Tuesday, November 29, 2011

BERTUKAR KEPALA (HEADER)





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menukar kepala (header) bagi blog saya ini. Pada hari ini saya telah menukarkan kepala blog saya kepada yang baru. Nampak ringkas bukan. Bagi sesiapa yang sudah biasa bertandang ke blog saya ini, janganlah terperanjat pula apabila melihat kepala blog saya sudah bertukar. Jangan pula ada nanti yang tidak dapat mengenali blog saya pula.

Buat masa ini, hanya kepala blog saja yang saya tukar. Mungkin pada suatu masa nanti bahagian templatnya juga akan diubah.

Kepala blog yang baru. Harap semua dapat menerimanya. Boleh komen kalau mahu.

Inilah kepala blog yang lama. Hampir 2 tahun lebih menggunakannya. Tidak terus dibuang, akan tetap disimpan.

HARIMAU MALAYA





TETAP SOKONG WALAU KALAH ATAU MENANG!!!







Sunday, November 27, 2011

LAGI CERITA PASAL MUZIUM KAPAL SELAM





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terpanggil lagi untuk membuat entri perkaitan Muzium Kapal Selam. Ini adalah kerana apabila terbaca satu entri yang bertajuk Skodeng Kapal Selam Di Klebang oleh blogger BIOMED. Saya yang berasa hairan mengapa mereka sekadar skodeng sahaja? Kenapa tidak boleh masuk? Rupa-rupanya mereka tiba di Kapal Selam itu pada pukul 6.00lebih di mana, ianya hanya dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Saya yang tidak membaca entri tersebut secara khusus (kerana hanya melihat gambar sahaja) telah pergi ke tapak Kapal Selam tersebut untuk memastikan ianya dibuka. Ternyatalah Kapal Selam itu masih dibuka untuk tontonan umum dan ramai yang datang untuk melihatnya.

Di bawah ini disertakan beberapa gambar yang melihatkan berapa ramai yang mengunjungi Kapal Selam ini :

Parkir kenderaan yang dipenuhi kereta. Siap bas pelancong pun ada sama.

Orang ramai yang menyaksikan Kapal Selam Ouessant

Segenap tempat dipenuhi orang ramai yang berpusu-pusu

Yang pulang digantikan dengan yang baru datang. Mengikut statistik sejak ianya dibuka sudah beribu-ribu yang datang melawat

PENUMPANG TIDAK DIUNDANG





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pernah atau tidak sesuatu berlaku pada anda semua apabila ada orang menahan kereta anda dan ingin menumpang ke suatu destinasi? Mungkin ada yang pernah dan mungkin juga tidak pernah mengizinkan orang tersebut untuk menumpang kereta kita. Iyalah, kita tak tahu hati budi orang tersebut. Orang baikkah.. Orang Jahatkah... Lainlah kalau kita mengenali orang tersebut.

Hendak dijadikan cerita, malam tadi dalam pukul 7.00 lebih, saya pergi ke bank untuk mengeluarkan wang di mesin ATM. Sejurus keluar dan baru hendak bergerak pulang ke rumah, ada 2 orang muda lelaki dan wanita berbangsa Cina telah menahan kereta saya dan ingin menumpang ke Jalan Hang Tuah, Melaka. Saya dalam masa itu, melihat orang tersebut atas bawah dan bertanyakan dia dari mana, nak ke mana, kenapa mahu tumpang dan sebagainya. Setelah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, lalu saya tumpangkanlah dua orang tersebut. Erm.. Padahal rumah saya di kawasan bank itu saja. Tak pasal-pasal kena hantar mereka ke destinasi yang lebih kurang 15 minit dari rumah saya.

Mereka berdua ni datang dari Johor Bahru ke Melaka untuk bercuti. Disebabkan mereka menunggu bas atau teksi yang tidak muncul tiba mereka telah mengambil keputusan untuk menahan kereta untuk ditumpangkan. Dalam perjalanan saya banyak juga berbual-bual dengan mereka tapi malangnya mereka seperti tidak faham apa yang saya bualkan atau mereka memang tidak mahir sangat bahasa Melayu. Yang banyak menyampuk cakap saya ialah yang wanita tetapi dia seorang yang sengau. Saya pula yang tak faham apa yang dia cakapkan.

Dalam perjalanan, saya juga sempat berfikir, kalaulah mereka ini orang jahat bagaimana? Lelakinya duduk disebelah saya, manakala yang wanitanya duduk di belakang saya. Saya asyik berfikir, kalaulah si wanita tu hulurkan pisau ke leher saya, apa yang perlu dilakukan? Berfikir lagi, elok saja kalau saya turutkan apa yang dimahukan. Kalau dia nak duit ke apa ke, beri sajalah. Namun begitu saya lebih berfikir positif dan berbaik sangka yang mereka ini bukanlah orang jahat.

Dalam berbual, berfikir yang itu ini akhirnya destinasi yang dituju sampai jua. Dengan mengucapkan terima kasih mereka turun dan berlalu pergi. Dalam hati saya rasa selamat saja. Nasib baiklah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Syukur alhamdulillah...

(Moralnya : Terpulanglah kepada diri masing-masing sama ada mahu atau tidak menumpangkan orang yang menahan kereta kita untuk ditumpangkan. Maklumlah, sekarang ni orang yang nampak baikpun jahat sebenarnya)

SALAM MAAL HIJRAH 1433







Mari layan lagu nasyid yang tak pernah lekang didengari sempena sambutan Maal Hijrah :


Saturday, November 26, 2011

AKIBAT TERPENGARUH MASTERCHEF MALAYSIA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Rasanya pada bulan lepas saya ada mengeluarkan entri bertajuk Culinary... I Like. dan pada hari ini saya dengan gatal tangan sekali lagi mencuba untuk memasak. Tidaklah sehebat mana, cuma memasak Ikan Keli Goreng Berempah.

Untuk makluman, saya ada memelihara ikan keli di rumah emak saya. Namun begitu saya tidaklah gemar sangat memakan ikan keli. Sekiranya emak saya memasak ikan keli, pastinya saya tidak akan makan ikan tersebut. Nak dijadikan cerita, satu hari saya mencuba baru resepi emak saya (yang emak saya dapat dari Mak Busu) iaitu Ikan Keli Goreng Berempah. Makk oooiii.. Sekali cuba, dua, tiga ekor saya makan.

Selepas dari kejadian itu, saya terus meminati Ikan Keli. Pergi ke kedai untuk makan tengah haripun saya sudah mula mengambil lauk Ikan Keli. Perghh.. Menyesal baru tahu. Umur dah 30 tahun baru tahu yang Ikan Keli itu sebenarnya sedap. Huh.. Menyesal tak sudah.

Di bawah ini saya sertakan gambar-gambar saya yang agak terlampau semasa menyediakan sajian Ikan Keli Goreng Berempah. Jom Layan... ;)

Ha.. Inilah Ikan Keli. Siapa tak tahu Ikan Keli angkat kuali. Ikan Keli yang saya pelihara ni sedikit terencat tumbesarannya. Tak tahu mengapa. Tapi yang ni kira okaylah, yang sedang-sedang saja.

Yang ni kerja-kerja memotong bahan untuk menjadikan rencah Ikan Keli Goreng Berempah. Pergh... Bersemangat.

Inilah antara rencahnya. Sedikit bawang putih, sedikit halia, sedikit cili, sedikit serbuk kunyit dan juga tepung jagung. Dan jangan lupa letakkan garam secukup rasa.

Sedikit jiwa tradisional. Saya menggunakan batu lesung untuk melumatkan bawang putih dan juga halia.

Kemudian saya campur dan gaulkan semua bahan tadi bersama dengan serbuk kunyit dan tepung jagung.

Selepas melumurkan Ikan Keli dengan bahan tadi, teruslah goreng di dalam kuali. Huh.. Tukang masak pakai baju Metallica. Memang tak boleh blah. Geleng kepala kalau James Heldfields nampak. Hehehe...

Dan inilah hasilnya. Ikan Keli Goreng Berempah. Amacam menarik ke tak? Ini kalau Panglima tahu, mahunya resepi ini dibuat di restorannya.

Disediakan juga kicap sebagai pencecah bagi mereka yang gemarkannya.

Saya yang tukang memasaknya, telah memakan empat ekor Ikan Keli Goreng Berempah pada tengahari tadi. Bolehlah tahan rasanya. Tapi tidaklah 100% sepertimana emak saya yang masak. Memang tidak dinafikan bahawa masakan emak kita sendiri adalah makanan yang paling enak dan sedap.

Thursday, November 24, 2011

# 09 LENSA KAMERA CABUK - LANGIT BIRU AWAN BERARAK






Jangan Diratap Gigi Yang Rongak,
Tiada Sakit Tiadalah Rasa,
Sesekali Perlu Kita Mendongak,
Melihat Langit Ciptaan Yang Kuasa.

Tuesday, November 22, 2011

BANGGA JADI ANAK HARIMAU, EH.. ANAK MALAYSIA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya maka perlawanan akhir bola sepak di kejohanan Sukan Sea telah dimenangi oleh Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bola sepak Malaysia mempunyai kelas yang tersendiri dan kita adalah yang terbaik di Asia Tenggara.

Penulisan ini mungkin agak lewat berbanding dengan kecekapan penulis-penulis blog yang lain yang terus meluahkan rasa kegembiraan mereka di dalam blog setelah tamat perlawanan. Tapi percayalah, semangat Harimau Malaya tetap ada di dalam hati saya. ;)


Apabila dikenang kembali perlawanan malam tadi, memang boleh dikatakan ianya 50-50. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjadi juara. Namun, kelebihan memihak kepada Malaysia apabila berjaya dalam sepakan penalti.

Kepujian harus diberikan kepada semua pemain Harimau Malaya kerana berjaya mengembalikan maruah dan semangat rakyat Malaysia tatkala kita dikeji dan dihina oleh "segelintir" penyokong Indonesia.

Apa-apapun perlawanan malam tadi memang "lain macam" sedikit. Semangat kita yang menonton di rumah inipun amat terasa sekali. Dari mula perlawanan hinggalah tamat. Debaran dan semangatnya jelas terasa. Rasa macam nak gugur jantung pun ada. Syukurlah... Syukurlah Malaysia menang.

Malaysia Boleh!!!

Monday, November 21, 2011

GURAU SENDA SUAMI ISTERI (PART 4)





Alkisahnya di awal pagi yang dingin saya dan isteri sedang nyenyak tidur. Waktu itu pukul berapa tidak dapat dipastikan, tetapi kemungkinan besar di awal pagi.

Nak dijadikan cerita, saya kesejukan dan mencari bantal untuk dipeluk. Bantal sedang dipeluk oleh isteri saya lalu saya antara sedar dan tidak terus menarik bantal tersebut, lalu terjadi dialog ini :

Saya : Kenapa? (Sambil memandang muka isteri saya)

Isteri : Sarung bantal tercabut abang tarik. (isteri saya terus ketawa)

Rupa-rupanya saya tertarik bantal tersebut dan sarungnya tertanggal bersama isteri saya. Namun tanpa memikirkan apa-apa saya terus saja peluk bantal dan tidur semula. Apabila sudah masuk ke pejabat pada hari ini baru baru saya terkenang semula peristiwa itu dan tergelak seorang diri. Hahaha...

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri (Part 2)

Lihat juga ---> Gurau Senda Suami Isteri (Part 3)

Sunday, November 20, 2011

BLOG SATU DOKUMENTASI





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada zaman sekarang blog adalah satu media yang amat popular baik bagi remaja mahupun yang sudah dewasa. Berbagai-bagai fungsi yang dilakukan dengan berblog seperti untuk peribadi, politik, pemasaran, pelancongan, makanan dan sebagainya. Secara sedar mahupun tidak sedar sebenarnya kita telah membuat suatu dokumentasi tentang sesuatu acara, perkara ataupun peristiwa yang telah dilalui.

Mendokumentasikan sesuatu perkara yang telah kita lakukan adalah penting. Ini adalah kerana ia mempunyai nilai pada suatu masa nanti. Nilai-nilai tersebut seperti nilai sejarah, nilai budaya, nilai fiskal, nilai perundangan, nilai estetika dan berbagai-bagai nilai yang lainnya.

Kalau hendak dibandingkan dengan negara Barat, rasanya kita di Malaysia agak jauh ketinggalan dalam mendokumentasikan apa yang kita lakukan dan laksanakan. Di Barat, mereka menganggap pendokumentasian adalah penting bagi masa-masa hadapan untuk individu ataupun negara. Dalam perkataan yang lain, mereka senantiasa merekod dan menyimpan segala rekod dengan sempurna bagi rujukan akan datang. Bersyukurlah kita mempunyai arkib dan muzium yang mendokumentasi dan menyimpan rekod-rekod kepentingan negara.

Kita beralih kepada peristiwa yang lalu di mana Malaysia telah kalah kepada Singapura di Mahkamah Antarabangsa semasa tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Selain daripada isu kecuaian, isu rekod juga salah satu daripada faktor mengapa Singapura menang dalam tuntutan tersebut. Jelaslah bahawa rekod dan dokumentasi adalah penting pada individu dan negara, mungkin bukan buat masa sekarang tetapi pada masa akan datang kerana ianya mempunyai nilai-nilai yang tertentu.

Dalam hujah ini penulisan blog juga mungkin berguna pada masa akan datang. Manalah tahu, pada masa hadapan penulisan-penulisan blog ini boleh dijadikan bukti pada hal-hal tertentu. Ia juga boleh menjadikan memori yang indah apabila kita sudah berumur kelak. Tapi mungkin ada yang bertanyakan bolehkan blog terus wujud pada masa akan datang? Saya fikirkan tentu boleh. Andainya blog akan tidak wujud lagi, mungkin kita boleh salinkan semua isi-isi kandungan blog kita dan jilidkan seperti buku agar ia terus dapat kita simpan.

Mungkin penulisan ini dilihat remeh temeh oleh segelintir individu tetapi percayalah, sekiranya anda telah meningkat ke umur veteran dan menyingkap kembali tentang apa yang anda tulis di blog pastinya akan meninggalkan kesan sentimental yang begitu indah.

Friday, November 18, 2011

KAPAL SELAM TERDAMPAR DI DARATAN





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dua hari yang lepas saya ada membuat cerita bertajuk Kapal Selam Selamat Sampai Ke Melaka di mana kerja-kerja mengangkut kapal selam sedang dijalankan untuk dibawa ke daratan. Pada hari ini saya sertakan bersama gambar-gambar kapal selam yang telah berjaya diletakkan di lokasi cadangan Muzium Kapal Selam.

Saya hadir ke tapak untuk menghadiri majlis ringkas doa selamat di mana ianya turut dihadiri oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Pada masa ini kapal selam ini sedang dijalankan kerja-kerja pembersihan udara di dalam badan kapal selam tersebut bagi memastikan ianya selamat. Di dalam gambar, boleh dilihat sepasukan anggota bomba sedang melaksanakan tugas.

Buat masa ini kapal selam ini dibuka untuk tatapan umum sebelum ianya ditutup bagi kerja-kerja menaiktaraf. Baru sahaja berita kapal selam ini telah selamat diletakkan di lokasinya, telah ramai warga Melaka yang datang untuk menyaksikan kapal selam ini. Begitulah kekreatifan kerajaan negeri Melaka yang pandai untuk mengambil peluang untuk memajukan sektor pelancongan negeri.

Di bawah ini disertakan beberapa gambar untuk tatapan semua.

Kapal Selam Ouessant (Kelas Agosta)

Kerja-kerja membersihkan udara di dalam badan kapal selam

Kehadiran YAB Ketua Menteri Melaka

YAB Ketua Menteri dan bos besar saya bersedia untuk naik ke kapal selam

Naik menggunakan "skylift" bomba

Bacaan doa selamat. Semoga selamat semuanya.

Sempat bergambar kerana keterujaan dengan kapal selam ini.

Wednesday, November 16, 2011

KAPAL SELAM SELAMAT SAMPAI KE MELAKA








Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Gambar menunjukan kapal selam Ouessant (kelas Agosta) sedang diangkut ke daratan Dataran 1 Malaysia, Klebang Besar, Melaka. Kapal selam ini telah dibawa belayar dari Brest, Peranchis ke perairan Melaka dengan pengangkutan Felda Transpot Services Sdn. Bhd.

Sebelum ini saya telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan perincian penubuhan muzium kapal selam ini. Sila baca di sini untuk mengetahuinya. Namun, kerja saya tidak selesai kerana saya bertukar unit dari Unit Pemuziuman ke Unit Konservasi. Apa boleh buat, di tempat saya bekerja memang mengamalkan sistem pertukaran unit yang bertujuan untuk memahirkan semua kakitangan dalam setiap aspek pengurusan muzium. Jadinya, mana-mana bahan rujukan dan sedikit penulisan yang saya telah buat dulu (baru sedikitpun), saya serahkan kepada pegawai yang bertanggungjawab, manalah tahu, ianya boleh membantu.

Harapan saya untuk melihat penubuhan muzium ini berjaya. Saya amat yakin, ianya bakal membawa tarikan yang besar kepada negeri Melaka setanding dengan muzium-muzium terkenal di negeri Melaka seperti Muzium Sejarah, Muzium Istana Kesultanan Melaka dan juga Muzium Samudera (Kapal Flor De La Mar)

Sumber gambar : Facebook Perbadanan Muzium Melaka

# 08 LENSA KAMERA CABUK - MUZIUM TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA





Terbang Melayang Hinggap di Sisi,
Dilastik Tersungkur Terus Diam,
Kalau Sampai Ke Sungai Besi,
Singgah Sebentar ke Muzium TUDM.

Tuesday, November 15, 2011

TELAH MARTABATKAH BAHASA MELAYU?





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada hari ini saya membuat tajuk ini kerana terpanggil setelah membaca kandungan cerita di dalam blog KomenSen. Pokoknya sekarang benarkah Bahasa Melayu kita telah dimartabatkan? Apakah buktinya? Rasanya kerajaan sendiri yang tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita.


Pihak kerajaan mencanangkan cintailah Bahasa Melayu, martabatkan Bahasa Melayu sehingga setiap tahun ada disambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan itu apa? Tentulah Bahasa Melayu. Tapi mengapa tidak pula kerajaan mempertahankan Bahasa Melayu ini? Saya petik lagi contoh yang diberikan dari blog KomenSen yang memberikan contoh kerajaan membangunkan Greater KL dan Kuala Terengganu City Centre. Persoalannya mengapa perlu Bahasa Inggeris? Bahasa Melayu sudah kehabisan perkataan ke? Bukankah elok sekiranya Greater KL tu ditukarkan kepada KL Terbaik atau KL Terhebat. Salahkah? Bukahkah sedap juga bunyinya. Begitu juga dengan Kuala Terengganu City Centre bukahkah lebih elok diberikan nama Bandar Utama Kuala Terengganu ataupun seperti diberikan contoh dari KomenSen iaitu Anjung Kuala Terengganu atau Serambi Kuala Terengganu. Ini tidak, bahasa Inggeris juga yang diagungkan.

Di sini kita perlu kaji peranan Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pihak ini harus berdiam diri sekiranya penggunaan Bahasa Inggeris lebih diutamakan? Bahasa Melayu juga merupakan bahasa Ilmu. Bahasa Melayu perlu diketengahkan lebih berbanding bahasa-bahasa lain. Lupakah kita yang Bahasa Melayu satu ketika dahulu telah menjadi Lingua Franca di rantau Nusantara?

Begitu juga penggunaan Bahasa di papan-papan iklan di kedai-kedai. Bermacam-macam bagai. Dari Bahasa Inggerisnya sehinggalah ke Bahasa Mandarin dan Tamil. Pada pendapat peribadi saya, semua itu perlu ditukar kepada Bahasa Melayu. Di manakah identiti kita kalau bukan dari bahasa. Saya yakin bahawa pelancong sekalipun mahu lihat tulisan bahasa Melayu kita sendiri terpampang di mana-mana dan bukannya tulisan bahasa yang berbagai-bagai.

Di sini bukanlah saya mengatakan bahawa berbahasa Inggeris itu tidak boleh. Boleh, tetapi dengan orang asing yang tidak mengetahui Bahasa Melayu. Di kalangan kita ini yang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum adalah lebih baik menggunakan Bahasa Melayu semasa bertutur dan dalam apa-apa acara rasmi ataupun tidak rasmi. Bukannya apa, kita di Malaysia, Bahasa Kebangsaan kita adalah Bahasa Melayu. Hormatlah sedikit Bahasa Melayu ini. Tidaklah nanti ada kaum-kaum di Malaysia ini tidak mengetahui ataupun tidak lancar berbahasa Melayu.

(Ps : Terdapat sedikit perubahan dalam gaya penulisan. Siapa yang biasa membaca blog ini, harap dapat menerimanya. Kadangkala kita harus membuat perubahan ;)

# 07 LENSA KAMERA CABUK - BALAI SENI LUKIS MELAKA





Seni Mengalir Dalam Darah,
Darah Merah Pekat Belaka,
Kalau Tuan Ke Rumah Merah,
Singgah Sebentar Ke Balai Seni Lukis Melaka.

Friday, November 11, 2011

11.11.11 APA ERTINYA PADA DIRI KITA SENDIRI???





Sebelas November Dua Ribu Sebelas @ 11 November 2011 @ 11.11.11 @ 11/11/11... Semua sama saja maknanya. Hanya sekadar nombor yang cantik dan menarik. Maka ramai dan berduyun-duyunlah warga tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau, Orang Asli dan sekalian amat teruja untuk melangsungkan pernikahan dan perkahwinan pada tarikh ini. Alasannya ialah nombornya cantik. Mudah diingat.

Ada juga syarikat mahupun jabatan kerajaan yang membuat acara besar pada hari ini bagi menjadikan majlis tersebut terus diingati. Misalannya di Melaka sekarang Yang DiPertuan Agong Malaysia telah mencemar duli untuk berangkat ke negeri Melaka bagi menyempurnakan perasmian Masjid Universiti Teknikal Malaysia Melaka iaitu Masjid Saidina Abu Bakar pada sebelum solat Jumaat sebentar tadi.


Namun itu hal orang lain. Apakah erti atau perbuatan yang perlu kita ingat semasa 11.11.11 bagi diri kita sendiri? Mungkin ada yang istimewanya, mungkin ada yang dukacitanya. Jadinya, cuba-cubalah kita fikirkan.

Bagi diri aku sendiri 11.11.11 adalah :

a) Pagi sibuk dengan kerja di pejabat, tetapi pada pukul 12.00 sudah balik rumah.

b) Sempat buatkan surat isteri untuk mohon cuti tanpa gaji selama sebulan. Isteri sedang baru hamil. Tekak loya semacam. Dulu sudah dua kali keguguran, harap dia dapat rehat dulu di rumah.

c) Pukul 3.00 petang ada perlawanan Bola Tampar sempena Sukan Antara Jabatan Kerajaan Negeri Melaka. Lawan dengan Pejabat Daerah Alor Gajah. Pergh.. Kalah.

d) Malam ada perlawanan lagi. Lawan Jabatan Kerja Raya, pun kalah lagi. Dah leading pun kalah juga.

Erm.. Inilah saja yang mungkin aku akan ingat tentang peristiwa 11.11.11 untuk diri aku sendiri. Yang lain pula apa ceritanya yang boleh diingat sempena tarikh 11.11.11?

# 06 LENSA KAMERA CABUK - 90 DARJAH DARI JENDELA





Asal Buah Mendapat Nama,
Buah Bertuah Buah Melaka,
Apa Ada Di Balik Jendela,
Bangunan Merah Tinggalan Belanda.

Thursday, November 10, 2011

# 05 LENSA KAMERA CABUK - SEMARAK API KEPAHLAWANAN





Hang Tuah Gagah Laksamana Melayu,
Jebat Terkenal Kerana Derhaka,
Jangan Dicabar Pahlawan Melayu,
Kalau Dicabar Binasalah Nyawa.

Friday, November 4, 2011

# 10 WORDLESS (WARTAWAN KENA TANGKAP)





Sibuk tangkap gambar hingga tak perasan diri di tangkap. Maaf ye encik wartawan... :)

Wednesday, November 2, 2011

# 04 LENSA KAMERA CABUK - MEGALIT DATUK TUA





Wilayah Adat Wilayah Naning,
Tempat Pedagang Datang Bersua,
Kalau Tuan Ke Taboh Naning,
Jangan Lupa Megalit Datuk Tua.

# 03 LENSA KAMERA CABUK - PEPERIKSAAN AMALI KONSERVASI






Dari Melaka Ke Kuala Lumpur,
Singgah JMM menjawab Periksa,
Amali Konservasi Soalan Ditempur,
Bagi Menambah Ilmu Di Dada.

# 02 LENSA KAMERA CABUK - KOTA SUPAI





Asal Kubu Untuk Menangkis,
Kubu Ditahan Dengan Batu,
Hebat Benar Pahlawan Melayu Bugis,
Kalau Tak Masa-kan Belanda Membina Kubu.

# 01 LENSA KAMERA CABUK - RUMAH MELAYU MELAKA




Mengempu Keris Di Bawah Rumah,
Keris Diempu Keris Pekaka,
Rumah Bukan Sebarang Rumah,
Inilah Rumah Melayu Melaka.

Tuesday, November 1, 2011

MENGUBAH BUNGA





Ingat tak satu masa dahulu apabila anakku Muhammad Fahim melukis sebuah lukisan abstrak? Rupanya berseni juga anakku ini. Sebagai menyanjungi lukisan yang dia lukis, aku telah pamerkan di dinding rumah aku. Semoga apabila dia besar nanti, dia akan bangga yang lukisan itu adalah lukisan yang dia buat semasa usianya 3 tahun.

Tidak cukup dengan itu. Baru-baru ini aku pergi ke rumah mertua dan di situ anakku Muhammad Fahim sekali lagi mempamerkan kemahiran semula jadinya yang boleh dikatakan berseni dengan mengubah bunga. Erm... Macam-macamlah si Muhammad Fahim ni.

Kalau sudi nak tengok gambar Muhammad Fahim mengubah bunga, bolehlah tonton video di bawah :

v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v