Saturday, December 31, 2011

BUKAN SENANG BERKUASA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Memang bukan senang apabila berkuasa dan ada juga yang senang bila berkuasa. Tetapi dalam konteks ini saya ingin menyatakan orang yang berkuasa sebenarnya bukanlah senang. Senang di sini bukanlah bererti senang dari segi harta benda, tetapi bukan senang untuk melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Gaji Ketua Setiausaha Negara dengar-dengar menjangkau RM 60,000 sebulan. Mak datuk, tingginya. Dari segi mata biasa mungkin ia dilihat melampau, tetapi hakikatnya ia adalah memadai dengan tugas yang telah dipertanggungjawabkan dengan beliau. Kita sebagai orang biasa ini apabila diberikan tugas di tempat, ada kalanya kena siapkan cepat sehingga ke hari malam. Ini kita orang biasa, tapi mereka-mereka yang yang berjawatan tinggi ini lagilah teruk kerjanya. Jangan kata malam, mereka kerja hingga larut malam untuk menyempurnakan sesuatu tugas negara. Apa-apa hal yang kena marah, maki, hina adalah dia. Kerana dia adalah ketua.

Kalau kita tamat kerja pukul 5.00 petang sudah balik, berehat dengan anak isteri di rumah. Mereka? Balik rumahpun jarang dapat bermesra dengan isteri anak. Di rumah masih lagi memecahkan kepala memikirkan itu ini. Bercutipun mungkin setahun sekali. Pendek kata kehidupan sosial mereka kurang. Asyik dengan kerja, kerja dan kerja.

Lain pula ceritanya baru-baru ini berkisar dengan pegawai Kastam yang mati ditembak. Difahamkan beliau adalah pegawai yang aktif dalam melaksanakan tugas dan sering melakukan operasi. Dengan kuasa yang ada, memang patutlah apa yang telah beliau lakukan, membendung negara dari anasir penyeludupan dan segala ketidakakuran perundangan berkaitan kastam. Secara peribadi, saya katakan beliau adalah wira. Terkorban kerana melindungi negara. Terkoban kerana pangkatnya sebagai pegawai kastam. Sedarlah wahai pegawai-pegawai kastam yang lain, rakan anda itu sanggup mempetaruhkan nyawa dalam bertugas, janganlah pula anda sekalian sanggup memperkotak-katikan kerjaya anda dengan menerima rasuah. Sesungguhnya sekiranya anda menerima rasuah, anda bukanlah wira sebaliknya musuh negara. Musuh dalam selimut.

Dan apa yang hendak diceritakan ialah tentang diri saya sendiri. Baru-baru ini saya diberikan sedikit kuasa oleh Bos saya untuk menyokong sesuatu perkara bagi memberikan sesuatu itu pada pemohon (Ini bukanlah sesuatu yang amat besar). Sebelum membuat penyokongan, saya kenalah buat pemantauan untuk memastikan pemohon itu membuat apa yang ditetapkan. Dalam beberapa minggu, pemohon-pemohon tersebut telah mendapat sesuatu yang diinginkan atas surat sokongan saya buat dan ditandatangi oleh bos.

Namun dalam beberapa hari datang 3 ke 4 orang pemohon yang tidak dapat dan tercicir telah mendatangi saya dengan merayu itu ini. Bukan hanya hadir ke pejabat saya saja, yang telefonnya lain. Mana dapat nombor telefon bimbit saya pun tidak tahu. Sekali lagi mendengar "tolong encik.. tolonglah encik..."

Dalam pemikiran, saya lantas berfikir, oh.. inilah akan terjadi jika kita memiliki kuasa untuk menyokong atau meluluskan sesuatu. Kalau yang jenis makan rasuah, pasti akan mengkehendakkan sesuatu sebaik saja permohonan mereka disokong atau diluluskan. Ya Allah, Mohon dijauhkan.

Akhir kata, kepada sesiapa yang berkuasa, janganlah jadikan kuasa yang dimiliki itu untuk menunjuk-nunjuk dan menindas orang bawah. Jadikan kuasa itu sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

(Ps : Ultraman kalau kekurangan kuasa, butang di dadanya akan bunyi tit.. tit... tit... )

Thursday, December 29, 2011

KATA SPONTAN NO. 1 : JANGAN MASUK TANDAS






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya saya ada terperasan dan terbaca sesuatu di MukaBuku baru-baru ini yang membuatkan saya sedikit ketawa. Tak pastilah, apa yang ditulis ini benda baru atau lama, tetapi bagi diri saya ia adalah baru.

Pernyataannya sedikit lebih kurang seperti ini :

"Untuk makluman, pada 31 Disember 2011 anda dinasihatkan agar tidak ke tandas pada pukul 11.59 malam kerana anda akan keluar semula pada tahun hadapan"

Hehehe.. Lawak ke?

Wednesday, December 28, 2011

CAMERON HIGHLANDS.. TUNGGUUUU...





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Teringat pula pada cerita KL Menjerit masa Rosyam Noor menjerit Kuala Lumpur, Tungguuuu... Masa dia berhajat ke Kuala Lumpur. Tetapi pada entri ini saya letakkan tajuk Cameron Highlands.. Tungguuu... kerana kebetulan saya baru pulang dari Cameron Highlands.

Sebenarnya saya tidaklah gemar sangat untuk bercerita tentang hal peribadi, tetapi kadangkala rasa ingin berkongsi tentang sedikit pengalaman saya di sana. Saya pergi bersama isteri dan anak dan tidak lupa juga ayah bonda dan adik beradik yang lain. Kami menyewa "apartment" memandangkan jumlah kami yang ramai.


Inilah kali kedua saya jejakkan kaki di Cameron Highlands selepas yang pertamanya saya melawat ketika rombongan sekolah semasa darjah enam. Nampaknya, agak berbeza sedikit suhunya jika dibandingkan semasa dahulu. Kalau dahulu seingat saya, apabila bercakap mulut akan "berasap" kerana sejuk, tetapi kini, tidak lagi. Bayangkan, di tengah malam sudah mulai rasa hangat. Saya yang mulanya berpakaian baju dan berselimut tebal akhirnya membuka pakaian tebal dan selimut.

Rombongan darjah 6. Penulis bercermin mata.. ;)

Kesesakan juga melampau. Saya tidak pastilah sama ada kesesakan ini terjadi semasa cuti umum atau setiap hari. Saya terperangkap beberapa kali apabila hendak ke pasar malam di situ. Terperangkap hampir 2 jam. Malam yang pertama tidak dapat pergi kerana kelewatan, keesokan harinya kami keluar awal untuk menempuh kesesakan dan akhirnya tiba juga di pasar malam tersebut.

Huh.. Memang teruk kesesakannya...

Seperti biasa, di Cameron Highlands pastinya kita akan pergi melawat ke Ladang Teh yang mana sudah memang "habitat" teh untuk hidup segar di tanah tinggi.



Selain dari melawat ladang teh, tidak lupa juga untuk melawat ke tempat penanaman bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Ingatkan dapat rasa memetik buat strawberi, tetapi malangnya tidak dapat kerana kekurangan buah. Jadi, hanya melihat-lihat saja persekitaran yang dipenuhi pelbagai bungaan dan sayuran.


Erm.. Sesiapa yang pernah pergi ke Cameron Highland tu, bolehlah berkongsi-kongsi cerita di sini. Bagi saya, ia kurang dari segi keseronokan, mungkin saya lebih terdedah dengan kesesakkan lalu lintas dan menyebabkan saya sedikit bengang, yang lain itu kira okeylah. Dapat menghirup udara segar, dapat melihat kehijauan, mendengar kicauan burung dan unggas.

Muhammad Fahim kesayangan...

Saya dan isteri...

(Ps : Nak pergi pastikan brek kereta dalam keadaan baik. Tayar juga kena pastikan dalam keadaan baik. Di sana memandu di kawasan berbukit, tayar memerlukan cengkaman yang baik)

Friday, December 23, 2011

HILANGNYA KESOPANAN BUDAK MELAYU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Melayu oh Melayu... Kemanakah hilangnya kesopanan yang ada pada jati diri Melayu. Mana hilangnya ketatatertiban Melayu. Melayu itu unggul, penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, tetapi kini semacam akan hilang saja semua ini. Orang Melayu ini baik, tetapi mengapa sikap baik ini semacam bakal hilang? Sekiranya hendak tahu Melayu ini baik atau tidak, boleh baca entrinya DI SINI.

Kalau dahulu Melayu penuh dengan kesopanan, tetapi kini kian hancur. Tiada segan dan silu. Anak dara orang dipeluk dan diciumnya dikhalayak orang ramai tanpa ada perasaan malu malah hanya merelakan. Yang lebih dahsyat lagi, sanggup merakamkan aksi-aksi berahi yang akhirnya tersebar luas di telefon bimbit dan internet. Memang hilang kesopanan Melayu sekarang.

Tetapi sebenarnya, bukan ini yang saya mahu ceritakan dalam entri ini. Penulisan entri ini terhasil daripada pengalaman saya ketika bersembahyang Jumaat pada tengah hari tadi. Kebetulan saya ada mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ayer Keroh, jadi saya berkesempatan bersembahyang Jumaat di masjid yang berdekatan dengan rumah saya.

Apa yang berlaku ini membuatkan saya berfikir, bahawa benarlah kesopanan dan kesusilaan budak Melayu sekarang sudah berkurangan. Hendak diceritakan, saya duduk bersila seperti biasa di dalam masjid untuk mendengar khutbah Jumaat. Kebetulan saya duduk 3 atau 4 baris dari saf belakang. Jadinya orang-orang lain yang mahu ke saf hadapan akan melangkah melalui lutut saya dan lutut orang di sebelah saya. Apa yang saya perhatikan, orang-orang dewasa dan berumur pasti akan membongkokkan badan semasa hendak berlalu di sebelah dan hadapan saya.

Namun begitu, apa yang sebaliknya ada 3 ke 4 orang budak-budak dalam lingkungan sekolah menengah dan pemuda yang berlalu antara lutut saya dan hadapan saya dengan "selamba" saja berlalu. Saya bukanlah minta dihormat. Saya memang tidak perlukan orang hormat saya, tetapi apa yang saya lihat, adab, kesopanan dan kesusilaan budak-budak Melayu kini kian pudar. Tak macam dulu.

Nak dijadikan cerita lagi, pada mulanya ada seorang pakcik terlanggar lutut saya. Dengan segera dia memegang lutut saya dan saya secara spontan memegang betis dia tanda memohon maaf. Tapi sebaliknya berlaku apabila seorang budak lingkungan sekolah menengah bukan hanya seperti melanggar tetapi memijak lutut saya dan terus berlalu seperti tiada apa-apa berlaku. Saya rasa, kamu dapat membayangkannya.

Kalau kita lihat filem P. Ramlee yang dulu-dulu yang memaparkan latar belakang masyarakat Melayu, sudah pastinya mengambarkan orang-orang Melayu ini tinggi tahap kesopanan dan adapnya. Orang Melayu cakapnya berlapik, setiap berbuatannya bersopan. Itulah Melayu. Namun kini, tinggal sejarah. Mungkin bakal lenyap.

Akhir kata, kembalilah anak-anak Melayu ke arah kesopanan. Jaga tatasusila kita. Jangan bersikap kurang ajar kepada orang yang lebih dewasa daripada kita. Sesungguhnya orang yang terdahulu itu lebih paham dari apa yang kita faham. Jadi, belajarlah menghormati orang tua.

Wednesday, December 21, 2011

JANGAN BERAZAM TERLALU TINGGI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila hendak menghampiri tahun baru, ramai yang mula memasang azam. Ada berazam untuk mencari jodoh, ada yang mahu beli kereta atau rumah baru, berazam untuk mencari kerja yang lebih bagus dan bermacam-macam lagi. Akan tetapi apabila berazam pastikan azam itu boleh dicapai dan mengikut apa yang kita mampu.


Azam yang dapat dicapai pastinya akan mengembirakan dan memuaskan hati kita, tetapi sekiranya tidak tercapai ia mungkin akan membuatkan kita berdukacita dan sebagainya. Misalannya, apabila seseorang berazam untuk mencari jodoh, namun apabila tiada pasangan yang mahu berkahwin dengan dia, maka mungkin ia akan menerbitkan rasa kecewa.

Azam juga boleh dikaitkan dengan angan-angan atau berangan. Tapi, apabila berangan tu janganlah pula jadi seperti "angan-angan Mat Jenin". Asyik duduk berangan saja. Baru panjat pokok kelapa macam-macam yang sudah di angan-angankan. Itu belum petik lagi, baru di tengah-tengah batang kelapa. Angan-angan itu, angan-angan ini dan akhirnya terjatuh. Langsung tak dapat apa-apa. Hebat betul orang dulu-dulu, buat cerita sampai ke hari ini dapat dijadikan tauladan.

Apa yang ingin disampaikan sebenarnya ialah jangan buat azam yang kita tidak mampu membuatnya atau mencapainya. Buatlah azam yang relevan dan boleh dicapai. Tidak kisah, sesukar manapun, ia boleh dicapai. Jangan sampai pasang azam kita mati hidup semulapun kita tidak boleh capai.

Sebenar-benarnya entri ini berkait rapat dengan diri saya sendiri. Nak dijadikan cerita, tiap-tiap hari saya pulang dari kerja, apabila tiba di suatu persimpangan berlampu isyarat, biasanya akan merah di situ dan saya akan memerhatikan kereta-kereta mewah seperti Toyota Alphard dan sebagainya berdekatan kedai kereta di sebelah kanan saya. Lalu berfikir, bolehkah saya memiliki kereta itu? Segera saya sedarkan diri saya bahawa saya memang tidak layak melainkan saya ada buat kerja sampingan lain yang lebih lumayan berbanding saya sebagai kakitangan kerajaan sahaja.

Saya cuba mempositifkan lagi keadaan dengan mengatakan bahawa saya boleh memiliki kereta tersebut pada suatu hari nanti. Namun didatangi pula bisikan-bisikan yang menyatakan, suatu hari saya boleh membelinya tetapi akan menyusahkan hidup. Bak kata orang besar periuk besar lagi keraknya.

Lepas sahaja lampu isyarat menunjukan warna merah, saya terus berlalu dan angan-angan tersebut juga berlalu bagaikan angin lalu. Tidak mahu saya berazam memilik Toyota Alphard, cukuplah Toyota orang tua yang saya ada sekarang.


Sunday, December 18, 2011

# 10 LENSA KAMERA CABUK - SEPETANG DI SUNGAI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Memang indah sungguh berjalan-jalan di Sungai Melaka. Kalau dahulu, Sungai Melaka sangat kotor. Tetapi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Sungai Melaka sebagai produk pelancongan di Melaka, ianya kini dilihat amat bersih sekali. Petang-petang ramai yang berjoging di pesisir sungai, bawa anak-anak berjalan, melihat bot "Melaka River Cruise" dan melihat matahari petang. Sungguh mendamaikan.








LAWATAN PEMANTAUAN PRODUK PELANCONGAN DI MELAKA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 7 Disember yang lalu saya telah diwakilkan oleh jabatan saya untuk mengikuti lawatan pemantauan produk pelancongan yang turut disertai oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Melaka iaitu YB. Datuk Wira Latiff Tamby Chik. Inilah kali pertama saya mewakili jabatan saya untuk lawatan seperti ini yang sememangnya kerap dilakukan.

Tujuan lawatan seperti ini ialah untuk memastikan setiap tapak atau produk pelancongan yang terdapat di negeri Melaka dalam keadaan terbaik iaitu bersih, selamat, selesa dan sebagainya. Pada waktu yang saya sertai ini, tempat yang dilawati ialah Inap Desa Ayer Limau, Masjid Lama Masjid Tanah, Pantai Tanjung Bidara dan juga Inap Desa Seri Tanjung. Penyertaan saya adalah bertujuan untuk memberikan penerangan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil untuk produk Masjid Lama Masjid Tanah kerana ia adalah monumen warisan yang diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Budaya Negeri Melaka.

Sebelum melawat di masjid tersebut, saya diberitahu keadaannya semuanya okey, namun semasa kedatangan saya dan YB. Exco, beliau agak dukacita dengan keadaan dan persekitaran masjid tersebut seperti kurang penjagaan. Kena 'bantai' lah juga saya masa tu. Apabila melihat keadaan masjid tersebut sayapun agak terkilan juga. Lantas selepas tamat lawatan dan kembali ke pejabat, saya terus membuat laporan tentang segala komen YB. Exco dan tindakan yang perlu diambil.

Di bawah ini disertakan gambar-gambar sekitar lawatan diadakan :



Saturday, December 17, 2011

BENARLAH ORANG YANG TAMAK SELALU RUGI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tamak adalah suatu sifat yang tidak baik. Orang yang bersifat tamak biasanya akan menerima kerugian pada waktu terdekat mahupun pada suatu masa yang mendatang. Dalam Bahasa Melayu terdapat peribahasa-peribahasa yang mengambarkan sifat tamat yang selalunya merugikan manusia. Antara peribahasa yang terkenal iaitu "Orang Tamak Selalu Rugi, Bagai Anjing Dan Bayang-Bayang" dan satu lagi iaitu "Yang Dikejar Tidak Dapat Dan Yang Dikendong Berciciran".


Kedua-dua peribahasa ini menunjukan seorang individu itu telah menerima sesuatu di dalam genggamannya, namun akibat sifat tamaknya untuk mendapatkan sesuatu lagi di luar genggamannya, maka apa yang telah amat yakin diperolehinya terlepas begitu sahaja. Namun dia mungkin akan bernasib baik sekiranya apa yang dikejarnya itu dapat, kalau tidak dapat? Jadinya semuanya terlepas, baik dari apa yang dia perolehi dan apa yang dikejarnya.

Sebagai contoh; Si A telah ditawarkan untuk bekerja di sebuah syarikat B yang besar dan akan mula melaporkan diri pada masa satu minggu lagi. Namun dalam masa yang sama, Si A telah tertarik dengan satu lagi syarikat C yang lebih besar yang sedang menawarkan kerja. Dengan kegopohannya dan sifat terlalu yakin bahawa dia dapat bekerja di syarikat C, maka dengan senangnya dia melepaskan untuk melaporkan diri di syarikat B dan mula pergi ke syarikat C untuk mencari kerja. Namun, hendak dijadikan cerita syarikat C tiba-tiba bankrap dan tidak lagi mengambil pekerja. Akhirnya si A telah terlepas kedua-dua tawaran pekerjaaan walhal syarikat B telah amat yakin akan mengambil dia bekerja.

Entri ini membawa kita supaya berfikir supaya janganlah sesekali mempunyai sifat tamak. Tamat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sifat tamak biasanya diekori dengan perasaan ego. Jadi, sama-samalah kita hindari sifat ini.


Lihat juga :


Monday, December 12, 2011

DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kesesakan lalu lintas. Ianya boleh berlaku secara berterusan dan ada juga berlaku secara berkala. Di Kuala Lumpur misalnya, memang pada jalan-jalan tertentu pasti akan sesak tak kira masa. Ada juga sesak pada masa-masa tertentu sahaja.

Namun begitu, di Melaka lain pula ceritanya. Kesesakan berlaku terutama di Bandar Hilir akan terjadi pada waktu hujung minggu sahaja. Tetapi, ia akan menjadi kesesakan berganda apabila tiba musim cuti sekolah. Saya yang bekerja di tengah-tengah Bandar Hilir ini amat merasainya kerana memang terpaksa. Keluar dari parkir saja akan ketemu kesesakan. Iyalah, pejabat saya di kawasan Stadhuys (rumah merah), mana mahu lari lagi.

Dalam menghadapi situasi ini, untuk mengelakkan ditimpa kesesakkan yang berpanjangan, terpaksalah menggunakan jalan yang agak jauh untuk ke suatu destinasi bagi menggelakkan kesesakkan. Dengan menggunakan jalan yang jauh ini, kenderaan pun bergerak dengan laju tanpa ada kesesakkan.

Lain pula sekiranya kita hendak melalui juga jalan yang dekat. Maka terpaksalah kita bergerak secara perlahan kerana terpaksa menghadapi kesesakkan lalulintas.

Dari sinilah saya perolehi satu frasa yang saya gubah iaitu DEKAT PERLAHAN, JAUH LAJU bagi mengambarkan kesesakkan lalu lintas yang terdapat di Bandar Hilir.

Sebenarnya, kesesakan ini memang sukar dielakkan kerana terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Hilir. Namun begitu, ianya boleh dielakkan sedikit sekiranya pengguna mengetahui adanya jalan lain ke Bandar Hilir selain menggunakan jalan di kawasan Stadhuys. Mereka boleh memasuki dari Tengkera menghala Melaka Raya dan juga dari Bukit Katil - Duyong - Melaka Raya. Rasanya kalau masing-masing tidak tertumpu menggunakan satu jalan, nescaya kesesakkan dapat dikurangkan.

Ada kalanya pihak polis trafik akan berjaga-jaga di Jalan Bendahara dan mengalihkan haluan kenderaan ke arah Bukit Cina untuk mengelakkan kesesakkan yang tebih teruk. Bagi mereka yang kurang faham, ikuti saja arahan polis trafik tersebut kerana memang ada jalan yang lain untuk menghala ke tempat ditujui.

Sekarang pula, telah ada beberapa lokasi yang menempatkan papan tanda JALAN ALTERNATIF KE PUSAT BANDAR atau JALAN ALTERNATIF KE BANDAR HILIR. Arahan ini juga boleh dituruti kerana ianya akan menghala ke bandar Hilir.

Saya sebagai warga Melaka mengharapkan siapa yang membaca entri ini mendapat sedikit panduan. Jom melawat ke Melaka... ;)

Sunday, December 11, 2011

MELAKA INTERNATIONAL 12 HOUR WALK 2011





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 10 - 11 Disember 2011 telah diadakan Melaka International 12 Hour Walk 2011 atau dalam bahasa Malaysianya Lumba Jalan Kaki 12 Jam Peringkat Antarabangsa, Melaka 2011. Acara ini diadakan di Bandar Hilir Melaka yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.

Acara ini telah dimulakan pada pukul 8.00 malam (10 Disember) dan berakhir pada pukul 8.00 pagi (11 Disember). Saya yang kebetulan melalui jalan tersebut telah berpeluang menyaksikan acara ini.

Perlumbaan ini sebenarnya telah diadakan buat kali kedua di negeri Melaka di mana pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2010 merupakan tahun pertama acara ini diadakan. Pada tahun ini dilihat sambutannya amat menggalakan dan penyertaannya berkali ganda banyaknya dari tahun sebelumnya.

Saya yang berkesempatan mengambil beberapa gambar untuk simpanan peribadi telah disapa oleh 2 orang peserta yang menginginkan gambar tersebut dengan menanyakan sama ada saya akan meletakkan gambar tersebut di Facebook. Namun saya menjawab ianya hanyalah untuk simpanan peribadi. (sekiranya mereka tahu menggunakan internet, pasti akan terjumpa gambar ini melalui carian ke atas nama acara ini)

Di bawah ini disertakan beberapa gambar acara tersebut :





Thursday, December 8, 2011

BAHASA NEGERI MELAKA YANG MUNGKIN KAMU TIDAK TAHU

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Siapa yang pernah pergi ke negeri Melaka, angkat tangan... Hehe.. Ramainya yang pernah datang ke sini ye. Maklumlah Melaka kan Bandaraya Warisan Dunia dan seperti slogan negeri Melaka iaitu Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia. Emm.. Memang tidak dinafikan, bilangan pelancong ke negeri Melaka dari tahun ke tahun telah meningkat dengan mendadak.



Namun begitu, bukan pasal pelancongan yang saya ingin tuliskan dalam entri ini. Saya mahu berkongsikan perihal bahasa yang digunakan oleh orang negeri Melaka yang kemungkinan besar tidak diketahui oleh orang ramai dari negeri lain. Saya membuat entri ini dengan merujuk pada dinding Facebook rakan saya yang baru saya baca. Tetapi saya membuat olahan sendiri supaya memungkinkan orang ramai lebih memahaminya.

Okey, sekiranya berminat untuk mengetahui bahasa yang digunakan oleh orang negeri Melaka, bolehlah terus membaca di bawah ini :-

1) Kensal - Tuala mandi
(ada yang menyebut kain sal)

2) Hawau - Bermaksud "tak guna betul kau ni"
(biasa perkataan yang diluahkan "hawau kau")

3) Godak - Mengacau
(biasanya digunakan semasa mahu mengacau air. "Kau tolong godakkan air kopi dalam kole tu")

4) Kahau - Cakap kasar
(contoh ayat : "kahau la kau ni...")

5) Lahabau - Maksudnya seperti apa khabar
(perkataan ini memang biasa digunakan seperti "lahabau kau, aku ingat kau dah mampus...")

6) Membaghah / Mencekik - Makan
(contoh ayat : "mencekik je kau tau...")

7) Kepau - Bersepah
(contoh ayat : "Buat kepau je kat bilik aku...")

8) Kumbah - Menterbalikan / Menyelerakkan
(contoh ayat : "penat aku lipat baju, kau kumbah buat ape?")

9) Dak - Perkataan awalan sebelum menyebut nama seseorang
(contoh ayat : "Kau kenal tak dak Fairus?")

10) Membongkang - Tidur yang amat lena
(contoh ayat : "Keje membongkang je kau tau...")

11) Nau - Akhiran yang membawa maksud benar
(contoh ayat : Besau nau, jauh nau, tinggi nau)

12) Antu - Perkataan awalan sebelum menyebut nama seseorang
(contoh : "Alaaa... tak kan tak kenal antu Jarah...")

13) Lopak - Kotak pensil
(perkataan yang biasa budak-budak sekolah tuturkan)

Sebenarnya banyak lagi bahasa-bahasa yang digunakan oleh orang Melaka, ada antaranya saya sendiri tidak mengetahuinya. Tetapi apabila dilihat kembali perkataan-perkataan ini kadangkala terketawa sendiri kerana ada yang sudah lama saya tidak tuturkan.

Nak ditambah lagi, sekiranya akhir ayat berakhir dengan huruf A, ia akan digantikan dengan huruf E dan sedikit meleret contohnya, iye le... , pergi mane... , ikut suka hati kau le...

Dan pastinya seperti yang diketahui ramai bahawa setiap perkataan yang berakhiran dengan huruf R akan digantikan dengan huruf U seperti frasa yang popular ini; Ulau Melingkau atas Pagau.

Okeylah... Selamat mempelajari bahasa orang Melaka. Bahasa saja nampak kasar tetapi orang Melaka ni semuanya baik-baik belaka. kalau tak percaya datanglah ke Melaka. :)

JEMPUT ATAU UNDANG?





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Masih ingat lagi tak penulisan saya tentang Malu Jadi Orang Melayu pada hujung bulan November yang lalu? Kalau masih ingat, ia ditulis selepas saya berkursus yang dikendalikan oleh seorang daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada hari ini saya bukannya hendak menjadi pakar bahasa, tetapi saya mahu berkongsikan tentang apa yang saya perolehi dari kursus tersebut. Apa yang saya mahu kongsikan ialah penggunaan perkataan JEMPUT dan UNDANG.

Jemput dan undang. Sekali kita lihat seperti sama saja. Tiada perbezaannya, tetapi sebenarnya di dalam bahasa, ia menunjukan satu situasi yang tidak serupa.

Terlebih dahulu, apa yang sebenarnya yang mendorong saya menulis entri ini kerana saya dapat mengesan satu "kesalahan" di dalam penggunaan perkataan di dalam memo yang saya baru sahaja terima iaitu berkenaan Jemputan Ke Program Joget 1 Malaysia 2011 @ Melaka. Sekiranya kita melihat kembali pada tajuk memo berkenaan iaitu JEMPUTAN KE PROGRAM JOGET 1 MALAYSIA 2011 @ MELAKA, apa yang kita fikirkan?

Mungkin kita fikirkan ia hanyalah sebagai jemputan biasa. Tetapi dari apa yang saya dengar dan fahami, jemputan bermaksud kita akan dijemput pada masa program itu diadakan iaitu pada hal ini si penulis memo tersebut akan mengambil saya di rumah untuk menyemput saya ke lokasi program. Nampak macam menarikkan? Tetapi itulah yang sebenarnya penggunaan perkataan JEMPUT dalam hal dan surat rasmi.

Oleh yang demikian, sekiranya benar si penulis memo mahu mengambil saya di rumah, maka penggunaan JEMPUT adalah betul. Tetapi sekiranya tidak, maka perkataan yang perlu digunakan ialah UNDANG iaitu mengundang. Tajuk memo tersebut bolehlah ditukar kepada UNDANGAN KE PROGRAM JOGET 1 MALAYSIA 2011 @ MELAKA.

Nampak hal ini seperti remeh temeh. Kita perlu pelajari dan perbaikinya supaya kemungkinan kelak kita perlu menulis surat rasmi kepada seorang pakar bahasa. Maka satu kekeliruan mungkin bakal berlaku. Sebagai contoh, beliau mendapat jemputan ke suatu majlis tetapi beliau tidak tiba ke majlis tersebut kerana menyangkakan ada individu yang akan menyemput beliau ke majlis itu. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam pemilihan perkataan yang sesuai.

Namun begitu, saya turut memikirkan sama ada perkataan ini adalah relevan dalam pertuturan biasa atau bahasa pasar. Mungkin ia masih boleh diperdebatkan. Iyalah.. Jika di kampung-kampung kebiasaannya ada orang datang menyemput ke kenduri perkahwinan. Biasanya jemputan dibuat awal, jadinya mana mungkin orang kampung menyebut "saya mengundang awak ke majlis perkahwinan anak saya" ataupun "esok rumah saya ada kenduri arwah undanglah ke rumah saya ye?"

Apa-apapun, seperti saya katakan sebentar tadi, saya bukanlah pakar bahasa. Hanya sekadar berkongsi ilmu yang ada. Yang baik datangnya dari Allah, salah dan silap datang dari diri saya sendiri.

Wednesday, December 7, 2011

# 11 WORDLESS (JANGAN SAMPAI KENA TANGKAP)






Tuesday, December 6, 2011

GAMBAR TERBAIK





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebentar tadi baru membuka yahoomail untuk melihat sekiranya ada email-email dihantar oleh mana-mana pihak. Biasalah, pada zaman teknologi moden ini, email saja lagi cepat berbanding dengan menggunakan kaedah mengurus surat secara tradisional (Pos).

Nak diceritakan, selepas mendaftar keluar email berkenaan saya ternampaklah satu tajuk "Eye Catching Pics From All Over The World". Kira-kira ada sebanyak 47 keping gambar yang agak menarik perhatian apabila kita melihatnya. Namun, saya agak begitu tertarik sekali dengan gambar di bawah ini.

Sumber : Yahoo

Mula-mula saya ingatkan hanya sekadar gambar biasa. Tetapi selepas diperhatikan betul-betul, ia memperlihatkan gambar seorang lelaki dengan dua posisi yang berbeza.

Memang menarik. Jari ibu dinaikkan (thumb up) untuk gambar ini. ;)

Saturday, December 3, 2011

MINUM MILO ANDA JADI SIHAT DAN KUAT





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ada sesiapa yang pernah membaca penulisan saya bertajuk Koleksi Barang Antik.? Erm... Itulah salah satu barang koleksi yang sedang saya kumpul dan simpan di rumah. Koleksi tersebut kebanyakan saya perolehi dari rumah emak saya.

Dan sekarang saya mula berjinak-jinak dengan satu lagi koleksi yang boleh dikumpul (collectable item) iaitu barangan Milo. Rasanya baru seminggu dua ni saya baru mula mahu mengumpul barangan Milo iaitu sejak saya terima dua buah Van Mini Milo yang saya tebus dari syarikat Milo. Dari itu, mula muncul minat untuk saya mengumpul barang-barang Milo. Saya pasti, sejak dari mula Milo ditubuhkan sehingga kini tentunya banyak barangan untuk koleksi yang telah dikeluarkan.

Buat masa ini saya hanya ada beberapa barangan Milo yang saya dapat di mana saya dua saya perolehi dari rumah emak saya dan selebihnya saya beli di Mudah.my dan di kedai. Kalau nak diikutkan, dulu memang banyak barangan koleksi Milo yang terdapat di rumah emak saya, tapi semuanya sudah entah ke mana.

Tapi mulai sekarang saya akan lebih teliti bagi memastikan setiap barangan Milo tidak akan terlepas dari pandangan mata saya. Di bawah ini terdapat beberapa barangan Milo yang baru saya kumpul : )


Erm... Ada sesiapa yang mempunyai barangan Milo yang hendak didermakan? Dermalah pada saya ye. :) Tu pun kalau rasakan barangan itu tidak bernilai bagi kamu. Tapi sekiranya hendak menjual, saya sedia membelinya. Tetapi harga biarlah berpada-pada. Kalau mahal sangat mungkin tak mampu nak beli nanti.

Apa-apapun, bagi sesiapa yang tak suka mengumpul, bolehlah mulakan mengumpul sebagai hobi. Lagipun, sesuatu barang akan bernilai suatu masa nanti. Kiranya dalam masa 50 ke 60 tahun akan datang mungkin barang yang kita simpan menjadi suatu artifak yang sangat berharga.

2 BULAN TANPA ROKOK



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini 3 Disember 2011 mengingatkan saya pada sesuatu. Bukanlah penting sangat, tetapi ianya satu kejayaan yang amat baik saya buat masa ini. Kejayaan tersebut bukanlah kerana saya naik pangkat, naik gaji tetapi sebenarnya kejayaan berhenti merokok yang telah masuk dua bulan.

Penulisan ini juga didorong dari rasa ingin tahu seorang penulis blog iaitu Fara yang ingin mengetahui keputusan saya yang sedang berusaha berhenti merokok.



Inilah komen dari Fara di penulisan saya yang bertajuk Sedang Berusaha Berhenti Merokok.

Terima kasih diucapkan kepada pembuat ubat berhenti merokok iaitu NiQuitin yang sedikit sebanyak telah mengurangkan ketagihan saya kepada rokok. Namun begitu, sebenarnya NiQuitin ini tidaklah dikatakan 100% boleh membuatkan seseorang berhenti merokok, tetapi apa yang perlu ada ialah keazaman dan kesungguhan. Kalau tiada keazaman dan kesungguhan, rasanya kita makan apapun tetap akan merokok kembali.



Inilah rupa bentuk NiQuitin ini. Satu papan mengandungi 12 biji, tetapi saya hanya makan tujuh biji sahaja. Betullah sepertimana dalam iklan dalam televisyen yang mengambarkan kelebihan NiQuitin ini.

Terima kasih juga kepada mereka ini yang juga memberikan dorongan dan komen yang berguna dalam menyokong usaha saya berhenti merokok iaitu :







ANON


ABANG LONG SAYA

Erm... Masih mahu berkongsi lagi. Sebenarnya amat sukar juga untuk berhenti merokok. Walaupun saya sudah berhenti merokok selama 2 bulan ini, perasaan ingin merasa semula rokok tetap ada. Tetapi saya cuba cekalkan diri agar tidak terlibat lagi dalam aktiviti merokok.

Dulu orang kata, kalau berhenti merokok, satu hari kita akan mengalami batuk yang teruk. Ya, memang. Dalam masa kira-kira selepas 3 ke 4 minggu saya berhenti merokok, saya mengalami batuk selama seminggu yang agak teruk juga. Rasa seperti mahu tercabut jantung pun ada. Siang malam batuk, tetapi yang teruknya di waktu malam, ketika tidurpun batuk juga.

Sekarang Alhamudulillah tidak batuk lagi. Harapan saya pada diri sendiri supaya terus berjaya dalam usaha berhenti merokok. Saya sedar ia membahayakan kesihatan, bukan saya sahaja malahan orang disekeliling saya. Merokok juga pastinya merugikan wang ringgit. Sekiranya satu hari kita membelanjakan RM10.00 untuk sekotak rokok, sebulan bererti kita membelanjakan RM300.00 untuk membeli rokok.

Akhir kata, syukur kepada Allah SWT kerana membuka hati saya ini untuk berhenti merokok dan dipohon agar Allah SWT menguatkan lagi hati ini untuk terus berhenti merokok.



v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v

Mahu berhenti merokok? Hubungi saya segera!

Thursday, December 1, 2011

MALU JADI ORANG MELAYU





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kita orang Melayu kaya dengan budi bahasanya, kaya dengan sopan santun dan juga bahasa yang indah melalui peribahasa dan juga bait-bait puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka, sajak dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang peribahasa dan juga puisi, pastinya ada antaranya kita tahu dan teramat tahu akan sesuatu peribahasa atau puisi mungkin kerana tahu sejak belajar di bangku sekolah mahupun ianya sering digunakan pada zaman kini.

Sebenarnya ada beberapa puisi dan peribahasa yang kononnya kita tahu dan faham perkataan dan maknanya tetapi sebenarnya kita silap. Kita silap sejak dari dahulu lagi. Baru ini kira baru tahu. Alangkah malunya. Alangkah malunya diri ini seorang yang mengaku Melayu tetapi sebenarnya tidak tahu makna perkataan-perkataan tertentu.

Apa yang hendak saya jelaskan di sini ialah berkenaan pantun ini :

YANG KURIK ITU KENDI,
YANG MERAH ITU SAGA,
YANG BAIK ITU BUDI,
YANG INDAH ITU BAHASA.


Ada siapa yang sudah biasa dengan pantun ini. Betulkah setiap perkataan tersebut atau ada kesalahannya? Mungkin ada antara yang membaca ini tidak tahu ada yang salah dan mungkin juga yang tahu ada salahnya. Tapi di mana ya?

Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, KENDI itu bukanlah perkataan asalnya, yang betulnya ialah KUNDI iaitu sejenis pemberat dalam timbangan emas. Anda baru tahu? Saya pun baru tahu sebenarnya.

Ada satu lagi peribahasa yang begitu popular yang kita mungkin tidak menyangkakan bahawa ianya lain daripada apa yang kita sangkakan iaitu :

SEPERTI MELEPASKAN BATUK DI TANGGA.

Erm... Apa salahnya ya? Kalau kita perhatikan betul-betul setiap perkatannya pasti kita akan menyatakan bahawa tiada silapnya. Malah ada dijelaskan di dalam buku peribahasa bergambar bagi kanak-kanak sekolah rendah yang mengambarkan peribahasa ini dengan gambaran orang sedang batuk di atas tangga. Benarkah peribahasa ini menyatakan begitu? Saya pun sebenarnya berkefahaman begitu tentang peribahasa ini sehinggalah hari ini barulah saya tahu hal yang sebenarnya.

Apa yang salah sebenarnya ialah BATUK. Perkataan yang sebenarnya ialah BATOK. Apa itu BATOK? Mengikut apa yang dijelaskan kepada saya, BATOK ialah sejenis gayung kecil yang digunakan untuk membasuh kaki sebelum naik ke atas rumah (kalau kita tengok cerita Melayu dahulu-dahulu pastinya akan perasan di rumah Melayu ada tempayan dan BATOK digunakan untuk membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah)

Sekian sajalah perkongsian ilmu kita pada hari ini. Kalau rasakan anda sudahpun mengetahui hal yang ini, anggapkan ianya sebagai ulangkaji. Bagi mereka yang sama seperti saya di mana baru mengetahuinya, simpan dalam otak dan kongsikan jika perlu bagi meluaskan ilmu ini.

(Ps : Maklumat berkenaan apa yang saya ceritakan ini adalah diperolehi daripada kursus yang saya hadiri pada hari ini yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka)