Kerajaan Negeri Melaka akan membuka sebuah sekolah khas untuk wanita-wanita hamil pada 17 Oktober 2010. Sekolah ini dikhaskan untuk memberikan pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlanjur untuk terus belajar dan meneruskan kehidupan sepertimana pelajar-pelajar biasa.
Dengan memperkenalkan sekolah kepada pelajar yang hamil ini dilihat ada mendapat tentangan dari pelbagai pihak. Namun mengapa kerajaan negeri Melaka mahu terus membuka sekolah ini? Walau apapun tentangan yang diberikan dilihat kerajaan negeri Melaka tetap dengan pendirian untuk melaksanakan program sekolah hamil ini dan ianya tetap akan beroperasi.
Pada pandangan aku sebagai rakyat biasa dan pemerhati, sekolah ini ada baiknya. Kebiasaanya pelajar yang hamil akan terus hanyut dan terbiar tanpa pembelaan dan perhatian yang sewajarnya. Memang benar mereka telah melakukan kesilapan yang besar dalam diri mereka kerana terlanjur, namun adakah kita sanggup menghukum mereka begitu sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab untuk membina kembali kehidupan mereka. Adakah kita akan memulaukan mereka walaupun mungkin pada hakikatnya mereka telah bertaubat.
Orang kita memang gemar dan suka membuat andaian yang begitu cepat dan sempit tanpa memikirkan jangka masa yang panjang. Ada pihak yang menyatakan bahawa dengan adanya sekolah pelajar hamil ini akan menggalakan lagi maksiat. Maksiat akan berleluasa. Apa sekarang tidak banyak maksiat? Apa sekarang maksiat tidak berleluasa? Dengan banyaknya maksiat inilah yang mendorong sekolah pelajar hamil ditubuhkan, demi mengembalikan kesedaran kepada pelajar terbabit, demi mengelakan berlakunya pembuangan bayi, demi mengelakan pembunuhan bayi dalam kandungan. Adakah kita mahu lihat generasi kita jadi pembunuh?
Selain itu, ada juga pelajar yang berkemungkinan berkahwin awal akan mengandung dan berasa malu mahu ke sekolah biasa. Adakah mereka inipun bersalah? Tidak jawapannya. Pelajar tingkatan 6 adalah peringkat umur yang boleh berkahwin, dan mereka mungkin telah mengandung dan segan untuk ke sekolah, jadi, sekolah pelajar hamil ini boleh memberikan mereka meneruskan pelajaran seperti biasa tanpa rasa malu kerana ianya memang sekolah yang khas untuk orang seperti mereka.
Tindakan kerajaan negeri memang tepat pada waktunya selari dengan kehendak Melaka Maju 2010, rakyat Melaka diperlukan untuk mendapat pelajaran yang secukupnya bagi memastikan tahap pendidikan dan keintelektualan rakyat Melaka adalah tinggi. Dengan adanya ilmu pengetahuan dan daya intelek yang tinggi pastinya akan memacu negeri Melaka terus maju ke hadapan. Rasullullah S.A.W pun ada bersabda, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ini menunjukan mencari ilmu itu adalah penting dan wajib bagi setiap umat.
No comments:
Post a Comment
Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.