Dari Kejadian Aneh Ketangkasan Seekor Pelanduk
Dari Sandaran Diraja Di Sepohon Pokok
Dinama Dan Didirikan Sebuah Negeri Yang Mulakah
Dinamakan Negeri Melaka
Hendaklah Diingat Jangan Dilupa
Pedagang Timur Barat Datang Bertandang
Kesultanan Mengatur Pentadbiran Gemilang
Hang Tuah Gagah Perkasa Lagi Berjasa
Hang Jebat Dimurka Derhaka
Tun Perak Cerdik Lagi Bijaksana
Hang Li Poh Cantik Jelita
Laksamana Cheng Ho Mengharung Belantara
Nama Tersohor Di Bumi Melaka
Hendaklah Diingat Jangan Dilupa
Portugis
Belanda
British
Jepun
Pernah Datang Bertandang
Datang Tanpa Diundang
Datang Dengan Muncung Meriam
Datang Dengan Laras Senapang
Datang Dengan Senjata Tajam
Negara Penakluk Bumi Melaka
Hendaklah Diingat Jangan Dilupa
Dulu Kesultanan Ini Berdiri Megah
Pelusuk Seantero Nusantara Menjunjung Sembah
Perdagangan Besar Memusat Timur Barat
Pelabuhan Besar Memenuh Sarat
Syiar Islam Menyinari Umat
Pegangan Segenap Penghuni Bumi Melaka
Hendaklah Diingat Jangan Dilupa
Kini Melaka Bebas Merdeka
Tinggalan Penjajah Menjadi Warisan Berzaman
Warisan Kini Menjadi Harapan
Memacu Negeri Kearah Kemajuan
Kadang Terpikir Untuk Berterima Kasih Pada Penjajah
Kerana Mereka Kini Melaka Menjadi Tumpuan
Kerana Mereka Kini Melaka Menjadi Sebutan
Kerana Mereka Kini Melaka Menjadi Kunjungan
Tapi Tidak Semudah Itu
Penjajah Tetap Penjajah
Penjajah Harus Terus Ditentang
Penjajahan Adalah Keperitan
Jangan Diminta Ia Berulang
Jangan Dibiarkan Bangsa Dihina
Melaka Maju Dari Perjuangan Bangsa
Bangsa Berdaulat Bangsa Merdeka
Kini Amanlah Melaka
Kini Sentosalah Melaka
Kini Terbilanglah Melaka
F.B. Mamat
6 Januari 2009 (1.35 Petang)
Bandar Hilir, Melaka
No comments:
Post a Comment
Sila lah komen. Segala komen adalah dihargai.