca atau dengar.

Di bawah ini saya sertakan 10 rangkap pantun untuk kita sama-sama hayati :)

Buah Cempedak Di Luar Pagar,
Ambil Galah Tolong Jolokkan,
Ada Blogger Baru Belajar,
Kalau Salah Mintalah Diajarkan.

Tinggi Tinggi Si Matahari,
Anak Kerbau Mati Tertambat,
Sudah Lama Membuat Entri,
Agar Ada Follower Terpikat.

Kajang Pak Malau Kajang Berlipat,
Kajang Hamba Mengkuang Lalu,
Kalau Nak Menulis Biar Bertempat,
Jangan Pula Masa Bos Berlalu.

Dua Tiga Kucing Berlari,
Mana Sama Si Kucing Belang,
Dua Tiga Blog Boleh Ku Layari,
Mana Nak Sama Dengan Blog Korang.

Sorong Papan Tarik Papan,
Buah Keranji Di Dalam Perahu,
Disuruh Singgah Aku Turutkan,
Lepas Tu Singgahlah Balik, Jangan Buat Tak Tahu.

Tuai Padi Antara Masak,
Esok Jangan Layu-Layuan,
Bloggers Duk Singgah Jangan Buat Tak Nampak,
Nanti Blog Kita Pun Sayu-Sayuan.

Puas Saya Bertanam Ubi,
Nenas Juga Dipandang Orang,
Sudah Puas Membuat Entri,
Tapi Kenapa Iklan B.E Tak Datang-Datang.

Buah Langsat Kuning Mencelah,
Senduduk Tidak Berbunga Lagi,
Sudahlah Followers Bertambah,
Jangan Pula Meninggi Diri.

Putik Pauh Delima Batu,
Anak Sembilang Di Tapak Tangan,
Bloggers Jauh Tidak Ketemu,
Jauh Di Mata Di Hati Jangan.

Pulau Pandan Jauh Ke Tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga,
Blogger Mati Blog Tetap Dijengah,
Entry Yang Baik Dikenang Jua.

Sesiapa yang ada idea lain berkaitan pantun seperti di atas. Jangan segan, jangan malu, komenlah seperti pantun juga. Boleh?

BUKAN SEKADAR MUZIUM





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sekiranya kita ditanyakan apa itu muzium pasti yang bermain di fikiran kita ialah patung, barang lama dan membosankan. Sampai bila? Sampai bila "orang kita" terus berfikiran sebegini. Kita seharusnya sudah mula mengetahui bahawa fungsi muzium bukanlah sekadar mempamerkan barang-barang lama sahaja.

Secara ringkasnya, definisi muzium ialah; sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan yang berfungsi untuk mengumpul, memulihara, menyelidik, mendokumentasi dan mempamer perihal bukti material kewujudan manusia dan persekitarannya bagi tujuan pendidikan.

Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah PENDIDIKAN. Kita perlu menanamkan dalam hati masing-masing bahawa muzium itu adalah satu pusat pendidikan. Iaitu pendidikan tidak formal. Sekiranya di sekolah, para pelajar mendapat pelajaran formal dengan diajar oleh guru-guru melalui silibus pendidikan, dan di muzium juga pelajar boleh menimba ilmu dengan cara melihat secara realiti artifak dan bahan pameran yang dipamerkan di dalam muzium.

Tidak hanya terhad kepada melihat artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, para pelajar juga boleh membaca setiap keterangan yang disediakan bagi mendapatkan info yang lebih mendalam. Di muzium, kita bukan hanya dapat mengetahui sesuatu bahan pameran, malahan penceritaan dan sejarahnya juga kita akan ketahui.

Bagi rombongan sekolah-sekolah, IPT dan sebagainya misalnya, jika hendak mengetahui lebih lanjut dan menjadikan lawatan ke muzium lebih bermakna, bolehlah memohon disediakan juru pandu ke dalam muzium. Juru pandu ini boleh terdiri daripada juru pandu persendirian (swasta) ataupun juru pandu dalaman iaitu terdiri daripada kakitangan muzium itu sendiri. Bagi lawatan tetamu VVIP biasanya memang wajib disediakan juru pandu sama ada dari luar atau kakitangan muzium sendiri. Ini bagi memberikan penjelasan dengan lebih jelas dan tepat kepada setiap tetamu mahupun pengunjung.

Kebiasaan juru pandu ini akan membawa lawatan dengan memberikan penjelasan bermula dari sejarah bangunan, artifak dan bahan pameran yang dipamerkan, sejarah dan lain-lain penceritaan mengikut setiap ruang pameran yang ada. Setiap lawatan berpandu ini mengambil masa dalam 1 jam hingga ke 2 jam bergantung kepada pemintaan pelawat. Ada kalanya pelawat tidak mempunyai banyak masa, jadi lawatan akan disingkatkan kepada ruang-ruang pameran yang tertentu sahaja.

Sebagai organisasi yang berfungsi untuk menyampaikan pendidikan tidak formal, muzium dilihat terus relevan. Kini situasi kian berubah, sekiranya dahulu muzium lebih dikenali sebagai "sekolah gambar", kini ia bukan setakat mempamerkan gambar. Kita dapat memperoleh pelbagai ilmu di dalam muzium baik dari aspek seni bina, sejarah, artifak, kesenian dan warisan, peragaan pameran dan banyak lagi.

Akhir sekali, marilah beramai-ramai kunjungi muzium kerana di muzium terdapat banyak ilmu yang boleh kita perolehi.


Semasa membawa lawatan berpandu kepada Timbalan Perdana Menteri, Thailand

Pelajar IPT dibawa lawatan secara berpandu di Muzium Sejarah, Melaka


Ketika membawa Sultan Solo, Indonesia melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka


Salah satu contoh lawatan dari delegasi luar, dari Oman.


* Gambar-gambar di atas menunjukan kesungguhan pihak muzium untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan secara tidak formal kepada tetamu dan pelawat yang hadir melawat ke muzium. Oleh itu, ingat! Muzium juga merupakan pusat pendidikan dan penyelidikan yang boleh memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pelawatnya.

Friday, March 16, 2012

KATA SPONTAN NO. 6 : TERIMA KASIH





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih... Sukarkah untuk mengucapkan perkataan ini? Mengapa kita mesti ego dan sukar untuk mengucapkan terima kasih kepada seseorang sedangkan mereka telah memberikan segala yang terbaik untuk kita?

Misalannya, para pekerja telah melaksanakan kerja sehabis baik untuk menaikkan nama organisasi sehinggakan organisasi tersebut mendapat kedudukan yang tinggi. Sebagai majikan, haruslah mengucapkan terima kasih kepada pekerja, kerana merekalah organisasi tersebut mendapat nama. Ini tidak, kerana ego yang besar dalam diri sendiri, majikan menganggap segala apa yang dikecapi adalah atas usaha beliau seorang diri yang pandai menguruskan segalanya.

Sudah-sudahlah tu... Ketepikan ego. Berilah sedikit ruang penghargaan kepada mereka yang layak. Jangan biarkan mereka terus tidak dihargai selama bertahun-tahun.

Ucaplah... Terima kasih.. Terima kasih dan Terima kasih. Bukan susahpun.

Thursday, March 15, 2012

# 16 WORDLESS (THE BORNEO POST)




I Like... :)


Klik untuk besarkan gambar

Tuesday, March 13, 2012

ADA APA PADA PALESTIN?




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tak habis-habis dengan isu Palestin. Apa yang negara itu ada sehingga begitu kejam dilakukan oleh Rejim Zionis Israel? Baru-baru ini kita sekali lagi digemparkan dengan serangan Israel terhadap penduduk Palestin. Kononnya ia adalah sebagai tindak balas kepada Palestin yang telah melepaskan 200 roket ke arah Israel. Apa yang saya baca melalui berita Israel, mereka mendakwa telah telah diserang dengan lebih 200 roket dari Palestin yang memusnahkan sekolah dan memberikan kecederaan kepada kanak-kanak. Ini berita dari Israel, tidak pastilah kebenarannya.

Namun, begitu hebat pula serangan balas yang dilakukan oleh pihak Israel terhadap Palestin dengan mengorbankan banyak nyawa orang yang tidak berdosa. Benarlah apa yang saya dengar dari Tun Mahathir, baru-baru ini pada Jelajah Keamanan Negeri Melaka (Waqaf Water 4 Gaza), yang menerangkan bahawa Israel akan bertindak beganda-ganda kejamnya apabila kawasannya diserang. Dan terbukti, ianya benar belaka.

Mengapakah kuasa-kuasa besar dalam United Nation tidak mengambil tindakan terhadap Israel ini? Mereka semua seakan takut dengan Israel dan sekutunya Amerika. Apatah lagi, memang kebanyakkan kuasa-kuasa politik dan ekonomi dunia dikuasai oleh bangsa Yahudi. Jadi, mungkin sebab itu mereka semua tidak dapat mengambil tindakan terhadap Israel.

Ingat... Keganasan Israel ini bukanlah kerana agama. Sekiranya melibatkan agama, masakan penduduk Palestin yang beragama Kristian juga menjadi mangsa? Ini adalah jenayah kemanusiaan. Jenayah kemanusiaan yang paling sadis pada masa kini. Israel haruslah didakwa di atas tindakan kejamnya terhadap Palestin sejak sekian lama.

Agak-agaknya apa yang ada pada Palestin? Sebagai renungan bersama, saya tuliskan semula beberapa fakta mengenai Palestin masa kini yang saya perolehi semasa menjalankan Pameran War Is A Crime. Sama-sama kita renung-renungkan.

a) Penduduk Gaza adalah 1.6 juta dengan anggaran melebihi 50% di bawah umur 18 tahun.

b) 80% darinya bergantung pada bantuan antarabangsa.

c) 61% mengalami pemakanan terhad.

d) Kadar pengangguran dalam lingkungan 39%, antara tertinggi di dunia.

e) Gangguan bekalan elektrik berlarutan selama 4-6 jam sehari dan sering kali lebih lama.

f) 60% menerima bekalan air hanya sekali setiap 4 atau 5 hari untuk 6-8 jam.

g) 50 ke 80 juta liter air kumbahan separa atau tidak dirawat langsung dilepaskan ke dalam laut setiap hari.

h) Lebih kurang 90% air yang dibekal ke penduduk Gaza tidak boleh diminum dan dicemari garam serta nitrat.

i) 78% dari kerosakan rumah yang terjejas akibat Operation Cast Lead masih belum dibina semula.

j) 38% penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan.

k) 26% tenaga kerja Gaza, termasuk 38% belia, tidak mempunyai pekerjaan.

l) Purata gaji merosot lebih dari 20% dalam enam tahun lepas.

m) 54% penduduk Gaza tidak cukup pemakanan dan lebih dari 75% bergantung kepada bantuan.

n) 35% tanah ladang dan 85% dari perairan untuk menangkap ikan adalah separa atau secara keseluruhan tidak boleh diakses akibat sekatan tentera Israel.

o) Lebih dari 90% air dari akuifer Gaza tidak boleh diminum.

p) 85% dari sekolah-sekolah Gaza beroperasi dalam dua syif.

q) Lebih kurang satu per tiga barangan dalam senarai ubata-ubatan penting kehabisan stok.

Dahsyat sungguh penderitaan yang dialami oleh warga Palestin. Lebih-lebih lagi di Gaza. Mereka diibaratkan seperti hidup di dalam penjara terbesar dunia, di mana hidup di dalam kepungan Israel. Nak bergerak ke sini ke situ tidak boleh sesuka hati. Silap-silap ditembak oleh tentera Israel. Tidak cukup kejamkah itu?

Palestin adalah diri kita. Sakit Palestin, sakit juga kita. Jangan kita hanya melihatnya sahaja tanpa ada rasa belas kasihan. Sekiranya ada tabung bantuan untuk rakyat palestin, hulurlah bantuan walaupun tidak seberapa. Ingatlah, kebanyakkan dari mereka hidup dengan bantuan antarabangsa. Iaitu bantuan dari kita.

Besar harapan... Agar Palestin kembali aman...

Monday, March 12, 2012

MANCHESTER UNITED KEMBALI TAKHTA LIGA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya lama sudah saya tidak membuat entri berkaitan Manchester United. Bukan kerana tidak lagi menyokong, tetapi kerana kekurangan idea untuk menulis pantun dan sebagainya mengenai Manchester United FC ni.

Hari ini di dalam hati rasa sangat gembira kerana pasukan kegemaran telah kembali ke takhta liga akibat kekalahan Manchester City 0 - 1 kepada kelab kerdil Swansea. Manchester pula telah menang ke atas West Brom dengan 2 jaringan oleh Wayne Rooney.

Dah taknak cakap banyak. Oleh kerana sudah gembira, jom semua Manchester United die hard fan, kita nyanyi beramai-ramai...





Thursday, March 8, 2012

SELAMAT HARI WANITA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sejak dua menjak menjadi penulis blog ni, barulah sedar ada hari-hari tertentu disambut untuk golongan tertentu. Ada Hari Jururawat, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan pelbagai hari lagi. Dan pada hari ini iaitu 8 Februari 2012, ada pula Hari Wanita Sedunia.

Erm.. Tak pastilah sama ada Hari Wanita Sedunia ini membawa erti yang besar kepada wanita-wanita atau sebaliknya hanya sebagai hari-hari biasa sahaja. Rasanya kalau mahu meriahkan hari wanita ini, elok perlu ada satu resolusi bagi memberikan cuti kepada wanita-wanita yang bekerja pada hari ini. Biar lelaki sahaja yang bekerja pada tarikh ini. Barulah si lelaki akan terasa betapa penting atau tidak penting wanita dalam sesuatu organisasi. :)

Pada kesempatan ini, ingin saya ucapkan Selamat Hari Wanita kepada Emak yang membesarkan saya serta isteri yang selalu mendampingi saya. Semoga kalian semua berjaya di dunia dan di akhirat.

Tidak lupa juga para teman bloggers wanita :

http://sharingiscaring-fiza.blogspot.com/

http://mamanoriz.blogspot.com/

http://mommyfara.blogspot.com/

http://mdmlala.blogspot.com/

http://airaniezlife.blogspot.com/

http://sangratoo.blogspot.com/

http://lyacolours.blogspot.com/

http://asleez-asrolareleez.blogspot.com/

http://selipartoilet.blogspot.com/

http://faaeinz.blogspot.com/

http://azzeyatin.blogspot.com/

http://www.iedaluvsham.com/

http://cikgutie4848.blogspot.com/

http://azanan.blogspot.com/

Dengan ucapan, semoga berbahagia selalu di samping keluarga dan orang yang disayangi (Huh, macam ucapan dalam radio saja ;)

Kepada teman bloggers lelaki, jangan risau... Nama anda akan disebut kelak semasa Hari Lelaki. Ehhh.. Ada ke Hari Lelaki? Atau ada Hari Teruna... Takpun Hari Jejaka... Erm.. Tak aci ni..

Tuesday, March 6, 2012

# 15 WORDLESS (JAHANAM ISRAEL)





Monday, March 5, 2012

NASIB BAIK POKOK MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya ramai yang sedia maklum tentang nama negeri Melaka yang berasal dari nama sebatang pokok yang dikenali sebagai pokok Melaka. Asal usul nama negeri Melaka sedikit lebih kurang ceritakan terjadi begini :


Pokok Melaka. Sumber gambar >> KLIK <<


Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang telah diusir dari negeri lalu ke Temasik (Singapura). Di sana baginda telah berkerajaan namun tidak lama setelah baginda telah membunuh Temagi iaitu wakil kerajaan Siam. Dari mengelakan dirinya diburu, baginda telah berundur ke beberapa kawasan.

Dalam satu peristiwa lain, ketika baginda bersama para pengikutnya pergi berburu berhampiran Sungai Bertam, satu kejadian aneh telah berlaku. Anjing-anjing buruan baginda telah menghambat seekor pelanduk putih, namun apa yang berlaku ialah anjing-anjing baginda telah ditendang oleh pelanduk putih tersebut lalu terjatuh ke dalam sungai.

Di kalangan masyarakat terdahulu, apabila sesuatu yang aneh berlaku, lebih-lebih lagi yang mengambarkan kekuatan dan kekuasaan maka alamatnya sesuatu yang baik. Dalam masa yang sama, Parameswara telah berpendapat alangkah baik sekiranya dibuat negeri di kawasan tersebut. Lalu didirikan di situ negeri Melaka bersempena nama pohon kayu yang disandarnya semasa melihat kejadian aneh yang berlaku.

Okey.. Cukup untuk untuk suatu yang serius. Apa akan jadi misalnya pada ketika itu Parameswara sedang bersandar di batang pokok kelapa? Adakah sekarang ini negeri Melaka sebenarnya adalah negeri Kelapa? Ohh.. Tidak mungkin Parameswara duduk di bawah pokok kelapa kerana pokok kelapa merbahaya. Sekiranya buah kelapa jatuh, nahaslah kepala baginda.

Ataupun, andai kata Parameswara ketika itu sedang duduk di bawah pokok mangga. Sudah sahlah sekarang ini negeri Melaka adalah negeri Mangga. Tapi, mana mungkin juga Parameswara bersandar di pokok mangga. Iyalah, manalah tahu pokok mangga tersebut sedang lebat buahnya, lalu Parameswara serta pengikutnya sedang enak memakan buah mangga sehingga tidak perasan anjing buruannya ditendang pelanduk putih. Erm.. Tidak mustahil juga.

Apa kata pula sekiranya Parameswara dulu bersandar di pokok kedondong? Mahu tak diletaknya negeri Melaka sekarang bernama negeri Kedondong. Lain macam saja bunyinya. Tapi, pokok kedondong kecil, mana boleh Parameswayra bersandar di pokok tu pula.

Kesimpulannya, apa yang diterangkan di atas "nampak" seperti suka-suka, namun sebenarnya saya mahu menunjukan bahawa sejarah itu dinamik. Kajian demi kajian perlu dilakukan demi membuktikan sesuatu. Lebih-lebih lagi sesuatu yang amat penting dalam sejarah tanah air mahupun sejarah bangsa. Jangan kita mudah percaya dan menerima akan sesuatu fakta yang keluar dari mulut seseorang tanpa ada kajian terperinci dan sokongan daripada mulut-mulut mereka yang ahli.

(Ps : Bak kata Ogy Ahmad Daud, terus gali dan menggali)

ADA APA DENGAN MELAKA???





1400 - 1511
Kerajaan Melaka

1511 - 1641
Penaklukan Portugis

1641 - 1824
Penjajahan Belanda


1824 - 1957
Zaman Kolonial British



1942 - 1945
Pendudukan Jepun

Kadang-kadang semasa memerhatikan monumen-monumen tinggalan penjajah di sekitar Bandar Hilir, Melaka, terbayang-bayang situasi lokasi berkenaan pada zaman lampau di mana ia merupakan kawasan utama yang direbut-rebutkan oleh kuasa-kuasa barat ini. Di sinilah tempat mereka berdagang, berperang dan mentadbir negeri.

Sekarang, monumen-monumen ini menjadi daya tarikan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negeri Melaka. Tidak hairanlah pada suatu masa dahulu, kerajaan negeri menggunakan slogan "Kegemilangan Melaka Berulang Kembali"

Saturday, March 3, 2012

MATI ITU BENAR





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mati... Siapa yang tidak takut mati? Lazimnya semua orang takut mati. Akan tetapi, dalam perasaan takut mati yang ada dalam diri masing-masing namun masih ada yang tidak mahu memikirkan yang kita akan mati. Mungkin kerana kita tidak tahu tarikh kematian kita, sebab itulah kita tidak mahu memikirkannya sangat.

Dalam memperkatakan tentang kematian, adakah kita sudah bersedia dengan amalan-amalan sebagai bekalan di alam kubur dan di akhirat kelak? Kita masing-masingpun tidak mengetahui, sama ada amalan yang kita sangkakan kita buat baik, tetapi mana tahu ianya tidak diterima oleh Allah. Betapa ruginya...

Mati... Allah itu Maha Mengetahui. Mengapa agaknya Allah merahsiakan tarikh kematian kita? Sekiranya kita tahu akan tarikh kematian kita, rasa-rasanya kita tidak tidur 24 jam kerana terus beribadat kepada Allah. Sebenarnya kita hidup di dunia ini hanyalah sementara dan Allah sengaja mahu menguji keimanan kita terhadap-Nya.

Sekiranya kita lihat kembali pada cerita-cerita mengenai banduan akhir iaitu banduan yang akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka lagilah pula, sudah tahu akan tarikh kematiannya iaitu tarikh dia akan digantung. Agak-agaknya apakah perasaan dia? Dia tahu dia akan mati dan pasti mati. Apakah perasaan dia? Kalau kita lihat drama yang memainkan semula perihal banduan akhir yang hendak digantung, mereka bersungguh-sungguh bertaubat kepada Allah. Solat mereka tidak tinggal dan sentiasa memohon ampun kepada Allah. Apatah lagi semasa mahu melangkah ke bilik gantung, kakinya tidak mampu melangkah, diampu oleh pegawai penjara. Agak-agak apakah perasan dia? Dia tahu dia pasti akan mati dalam beberapa tika sahaja. Elok rasanya tidak tahu tarikh kematian sendiri daripada kita tahu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang Dia rancang.

Berbalik pula kepada persiapan kita untuk menghadapi mati. Adakah kita tahu tentang hidup kita di alam kubur kelak selepas mati? Adakah kita di alam kubur akan berasa sama seperti hidup di dunia? Semasa di dunia contohnya kita masuk di dalam terowong pelindung serangan udara (ada terdapat di negeri Perak), muat-muat badan untuk berlalu di dalam terowong hanya bertemankan cahaya lampu kecil yang malap. Itu di dunia, masuk terowong kecilpun kita sudah berasa seram dan nak sesak nafas dibuatnya. Bagaimana pula kita di dalam kubur kelak? Sedar-sedar badan sudah dipocongkan dan muat-muat badan sahaja. Kiri, kanan, atas dan bawah cuma tanah sahaja. Kalau amalan kita buruk lalu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir, mana kita mahu lari? Nak minta tolongpun tiada siapa yang boleh membantu. Yang boleh membantu hanyalah amalan kita di dunia.

Lain pula kisahnya pada hari akhirat dan hari pembalasan. Wallahuaklam, bagaimanalah keadaannya nanti. KIta telah digambarkan oleh Allah melalui Al-Quran perihal itu semua, kita memahami tetapi hanya memahami tidak sama dengan mengalami.

Saya dengan rendah diri, berasa insaf. Sedar diri ini serba kekurangan dan masih tercari-cari jalan yang lurus dan benar. Bukan niat untuk mengajar, cuma mahu berkongsikan apa yang bermain di minda. Kerap juga berfikir semasa hendak tidur, sekiranya esok bangun tiba-tiba hidung berbau tanah, badan disaluti kain putih, apakah nasibnya kelak...

Allahu Akbar...

Thursday, March 1, 2012

KATA SPONTAN NO 5 : AKU JATUH, DIA PUN MESTI JATUH JUGA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Entah mengapa gaya orang zaman sekarang, sekiranya didapati bersalah bukan mahu mengaku kesalahan sebaliknya cuba mencari kesalahan orang lain demi menutup kesalahan yang dilakukannya.

Pernah satu ketika terdengar pernyataan ini; "Sekiranya aku jatuh, aku akan pastikan dia pun jatuh juga..."

Jangan busuk hati. Kalau benar kita bersalah, mintalah maaf kepada mereka yang kita sakiti. Sekiranya bersalah kepada Allah, mohonlah ampun dan taubat semoga dosa yang dilakukan diampuni.